Kewajipan solat menghadap ke Kaabah menunjukkan konsep kepatuhan mutlak
PERISTIWA penting dan bersejarah yang berlaku kepada diri Rasulullah SAW serta Muslimin pada Syaaban ialah peristiwa perubahan arah kiblat dariMasjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke Masjidil Haram (Kaabah) di Makkah al-Mukaramah.
Kisah perubahan kiblat berlaku pada tahun kedua Hijrah. Rasulullah SAW menunaikan solat menghadap ke Baitulmaqdis selama 16 atau 17 bulan, tetapi Baginda ingin menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblatnya.
Selepas diperintahkan Allah untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama dilakukan Baginda SAW ialah solat Asar yang diikuti beberapa orang sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid dan melihat dalam masjid lain jemaah sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.
Maka dia berseru: "Demi Allah, aku bersaksi bahawa aku bersolat bersama Nabi Muhammad SAW menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian orang yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga." (Hadis riwayat Bukhari)
Ibnu Sa'ad dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra' bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah SAW dan sahabatnya.
Apabila tiba waktu Zuhur, Baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Ketika Baginda berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah memerintahkannya supaya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.
Baginda terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih ada di Madinah sebagai salah satu tempat lawatan jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji di sana.
Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ketika orang bersolat Subuh di masjid Quba', tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah SAW diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu.
Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama menghadap Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat Zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat Asar. Solat Subuh pula ialah di Masjid Quba.
Selepas berlaku perubahan kiblat, orang munafik dan kaum Yahudi meragui kejadian itu lalu bertanya: "Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini?"
Sebagai jawapan kepada pertanyaan yang sengaja dilontarkan kaum Yahudi sebagai bahan ejekan dan sindiran serta untuk mengelirukan kaum Muslimin, Allah berfirman bermaksud: "Orang yang bodoh itu akan berkata: Apakah yang menyebabkan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan Barat itu kepunyaan Allah (maka ke mana saja diarahkan Allah untuk menghadap, maka wajiblah dipatuhi). Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus." (Surah al-Baqarah, ayat 142)
Perubahan arah kiblat adalah satu tamparan cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmaqdis hingga mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.
Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah dan sesiapa saja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap Kaabah apabila melakukan solat.
Inilah sebenarnya konsep ketaatan, kepatuhan mutlak hanya kepada Allah saja dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.
Berkaitan Kaabah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Kaabah itu kiblat bagi orang yang di dalam masjid, dan masjid itu bagi orang yang di Tanah Haram (Makkah), dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku." (Hadis riwayat Al-Qurthubi)
Kemuncak peristiwa itu ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia adalah contoh doa Rasulullah SAW yang dikabulkan Allah. Ia kerana Rasulullah SAW sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah diperkenankan Allah pada Syaaban.
Selanjutnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: "Kami ingin mengetahui mengenai orang yang meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitulmaqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadat solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap ke arah Baitulmaqdis."
Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah menurut ketentuan ketika itu. Firman-Nya bermaksud: "Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Muhammad) sebagai satu umat pilihan dan pertengahan, supaya kamu menjadi pemberi keterangan (saksi) kepada umat manusia (mengenai kebenaran dan kebatilan), dan Rasulullah akan menjadi saksi kebenaran kamu. Dan Kami jadikan kiblat yang dulu itu hanyalah sebagai ujian untuk mengetahui siapakah yang benar-benar mengikut Rasul dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (peralihan arah kiblat) itu sangat berat kecuali kepada orang yang diberikan petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan mensia-siakan dan menghilangkan keimanan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani dan Merahmati orang yang beriman." (Surah al-Baqarah, ayat 143)
Mafhum ayat suci di atas menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat pilihan dan pertengahan serta akan menjadi saksi pada hari akhirat kepada umat sebelum ini. Umat pilihan atau pertengahan itu bermaksud tidak hanya mementingkan kerohanian dan kebendaan semata-mata, tetapi berada di tengah-tengah.
Sama mementingkan dunia dan akhirat, kerohanian dan kebendaan, perseorangan dan masyarakat. Pertimbangan dan pengetahuannya mengenai baik atau buruk sesuatu perkara itu adalah adil, benar dan sah. Umat yang demikian layak memberi keterangan kepada orang lain.
Demikianlah hikmah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa perubahan kiblat yang menjadi satu kewajipan ditaati setiap Muslim ketika menunaikan ibadat solat lima waktu ke arah Kaabah
Di samping itu, ia membuktikan kepentingan Baitulmaqdis di sisi Islam yang sepatutnya dikembalikan di bawah ketuanan umat Islam di Palestin. Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa adalah tiga simbol syiar Islam di bumi Allah ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment