Saturday, August 9, 2008

Hubungan agama, kehidupan ibarat irama dan lagu

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian,com.my

TUNJUK AJAR: Dr Ary Ginanjar (kiri) bersama sebahagian peserta yang mengikuti latihan ESQ.


Masyarakat hilang arah kerana mencari kecemerlangan dunia hingga terlupa amalan akhirat

SETIAP kali mengingati arwah ayah yang meninggal dunia pada 2003, hati rasa sayu hingga ada kalanya tidak dapat menahan tangisan kerana mengenangkan kasih sayang dicurahkan ayah sejak kecil hingga dewasa dan bergelar ibu.

Begitulah perasaan rindu pada ayah yang datang tanpa mengira waktu. Tetapi perasaan rindu pada Allah hanya hadir tatkala diri merasa resah, ada sesuatu tidak kena berlaku atau ketika merayu supaya dikabulkan hajat. Memang memalukan untuk mengakuinya tetapi itulah hakikat.

Persoalan itu timbul selepas mengikuti latihan asas Kecerdasan Emosi dan Spiritual (ESQ) 165 yang diadakan di Kuala Lumpur, selama tiga hari, baru-baru ini. Malah, banyak lagi persoalan yang terjawab dan hanya menunggu masa untuk melakukan tindakan seterusnya.

Kesimpulan diperoleh daripada latihan disertai 290 peserta itu, kebanyakan kita masih memisahkan agama daripada kehidupan sedangkan kedua-duanya ibarat `irama dan lagu'. Pautan keduanya begitu kuat dan jika dipisahkan, maka pincanglah diri, masyarakat, negara dan dunia.

Itulah yang dapat dilihat hari ini iaitu kekalutan yang melanda, menyebabkan masyarakat seakan hilang arah kerana tumpuan hanya kepada mencapai kecemerlangan dunia hingga terlupa asas yang sepatutnya menjadi tunjang iaitu ajaran agama.


LATIHAN: Peserta mengikuti permainan dalam aktiviti simulasi ketika mengikuti latihan asas ESQ 165.


Analoginya mudah saja. Selalunya apabila ingin memikat orang yang disayangi tidak kira lelaki atau perempuan, pastinya kita akan mencuba sedaya upaya melakukan apa yang disenangi pasangan semata-mata untuk menarik perhatiannya kepada kita.

Setiap kali berjanji untuk berjumpa, perasaan terus 'tergedik-gedik' tidak sabar, malah pelbagai perancangan diatur daripada pemilihan pakaian hingga kepada perkataan yang bakal diutarakan apabila bersama nanti.

Apabila tiba waktu temu janji dengan Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang, adakah hati rasa tergedik-gedik untuk segera menunaikan solat. Bagaimana pula persediaan terutama kata-kata dalam doa yang ingin diucapkan pada pertemuan itu. Apakah itu semua diambil kira?

Begitu juga bagi pekerja atau ketua syarikat, jika semua mengikut peraturan dan memenuhi hak serta tanggungjawab masing-masing, maka tidak akan berlaku kakitangan ponteng kerja sementara majikan tidak menyalahgunakan kuasa.

Sesungguhnya, Allah lebih menyayangi serta mencintai hambanya. Jaminan kasih sayang Allah ialah setiap hamba yang melakukan dosa tidak kira berapa banyaknya akan diampunkan-Nya selagi mereka tidak syirik kepada-Nya.

Segala nikmat dan rahmat terus dikurniakan kepada manusia di dunia ini seperti nikmat hidup, makan, pakai, harta dan alam sekitar supaya mereka dapat menjalani kehidupan senang lenang. Dan sebagai balasan hamba kepada Tuhannya, tepuk dada, tanya iman.

Latihan ESQ 165 bukan kelas belajar agama tetapi melatih peserta membangun nilai insan melalui nilai sejagat merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Pencarian iman ditunjukkan melalui penerokaan alam angkasa yang membuktikan kewujudan serta kekuasaan Allah.

Peserta juga dipandu membangunkan prinsip hidup dan keperibadian berdasarkan Cara ESQ 165. Angka 165 adalah simbol bagi 1 hati yang ihsan, enam prinsip moral berdasarkan Rukun Iman dan lima langkah kejayaan berasaskan Rukun Islam.

