Wednesday, August 20, 2008

Jenayah syariah tak terikat bukti sumpah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

SUMPAH yang dibuat pembantu peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bahawa dia diliwat terus menjadi perbualan serta liputan meluas.

Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, bersumpah atas nama Allah sambil memegang al-Quran pada upacara berlangsung di Dewan Solat Utama sambil disaksikan beberapa pegawai masjid serta ahli keluarganya. Saiful bersumpah bagi menghilangkan keraguan orang ramai terhadap beliau selepas mendakwa diliwat pemimpin PKR itu.

Sumpah dibuat Saiful mengundang pelbagai polemik berkaitan status sah sumpah itu sendiri. Ada pendapat mengatakan sumpah itu tidak mengikut syariat Islam, malah ada menyatakan sumpah berkenaan tidak menepati apa dikehendaki hukum Islam dan beranggapan sumpah yang ada dalam Islam ialah hanya li’an membabitkan suami isteri.

Li’an ialah tuduhan seorang suami bahawa isterinya berzina serta menafikan kandungan anak yang dikandung isterinya itu bukanlah daripada benihnya.

Namun, semua pihak bersetuju dan sepakat menyatakan bahawa sumpah dalam Islam memadai dengan melafazkan lafaz sumpah dengan nama Allah, iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi serta tidak perlu memegang atau mengangkat al-Quran. Perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya orang Kristian bersumpah memegang Bible.

Hakikatnya, sumpah yang dilafazkan Saiful bukanlah mubahalah kerana sumpah mubahalah memerlukan kehadiran kedua-dua pihak yang bertentangan pada satu majlis. Seorang individu akan melafazkan sumpah dengan nama Allah dan menyatakan beliau akan dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat jika tidak bercakap benar.

Sumpah itu kemudian diikuti oleh pihak satu lagi yang akan bersumpah dengan nama Allah dan jika beliau tidak berkata benar, maka laknat Allah akan turun padanya di dunia dan akhirat. Dengan kata lain, kedua-dua pihak akan saling bersumpah dan mencabar supaya diturunkan laknat kepada sesiapa yang berbohong.

Dalam Islam, sumpah seperti ini dibenarkan bagi tujuan untuk membersihkan diri seseorang itu daripada sesuatu tuduhan (tohmah) dan sumpah berkenaan dipanggil sumpah tohmah. Sumpah itu besar kesannya kerana dibuat atas nama Allah dan laknat Allah akan menimpa pembuat sumpah di dunia dan akhirat.

Bagaimanapun, sumpah seperti itu adalah bertujuan semata-mata bagi membersihkan nama seseorang daripada sebarang tohmah dan bukan satu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah.

Dalam Islam serta perundangan negara, ada kaedah serta undang-undang yang digariskan bagi mendakwa seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan. Mengikut undang-undang jenayah syariah, kaedah ditetapkan bagi menyatakan seseorang yang dituduh itu melakukan sesuatu kesalahan adalah dengan pihak pendakwa atau orang membuat tuduhan mengemukakan bukti ke mahkamah.

Oleh itu, beban untuk membuktikan suatu dakwaan terletak kepada orang mengemukakan dakwaan dan mengkehendaki mahkamah percaya akan kewujudan perkara dalam dakwaan berkenaan.

Ini selaras peruntukan Seksyen 73 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan: “Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana mahkamah memberikan penghakiman mengenai hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan fakta itu wujud.”

Selanjutnya, akta sama menyatakan cara memberi keterangan kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah.

Seksyen 87 (3) Akta Keterangan memperuntukkan: “Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”

Oleh itu, sesuatu dakwaan terhadap sesuatu kes itu hendaklah dibuktikan di mahkamah menerusi proses pendakwaan oleh pihak yang mendakwa. Adalah menjadi beban kepada pihak mendakwa untuk membuktikan segala dakwaan atau tuduhan di mahkamah.

Sesuatu dakwaan atau pertuduhan hendaklah dibuat di mahkamah bukannya tempat awam atau di masjid kerana masjid adalah tempat suci untuk umat Islam beribadat, bukan menjadi tempat atau gelanggang bagi menyatakan sesuatu dakwaan itu adalah benar.

Orang mendakwa perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya sama ada bukti itu berbentuk saksi yang memberikan keterangan atau dokumen sebagai contoh laporan perubatan. Ini penting bagi menyokong dakwaannya dan bukan hanya bersumpah.

Sumpah sebenarnya terletak kepada pihak yang kena dakwa dan bukannya orang yang mendakwa selari dengan prinsip Islam, iaitu ‘keterangan pada pihak yang mendakwa dan sumpah kepada pihak yang mengingkarinya’.

Dalam jenayah Islam, kes membabitkan qisos seperti membunuh, ahli fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain atau bukti tidak cukup.

Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat, sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat pendakwa ke atas tertuduh. Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh saja.

Kes membabitkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama dalam kes tertentu seperti qazaf dan mencuri saja. Sementara dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie jika pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu.

Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Bagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.

Kes membabitkan curi, menurut Mazhab Shafie, jika kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan, maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah (sumpah menolak dakwaan). Tetapi pandangan itu tidak diterima mazhab lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes mal atau sivil saja.

Dalam kes mal atau sivil yang membabitkan pertikaian suami isteri, rumah tangga atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam mahkamah selepas diperintahkan hakim untuk berbuat demikian.

Seksyen 87 (1) dan (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan: “Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh plaintif dan defendan dan jika defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut hukum syarak. Jika defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh plaintif hendaklah ditolak. Jika defendan enggan mengangkat sumpah, maka mahkamah bolehlah meminta plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”

Kesimpulannya, dalam kes membabitkan jenayah syariah seperti liwat, khalwat serta persetubuhan luar nikah, hendaklah dibuktikan oleh pihak pendakwa di mahkamah dan pihak yang dituduh boleh untuk menafikan tuduhan menerusi keterangan dan bersumpah jika diperintah hakim berbuat demikian. Namun, sumpah itu tidak mengikat hakim dalam membuat keputusan sabitan kesnya.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: