Showing posts with label Pilihanraya. Show all posts
Showing posts with label Pilihanraya. Show all posts

Saturday, March 8, 2008

Pengundi dinasihat tak terpengaruh umpatan

Oleh Hasliza Hassan

PERBUATAN mengumpat adalah satu tindakan negatif dan diterima umum sebagai perbuatan dilarang agama.

Amat dukacita apabila kegiatan mengumpat berlaku dalam masyarakat. Perbuatan mengumpat yang sepatutnya dilarang, dilakukan terutama umat Islam.

Perkataan mengumpat itu sendiri kurang senang didengar kerana dianggap sebagai tabiat buruk walaupun menjadi kegemaran dan boleh dikatakan dalam sehari, akan ada waktunya seseorang akan mengatakan sesuatu berunsur mengumpat.

Selalunya perbuatan mengumpat bersangkutan dengan kehormatan dan peribadi seseorang yang menimbulkan keaiban kepada orang diumpat. Sedar tidak sedar, perbuatan mengumpat juga menampakkan keburukan orang yang bercerita perihal orang lain itu.

Perbuatan mengumpat dicela keras Allah dalam firmannya bermaksud: "Janganlah sesetengah daripada kamu semua itu mengumpat sesetengahnya. Apakah seseorang itu suka makan daging saudaranya dalam keadaan sudah mati, tentulah kamu semua tidak menyukainya yang sedemikian itu." (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Rasulullah SAW juga berpesan supaya kita menjaga lidah mengenai hal orang yang membuka rahsia orang lain dalam sabda Baginda bermaksud: "Wahai kumpulan orang yang beriman dengan lidahnya, tetapi tidak masuk ke dalam jiwanya! Janganlah kamu mengumpat orang Islam dan janganlah mengesan atau mencari-cari rahsia mereka kerana barang siapa mengesan rahsia mereka, Allah akan buka rahsianya. Dan barang siapa Allah buka rahsianya, maka dimalukan dia dalam rumahnya (sekali pun dirahsiakannya)."

Alangkah sedihnya apabila perbuatan umat Islam suka mengumpat, kutuk mengutuk, kata mengata. Malah, amalan itu boleh berjangkit dan menjadi ikutan jika orang yang suka mengumpat itu mempunyai kedudukan dalam masyarakat.

Maka jadilah apa yang selalunya berlaku, cerita pada mulanya pendek akhirnya menjadi berjela dan kisah awalnya membosankan, menjadi lebih dramatik, selepas ditambah elemen sensasi serta suspen. Sedangkan, ada antaranya bukan berdasarkan fakta, tetapi hanya khabar angin atau cakap-cakap mulut saja.

Oleh itu, sewajarnya pandangan serta pendapat Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai fenomena yang kerap melanda sepanjang tempoh kempen pilihan raya umum kali ini perlu diberi perhatian.

"Asas mengumpat adalah haram kecuali jika darurat untuk selamatkan yang lebih besar. Contohnya jika terbukti pemimpin itu rasuah dan ia bukan sekadar khabar angin saja, maka perkara itu perlu diberitahu.

"Jika pemimpin terbabit dengan jenayah dan ada bukti, perkara itu perlu diberitahu kerana jika rakyat memilih pemimpin berkenaan, dikhuatiri akan memberi keburukan kepada mereka di kemudian nanti," katanya.

Bagaimanapun katanya, pendedahan itu perlu dilakukan dalam keadaan sangat terhad iaitu demi kepentingan awam, bukan dengan niat menyerang peribadi seseorang kerana itu tidak dibolehkan oleh Islam.

Dr Asri berkata, pemimpin tidak kira apa latar belakangnya sama ada tok guru, profesional atau siapa saja perlu membuat kenyataan yang baik dan mengajak orang ramai ke jalan kebaikan.

Sebab itu katanya, dalam kenyataan yang dibuat sebelum ini, beliau meminta pengundi yang semakin matang pemikiran mereka supaya memilih calon pemimpin yang dirasakan dapat membantu memimpin kepada keadaan yang lebih baik.

"Saya sendiri sukar untuk membuat kenyataan kerana akhirnya pengundi sendiri yang perlu berhati-hati apabila membuat pilihan nanti. Apa yang boleh saya katakan, banyak isu lebih kepada isu kepartian, mungkin berbunyi agama, tetapi sebenarnya isu kepartian," katanya.

Jawapan Dr Asri mengenai isu masuk syurga, katanya, undi ada nilai dosa dan pahala kerana jika pengundi memilih pemimpin yang diketahui terbabit dengan perbuatan tidak baik seperti rasuah, tetapi tetap memilih dan kesannya bahaya kepada masyarakat, itu dosa.

Begitu juga katanya jika pengundi memilih pemimpin yang dipastikan berjuang untuk rakyat yang dipimpin dan natijahnya selepas dipilih memang beliau berjuang untuk kebaikan rakyat, itu pahala kepada mereka.

Justeru katanya, dalam banyak hal, pengundi atau rakyat yang perlu mengambil tindakan akhir dan beliau menasihatkan mereka supaya berhati-hati serta tidak terpengaruh dengan peperangan umpat-mengumpat yang berlaku sebelum ini.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya. Jika Imam memerintahkan supaya bertakwa kepada Allah dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya dan jika dia memerintahkan selain itu maka dia mendapat seksa."

Friday, March 7, 2008

Rasional memilih pemimpin unggul

Oleh Masmawi Abdullah

PILIHAN raya adalah proses politik yang cukup penting dalam sesebuah negara demokrasi. Semua rakyat harus terbabit secara rasional dan aktif dalam proses pemilihan ini kerana kuasa penentu ada di tangan rakyat.

Oleh kerana, rakyat yang memiliki kuasa penentu, maka sewajarnya rakyat tidak mempersiakan peluang berharga ini untuk menentukan bakal pemimpin yang akan meneraju negara untuk lima tahun akan datang.

Justeru, parti politik perlu menghormati kewibawaan rakyat untuk menentukan pilihan mereka akan datang dengan mengelak perbuatan tuduh-menuduh yang tidak bernas kerana ia adalah antara kerja tercela serta tidak bertamadun.

Biarlah rakyat diberi peluang dan ruang seluas-luasnya untuk menentukan pendirian terhadap siapakah pemimpin yang ingin mereka pilih. Rakyat sudah semakin matang dalam soal memilih pemimpin. Mereka tidak lagi boleh diigaukan dengan mimpi pada siang hari tanpa berpijak di bumi nyata.

Rakyat mahukan pemimpin yang bakal dipilih benar-benar mampu memimpin diri dan keluarga serta berupaya pula membangun tamadun hidup rakyat ke arah lebih mulia dan mewujudkan kebahagiaan dalam kehidupan sejagat.

Pemimpin yang mempunyai ciri-ciri takwa, keimanan dan akhlak yang tinggi saja sepatutnya diketengahkan supaya rakyat tidak akan kecewa pada kemudian hari. Suasana masyarakat sekarang yang sangat mendesak memerlukan pemimpin yang mampu menjana pembangunan negara seiring pembinaan jati diri bersandarkan nilai murni.

Islam sudah menetapkan bahawa tanggungjawab memilih pemimpin adalah suatu proses untuk meletakkan orang paling sesuai di tempat yang layak dengannya. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab umat seluruhnya dalam menentukan pemimpin mereka.

Dalam hubungan ini, Allah memerintahkan supaya menunaikan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya seperti firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghitung dengan adil.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Amanah memilih bermaksud membulatkan hati, membersihkan perasaan (jiwa), ikhlas hati daripada sifat riak, penakut dan munafik serta mempunyai ilmu pengetahuan dalam menentukan orang yang terbaik dipilih menjadi pemimpin.

Pemilihan pemimpin yang tidak didasarkan kepada konsep syura boleh melahirkan pendapat benar dan ikhlas serta memilih mereka yang tidak layak dipilih, samalah halnya dengan mereka yang menjadi saksi palsu (dusta) dan inilah di antara kezaliman tersembunyi dan akan melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur keadilan.

Sedangkan Allah sudah memberi amaran keras terhadap orang yang menjadi saksi dusta dan menyamakan mereka dengan penyembah berhala. Firmannya bermaksud: “Maka jauhi kekotoran orang syirik yang disebabkan oleh penyembah berhala serta jauhilah perkataan yang dusta.”

Oleh itu tanggungjawab memilih pemimpin sememangnya memerlukan penumpuan sepenuhnya dan mesti mengelakkan daripada sebarangan sentimen serta menjauhkan diri daripada sebarang bentuk kepentingan hawa nafsu demi melahirkan kebenaran dan keadilan sejati.

Abu Dzar pernah meriwayatkan dalam sebuah hadis bermaksud: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau adalah seorang yang lemah dan jawatan itu adalah suatu amanah.”

Sesungguhnya pada hari kiamat kelak jawatan sebagai pemimpin akan menjadi satu penyesalan kecuali bagi mereka yang benar-benar bertanggungjawab dan melaksanakan amanah mereka dengan sempurna.

Justeru, pakar psikologi menetapkan, pemimpin perlu mempunyai sifat berikut:

l Pemimpin mestilah seorang yang mampu dan berkeupayaan menjalankan tugas.

l Menumpukan sepenuh daya usaha dan tenaganya terhadap tugas secara berterusan.

l Sentiasa bersiap sedia menerima sebarang arahan pucuk pimpinan dan kehendak rakyatnya.

l Mampu menahan perasaan terutama ketika menghadapi suasana kritikal.

l Sentiasa berusaha memperbaiki keperibadian dan sikapnya.

l Tegas serta boleh dipercayai.

l Mengelak daripada terbabit dalam sebarang skandal yang boleh menjejaskan identitinya sebagai seorang yang dipercayai.

Sifat pemimpin unggul yang memiliki personaliti dan ketrampilan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah pimpinannya dapat dilihat dalam diri Rasulullah SAW.

Baginda SAW adalah contoh terbaik dalam semua aspek kepemimpinan. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Alah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Persahabatan renggang gara-gara pilihan raya

SAYA mempunyai dua kategori kawan, seorang yang tidak mahu mengundi, kerana berpendapat mengundi pada pilihan raya umum ini membuang masa dan membawa permusuhan, sementara seorang lagi ialah seorang kaki kempen yang sangat bersemangat, tetapi tidak sensitif perasaan kawan. Saya melihat sejak demam pilihan raya ini hubungan dua orang kawan tadi menjadi renggang. Saya tidak suka bergaduh dan tersepit di tengah-tengah. Saya mengharapkan pilihan raya cepat selesai untuk melihat persahabatan antara kami bertiga kembali jernih.

Kawan simpati

Kajang, Selangor

PENDAPAT seorang kawan itu ada kebenarannya namun, tanggungjawab warga negara mesti ditunaikan dengan menjaga etika memilih pemimpin dalam pilihan raya. Negara berdemokrasi hanya dapat dilaksanakan jika semua rakyat faham hak mereka sebagai rakyat dan pengundi.

Jangan risau kerana hanya tinggal esok bagi rakyat Malaysia memilih wakil Dewan Undangan Negeri DUN dan Parlimen. Proses pemilihan dalam pilihan raya ini memberikan ruang kepada setiap individu yang layak memilih menurut rasional dan rasa hati nurani.

Dalam pada itu, kita perlu memahami etika Islam supaya proses demokrasi ini tidak dinodai dengan politik wang, pujukan dan ugutan atau cercaan yang menimbulkan tekanan serta paksaan kepada setiap pemilih.

Sejarah Islam yang panjang memaparkan kontroversi mengenai penentuan kriteria pemimpin. Dilema dalam menentukan pemilihan pemimpin bukan sesuatu perkara yang baru. Selepas kewafatan Rasulullah SAW pada 11 Hijrah/632 Masihi, umat Islam pernah digegarkan dengan isu serupa.

Selepas Rasulullah menghembuskan nafas terakhir, terjadi ketegangan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Dua kekuatan besar itu bmerasakan masing-masing layak menduduki kerusi khalifah untuk menggantikan kepemimpinan Rasulullah SAW.

Perdebatan dan ketegangan berlaku ketika proses perlantikan secara sederhana berlangsung di Saqifah bani Saidah yang akhirnya melantik Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama. Yang paling menarik, pemilihan masyarakat Muslim ini serentak dengan ikrar taat setia kepada Abu Bakar.

Peristiwa ini secara tidak langsung mengiktiraf kedaulatan rakyat. Nilai yang diterapkan mencerminkan suatu sistem demokrasi sekali gus menepis pemerintahan alamonarki.

Walaupun pada masa itu tidak ada apa yang kita namakan pada hari ini sebagai pilihan raya, persetujuan golongan Muhajirin dan Ansar menyelesaikan masalah pemimpin memiliki hakikat yang tidak jauh bezanya dengan pilihan raya kita masa ini.

Melihat realiti sejarah, pemilihan seorang pemimpin itu dapat dijadikan bukti bahawa untuk memilih pemimpin dalam perspektif Islam adalah sebuah kemestian. Kepemimpinan dalam Islam dipandang sebagai satu instrumen penting bagi melindungi agama dan kemajuan mengurus kehidupan di dunia.

Kekosongan pemimpin akan mendatangkan kekacauan. Lebih daripada itu, menurut Islam, pemimpin adalah ‘bayangan khalifah’ Allah di muka bumi. Ulama bersepakat perlantikan pemimpin bagi kaum Muslim adalah wajib syarie.

Majoriti ulama menyatakan Islam adalah agama dan negara. Al-Ghazali melukiskan hubungan antara agama dan kekuasaan politik sebagai berikut: “Sultan (kekuasaan politik) adalah wajib untuk ketertiban dunia; ketertiban dunia wajib bagi ketertiban agama; ketertiban agama wajib bagi keberhasilan di akhirat.”

Inilah sebenarnya tujuan Rasul. Jadi wajib adanya imam adalah kewajipan agama yang tidak ada jalan untuk meninggalkannya.

Pemikir politik seperti Abu al-Hasan al-Mawardi dalam al-Ahkam al- Sulthaniyah, Ibn Taimiyah dalam al- Siyasah al-Syar’iyah, Yusuf Qardhawi dalam Fiqh al-Daulah dan Sayyid Muhammad Rasyid Ridha dalam al-Khilafah au al-Imamah al- ‘Udhma juga berpendapat serupa.

Siapakah sebenarnya orang yang berhak menjadi pemimpin (DUN dan Parlimen) yang bakal kita panggil Yang Berhormat (mesti pula yang berkhidmat untuk rakyat) dalam pandangan Islam.

Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan secara jelas kriteria seorang pemimpin. Firman Allah bermaksud: “Pemimpin adalah seorang yang mampu memberi manfaat bagi orang yang dipimpinnya.” (Surah al-Maidah, ayat 42)

Apabila seseorang mahu menjadi pemimpin, ia harus berani tampil ke depan, memberi contoh yang hebat sama ada dalam ucapan dan perbuatan, memberi dan meniupkan semangat mengarah aspirasi, serta meningkatkan keazaman untuk berubah dan maju di tengah-tengah masyarakat.

Firman Allah lagi bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengutus engkau (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan engkau tidak akan diminta pertanggungjawaban mengenai penghuni-penghuni neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 119)

Al-Mawardi memberi tujuh syarat dalam penentuan kriteria pemilihan pemimpin iaitu:

l Bersifat adil yang mampu melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya dan tindak-tanduknya tidak bersikap diskriminasi. Keadilan bererti tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

l Memiliki pengetahuan yang luas dan bersifat universal supaya dia mampu mengupas berbagai persoalan termasuk mengistinbat hukum-hakam.

l Sihat pancaindera iaitu baik pendengaran, jelas penglihatan, dan petah lisannya apabila berbicara serta mantiqnya tinggi untuk menjawab persoalan rakyat.

l Sihat anggota badannya daripada pelbagai penyakit dan kekurangan. Dengan itu dia mampu memberikan maklum balas yang cepat untuk bertindak.

l Kreatif dalam mengatur dan menguruskan hal ehwal serta bijak menjaga kebajikan dan kebaikan rakyatnya.

l Memiliki keberanian dan berdiri teguh memelihara rakyatnya menghadapi kesusahan hidup termasuk serangan musuh;

l Nasab Quraisy. Syarat terakhir ditafsirkan secara kontekstual oleh Ibn Khaldun, lebih menekankan pada kualiti, kemampuan dan keterampilan.

Kriteria itu boleh dijadikan panduan kerana tugas pemimpin sangat berat. Oleh itu, Rasulullah SAW pernah memberi wasiat supaya umat Islam tidak meminta jawatan. Sabda Baginda bermaksud: “Janganlah kamu meminta jawatan, jika kamu diberi jawatan kerana meminta, ia akan menjadi (beban) berat, tetapi jika kamu diberi jawatan bukan kerana memintanya, maka Allah akan membantu kamu.”

Namun, pemahaman hadis itu pada masa sekarang, mungkin kurang popular, tetapi kita berhak memilih pemimpin menurut acuan di atas sebagai standard moral untuk memilih pemimpin yang bermoral, berpengetahuan dan komited terhadap kebajikan serta kebaikan rakyat.

Pilihlah pemimpin mengikut saranan al-Quran dan hadis. Pilih pemimpin yang mesra rakyat, tidak rasuah dan tidak gila kuasa, yang memancarkan wibawa kerana memiliki komitmen serta integriti. Pemimpin perlu amanah, bijak dan kreatif, jujur serta santun kepada rakyat.

Jawapan disediakan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM, Endok Sempo M Tahir. Semua persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Saturday, March 1, 2008

Kepentingan calon berpendidikan agama

Oleh Hasliza Hassan

BN tampil muka baru berwibawa, profesional bagi meneruskan gagasan Islam Hadhari

HANYA tinggal seminggu lagi 10.5 juta pemilih berdaftar akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kali ini dan sudah semestinya, mereka akan membuat pilihan berdasarkan selera masing-masing.

Sejarah politik tanah air menunjukkan faktor keperibadian calon antara menjadi pilihan pengundi apatah lagi jika seseorang itu mempunyai tingkah laku yang bersesuaian dengan budaya ketimuran.

Lebih menarik perhatian ialah jika calon itu menyerlah dari segi pencapaian dalam bidang akademik dan disegani pula kerana penampilan serta latar belakang ilmu agama dimiliki. Pastinya, perhatian lebih akan diberi kepada mereka.

Mengikut arus yang mempengaruhi kehidupan masyarakat, Barisan Nasional (BN) bukan saja mengekalkan calon kalangan profesional berlatar belakang pendidikan agama, malah menambah ramai muka baru daripada latar belakang yang sama dalam senarai calon pilihan raya umum kali ini.

Hakikatnya, calon berlatar belakang pendidikan agama yang memiliki kebolehan untuk memimpin sudah sebati dalam kepemimpinan negara dan diberi kepercayaan menerajui jabatan yang bertanggungjawab menguruskan keperluan keagamaan.

Pastinya nama seperti Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan Tan Sri Dr Yusof Noor yang masih kekal berkhidmat kepada negara adalah bukti nyata pentingnya golongan berpendidikan agama dalam barisan kepemimpinan.

Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Wan Mokhtar adalah Menteri Besar Terengganu paling lama berkhidmat bermula dari 1974 hingga 1999 dan pastinya tempoh itu berikutan kepercayaan rakyat serta pemimpin negara terhadap kewibawaan beliau.

Lulusan Fakulti Ilmu Agama dari Universiti al-Azhar Mesir itu yang terbabit secara aktif dalam Umno sejak 1963 dipilih sebagai calon Parti Perikatan pada pilihan raya umum 1964 untuk Parlimen Kemaman.

Beliau yang bertanding menentang calon parti Front Sosialis, Wan Hamid Wan Ibrahim menang dengan majoriti 7,081 undi. Selepas itu beliau terus terpilih sebagai calon dan menang dalam lapan lagi pilihan raya.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum 1999, beliau yang dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, kalah kepada calon Pas, Awang Jusoh dengan perbezaan sebanyak 436 undi.