Pendekatan menggunakan teknologi terkini termasuk sistem bunyi yang hebat membantu menterjemahkan Cara ESQ 165 dan menjadikan kursus itu lain daripada yang lain. Proses simulasi dengan kaedah penceritaan serta permainan memudahkan peserta memahami mesej disampaikan.

Nampaknya latihan menyentuh aspek spiritual menggunakan kaedah penceritaan terutama membabitkan permasalahan harian dihadapi manusia sesuai dengan fitrah sesetengah peserta yang berjaya disentuh hatinya hingga menerbitkan rasa sayu dan ada menangis mengenang diri.

Waktu lain, perbincangan berkisar kepada faktor yang membantu membangunkan prinsip hidup dengan cara mengembangkan ketiga-tiga kecerdasan intelektual, emosi dan spiritual melalui pemikiran rasional.

Sasarannya ialah hati sebagai pusat orbit dan titik ketuhanan (god spot) dalam otak manusia yang menentukan perjalanan hidup seseorang itu. Setiap kita mempunyai titik ketuhanan tetapi bagaimana untuk menyentuh titik itu.

Keseluruhannya, latihan ESQ 165 menekankan kepentingan kecerdasan spiritual yang menjadi pusat kepada kecerdasan lain seperti kecerdasan intelektual dan emosi. Tujuannya bagi melahirkan insan yang mampu mengembangkan keperibadian melalui kecerdasan emosi serta kerohanian.

Peserta akan dibimbing untuk membangkitkan tujuh nilai iaitu jujur, tanggungjawab, berwawasan, disiplin, kerjasama, adil, dan prihatin. Nilai itu sebenarnya sudah tertanam dalam diri manusia sejak lahir.

Melalui latihan ESQ, peserta diarahkan untuk dapat mencapai nilai dasar itu dan membantu membangkitkan kekuatan tersembunyi serta mengerahkan seluruh potensi dirinya untuk kehidupan dan pekerjaan yang lebih produktif.

Berjayakah pendekatan latihan diasaskan penulis buku ESQ: Rahsia Kejayaan Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual dan pengasas latihan ESQ 165, Dr Ary Ginanjar Agustian itu membantu mencungkil kecerdasan emosi dan spiritual peserta, hanya mereka yang pernah melalui pengalaman selama tiga hari berkenaan boleh memberikan jawapan.

Bagaimanapun, keadaan mata serta hidung peserta yang merah apabila keluar dewan dan kesungguhan mereka membincangkan semula ilmu diperoleh pada sesi latihan ketika menikmati hidangan tengah hari atau minum petang yang disediakan mungkin boleh memberi gambaran awal.

Pengalaman menarik yang selama ini tidak disedari kerana tidak diberi perhatian ialah konsep salam semut yang diperkenalkan di mana setiap peserta pada setiap waktu akan diminta bangun untuk bersalaman sambil berpelukan dengan sahabat baru di sekeliling mereka.

Pada saat itu akan terasa kemesraan serta perpaduan yang sepatutnya menjadi amalan setiap insan jika inginkan sebuah masyarakat hidup dalam suasana aman, damai serta harmoni. Syaratnya, perasaan ketika itu mesti bebas daripada persepsi.

Memang nampak remeh tetapi cubalah salam dan peluk ahli keluarga atau sahabat dengan hati ikhlas tanpa sebarang prasangka. Rasanya, memang sukar digambarkan. Tidak percaya? Apa kata selepas ini salam dan peluk orang disayangi. Jika tiada rasa, mungkin hati kita belum kosong lagi.

Kosong bermakna keadaan hati yang bebas daripada faktor menghalang. Jawapan kenapa adanya penghalang untuk melakukan kebaikan ialah hati tidak bebas daripada perasaan prasangka, suka membandingkan dan banyak lagi sifat negatif perlu dibersihkan.

Sekadar memetik kata-kata alumni ESQ yang juga penerbit di Jabatan Majalah, Dokumentari dan Famili TV3, Mohd Noor Sulaiman yang sempat berkongsi pengalaman: "Impak selepas menjalani latihan ESQ banyak pada diri dan ini hasil keyakinan kepada kuasa Allah.

"Prestasi kerja juga akan meningkat kerana kita sedar diri adalah khalifah Allah di muka bumi ini. Sebelum ini tertanya kenapa masih ada kekosongan sedangkan ada kerja elok. Saya terbabit menerbitkan program agama tetapi masih merasakan banyak perkara tidak mampu dijawab. Sekarang saya sudah mendapat jawapannya."

No comments: