Sunday, August 31, 2008

Ulul Albab: Pengisian Ramadan, kemerdekaan

Oleh Abdurrahman Haqqi


PELAPIS NEGARA: Generasi kini perlu memahami erti kemerdekaan serta perjuangan pemimpin terdahulu dalam membebaskan negara daripada penjajah. - Gambar hiasan


Umat perlu jaga batasan agar tidak terseleweng daripada nikmat puasa, merdeka KEMERDEKAAN adalah hak setiap bangsa di dunia. Oleh itu penjajahan mestilah dihapuskan daripada muka bumi seperti deklarasi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setengah abad lalu. Maka menjadi kewajipan bangsa itu sendiri untuk memerdekakan diri daripada sebarang bentuk penjajahan dan mempertahankanya serta mengisinya dengan program yang sesuai dengan matlamat berbangsa dan negara masing-masing.

Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang Muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT. Kejayaan seorang muslim boleh dilihat daripada cara dia mengendalikan perjuangan berpuasanya sama ada secara optimum mahupun minimum. Ramadan dijadikan barometer kejayaan atau keberhasilan dengan pengertian terhapus dosa tahunan seperti solat Jumaat untuk mingguan dan solat lima waktu untuk harian. Rasulullah bersabda maksudnya: "Solat lima waktu, dan solat Jumaat ke solat Jumaat berikutnya, dan Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Daripada 12 bulan ditetapkan Allah untuk pengiraan perjalanan manusia dalam setahun di dunia (baca Surah at-Taubah: 36), Ramadan mempunyai kelebihan tersendiri. Kelebihan ini disebut al-Quran dalam ayatnya bermaksud: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah: 185)

Tujuan berpuasa Ramadan seperti termaktub dalam ayat 183 Surah al-Baqarah adalah maksudnya: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa."

Banyak batasan agama yang wajib dipatuhi setiap orang berpuasa supaya puasanya bermanfaat bagi dirinya di dunia dan di akhirat. Antara batasannya seperti disabdakan Baginda maksudnya: "Barang siapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya." (Hadis riwayat Muslim) Dalam hadis lain maksudnya: "Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri daripada percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji." (Hadis riwayat Muslim)

Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna. Imam al-Ghazali (w. 505H) menggariskan kewajipan batiniah puasa itu antaranya: Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara tercela dan dibenci agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT; memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak; memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan; memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu); janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas paling dibenci Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan halal; dan hendaklah hati berasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima Allah SWT, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.

Oleh itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah SWT, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang yang taqwa seperti matlamat puasa itu sendiri.

Kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa. Baginda telah memberi peringatan dalam hal ini seperti sabdanya bermaksud: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sabda Baginda lagi maksudnya:

"Dia (Ramadan) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

Selepas huraian di atas, dalam konteks meramadankan kemerdekaan maka diperlukan merenung semula matlamat pengisian kemerdekaan adakah ia untuk mensejahterakan diri atau bangsa? Dalam pengisian kemerdekaan itu adakah diperlukan batasan tertentu agar tidak terseleweng sehingga merugikan bangsa seperti ruginya orang berpuasa yang tidak menghiraukan batasannya?

Pengisian kemerdekaan tidak cukup hanya mengambil kira pembangunan fizikal, tetapi ia mestilah diseimbangkan dengan pembangunan spiritual seperti kewajipan memelihara amal lahiriah dan batiniah dalam berpuasa.

Bangsa yang tidak menyedari dan memahami erti kemerdekaan akan mensia-siakan nikmat kemerdekaan itu sehingga dia tidak akan merasai kenikmatannya seperti orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat ganjarannya selain lapar dan dahaga.

Selain itu, pentingnya adalah refleksi kesabaran dalam berpuasa pada pengisian kemerdekaan kerana dalam pengisian itu kesabaran sangat mustahak agar kita akan selalu mendapat belas kasih Allah dan petunjuk-Nya. Bersabar dalam menikmati kemerdekaan ketika membangun, membina, memelihara dan memajukan hasil jerih payah semua pihak. Bersabar dalam berbuat kebajikan, bersabar menerima dugaan, dan bersabar untuk tidak melakukan perbuatan yang akan merobohkan kemerdekaan.

Seperti dimaklumi, maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah SWT. Tetapi jika hanya sekadar mengekang perut pada siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat melonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan pelbagai makanan lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya.

Oleh itu, dalam konteks memerdekakan Ramadan agar ia tidak terbelenggu dalam jajahan adat kebiasaan seorang muslim, maka sudah sepatutnya orang yang berpuasa menyedari puasanya mesti lillahi ta'ala. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan menunaikan ibadah puasa.

INTI PATI

Ramadan, merdeka

Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT.

Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna

Pengisian kemerdekaan tidak cukup hanya mengambil kira pembangunan fizikal, tetapi ia mestilah diseimbangkan dengan pembangunan spiritual seperti kewajipan memelihara amal lahiriah dan batiniah dalam berpuasa.

Bangsa yang tidak menyedari dan memahami erti kemerdekaan akan mensia-siakan nikmat kemerdekaan itu sehingga dia tidak akan merasai kenikmatannya seperti orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat ganjarannya selain lapar dan dahaga.

Umat perlu bersabar menjalani ibadah puasa serta menikmati kemerdekaan ketika membangun, membina, memelihara dan memajukan hasil jerih payah semua pihak. Bersabar dalam berbuat kebajikan, bersabar menerima dugaan, dan bersabar untuk tidak melakukan perbuatan yang akan merobohkan kemerdekaan.

Persoalan Agama: Cara atasi marah, panas baran

Bersama Jakim

SAYA seorang yang panas baran. Perkara yang kecil pun boleh menyebabkan saya menjadi sangat marah dan menjadi mangsa adalah isteri dan anak. Lebih teruk ketika marah, tangan saya seperti ringan hendak memukul atau menampar. Selepas marah hilang, saya selalu menyesal, terutama apabila melihat anak ketakutan.

Walaupun tahu sifat ini buruk dan memalukan, saya sukar mengatasi masalah ini.

Saya ingin meminta nasihat dan panduan untuk mengatasi masalah ini. Apakah pendekatan Islam untuk mengatasi sikap panas baran atau adakah ayat al-Quran tertentu yang boleh diamalkan.

Bapa garang,
Kuala Lumpur

Sifat pemarah dan panas baran adalah suatu emosi yang kadang-kadang berlaku kepada manusia biasa. Marah tidak digalakkan di dalam Islam dan perlu dikawal kerana ia memberi impak negatif terhadap keperibadian, keseimbangan akal dan keharmonian masyarakat.

Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:

Mengubah Posisi. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring." (Riwayat Muslim)

Berwuduk. Rasulullah SAW bersabda: "Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk" (Hadis Riwayat Abi Daud) .

Minum air.

Mendiamkan diri ketika marah.

Berlindung kepada Allah daripada syaitan.

Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

Berfikiran positif.

Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.

Bawa bertenang seperti menarik nafas.

Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.

Persoalan Agama: Muslim perlu berusaha tingkatkan keimanan

Bersama Jakim

ALHAMDULILLAH, sejak baligh, saya tidak pernah meninggalkan solat. Ibu bapa saya amat menekankan mengenai tanggungjawab ini. Bagaimanakah cara mengenali Allah SWT dengan lebih dekat agar pegangan saya terhadap agama kekal mantap hingga ke akhir hayat.

AhmadSyarifKamaruddin,
Kangar, Perlis

Solat adalah tiang agama iaitu penghubung antara manusia dengan Pencipta-Nya iaitu Allah SWT secara langsung melalui niat, perkataan dan perbuatan. Oleh itu sesiapa yang menjaga solat maka Insya-Allah seluruh kehidupannya akan terjaga daripada melakukan perkara tercela kerana firman Allah bermaksud "Sesungguhnya solat mencegah daripada perbuatan yang keji dan kemungkaran." (al- Ankabut 29: 45)

Iman manusia boleh bertambah dan berkurang. Oleh yang demikian kita sebagai manusia perlu berusaha mengekalkan dan meningkat keimanan dan amal perbuatan.

Sehubungan itu cara mengenali Allah dengan lebih dekat dari semasa ke semasa di sepanjang kehidupan, agar pegangan agama semakin mantap ialah melalui empat perkara iaitu pertama memfokuskan akal agar berfikir dengan baik seraya mengambil kira keadaan persekitaran bagi melahirkan idea dan tindakan yang terbaik kerana akal adalah kurniaan Allah SWT yang amat berharga buat manusia.

Kedua, meningkatkan ilmu pengetahuan, tetapi perlu ditegaskan akal dan ilmu bukan faktor utama kelahiran iman.

Ketiga, membaja perasaan wujdan (naluri kerinduan dan kecintaan kepada Allah SWT) kerana perasaan percaya kepada ketuhanan dan berharap bantuan yang Maha Kuasa dalam kehidupan, lebih-lebih lagi ketika menghadapi kesusahan; sebenarnya adalah fitrah atau naluri hati manusia. Maka dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

Keempat, akal, ilmu dan wujdan sekadar menghantar seseorang di hadapan pintu iman dan aqidah. Wahyu dan al-Quran yang membimbing manusia menjalani kehidupan penuh keimanan. Allah mengutuskan Rasul untuk membimbing manusia ke jalan yang benar malahan semua Rasul sejak Nabi Adam hingga ke Nabi Muhammad SAW membawa risalah tauhid yang sama iaitu mengesakan Allah SWT dan menyeru ke arah kebaikan.

Persoalan Jakim: Berwuduk sebelum tidur elak gangguan syaitan

Bersama Jakim

ANAK saya yang berumur enam tahun mengadu takut tidur sendirian dalam bilik dan meminta saya menemaninya. Dia memberitahu sering bermimpi buruk dan takutkan hantu. Walaupun ada pendekatan moden untuk mengatasi masalah ini, saya ingin tahu cara Islam menanganinya. Apakah amalan yang perlu dilakukan sebagai orang Islam, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa sebelum masuk tidur.

Norzila Ariffin,
Muar, Johor.

Berdasarkan hadis; dari Barra' Bin 'Azib bahawasanya Rasulullah bersabda: "Apabila kamu hendak ke tempat tidur, maka berwuduklah seperti wuduk kamu untuk menghadiri solat..." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim). Ia adalah saranan berwuduk ketika hendak tidur. Jika seseorang sudah mempunyai wuduk, maka tidak perlulah mengangkat wuduk lain, kerana maksud saranan itu sudah tercapai iaitu orang Islam perlu tidur dalam keadaan suci dikhuatiri maut menjemput pada ketika itu. Bersuci juga dapat menjauhkan diri daripada gangguan syaitan dan mententeramkan diri daripada perasaan takut ketika tidur.

Oleh itu, antara perkara diajar Islam sebelum tidur ialah:

Mengambil wuduk

Membaca zikir yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Saiditina Fatimah dan Saidina Ali ketika hendak tidur hendaklah bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali.

Membaca ayat Qursi kemudian menyapu muka serta melurutkan tangan ke arah kaki sekadar capaian tangan dan diulang tiga kali.

Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas serta al-Fatihah.

Bermuhasabah di atas dosa-dosa harian yang dilakukan sepanjang hari lalu memohon ampun kepada Allah dan berazam melakukan perkara lebih baik pada keesokan harinya.

Berdoa kepada Allah dengan berserah diri kepada-Nya antaranya doa yang bermaksud: "Ya Allah dengan menyebut nama-Mu aku mati dan hidup".

Mengucap dua kalimah syahadah kerana dikhuatiri malam itu adalah tidur terakhir bagi kita. Moga-moga kalimah toyyibah itu menjadi kalimah terakhir dilafaz dalam perjalanan menemui Allah SWT.

Umat Islam juga diajar bagaimana menangani persoalan mimpi seperti diriwayatkan Abdullah bin Abu Qotadah bahawasanya Rasulullah bersabda: "Mimpi yang baik daripada Allah, sedangkan mimpi yang buruk daripada syaitan, maka apabila salah seorang di antara kamu bermimpi buruk hendaklah ia meludah ke arah kiri dan mohonlah perlindungan kepada Allah dari keburukannya, sesungguhnya hal itu tidak akan memudaratkannya". (Riwayat Bukhari Muslim)

Apabila bermimpi sesuatu perkara yang baik hendaklah memuji Allah dan menceritakannya kepada orang yang menyukai, tetapi jika sebaliknya hendaklah memohon perlindungan kepada Allah, kemudian meludah ke arah kiri tiga kali, berpindah tempat, solat dua rakaat dan jangan menceritakan kepada seorang pun supaya tidak timbul andaian dan pandangan yang bukan-bukan yang boleh menimbulkan ketakutan atau keluh kesah.

Persoalan Agama: Panduan laksana puasa secara berkesan

Bersama Jakim

SETIAP tahun umat Islam berpuasa sepanjang Ramadan. Saya bertekad menjadikan Ramadan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini. Saya tidak lagi hanya mahu menahan lapar dan dahaga, tetapi masih melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam, walaupun pada pandangan sesetengah orang, perbuatan itu hanya dosa kecil. Saya ingin berubah. Bagaimanakah saya boleh melaksanakan ibadah selama sebulan ini dengan berkesan.

IlyasIshak,
Kapar, Selangor.

Puasa adalah ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mengenai puasa:

"Puasa ada tiga kedudukan : Puasa Umum, puasa Khusus dan puasa khusus al-Khusus. Puasa Umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Puasa Khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa. Puasa khusus ialah menahan hati daripada keinginan buruk dan tidak memikirkan sesuatu selain daripada Allah dan ini ialah puasa nabi, al- Siddiqin dan al- Muqarrabin.

Seseorang berazam dan bercita-cita melaksanakan puasa dengan berkesan; Pertama hendaklah berpuasa dengan penuh ketaqwaan kepada Allah SWT kerana mengharapkan pahala dan reda-Nya. Kedua, perlu bermujahadah daripada melakukan ataupun menghampiri perkara menerbitkan dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar. Ketiga, perlu bersabar dalam menghadapi keinginan diri dan godaan luaran yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Imam al- Ghazali juga menggariskan panduan bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang salih, seseorang perlu menyempurnakan enam perkara iaitu;

Menundukkan pandangan dan menahan diri daripada melihat perkara tercela dan dibenci syariat dan melalaikan hati.

Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya.

Menahan diri daripada mendengar perkataan dibenci syarak.

Menahan anggota tubuh daripada melakukan perkara haram seperti menahan perut daripada memakan makanan yang haram atau syubhah.

Makan makanan halal berlebihan sehingga terlampau kenyang.

Perlu timbul dalam hati, perasaan takut dan berharap agar puasa dilaksanakan diterima Allah SWT dan diampunkan dosa.

Bagi mencapai ibadah puasa Ramadan ini dengan lebih berkesan disarankan dan wajar sekali menuruti panduan di atas.

Saturday, August 30, 2008

Puasa tarbiah jiwa taat, ikhlas lakukan ibadat

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Ramadan bulan istimewa apabila setiap amalan dijanjikan ganjaran berlipat ganda

KEDATANGAN Ramadan memang ditunggu umat Islam dengan perasaan gembira. Namun, ada juga sebilangan kecil umat Islam yang berasa tidak selesa, gelisah dan ceria dengan kedatangan Ramadan kerana terpaksa menjalani ibadat puasa.

Bagi golongan kedua ini mereka berasakan satu beban berat kepada mereka dengan kehadiran Ramadan. Apa pun, suka atau tidak, Ramadan daripada perkiraan Islam cukup istimewa dan penuh dengan limpahan ganjaran pahala daripada Allah.

Kira-kira dua hari lagi Ramadan akan menjelma dan umat Islam diwajibkan berpuasa. Adalah berdosa bagi sesiapa yang sudah akil baligh, sama ada lelaki atau perempuan, jika tidak menunaikan ibadat puasa.

Andainya ada yang tidak berpuasa pada bulan itu sedangkan ia sudah akil baligh, maka ia hendaklah qada' (menggantikan) puasa yang ditinggalkannya pada Ramadan sebelum ini.

Ibadat puasa Ramadan dan puasa sunat pada bulan lain bertujuan melatih diri supaya menjadi orang yang murqarrabin (orang yang dekat dengan Allah). Puasa juga boleh menginsafkan diri bahawa kita ini adalah hamba Allah yang lemah di sisi-Nya.

Bagi orang berpuasa pada Ramadan dengan hati tulus ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah, akan diampuni Allah dosanya yang lalu.

Berpuasa itu juga adalah sebagai tanda kita syukur dan terima kasih kepada Allah yang tidak putus memberi rezeki-Nya serta nikmat (kesihatan, keselamatan, ketenangan dan banyak lagi) yang tidak terhingga kepada kita selama ini.

Sesungguhnya Ramadan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya jika dibandingkan dengan bulan lain dalam kalendar Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk perbezaan di antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa." - (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Siapa berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain berpuasa melatih diri supaya bersifat sabar ketika berdepan dengan ujian, berpuasa juga menurut beberapa penyelidik ahli ilmu perubatan boleh menghindarkan penyakit dalam tubuh manusia. Demikian antara hikmah bagi orang yang berpuasa.

Menyentuh ibadat puasa ini, menurut Imam Al-Ghazali ada tiga tingkat puasa iaitu puasa umum, puasa istimewa dan puasa paling istimewa.

Puasa umum, ujar Imam al-Ghazali, ialah menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan anggota seks daripada memuaskan nafsu. Puasa istimewa pula ialah puasa yang dapat menghindar dan mengawasi pancaindera iaitu mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan sebarang dosa.

Puasa paling istimewa, menurut Imam al-Ghazali, iaitu puasa yang ditambah lagi dengan puasa hati daripada semua keinginan yang rendah dan fikiran keduniaan. Inilah puasa yang paling tinggi darjatnya dan puasa semacam inilah yang dikehendaki Allah.

Beruntung orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa dalam erti kata sebenar-benarnya seperti puasa paling istimewa yang disebut Iman al-Ghazali.

Walau apa pun, ada dua kesenangan bagi orang yang mengerjakan puasa seperti diterangkan hadis Rasulullah SAW, iaitu kesenangan di kala berbuka dan kesenangan di kala bertemu dengan Allah di padang Mahsyar.

Oleh kerana Ramadan adalah bulan mulia, maka umat Islam diingatkan supaya sentiasa menjaga kemuliaannya dengan tidak melakukan perbuatan atau pun tingkah-laku yang boleh mencemarkan kemuliaan bulan itu.

Mencemarkan kemuliaan Ramadan bukan saja dengan melakukan makan minum di tempat terdedah kepada mata orang ramai di waktu siang, bahkan tidak bersolat, bercakap bohong serta mengumpat dan mengata orang juga boleh dikira mencemarkan bulan Ramadan. Sewajarnya sifat negatif itu tidak dilakukan dalam bulan Ramadan dan bulan lain juga.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah mengeluarkan perkataan yang kotor dan jangan bertengkar. Jika kamu dicaci orang atau pun diajak berlawan, maka katakanlah sesungguhnya aku berpuasa." - (Hadis riwayat Bukhari dan Musim)

Puasa Ramadan adalah perintah Allah. Orang yang berjaya menyempurnakan perintah Allah ini dan sekali gus berjaya melawan ujian serta godaan hawa nafsu dihadapkan kepadanya, maka sesungguhnya mereka adalah orang yang beroleh kemenangan besar.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa." - (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Pada Ramadan, selain turunnya al-Quran, ada satu malam di antara malamnya yang Allah pilih sebagai satu malam tinggi nilainya iaitu malam lailatul qadar. Malam inilah yang dicari dan dirindui setiap umat Islam kerana ganjarannya adalah syurga bagi mereka yang berjaya memperoleh malam itu sewaktu mengerjakan amal ibadat.

Friday, August 29, 2008

Bertawakkal perlu diiringi dengan ikhtiar, usaha

Oleh Hashim Ahmad

Tuhan cukupkan keperluan hamba-Nya yang rajin bekerja, tanpa duduk diam harap rezeki langit

TAWAKAL adalah kesungguhan hati bersandar kepada Allah untuk mendapatkan kesejahteraan serta mencegah bahaya yang berkaitan dengan urusan dunia mahupun akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan jadikan baginya jalan keluar dan memberi rezeki dari arah yang tiada ia sangka dan barang siapa bertawakal kepada Allah maka Dia itu cukup baginya." – (Surah At-Thalaq, ayat 2-3)

Ibnu 'Abbad mengatakan tawakal bermakna percaya sepenuhnya kepada Allah. Iman Ahmad mengatakan tawakal bererti memutuskan pencarian disertai putus asa terhadap makhluk. Al Hasan Al Basri mengatakan tawakal bererti reda kepada Allah.

Ibnu Rojab Al Hanbali pula mengatakan, tawakal adalah bersandar hati dengan sebenarnya kepada Allah dalam memperoleh kesejahteraan dan menolak bahaya, baik urusan dunia mahupun akhirat secara keseluruhan.

Tawakal adalah saranan paling ampuh untuk menghadapi keadaan kerana ia menjadikan Allah sebagai pelindung atau yang memberi kecukupan. Maka sesiapa menjadikan Allah sebagai pelindung serta yang memberinya kecukupan, maka musuhnya itu tidak akan dapat mendatangkan bahaya padanya.

Bukti tawakal paling baik adalah kejadian nyata yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim ketika Baginda dilemparkan ke tengah api membara. Baginda mengatakan: Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sungguh, seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana burung yang berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang hari dalam keadaan kenyang." – (Hadis riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Hakim)

Abu Hatim Ar Razy berkata bahawa hadis itu adalah tonggak tawakal kerana tawakal kepada Allah faktor terbesar mencari rezeki. Oleh itu, sesiapa bertawakal kepada Allah, nescaya akan dicukupkan keperluannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukukan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." – (Surah At-Thalaq, ayat 3)

Mungkin ada yang akan berkata: "Jika orang yang bertawakal kepada Allah itu akan diberi rezeki, maka kenapa kita harus lelah, berusaha dan mencari penghidupan. Bukankah kita cukup duduk dan bermalasan, lalu rezeki kita datang dari langit?"

Perkataan seperti itu menunjukkan kebodohan mengenai hakikat tawakal. Nabi SAW menyamakan orang bertawakal dan diberi rezeki itu dengan burung yang pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki dan pulang pada petang hari, padahal burung itu tidak memiliki sandaran apapun, baik perdagangan, pertanian, kilang atau pekerjaan tertentu. Ia keluar berbekalkan tawakal kepada Allah sebagai tempat bergantung.

Imam Ahmad berkata: "Dalam hadis itu tidak ada isyarat yang membolehkan meninggalkan usaha. Sebaliknya, ada isyarat menunjukkan perlunya mencari rezeki. Jadi, maksud hadis itu bahawa seandainya mereka bertawakal kepada Allah dalam berpergian, kedatangan dan usaha mereka, dan mereka mengetahui bahawa kebaikan (rezeki) itu di tangan-Nya, tentu mereka tidak akan pulang kecuali dalam keadaan mendapatkan harta dengan selamat, seperti burung itu." – (Tuhfatul Ahwadzi)

Imam Ahmad pernah ditanya mengenai seorang lelaki yang hanya duduk di rumah atau di masjid seraya berkata: "Aku tidak mahu bekerja sedikitpun, sampai rezeki datang sendiri." Imam Ahmad berkata bahawa lelaki itu tidak mengenal ilmu.

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah memberimu rezeki seperti diberikan-Nya kepada burung. Mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang hari dalam keadaan kenyang." – (Hadis riwayat Tirmidzi)

Selanjutnya Imam Ahmad berkata: "Sahabat juga berdagang dan bekerja dengan mengelola pohon kurmanya. Dan mereka itulah teladan kita." – (Fathul Bari)

Sesungguhnya pengaruh tawakal itu nampak dalam gerak dan usaha seseorang ketika bekerja untuk mencapai tujuannya.

Imam Abul Qasim Al-Qusyairi mengatakan: "Ketahuilah sesungguhnya tawakal itu letaknya di dalam hati. Adapun gerak lahiriah hal itu tidak bertentangan dengan tawakal yang ada dalam hati selepas seseorang meyakini bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah. Jika terdapat kesulitan, maka hal itu adalah kerana takdir-Nya. Dan jika terdapat kemudahan maka hal itu kerana kemudahan daripada-Nya." – (Murqaul Mafatih)

Tawakal kepada Allah tidaklah bererti meninggalkan usaha. Seseorang berkata kepada Nabi SAW: "Aku lepaskan untaku dan (lalu) aku bertawakal?" Nabi bersabda: "Ikatlah kemudian bertawakal kepada Allah." – (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Dalam riwayat Imam Al-Qudha'i disebutkan bahawa Amr bin Umayah berkata: "Aku bertanya, Wahai Rasulullah. Apakah aku ikat dulu unta tungganganku lalu aku bertawakal kepada Allah, atau aku lepaskan begitu saja lalu aku bertawakal? Baginda menjawab: Ikatlah untamu lalu bertawakal kepada Allah."

Tawakal bukan menyerah bulat-bulat dan meninggalkan usaha. Setiap Muslim perlu berusaha memenuhi tanggungjawab dalam kehidupan mereka dan bersungguh-sungguh mendapatkan penghidupan yang baik.

Selepas berusaha kemudian bertawakal kepada Allah, setiap Muslim perlu yakin segala urusan adalah milik Allah dan rezeki itu hanyalah daripada-Nya semata-mata.

Hadiah RM40,000 menanti pemenang

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Kuiz Al-Risaalah 2 anjuran TV9, Berita Harian disiar sepanjang Ramadan mulai 31 Ogos

HADIAH bernilai RM40,000 menanti pemenang kuiz program dokumentari Al-Risaalah musim kedua terbitan TV9 yang akan menemui penonton sepanjang Ramadan bermula 31 Ogos ini. Kuiz anjuran TV9 bersama Berita Harian dan Berita Minggu itu menawarkan hadiah utama kereta Perodua Viva.

Pembaca perlu menonton program Al-Risaalah yang disiarkan pada jam 10.30 malam setiap hari serta menjawab soalan kuiz dalam borang disiarkan ruangan agama Berita Harian dan Berita Minggu. Peserta kuiz juga perlu melengkapkan slogan dalam borang terakhir nanti.

Selain kereta Perodua Viva berharga RM28,000 tajaan Darul Fikir Sdn Bhd, hadiah lain menanti pemenang ialah pakej umrah untuk seorang bernilai RM4,800, tiket umrah (pergi balik untuk seorang) bernilai RM3,000 dan lima hadiah sagu hati barangan elektrik bernilai RM700.

Pengurus Projek Khas TV9, Che Wan Alias Abdullah, berkata kuiz Al-Risaalah 2 berbeza kerana penonton tidak menjawab soalan sebaliknya mereka perlu menentukan episod bagi gambar yang disiarkan pada borang kuiz.

Katanya, kuiz kali ini juga agak mencabar kerana penonton perlu menonton setiap episod Al-Risaalah 2 bagi memastikan mereka mendapat jawapan yang tepat memandangkan setiap gambar disiarkan tidak mengikut turutan.

"Maknanya gambar disiarkan dalam borang kuiz pertama bukan daripada program Al-Risaalah episod pertama. Justeru, penonton perlu setia menonton setiap episod Al-Risaalah sepanjang Ramadan bagi memastikan mereka mendapat jawapan yang tepat," katanya.

Beliau berkata, walaupun kuiz itu nampak sukar, pihaknya akan memastikan gambar yang disiarkan nanti adalah gambar yang mudah dicam oleh penonton dengan syarat mereka tidak terlepas mengikuti kesemua 30 episod Al-Risaalah 2.

Al-Risaalah 2 bertemakan Musa-Kalimullah adalah kesinambungan daripada kisah nabi yang disiarkan program Al-Risaalah musim pertama yang memaparkan cerita 12 nabi bermula dengan Nabi Adam hingga Nabi Ayub.

Kali ini, cerita sembilan nabi diketengahkan iaitu Nabi Syuib, Nabi Musa, Nabi Ilyasa', Nabi Zulkifli, Nabi Harun, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas dan Nabi Yunus. Sebanyak lapan episod menumpukan riwayat hidup Nabi Musa yang menjadi tema program berkenaan.

Che Wan Alias berkata, keistimewaan Al-Risaalah ialah ia bukan program dokumentari biasa sebaliknya bahan yang dipaparkan menjawab persoalan dan membuktikan kisah sebenar cerita mengenai nabi yang ada dalam sejarah.

Beliau berkata, penyelidikan yang bersumberkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW itu juga bertujuan memberi maklumat tepat kepada penonton serta masyarakat umum bagi mengikis salah faham terhadap fakta sejarah.

"Sekarang ini maklumat boleh diperoleh secara mudah tetapi bagaimana hendak menentukan kebenarannya. Contohnya, selepas umatnya dimusnahkan ada cerita kononnya Nabi Lut lari ke gua dan tidur bersama anak perempuannya. Jadi kita nak betulkan fakta ini," katanya.

Sementara itu, lapan episod mengenai Nabi Musa memaparkan kisah perjalanan hidup Baginda yang diwahyukan untuk berdakwah kepada Firaun serta mukjizat Allah kurniakan kepada baginda.

Thursday, August 28, 2008

Al-Quran, hadis perjelas khasiat kurma

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


DAPAT SAMBUTAN: Buah kurma laris dijual pada bulan Ramadan.


Perlu jadi makanan rutin berbanding juadah kini yang banyak bahan bahayakan kesihatan

MENIKMATI pelbagai juadah sewaktu berbuka puasa pasti tidak lengkap tanpa buah kurma walau sebiji untuk mendapatkan pahala sunat.

Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi yang bermaksud: Daripada Sulaima bin Amir Adh-Dhabiyyi, sesungguhnya Nabi bersabda, “Apabila seseorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia makan kurma. Jika tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu adalah pembersih.”

Alangkah baiknya jika kurma dijadikan makanan rutin dalam hidangan harian kerana manfaatnya yang tinggi berbanding pelbagai jenis makanan hari ini yang terlalu banyak bahan membahayakan kesihatan.

Seruan itu juga sebagai memberi peringatan memandangkan menjelang bulan Ramadan, banyak gerai jualan menawarkan juadah pelbagai rasa dan warna, bahkan yang tidak pernah terlihat pun ada termasuk resipi baru dicipta sempena bulan puasa.

Kedatangan Ramadan sudah mula terasa. Pasar raya mula mengeluarkan stok kurma yang banyak, ada segar, ada pula nampaknya bagai tersimpan sekian lama, maklumlah jika bukan kerana Ramadan kurma menjadi hidangan asing walau kepada penggemar buah-buahan.

Di Madinah, kurma segar atau kurma masak yang tidak dikeringkan dijual di Pasar Kurma, tidak jauh dari Masjid Nabawi, tetapi lebih segar jika boleh dapatkannya di ladang kurma. Warnanya merah dan ulasnya yang besar sangat menggiurkan sesiapa saja tetapi kurma segar tidak tahan lama.

Bagi simpanan dalam tempoh waktu panjang, ramai suka kurma kering kerana rasanya enak dan senang dibawa ke mana-mana.

Rasulullah SAW gemar makan buah kurma dengan hidangan yang lain. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya: “Aku melihat Rasulullah SAW memakan buah-buahan dengan kurma masak.”

Menyentuh buah kegemaran Rasulullah SAW ini, ia sesuai dikaitkan dengan bulan Ramadan, kerana manfaatnya yang besar bukan saja untuk berbuka tetapi juga bersahur. Dalam hadis diriwayatkan Ibn Hibban dan Baihaqi yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.”

Kurma adalah sejenis buah dari tumbuhan palma yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin. Kurma yang dari segi saintifiknya dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.

Kurma juga penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain seperti diceritakan dalam 21 ayat al-Quran yang menyebut mengenai buah kurma.

Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil atau selepas bersalin. Hal ini berasaskan wahyu diturunkan Allah kepada ibu Nabi Isa iaitu Saidatuna Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.” (Surah Maryam, ayat 25)

Sabda Rasulullah SAW mengenai hal yang sama iaitu: “Beri makan buah tamar kepada isteri kamu yang hamil dan barang siapa memakan buah tamar itu semasa hamilnya, maka anak yang lahir akan menjadi seorang anak penyabar dan bersopan santun, kerana makanan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa adalah buah tamar.”

Unsur zat besi dan kalsium dalam buah kurma adalah unsur paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

Buah kurma juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma akan segera dibakar dan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut kajian Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku Tempoh Mengandung Dari Segi Perubatan, Fiqhiyah Dan Perundangan, menunjukkan jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan urat rahim pada bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

Mengikut hasil kajian ahli sains Mesir pula, khasiat kurma terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari penyakit barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah semasa kelahiran. Tidak saja buah kurma, umbut pokok kurma juga boleh dijadikan makanan dan mempunyai khasiat tersendiri.

Rasulullah SAW menyebutkan mengenai khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan Imam Bukhari yang bermaksud: “Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakan tujuh biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu.”

Khasiat kurma Ajwah sebagaimana disebut dalam hadis adalah satu kelebihan dikurniakan Allah sesuai dengan kemuliaannya sebagai jenis kurma pertama ditanam sendiri Rasulullah SAW. Oleh itu, sesiapa menunaikan haji atau umrah di Makkah pasti tidak lupa merasa Ajwah yang enak dan lazat.

Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud: “Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.”

Hadis itu menerangkan walaupun hanya bersedekah sebelah buah kurma, kita terhindar daripada api neraka. Justeru, ada baiknya kita mulakan Ramadan kali ini dengan niat untuk bersedekah lebih dari tahun sebelumnya.

Jika mampu dengan harta dan wang ringgit, paling tidak pun memberi makan buah kurma kepada orang miskin dan kurang berkemampuan ketika berbuka. Tetapi tidak salah juga sekadar mewakafkan tenaga dan masa dengan beramal jariah untuk umat yang masih tersisa di bumi ini.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

INFO: Khasiat kurma

Kurma adalah buah dari tumbuhan palma yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin.

Dari segi saintifiknya dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.

Penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain seperti diceritakan dalam 21 ayat

al-Quran yang menyebut mengenai buah kurma.

Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.

Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang.

Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga.

Khasiatnya terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak.

Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran.

Tidak saja buah kurma, umbut pokok kurma juga boleh dijadikan makanan dan mempunyai khasiat tersendiri.

Hak Muslim: Boleh mohon cerai taklik, fasakh jika didera suami

excopgsm@yahoo.com

Isteri perlu guna saluran perundangan bagi pertahankan hak akibat keganasan rumah tangga

Soalan:

SAYA berkahwin kira-kira lima tahun lalu. Sepanjang perkahwinan itu saya tidak bahagia. Suami sering memukul saya hingga cedera. Pernah kaki saya patah kerana dipukul dengan kayu golf tetapi saya hanya beritahu doktor saya terjatuh selepas diberi amaran oleh suami. Saya takut dengan suami apatah lagi dia sering mengancam hendak mencederakan anak tunggal kami yang berusia dua tahun. Saya tidak dibenarkan keluar rumah melainkan bersama beliau. Saya sudah tidak sanggup lagi menanggung penderitaan ini tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan. Pada masa ini saya langsung tidak dibenarkan keluar rumah kerana muka dan badan saya ada kesan lebam dipukul suami. Tolonglah nasihatkan apa yang perlu saya lakukan.

Isteri menderita, Sunway

Jawapan:

Kisah puan yang sedih tidak sepatutnya berlaku pada masa ini. Walau apapun alasan diberikan, suami tidak mempunyai hak langsung untuk mencederakan puan. Puan perlu tegas dalam pendirian dan bertindak awal sebelum segala kemungkinan buruk berlaku.

Tujuan undang-undang syariah atau yang dinamakan maqasid al syariah adalah untuk menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Jika ada perkara yang mengancam tujuan itu, undang-undang boleh dibuat bagi mengawalnya.

Perbuatan suami puan tergolong dalam perbuatan keganasan rumah tangga. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 mentakrifkan perlakuan keganasan rumah tangga termasuklah:

meletakkan mangsa dalam keadaan takut atau cedera;
menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa;
memaksa mangsa melakukan perbuatan berbentuk seksual;
mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan; atau
melakukan khianat atau kerosakan terhadap harta.

Perlakuan di atas hendaklah dilakukan oleh seseorang terhadap isteri atau suami, bekas isteri atau bekas suami, kanak-kanak, orang dewasa yang tak berkeupayaan atau mana-mana anggota keluarga lain bagi tergolong di bawah kesalahan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Selain itu, Kanun Keseksaan juga memperuntukkan beberapa kesalahan yang boleh disabitkan jika mencederakan seseorang.

Dalam keadaan diterangkan, puan perlu melakukan beberapa perkara bagi mengakhiri penderitaan yang ditanggung. Pertamanya, puan perlu membuat aduan ke balai polis berhampiran mengenai penderaan yang dilakukan.

Puan juga boleh memohon perlindungan sementara di bawah seksyen 4 Akta Keganasan Rumah Tangga bagi menghalang suami mendekati puan. Permohonan itu hendaklah dibuat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan perintah yang diberikan berkuatkuasa sehingga siasatan polis selesai.

Di Mahkamah Syariah pula, puan juga boleh memohon perintah tegahan mengikut seksyen 107 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi menghalang suami menceroboh diri, anak dan harta puan.

Jika wujud keadaan mendesak, puan boleh memohon perintah secara ex parte atau sebelah pihak. Di samping itu, puan boleh memohon hak jagaan sementara anak bagi mengelakkan anak juga didera suami.

Berhubung perkahwinan pula, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah berhampiran untuk membubarkan perkahwinan sama ada secara taklik atau fasakh. Puan dinasihatkan berjumpa peguam syarie bagi mendapatkan nasihat sewajarnya dalam memfailkan permohonan pembubaran perkahwinan itu.

Seterusnya puan boleh memohon hadanah kekal atau hak jagaan anak di Mahkamah Syariah. Mengikut seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, ibu adalah penjaga utama bagi anak kecilnya sama ada dalam masa perkahwinan atau selepas perkahwinannya terbubar selagi tiada perkara menggugur hak itu berlaku.

Apa yang perlu puan lakukan sekarang ialah mengambil pendirian tegas bagi menyelamatkan nyawa dan anak. Undang-undang menjamin hak orang teraniaya tetapi jika puan tidak mahu menggunakan saluran perundangan, mungkin tidak ada orang lain yang dapat menolong. Fikirkanlah tindakan paling sesuai dan bertindak segera mempertahankan hak puan dan anak sebelum terlambat.

Mohonlah nasihat daripada sanak saudara, sahabat handai atau jiran tetangga bagaimana puan dapat mengatasi perkara ini kerana dalam keadaan sebegini sokongan saudara dan sahabat ataupun jiran tetangga penting terutama di peringkat yang amat genting.

Jika keseorangan, mudah suami terus menerus menzalimi puan. Puan juga boleh memohon bantuan daripada beberapa pertubuhan kebajikan dan pusat perlindungan bagi melindungi puan sekeluarga. Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat juga ada menyediakan talian khas iaitu talian An Nur bagi memberi khidmat nasihat. Nombor talian ialah 15999.

Jawapan ini disediakan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sebarang komentar boleh dihantar

ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Puasa sunat Rejab, Syaaban persiapan sambut Ramadan

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

RAMADAN yang bakal menjengah disambut penuh kesyukuran dan tidak kurang ada mengeluh kerana terpaksa berpuasa. Begitulah pelbagai ragam dan situasi yang mewarnai pentas kehidupan umat sempena kedatangan Ramadan penuh berkat.

Bagi umat Islam yang bertakwa, bulan Ramadan disambut penuh kegembiraan sambil menantikan pelbagai keistimewaan serta ganjaran berlipat ganda dijanjikan kepada sesiapa yang menunaikan ibadat puasa dengan ikhlas dan sabar.

Ramadan menuntut setiap Muslim supaya merenung dan bermuhasabah diri untuk melakukan persiapan sebelum, semasa dan selepas Ramadan. Muhasabah penting kerana Ramadan hanya datang sekali setahun.

Oleh itu, biarlah Ramadan kali ini menjanjikan yang terbaik dan setiap Muslim memanfaatkan bulan diberi segala rahmat, kelebihan serta keistimewaan terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa pada siang harinya dan beribadat sunat pada malam harinya.

Persediaan pertama wajib dilakukan setiap Muslim ialah persediaan jasmani dan rohani kerana amalan ibadat sepanjang Ramadan berkaitan dengan amalan zahir batin membabitkan penyertaan jasmani dan rohani setiap Muslim.

Rasulullah SAW membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban. Bulan Rejab adalah permulaan bulan mulia dan bagi orang Mukmin bertakwa, mereka tidak akan melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan Rejab dan Syaaban untuk melipatgandakan amalan soleh lebih-lebih lagi ibadat puasa sunat.

Justeru, tidak hairanlah Rasulullah SAW kerap kali berdoa setiap kali datangnya bulan Rejab dengan doa yang bermaksud: “Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban ini, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Begitulah persiapan orang Mukmin yang benar-benar bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya sehingga mereka mempersiapkan diri bukan saja dari sudut fizikal, tetapi juga rohani. Mereka sudah mula membersihkan diri dan hati sebelum menyambut bulan Ramadan.

Seorang ahli hikmat pernah berkata: “Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan untuk memohon ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban pula memperbaiki hati daripada segala kecacatan dan Ramadan untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.”

Selain itu, setiap Muslim juga dituntut mengulangkaji segala persoalan berkaitan masalah ibadat puasa, baik mengenai rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah terkandung di dalamnya.

Kesempurnaan ibadat puasa dan penerimaannya di sisi Allah bergantung kepada cara pelaksanaan ibadat itu sama ada berdasarkan sunnah Rasulullah ataupun sebaliknya. Malah, mengetahui cara melakukan ibadat puasa dengan betul antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam.

Sepanjang berpuasa, setiap Muslim diwajibkan berusaha mengekang diri daripada segala kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa kerana matlamat utama puasa ialah menahan diri daripada segala runtunan hawa nafsu duniawi baik yang kecil mahupun yang besar.

Seiringan itu, setiap Muslim seharusnya memperbanyakkan amalan salih pada malam harinya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, solat witir, solat tahajud, tadarus al-Quran dan iktikaf.

Pada siangnya pula, tertumpu pada ibadat puasa serta tuntutan tanggungjawab lain.

Bukankah Allah menjanjikan pahala satu amalan wajib di bulan Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan yang lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain. Sewajarnya umat Islam berebut-rebut untuk mendapatkan ‘tawaran istimewa’ Allah ini.

Ibadat puasa tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi seseorang Muslim melakukan kerja sehariannya ikhlas kerana Allah. Perlu ditegaskan sebarang aktiviti dan kerja jika diniatkan ikhlas kerana Allah akan bernilai menjadi satu ibadat.

Sementara semua amalan ibadat akan diberikan Allah ganjaran sehingga ratusan kali ganda. Untuk itu, mengapa perlu disia-siakan detik berharga yang menghiasi sepanjang Ramadan sehingga diisi dengan tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari.

Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan dan keistimewaan Allah hamparkan sepanjang Ramadan ini.

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan supaya Ramadan yang bakal mendatang menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keredaan Ilahi.

Perumpamaan Ramadan samalah seperti kedatangan seorang tetamu besar yang datang bersama buah tangan atau hadiah khas kepada tuan rumah. “Keberkatan” buah tangan itu tentunya hanya diberi kepada tuan rumah yang menyambut kedatangan dengan baik dan ceria, bukan ala kadar saja.

Wednesday, August 27, 2008

Peguam Syarie Menulis: DNA kenal pasti nasab anak kes zina

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
excopgsm@yahoo.com


KEJAYAAN DNA: Ana Escobar dari Guatemala menemui kembali anaknya Esther Zulemita Rivas yang diculik pada tahun lalu hasil kejayaan padanan DNA ibu dan anak yang dijalankan terhadap mereka.


Islam benarkan pasangan bersumpah li'an selesai tuduhan isteri curang

KEWUJUDAN asid deoksiribonukleik atau DNA antara keajaiban Allah. Uniknya DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu berbeza, ia membolehkan agensi penguatkuasaan seperti polis mengenal pasti identiti pemilik DNA.

Ujian DNA sudah lama digunakan dan terbukti keberkesanannya dalam menyelesaikan kes jenayah di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura. Ujian DNA mampu memberi ketepatan mengenai kehadiran seseorang yang melakukan jenayah.

Ketepatan ujian itu hampir sempurna iaitu sehingga 99.9 peratus kerana profil bagi setiap individu adalah unik dan berbeza serta kemungkinan untuk serupa dengan individu lain hanya satu daripada satu trilion, melainkan penjenayah itu kembar seiras.

Dari sudut lain, penggunaan teknologi itu juga dapat menyelesaikan kes berkaitan penentuan nasab. Dengan kata lain ujian seperti itu dapat menyelesaikan masalah di Mahkamah Syariah dalam menentukan sama ada seseorang adalah anak kandung atau sebaliknya.

Contohnya, dalam kes suami yang menuduh isterinya atau bekas isterinya berzina dan kes suami tidak mengaku anak dilahirkan isteri darah dagingnya. Tuduhan suami bahawa isterinya berzina adalah perbuatan yang serius.

Jika berlaku, maka beban pembuktian adalah terhadap suami untuk membuktikan bahawa isterinya berzina dan perkara itu sukar dilakukan melainkan suami menyaksikan atau dapat mengemukakan saksi ke mahkamah terhadap perlakuan zina itu.

Jika suami tidak mempunyai bukti terhadap tuduhan isterinya berzina atau anak yang dikandung itu bukan benihnya, suami boleh bersumpah li'an dan isteri perlu bersumpah menafikan tuduhan terhadapnya.

Li'an adalah tindakan perlu dilakukan jika yakin anak yang bakal dilahirkan isteri bukan daripada darah dagingnya. Suami perlu bersumpah di mahkamah anak itu bukan zuriatnya dan jika ia berbohong akan menerima laknat Allah.

Suami bersumpah dengan nama Allah dan menyebut: "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya melakukan zina" atau "saya naik saksi atas nama Allah anak yang dikandung bukan daripada benih saya".

Sumpah itu perlu diulang empat kali berturut-turut dan akhir sekali suami akan melafazkan: "Sesungguhnya Allah melaknat saya jika saya berdusta" dan sumpah ini hanya diulang sekali.

Namun, tuduhan suami hanya sabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri sanggup bersumpah, segala tuduhan suami tadi dengan sendirinya gugur. Seperti suami, isteri perlu bersumpah dengan nama Allah.

Sumpah isteri berbunyi: "Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina" atau "saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini daripada benih suami saya".

Sumpah ini juga perlu diulang empat kali berturut-turut dan pada akhir isteri melafazkan: "Bahawa suami saya berdusta dan kemurkaan Allah ke atas saya jika suami saya bercakap benar" dan sumpah ini hanya diulang sekali.

Firman Allah yang bermaksud: " Orang yang menuduh isterinya (dengan berzina) tetapi mereka tiada mempunyai saksi kecuali dirinya sendiri maka kesaksiannya ialah empat kali bersumpah dengan Allah bahawa ia seorang yang benar dan yang kelima laknat Allah atas dirinya jika ia dusta. Hukuman tertolak daripada isteri jika ia bersumpah empat kali dengan Allah bahawa suaminya dusta dan yang kelima bahawa kemurkaan Allah atas dirinya jika suaminya yang benar." (Surah al-Nur, ayat 6-9)

Mengikut hukum syarak, li'an memberi impak besar kepada hubungan suami isteri yang akan berakhir dan mereka tidak boleh merujuk semula. Disebabkan termasuk dalam kategori bain kubra ia adalah bentuk perceraian yang tidak boleh dirujuk.

Selain itu, anak berkenaan tidak boleh dinasabkan kepada suami dan anak itu dinasabkan semata-mata kepada ibu. Suami juga tidak diwajibkan membayar nafkah anak itu.

Dari sudut jinayat syariyyah, suami akan gugur had qazaf (tidak dikenakan 80 kali sebatan atas tuduhan itu) jika beliau bersumpah, manakala bagi isteri wajib dikenakan had zina (rejam) jika isteri tadi tidak sanggup bersumpah.

Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan, jika pihak kepada sesuatu perkahwinan mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut hukum syarak di depan Hakim Syarie, hakim perlu memerintahkan mereka difaraqkan (dipisahkan) dan hidup berasingan selama-lamanya.

Mengikut peruntukan undang-undang, seseorang lelaki juga boleh berli'an menafikan anak yang dilahirkan bekas isterinya itu sebagai anaknya dalam tempoh empat tahun qamariah selepas perceraiannya dengan syarat bekas isteri tidak berkahwin lain dalam tempoh empat tahun berkenaan. Jika lelaki itu tidak berli'an, anak berkenaan perlu dinasabkan kepadanya.

Peruntukan itu termaktub dalam seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan: "Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah daripada tarikh perkahwinannya atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara li'an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah."

Masalah di sini adalah apabila seseorang suami menuduh isterinya berzina dan menafikan anak yang dikandung isterinya itu adalah anaknya tetapi beliau enggan bersumpah dengan cara li'an. Pada masa sama, isterinya menafikan tuduhan itu serta menegaskan anak yang dikandung itu adalah anak dari benih suaminya.

Bagi menyelesaikan masalah itu dengan cara terbaik, suami dan isteri berserta bayi yang dinafikan itu menjalani ujian DNA bagi menentukan nasab sebenar anak.

Begitu juga kes membabitkan bekas isteri mendakwa anaknya bernasabkan kepada bekas suami di mana anak itu lahir dalam tempoh empat tahun selepas perceraian mereka dan perempuan itu belum berkahwin lain.

Menurut peruntukan undang-undang dan hukum syarak, bekas suami adalah ayah kandung kepada anaknya jika ia mengandung dalam tempoh itu. Bagaimanapun, jika bekas suami menafikan anak itu adalah anaknya, cara terbaik menyelesaikan masalah itu dengan menjalankan ujian DNA bagi menentukan nasab anak.

Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Komentar dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

INTI PATI: Sumpah li'an

Li'an adalah sumpah yang perlu dilakukan suami jika yakin anak yang bakal dilahirkan isteri bukan darah dagingnya dan dilakukan di mahkamah, jika berbohong dia akan menerima laknat Allah.

Suami bersumpah empat kali berturut-turut dengan nama Allah dan menyebut: "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya melakukan zina" atau "saya naik saksi atas nama Allah anak yang dikandung bukan daripada benih saya" dan akhirnya melafazkan: "Sesungguhnya Allah melaknat saya jika saya berdusta" dan sumpah ini hanya diulang sekali.

Tuduhan suami hanya sabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri sanggup bersumpah, segala tuduhan suami dengan sendirinya gugur.

Seperti suami, isteri perlu bersumpah dengan nama Allah empat kali berturut-turut iaitu: "Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina" atau "saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini daripada benih suami saya" dan akhirnya melafazkan: "bahawa suami saya berdusta dan kemurkaan Allah ke atas saya jika suami saya bercakap benar".

Li'an memberi impak besar kepada hubungan suami isteri yang akan berakhir dan tidak boleh dirujuk semula dan anak tidak boleh dinasabkan kepada suami tetapi kepada ibu. Suami juga tidak wajib membayar nafkah anak itu.

Iqra: Panduan beroleh keberkatan hidup

TAJUK: Jalan Orang-orang Soleh
Penulis: Ibnu Al-Maqdisi
Penerbit: Berlian Publication Sdn Bhd
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM59

MENIMBA ilmu adalah perkara yang wajib dan tidak ada penghujungnya. Justeru, buku ini sarat dengan ilmu mencakupi isu ibadat di samping membincangkan adat kebiasaan dalam kehidupan seharian, perkara yang merosakkan dan menyelamatkan seseorang insan.

Kini ramai yang masih diistilahkan dalam kelompok tidak suci diri, menghabiskan waktu menghias diri sedang batin mereka rosak dan penuh noda, kesombongan, riak, kemunafikan dan kebodohan.

Umat Islam digalakkan mendalami ilmu mengukuhkan keluarga. Di sini, dijelaskan isu pernikahan dan pemasalahan, seawal memasuki gerbang perkahwinan serta tanggungjawab suami dan isteri.

Tidak lengkap sebuah kehidupan tanpa punya pekerjaan sebagai mata pencarian. Oleh itu, adab berkaitannya perlu diikuti bagi memastikan setiap titik peluh dan hasil pendapatan diterima itu halal.

Langkah seterusnya bagi melengkapkan diri ke jalan soleh memerlukan adab perhubungan sesama insan, termasuk dalam persahabatan dan pergaulan. Dinyatakan akhlak baik menghasilkan rasa saling mencintai dan keserasian manakala perangai buruk membuahkan kebencian serta permusuhan. Lima sifat penting untuk dijadikan sahabat iaitu, orang yang berakal, akhlak baik, tidak fasik, tamak atau haloba terhadap dunia dan bukan ahli bid’ah.

Umat Islam digalakkan melatih jiwa, membimbing akhlak dan mengubati penyakit hati supaya kehidupan lebih sempurna. Mengubati jiwa memerlukan kekuatan serta banyakkan bersabar supaya jalan ke arah itu mencapai matlamatnya.

Perkara penting dalam menuju ke jalan soleh juga seharusnya mereka memiliki sifat terpujiDi sini penulis menggarapkan isu utama seperti menjelaskan mengenai taubat (syarat, rukun dan perkara yang berkaitan), menanamkan sifat sabar, zuhud dan kefakiran, tauhid dan tawakal selain mengingati kematian.

Buku setebal 570 muka surat ini begitu padat dengan maklumat berguna untuk dijadikan panduan umat Islam untuk menuju ke jalan Allah SWT.

Manusia sukar nikmati bahagia selagi keimanan belum mantap

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

Tokoh tersohor akui jalan kebenaran perlu bermula dengan hati tulus

SEMUA orang inginkan kebahagiaan dalam apa juga perkara di dunia ini. Buddhisme mengemukakan teori kebahagiaan antaranya melalui persiapan untuk semadi dengan jalan lurus, cinta kepada kebenaran, kehalusan dan tulus hati.

Aristotle pula memandang kebahagiaan sebagai sesuatu yang tertinggi dalam penghidupan. Formula kebahagiaan menurut Aristotle ialah harus memiliki harta secukupnya, membina persahabatan dan menegak keadilan. Beliau berkata: "Kebaikan bukan untuk kebaikan, melainkan kebaikan untuk merasai kebahagiaan."

Sesuai pula dengan pandangan tiga kelompok Pithagoras, Socrates dan Aristotle bahawa bahagia itu terbentuk daripada empat sifat utama iaitu, hikmah, keberanian, kehormatan dan keadilan.

Seorang pujangga Russia yang terkenal dan berpengaruh sebelum pemerintahan komunis di Kesatuan Soviet iaitu Leo Tolstoy pernah mengutarakan mengenai kebahagiaan. Katanya: "Ada pun kebahagiaan yang sejati ialah mencintai sesama manusia seperti mana mencintai diri sendiri maka amanlah dunia teraturlah pergaulan hidup, tersebarlah perdamaian dan tersingkirlah perbalahan hingga semua orang berasa dirinya untuk kepentingan masyarakat."

Sesetengah orang menganggap kebahagiaan itu adalah kepuasan hidup. Winano Surachmad dan Prof R Murray Thomas juga pernah menukilkan: "Seseorang yang memiliki kemampuan, keterampilan dan kesempatan untuk memenuhi keinginannya, penghargaan, jaminan dari bahaya dan lain-lain adalah manusia yang berbahagia."

Ada juga sesetengahnya menganggap kebahagiaan itu terletak pada kewibawaan, pangkat, kedudukan dan nama yang tersohor. Namun walau apapun yang dicetuskan, kebahagiaan masih tetap menjadi suatu pencarian.

Pujangga pernah berkata: "Orang yang mencapai kebahagiaan sebenarnya ialah orang yang mempunyai keperibadian kuat, selalu berusaha mencapai tujuan tertentu yang mulia dan dorongannya tidak bertentangan dengan kemanusiaan."

Berkata juga Imam al-Ghazali: "Menempuh jalan menuju kebahagiaan adalah kemantapan hati orang yang cerdik, sedangkan meremehkan kebahagiaan adalah kelalaian orang bodoh."

Sebenarnya, fitrah dan kecenderungan manusia yang diciptakan Allah SWT ialah untuk mencari kebahagiaan dan menikmati ketenangan hidup. Namun ia tidak mungkin tercapai tanpa iman.

Firman Allah yang bermaksud: "Lantaran itu, bukankah tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengadakan pendustaan atas nama Allah atau mendustakan ayat-Nya? Sesungguhnya tidaklah akan berbahagia orang yang berdosa." (Surah Yunus, ayat 17)

Jelaslah, iman sebagai faktor utama yang memungkinkan seseorang itu berbahagia seperti tersurat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya berbahagialah orang yang beriman." (Surah al-Mukminun, ayat 1)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Mereka berbahagia, bergirang hati kerana memperoleh nikmat dan kurnia dari Allah dan kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan ganjaran orang beriman." (Surah ali-Imran, ayat 171)

Iman adalah sebagai permata yang dirasakan nikmat paling agung, kerana itulah jaminan kebahagiaan, ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam hidup. Sebaliknya orang yang hati kusut dan kacau akan kehilangan arah tujuan.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Orang beriman itu tenteram hati mereka lantaran ingat kepada Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu mententeramkan jiwa." (Surah al-Ra'ad, ayat 28)

Salah satu faktor pembangunan kebahagiaan ialah apabila diperdengarkan ayat dan keterangan Allah SWT maka bertambah keimanan serta ketakwaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah takutlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya kian bertambah iman mereka, dan kepada Tuhan mereka berserah diri." (Surah al-Anfal, ayat 2)

Kebahagiaan mukmin sebenarnya meliputi dua alam iaitu kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kebahagiaan bukan hanya pada kepuasan hidup atau harta, pangkat dan kedudukan yang hanya bersifat sementara tetapi suatu kenikmatan kebahagiaan bersifat kekal abadi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Orang beriman dan beramal soleh adalah kebahagiaan bagi mereka dan tempat kembali yang baik." (Surah ar-Ra'ad, ayat 97)

Kebahagiaan juga bukan hanya berpangkalan pada iman, juga kebahagiaan masyarakat seluruhnya. Kesejahteraan dan kebahagiaan negara akan wujud sempurna jika ditegakkan atas prinsip keimanan. Sebaliknya, jika penduduk negeri itu ingkar dan tidak mengendahkan nilai keimanan, maka akan hilang kemakmuran dan kebahagiaan itu.

Hayati janji Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Allah berjanji kepada mukmin lelaki dan wanita akan menganugerahkan mereka syurga yang mengalir padanya sungai, kekal di dalamnya dan tempat yang baik dalam syurga yang kekal sedang keredaan dari Allah adalah lebih besar, demikian itu adalah suatu kebahagiaan yang besar." (Surah at-Taubah, ayat 72).

Tuesday, August 26, 2008

Tajdid Iman: Roh Islam hidupkan semangat lawan penjajah

Oleh Dr Juanda Jaya


PERJUANGAN: Islam janjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak dan menentang kezaliman. - Gambar hiasan
Sejarah buktikan perjuangan tegak kedaulatan agama, bangsa dipelopori ulama
KETIKA memperingati Hari Kebangsaan, kita perlu merenung sambil cuba menjelajah sejarah yang menumpahkan darah syuhada bangsa. Apakah yang menguatkan azam dan keberanian jiwa mereka menentang penjajah.

Agaknya ada sesuatu yang amat besar mampu melahirkan semangat kepahlawanan dalam diri syuhada. Roh Islamlah sebenarnya berperanan menghidupkan jiwa mereka menentang kolonialisme. Islam yang menjanjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak.

Data sejarah merakamkan gerakan antipenjajahan British yang dipelopori ulama sama ada di Sarawak, Melaka, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Catatan sejarah menyatakan pada 17 Ogos 1844, Sharif Sahab, Sharif Mashor, Datu Patinggi Ali, Datu Patinggi Imam Abdul Gafur, Imam Masjid Besar Sarawak yang pertama bersama penduduk tempatan dari kalangan Dayak melakukan penentangan bersenjata secara serentak terhadap penjajahan Brooke di Sarawak.

Akibat pertempuran itu, Datu Patinggi Ali gugur dalam Pertempuran Beting Maru, manakala Sharif Mashor yang gigih menentang penjajah akhirnya dibuang negeri ke Singapura. (Zaini Ahmad, Rakis 1978)

Pada 1895, di Pahang muncul Datuk Bahaman yang disokong Tok Ku Paloh dari Terengganu mengisytiharkan perang jihad menentang British. Pada awal abad ke-20, muncul pula Tok Janggut Mat Hasan di Kelantan.

Pada 1922, Abdul Rahman Limbong memimpin gerakan Islam menentang British di Terengganu bersama rakan beliau seperti Musa Abdul Ghani. Hasil daripada kesedaran serta semangat kebangsaan dan keIslaman orang Melayu, maka lahirlah parti politik seperti Hizbul Muslimin, Umno dan Pas pada pertengahan abad ke-20.

Walaupun antara parti politik ini ada perbezaan dari segi strategi dan taktik perjuangan, matlamat yang dituju adalah satu iaitu membela kedaulatan agama Islam dan Melayu. (Mahayudin Haji Yahya, Islam di Alam Melayu 1998)

Prof Dr Hamka yang mengkaji gerakan ulama di Nusantara mengabadikan nama besar pahlawan Islam di serata Kepulauan Indonesia. Antara yang beliau sebutkan ialah Sultan Iskandar Muda di Acheh, Sultan Agung Tirtayasa di Banten, Sultan Agung Hanyotokusumo di Mataram, Sultan Hasanudin di Makasar, Raja Haji di Bugis, Raja Muda di Riau, Diponegoro memimpin tanah Jawa, Teuku Imam Bonjol, Pattimura di Ambon dan gurunya Said Partintah dari Saparua, seorang berketurunan Arab. (Hamka, Dari hati ke hati, tentang Agama, Sosial, Budaya dan Politik 2002)

Semua pahlawan negara itu menjadikan ajaran Islam sebagai pedoman dalam gerakan dan perjuangannya. Patutkah kita melupakan jasa ulama di Alam Melayu Nusantara ini? Alangkah lemahnya pandangan mata hati yang tidak mahu mengakui bahawa roh Islamlah sebenarnya yang menggerakkan perjuangan mereka.

Menerusi semangat al-Quran mereka menggenggam semangat jihad hingga mencapai kemerdekaan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya seperti mana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang yang bertakwa." (Surah Al-Taubah, ayat 36)

Kerana iman kepada Allah mereka memperjuangkan agama dan bangsa, seperti maksud firman-Nya: "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Surah Al-Taubah, ayat 41)

Mereka percaya dengan janji Allah bagi sesiapa memperjuangkan agamanya adalah nikmat syurga yang kekal abadi seperti dimaktubkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: "Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman." (Surah Al-Saf, ayat 10-13)

Jelas terpancar semangat Islam itulah yang membangkitkan pahlawan bangsa kita. Begitu pula sebaliknya, penjajah yang datang dari barat dipengaruhi semangat salibiyyah di samping faktor politik dan ekonomi.

Hal ini dibongkar oleh Hamka melalui buku sejarah yang ditulis K M Panikkar bertajuk Asia and Western Dominant. Ketika Panglima Perang Portugis Alfonso d'Albuquerque mahu menyerang Melaka yang menjadi pertahanan Islam kuat ketika itu, dia mengobarkan semangat juang tenteranya dengan pidatonya yang terkenal: "Adalah suatu pemujaan dan persembahan ibadat yang amat suci dari kita untuk Tuhan dengan mengusir dan menghakis habis orang Arab dari negeri ini, dan dengan menghembus padam pelita pengikut Muhammad sehingga tidak ada lagi cahayanya di sini buat selama-lamanya. Apabila perniagaan di Melaka ini kita rampas daripada tangan orang Islam, maka habislah masa depan Kaherah dan Makkah, dan Vanesia tidak akan dapat lagi berniaga rempah kalau tidak berhubungan dengan Portugis."

Sejarah Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan selama-lamanya. Orientalis dan negarawan pelopor imperialisme terkenal akhir abad ke-19, Gladstone (1809-1898) pernah mengungkapkan kesulitan penjajah menguasai negeri Islam.

Sambil memegang al-Quran dalam House of Common, beliau berkata: "Selama kitab ini masih dibaca orang Islam, selama itu mereka masih melawan kita."

Betapa dekatnya Islam dan bangsa Melayu, abadi selama-lamanya menjadi kekuatan yang terbukti boleh menentang sesiapa yang mahu mempermainkan ketinggian maruah mereka. Perkataan Gladstone menjadi bukti bahawa kekuatan Melayu berpunca daripada keyakinan mereka terhadap agamanya, Islam.

Kita sudah merdeka dan kekal dengan semangat 'Islam dan Melayu' yang takkan hilang ditelan zaman. Namun akhir-akhir ini kita dikejutkan oleh usaha pengkhianat bangsa yang mahu meruntuhkan jiwa bangsa, menghisap kasih sayang dan toleransi dari darah daging generasi baru.

Mereka berusaha meracuni pemikiran generasi baru dengan sentimen ras dan warna kulit berbeza padahal gerakan ini nyata membawa agenda politik tertentu. Perlu difahami bahawa kolonialisme zaman sekarang tidak jauh beza dengan nenek moyang mereka dulu.

Hanya yang sekarang menggunakan taktik membonceng di belakang tali barut berasal dari negara yang dijajah. Mencipta suasana tegang antara suku kaum adalah siasat dan muslihat basi yang agaknya mahu diguna pakai kembali saat ini.

Bukankah penjajah dulu menggunakan taktik pecah dan perintah? Yang menjadi mangsa bukan hanya umat Islam dan orang Melayu, bahkan kaum minoriti lain ikut terbabit kerana kemajuan ekonomi dan pembangunan boleh terjejas dengan isu keselamatan negara. Akhirnya kita akur, kesan penjajahan itu tak boleh dihapuskan, taktik dan muslihat mereka lebih canggih daripada dulu.

Transformasi budaya berunsur negatif sedikit sebanyak menghilangkan jatidiri generasi baru bangsa ini. Bukankah ramai anak muda yang malu mengaku Melayu dan Muslim dalam bergaya, berekspresi dan bergerak dalam percaturan dunia?

Nenek moyang kita amat kuat pegangan agamanya, merekalah yang memperjuangkan kemerdekaan ini. Jangan dilupa, Islamlah yang menggerakkan perjuangan merebut kemerdekaan. Mengapa mahu dihapuskan kemuliaan Islam dalam perjuangan kita hari ini? Hamka pernah mencoretkan pesanan: "Melayu tanpa Islam, hilang 'me'-nya, tinggal layu saja".

Perspektif Ikim: Bajet perlu tumpu kenaikan harga barang, peningkatan produktiviti

Oleh Mohd Noor Omar

Ekonomi sukar pulih selagi pasaran menguasai pengguna

BAJET 2009 akan dibentangkan Jumaat ini. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop membayangkan Bajet 2009 tidak akan membebankan rakyat. Namun, bajet kali ini perlu menekankan kepada pemulihan ekonomi, sosial dan masyarakat serta kestabilan politik negara dan perhubungan antarabangsa.

Gambaran sesebuah ekonomi dapat dilihat secara kasar berdasarkan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI), kadar inflasi serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sekiranya kita amati petunjuk itu, jelas memberi gambaran betapa pentingnya pemulihan ditekankan dalam bajet kali ini.

Kenaikan CPI menandakan meningkatnya harga kebanyakan barang dan pengguna perlu membayar lebih kepada barang sama digunakan sebelumnya. Kadar inflasi tinggi pula menggambarkan bagaimana tidak munasabah dari segi ekonomik perbelanjaan yang dibuat keseluruhan pasaran akibat ketidakseimbangan harga dan barang. KDNK pula adalah gambaran produktiviti sesebuah negara yang menyumbang kepada ekonomi.

Kita sedar akibat kenaikan ini, negara juga mengalami kadar inflasi mencecah rekod tertinggi sejak 26 tahun, iaitu 7.7 peratus. Peratusan ini adalah petanda segera kepada kejatuhan ekonomi, walaupun laporan KDNK pada suku tahun pertama 2008 berada pada tahap baik iaitu pada kadar 7.1 peratus.

Langkah kerajaan mengurangkan kadar subsidi minyak pada asasnya mengurangkan beban negara, tetapi pada masa sama membiarkan harga minyak pengguna terdedah kepada harga pasaran yang melampau dan tidak menentu serta menambahkan kesukaran negara mengawal ekonomi. Penetapan harga minyak mengikut kadar semasa seperti dibayangkan tidak memadai untuk mengawal ekonomi, walaupun ia langkah wajar.

Di samping itu, bagi mengatasi masalah berkenaan peningkatan kos pengangkutan, yang dikaitkan dengan kenaikan ketara harga minyak ialah penurunan kadar tol melalui penilaian semula konsesi. Dengan penurunan kadar tol ini, rakyat mendapat manfaat di samping rangsangan merancakkan kegiatan ekonomi pada kos lebih rendah.

Perancangan bajet perlu memberi tumpuan kepada kenaikan harga barang sekiranya ingin memulihkan ekonomi. Kenaikan harga berterusan, tidak terkawal dan mendadak mengakibatkan banyak kesan sampingan tidak dapat dijangkakan. Kenaikan harga bahan api meningkatkan kadar kos pengeluaran barang dan perkhidmatan.

Harga yang dipindahkan kepada pengguna secara langsung oleh pengeluar dan penjual menjejaskan kuasa beli pengguna seterusnya menjadikan kemampuan pendapatan sedia ada tidak memadai. Kadar tambang perkhidmatan awam, harga barang mentah dan asasi, harga perkhidmatan juga bergerak meningkat.

Kenaikan pendapatan tidak membantu memulihkan ekonomi kerana sifatnya menyokong atau menyetujui kenaikan harga barang yang sedang rancak kebelakangan ini.

Sekiranya kenaikan gaji digalakkan, tetapi tidak dikaitkan dengan peningkatan pengeluaran serta unsur hasilan kerja seseorang diabaikan, peningkatan ini akan merugikan semua pihak. Apabila tangga gaji kakitangan kerajaan meningkat, pihak swasta dan syarikat persendirian juga perlu menaikkan tangga gaji baru mereka mengikut pasaran. Ia mengakibatkan kos pembayaran upah syarikat meningkat. Akhirnya, kos yang tinggi dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang.

Dengan kadar inflasi yang tinggi serta kos pengeluaran tidak menentu, pelabur asing sedia ada akan menarik diri, manakala pelabur asing berpotensi juga tidak berminat untuk melabur di Malaysia.

Pemulihan perlu mengambil kira kajian terperinci dan mengetahui punca sebenar sesuatu permasalahannya dan mengambil langkah paling baik dan berkesan berbanding tindakan lebih bersifat langsung dan sementara.

Kecekapan pentadbiran dan perkhidmatan awam perlu ditingkatkan. Sejak zaman negara merdeka sehingga menghampiri sambutan kemerdekaan ke-51, mutu perkhidmatan awam masih berada di bawah tahap. Proses pengeluaran sesuatu lesen atau permit, tempoh menunggu panjang, ketidakcekapan dan salahguna kuasa masih menjadi persoalan.

Budaya kerja dan kerenah birokrasi oleh penggubal dasar dibentuk supaya kakitangan awam tidak terdedah kepada persaingan sihat. Ini menjadikan kakitangan awam berada dalam keadaan yang selesa, walaupun menyumbang tenaga yang sedikit dalam sesebuah jabatan.

Penulis daripada Pusat Perundingan & Latihan IKIM.

Ummah kena gembleng tenaga kembalikan

Oleh Masmawi Abdullah

RASULULLAH SAW diutuskan sebagai obor yang membawa manusia menuju kebahagiaan. Kelahirannya tidak ada tolok bandingnya seperti dipaparkan dalam al-Quran yang menjadi panduan setiap lapisan masyarakat.

Firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik." (Surah Al-Ahzab, ayat 21)

Jika selama ini kita berikrar serta mengiktiraf diri sebagai pesuruh Allah, sepatutnya mencontohi peribadi Rasulullah SAW yang suci murni. Masyarakat sekarang yang ketandusan kepemimpinan mewarisi jejak langkah Baginda supaya tidak tersasar dan dicap Muslim derhaka.

Malangnya, di Malaysia kebanyakan kita orang Islam hari ini tidak lagi mencerminkan keperibadian Muslim sepatutnya untuk menjadi contoh kepada bangsa lain. Sebaliknya, sikap lalai serta angkuh masih lagi penyakit.

Saidina Ali Abi Talib berkata: "Akan datang suatu masa (pada akhir zaman) tidak tinggal Islam melainkan namanya saja. Masjid masa itu sangat besar dan tersergam indah, tetapi kosong daripada petunjuk Allah, manakala ulama Islam pada masa itu adalah ulama jahat. Daripada mereka terbit pelbagai fitnah dan kepada mereka juga fitnah itu akan kembali."

Kata-kata yang diluahkan itu sudah terlihat contohnya, di kalangan masyarakat hari ini diberi nama yang baik serta sedap didengar dan ada menggunakan nama nabi, tetapi tindak tanduknya bercanggah dengan Islam sebenar.

Malangnya ada pula memberi nama yang sedap bunyinya macam orang Arab, tetapi tidak sedikitpun mengambil perhatian mengenai maknanya seperti Sharul Bariah yang bermaksud 'orang yang sejahat-jahat'.

Pemakaian rantai leher seperti dipusakai orang Yahudi dan Kristian sudah diamalkan juga dikalangan pemuda kita yang mengakui dirinya Islam. Ini semua menimbulkan dilema perlu dipersoalkan demi menjaga keimanan. Apatah lagi jika dirujuk kepada hukumnya adalah haram.

Ia menunjukkan mereka menyadurkan diri dengan peradaban dan kebudayaan bukan Islam yang menjadi inspirasi musuh Islam dalam usaha menyesatkan setiap individu Muslim.

Dijelaskan dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud: "Orang Yahudi tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhamad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu)." (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Fizikal umat Islam sudah diresapi jarum golongan anti-Islam dan perlu kita sedari hakikat itu. Cuma kita persoalkan adakah generasi seperti ini akan mengembalikan serta merealisasikan tamadun Islam kembali.

Tanpa kesedaran mendalam, selagi itulah pelbagai unsur dan corak haru biru akan menimpa. Kita perlu mengorak langkah menumpaskan musuh yang datang dalam pelbagai bentuk kerana jika tidak, masyarakat Islam akan terus ditelan arus dan gelombang fahaman kebendaan.

Sudah tiba masanya setiap umat Islam menggembleng tenaga dan bertanya kepada diri mereka apakah sumbangan yang sudah diberikan kepada Islam. Jika tiada satu usaha dilakukan, tekadkan niat untuk mengorak langkah sekarang memupuk kefahaman membanyakkan amal makruf.

Islam juga kini hanya tinggal tulisan apabila al-Quran dan buku agama hanya disimpan di dalam almari. Malah, masjid besar tersergam pengunjungnya tidak seramai mana. Semua ini perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya supaya Islam terus dijulang dalam kehidupan umatnya.

Monday, August 25, 2008

Balasan dosa kecil usah pandang remeh

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

KERJA AMAL: Gotong-royong antara aktiviti masyarakat membuat kebajikan dan menghulurkan bantuan sesama insan.


Muslim dituntut selalu mengingati Tuhan sebagai benteng jauhi keingkaran

MENGIKUT syariat Islam, dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa besar dan dosa kecil. Dikatakan dosa besar ialah dosa yang sudah ditentukan hukumannya di dunia serta mendapat ancaman azab pedih di akhirat seperti termaktub dalam al-Quran dan hadis.

Dosa besar hanya boleh terhapus dengan bertaubat kepada Allah, menyesali perbuatan mungkar yang dilakukan serta berazam dengan sekuat hati tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila sudah melakukan perbuatan keji atau menganiaya dirinya sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun atas dosanya. Dan siapa lagi yang akan mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tiada meneruskan perbuatan buruk itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah ali-Imran, ayat 135)

Dosa kecil pula ialah dosa yang tidak ditentukan hukumannya ketika di dunia dan tidak diberi ancaman azab keras di akhirat seperti mengeluarkan kata-kata kesat, menyentuh al-Quran tanpa berwuduk atau membuang sampah merata-rata. Walaupun begitu, perlu diingat bahawa dosa kecil apabila dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hati-hatilah kamu terhadap dosa kecil, kerana apabila sering dilakukan oleh seseorang, maka pasti akan merosakkannya (akan menjadi dosa besar).” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Selain daripada itu, sesiapa yang ingin mengetahui sama ada dosa besar atau dosa kecil maka ada sebahagian ulama berpendapat: “Bandingkanlah kerosakan yang diakibatkan daripada dosa itu dengan dosa besar yang sudah ada nasnya. Apabila pada kenyataannya kerosakan yang ditimbulkan itu hanya sedikit, maka yang demikian adalah dosa kecil. Tetapi apabila kerosakan yang diakibatkan itu sebanding atau lebih besar, yang demikian itu adalah dosa besar.”

Walau apapun, tidak ada seorang pun yang terlepas melakukan dosa kecil kecuali orang yang maksum (dijaga) oleh Allah seperti Nabi Muhammad SAW. Dosa kecil akan terhapus jika taat melakukan solat lima waktu dan amalan fardu yang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara solat fardu sampai solat fardu lainnya dan antara solat Jumaat sampai solat Jumaat lainnya, serta antara bulan Ramadan sampai Ramadan lainnya adalah pelebur dosa, selagi dosa besar dijauhi.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengapakah manusia senang terjebak dengan perbuatan dosa? Paling ketara sekali ialah kerana dalam diri seseorang itu tidak mempunyai iman yang kukuh, tidak ada rasa malu dan gerun dengan ancaman azab Allah.

Hakim Peradilan Agama Beirut, Syeikh Husin Yusuf Ghazzal dalam kata pengantarnya untuk buku Dosa Dalam Pandangan Islam berkata: “..... dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sebarangan mereka berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mengendahkan syariat agama dan norma etika. Hal ini disebabkan lantaran mereka sudah kehilangan rasa takut kepada Allah dan hari pembalasan-Nya kelak.”

Keadaan itu terjadi disebabkan lemahnya iman. Apabila iman begitu tipis, bermakna diri sudah tidak ada lagi pertahanan dan kekuatan. Jiwa jadi rapuh, mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan dan juga tunduk terhadap dorongan nafsu. Lalu senang pula seseorang terperangkap dalam perbuatan dosa, baik dosa zahir (nampak) mahu pun dosa batin (membabitkan hati).

Kejahilan mengenai ajaran al-Quran dan hadis atau sering kali mengabaikannya dalam kehidupan, boleh mendorong seseorang itu melakukan dosa. Apalagi jika hidup di persekitaran yang tidak menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Kita perlu sedar dan ingat bahawa hidup ini bukan untuk memenuhi tuntutan nafsu yang merosakkan tetapi mengabdikan diri kepada Allah. Justeru, bagi mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat atau dosa, hendaklah berasa takut kepada Allah.

Seorang yang melanggar undang-undang atau melakukan jenayah terhadap pemerintah, sudah tentu sepanjang hari dalam keadaan gementar dan risau memikirkan balasan bakal diterimanya nanti. Ini baru hukuman di dunia, bagaimana dengan hukuman akhirat.

Kenapa perasaan kebimbangan dan ketakutan seperti ini tidak terhadap Allah apabila membabitkan kemungkaran, kerana azab Allah itu sangat pedih? Setiap orang beriman seharusnya memiliki perasaan takut terhadap-Nya yang dapat menghalang daripada berbuat dosa.

Said bin Zubair yang ditanya mengenai takut berkata: “Takut kepada Allah ialah rasa takut yang boleh menghalangi antara dirimu dengan maksiat kepada Allah.”

Selalu ingat kepada Allah juga dapat menghindarkan diri daripada berbuat maksiat dan perkara ditegah kerana menyedari segala perbuatannya diperhatikan oleh-Nya. Kesannya, seseorang itu akan meningkatkan keimanan serta ibadat kepada Allah.

Sesungguhnya orang yang berdosa adalah orang malang dan cukup menderita sekali di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang celaka, mereka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan nafas dan menariknya (dengan merintih).” (Surah Hud, ayat 106)

Sekarang terletak pada pertimbangan diri untuk memilih arah mana hendak dituju, yang lurus atau bengkok. Allah menegaskan yang bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula menyimpang daripada kebenaran. Barang siapa yang taat, maka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus. Adapun orang yang menyimpang daripada kebenaran maka mereka menjadi kayu api neraka Jahanam.” (Surah al-Jin, ayat 14-15]

Budaya ilmu generasi sahabat Rasulullah

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

Umat Islam digesa ikut cara tabiin untuk capai kesempurnaan hidup

MENUNTUT ilmu agama tidak cukup dengan hanya bermodalkan semangat. Seseorang Muslim patut mengetahui juga segala bentuk prinsip asas dan cabangnya seperti digariskan syariat yang sempurna.

Tujuannya supaya seseorang Muslim itu tidak kebingungan dalam menghadapi seruan daripada kepelbagaian kelompok dakwah. Apa yang penting, mereka tidak mudah terjerumus ke arah pemahaman menyeleweng.

Dewasa ini ada banyak ‘ruang’ dan ‘jalan’ ditawarkan bagi mempelajari agama Islam. Sudah pasti semua pihak mendakwa cara dan gaya mereka adalah yang terbaik dan paling benar. Melalui pelbagai cara dan gaya ini jugalah mereka berusaha menambat pengikut seramai boleh.

Lihatlah dalam masyarakat kita sendiri, ada pihak menawarkan cara dengan motivasi diri dan hati, ada mengajak untuk ikut serta dalam persoalan politik, ada golongan menyeru supaya segera mendirikan Khilafah Islamiyah kali kedua, ada secara santai menantikan kehadiran al-Mahdi dan ada pula bermusafir dari satu tempat ke tempat lain mengajak manusia untuk berjemaah di masjid.

Tetapi, cuba perhatikan di persekitaran tempat tinggal dan masyarakat sekeliling kita. Keadaan masyarakat Islam masih lagi pada takuk lama, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai objektif hidup dan tidak mengerti kerana apa mereka dihidupkan di atas muka bumi ini.

Pada jiwa dan sanubari mereka, tiada perkara penting melainkan kemewahan hidup. Kejahilan masih lagi menyelimuti seolah-olah mereka akan hidup kekal di dunia ini. Bahkan, keluarga serta sanak saudara terbabit pelbagai isu keruntuhan akhlak dan kebejatan moral yang bertambah parah.

Adakah perkara yang salah dalam tindakan mereka? Jawapannya sudah pasti ada yang salah, apabila kita dapat menyaksikan saban hari berlaku pelbagai kepincangan di sisi umat yang semakin jauh daripada panduan diserukan Islam.

Golongan Ahli Sunnah yang menjadi pewaris Nabi SAW sering kali menyeru dan tetap berusaha mengamalkan apa diwasiatkan Rasulullah dalam mengajak umat Islam kembali mempelajari agamanya.

Dalam pelbagai situasi yang ditempuhi, Ahli Sunnah tidak akan keluar dari jalan yang dilandaskan berdasarkan sunnah Rasulullah SAW untuk mengambil dan memahami apa yang ditunjukkan Nabi SAW dalam persoalan agama.

Keselarasan kita dalam menurut segala aspek ditonjolkan Nabi SAW berdasarkan hadis diriwayatkan ulama hadis sejak dulu adalah sesuatu yang utama dalam kehidupan seorang Muslim. Inilah yang sebenarnya sangat diperlukan oleh umat Islam.

Justeru, untuk mencapai kesempurnaan ilmu agama, seseorang Muslim perlu memahami ajaran agama yang dianuti sejak sekian lama dan berpegang kepada perkara asas mencari ilmu antaranya:

l Mengambil ilmu agama daripada sumbernya yang asal. Sumber utama ilmu Islam yang menjadi prinsip asasnya adalah berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.

Hal ini jelas difahami daripada firman Allah yang bermaksud: “Ikutilah daripada apa yang diturunkan kepada kamu semua oleh tuhan kamu (Allah) dan janganlah kamu mengikuti panduan selain-Nya.” (Surah al-A’raf, ayat 3)

Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawasanya aku diberi al-Quran dan yang serupa dengannya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

l Memahami al-Quran dan al-Sunnah sesuai dengan pemahaman golongan salaf. Golongan salaf yang dimaksudkan adalah sahabat serta orang yang mengikuti mereka dari kalangan tabiin dan generasi selepas mereka.

Hal ini jelas seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku kemudian generasi yang datang setelah mereka, kemudian generasi lain yang datang setelah mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mereka ini bukanlah golongan yang mengaku dirinya ‘salaf’ seperti yang ada hari ini kerana jauhnya zaman itu. Golongan kini hanya layak digelar sebagai salafi kerana menasabkan diri mereka dengan akidah salafiyah yang dibawa generasi awal Islam.

Golongan salaf atau generasi awal Islam ini perlu diteladani memandangkan segala kebaikan yang berada pada mereka adalah kebaikan mencakup segala hal berkaitan agama, sama ada daripada aspek keilmuan, pemahaman, pengamalan dan strategi dakwah berkesan.

Ibn al-Qayyim pernah merumuskan bahawa: “Nabi SAW pernah menyatakan bahawa sebaik-baik generasi adalah generasinya secara mutlak. Itu bermaksud merekalah yang paling utama dalam segala bentuk kebaikan. Jika bukan yang sedemikian, sudah pasti mereka adalah golongan yang baik dari beberapa aspek saja (seperti generasi lain) dan mereka sudah pasti bukan tergolong sebaik-baik generasi secara mutlak.”

Dengan demikian, pemahaman mereka terhadap agama sudah dijamin oleh Nabi SAW tanpa perlu meraguinya lagi bahawa kebenaran itu pasti bersama mereka. Kewajaran ini jelas kerana mereka adalah golongan yang paling mengetahui selok-belok ajaran Islam selepas Nabi SAW.

Bahkan, mereka menyaksikan sendiri di mana dan bilakah turunnya wahyu serta mengetahui kaitan peristiwa terlafaznya sesebuah hadis. Keadaan sebegini sudah tentu membuatkan ulama selepas era mereka sangat menghormati generasi terbaik ini.

Oleh demikian, sesetengah ulama sendiri menyatakan bahawa jika sahabat bersepakat terhadap sesuatu urusan, maka menjadi kesalahan bagi seorang Muslim berselisih dengan kesepakatan mereka.

Jika mereka sendiri berselisih pendapat dalam sesuatu urusan agama, maka seseorang Muslim itu tidak boleh mencari pendapat lain daripada mengetahui titik perselisihan mereka. Ini bermaksud bagi seorang Muslim, beliau harus memilih salah satu daripada pendapat mereka dan tidak boleh membuat pendapat yang lain di luar pandangan mereka.

Imam Syafii sendiri menyatakan: “Mereka (sahabat) adalah golongan paling tinggi berbanding dengan kita dari segala aspek keilmuan, ijtihad, warak (sikap penuh berhati-hati), berakal dan pada setiap perkara yang mendatangkan ilmu atau diambil daripada mereka ilmu. Pendapat mereka lebih baik dan lebih utama buat kita dari pandangan kita sendiri…”

Jika kita mampu kembali ke arah tatacara pelaksanaan yang dilandaskan generasi terbaik ini dalam mengkaji usul agama, sudah pasti kita mampu mengubah masyarakat dan membetulkan mereka dengan sandaran petunjuk Ilahi.

Kesatuan dan kesepaduan yang dijalinkan berasaskan hujah dan contoh teladan itu pasti mampu menghindarkan umat Islam daripada pengaruh kesesatan. Perkara ini sudah dijamin Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah melindungi umatku dari berkumpul di atas kesesatan.” (Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ibn Abi Asim)

7 ciri penghuni syurga Firdaus

Oleh Wan Aminurrashid W Abd Hamid

MANUSIA akan memperoleh ganjaran setimpal berdasarkan usaha atau amalan dilakukannya baik perkara kecil atau besar yang tergolong dalam perbuatan yang baik dan buruk. Allah berfirman yang bermaksud: "Barang siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8) .

Setiap apa yang dilakukan memberi kesan kepada diri manusia itu dan mereka yang beriman pastinya berusaha melakukan lebih banyak perbuatan baik.

Orang Mukmin yang taat adalah golongan yang mendapat kemuliaan dan kasih sayang Allah dan dijanjikan sebagai penghuni syurga bernama Firdaus yang kekal di dalamnya. Tujuh ciri dimiliki golongan ini dinyatakan Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 11. Ciri itu ialah:

Khusyuk dalam menunaikan solat

Insan yang Mukmin mampu melaksanakan solat dengan khusyuk sesuai dengan keteguhan dan kemantapan iman dimilikinya. Pengertian khusyuk mencakupi seseorang itu memahami apa yang dibaca dan dilakukannya dalam solat.

Menurut Imam al-Ghazali, dalam khusyuk itu juga harus ada rasa takut kepada Allah. Sembahyang yang dikerjakan dengan khusyuk adalah syarat pertama untuk mewarisi syurga Firdaus.

Memelihara diri daripada perbuatan yang tiada berguna

Seseorang yang benar-benar mukmin tidak akan membiarkan masa berlalu dengan tidak melakukan perkara berfaedah.

Menunaikan zakat

Seorang Muslim sejati akan rela dengan ikhlas menunaikan kewajipan zakatnya tanpa wujud paksaan, lantaran sedar bahawa hartanya sudah memenuhi syarat untuk berzakat.

Selain itu, dia sedar bahawa pada harta miliknya itu ada hak orang lain yang harus diberikan, terutama hak fakir miskin. Hartanya yang sebenar hanyalah harta yang tinggal selepas dikeluarkan zakatnya.

Memelihara kehormatan

Orang mukmin berjaya akan menghindarkan diri daripada melakukan penyimpangan dalam hal seksual dan tidak mendekati zina. Dia tidak akan berlaku serong dan hanya menyalurkan keinginan syahwat (persetubuhan) melalui jalan halal dengan pasangan sah.

Melaksanakan amanah

Seseorang mukmin yang diberi kepercayaan akan menunaikannya dengan baik kerana kepercayaan itu adalah penghormatan paling berharga baginya.

Memenuhi janji

Islam mengajar bahawa setiap janji mesti ditunaikan kerana janji itu ibarat hutang. Lantaran itu ia perlu dibayar. Segala sesuatu yang dijanjikan perlu dipenuhi kerana yang demikian adalah ciri Mukmin berjaya.

Memelihara solat

Solat pada pandangan Mukmin sejati paling penting. Jadi, solat mereka cukup terpelihara, sehingga dapat dilaksanakan dengan begitu baik lagi sempurna. Waktu solat dijaga dengan baik seperti solat pada awal waktu. Begitu juga dengan rukun dan pelbagai syarat lainnya yang mana semuanya itu sangat diberi perhatian.