Ketokohan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Abdul Hamid Othman, tidak boleh disangkal kerana beliau adalah antara tokoh agama yang disegani pada peringkat antarabangsa dan pihak yang bertanggungjawab memastikan kejayaan penganjuran Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa di Malaysia.

Beliau yang juga lulusan dari Universiti al-Azhar Mesir dalam jurusan Undang-undang Islam dan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) bidang Syariah dari Universiti St Andrew's Scotland adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Beliau yang memulakan karier sebagai guru di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di Kementerian Pelajaran sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1984.

Pembabitan beliau sebagai ahli politik bermula apabila dipilih menjadi calon BN untuk Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum 1990, menewaskan calon Semangat 46, Datuk Zainal Abidin Johari dengan majoriti 8,329 undi.

Selepas memenangi pilihan raya itu, Abdul Hamid dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan apabila menang sekali lagi pada pilihan raya berikutnya, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau yang dicalonkan untuk Parlimen Sik buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum 1999 bagaimanapun dikalahkan calon Pas, Datuk Shahnon Ahmad, dengan majoriti 478 undi.

Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Yusof Noor yang juga lulusan Universiti al-Azhar mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986 untuk Parlimen Setiu dan pada 1990, beliau bertanding di Parlimen Besut.

Anak kelahiran Kampong Raja, Besut, Terengganu itu kemudian dicalonkan untuk bertanding di tempat kelahirannya pada Pilihan Raya Umum 1995 sebelum dicalonkan semula ke Parlimen Besut pada pilihan raya 1999 dan tewas kepada calon Pas, Hassan Mohamed.

Selain menjadi wakil rakyat, Dr Yusof pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Menteri Perusahaan Awam dan menerajui Felda sejak Julai 2001 hingga kini.

Ironinya, ketiga-tiga tokoh ini tewas pada Pilihan Raya Ke-10 itu, tetapi BN tidak ketandusan tokoh berpendidikan agama untuk diketengahkan selepas itu.

Ini termasuk Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, bekas Ketua Pengarah Pusat Islam Malaysia (DUN Melor) dalam Parlimen Peringat (kini Ketereh) dan Datuk Mustafa Taib yang berlatar belakangkan agama dan pernah menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia yang bertanding di DUN Chetok.

Turut dicalonkan, Ketua Wanita Umno Kubang Kerian, Zaleha Hussin yang juga seorang ustazah bertanding di DUN Salor dalam kawasan Parlimen Pasir Mas. Bagaimanapun, kehadiran mereka tidak dapat memenangi hati pengundi di Kelantan ketika itu.

Pada 2004, BN mengemukakan calon muka baru yang berjaya menewaskan lawan masing-masing antaranya Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Kedah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di Perak.

Di Selangor, BN meletakkan bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Amran Kasimin sementara di Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat parti Keadilan, bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail dipertaruhkan untuk menentang Datin Seri Dr Wan Azizah.

Pada pilihan raya umum kali ini, BN mengekalkan beberapa calon aliran agama iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin (Besut); Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad, Khazan Che Mat (Batu Rakit) yang mempunyai ijazah bahasa Arab dan syariah dari universiti di Jordan.

Turut mengiringi calon sedia ada, BN mengetengahkan muka baru yang dilihat memiliki kewibawaan yang pasti menambat hati pengundi dan memastikan kelangsungan memperjuangkan ajaran Islam diteruskan barisan pemimpin muda.

Mereka ialah Mohd Afandi Yusuff, calon kerusi Parlimen Rantau Panjang, Penyelaras Program Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Asraf Wajdi Dusuki yang akan bertanding di Parlimen Tumpat.

Muka baru diperkenalkan BN Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (Marang) dan di Perak, Mohd Nizar Zakaria, graduan bidang pendidikan dari Institut Agama Islam Negeri Padang, Indonesia bertanding Parlimen Parit.

Pendekatan Islam Hadhari yang bermatlamat mengajak umat Islam menghayati 10 prinsip berteraskan ajaran al-Quran dan sunnah memerlukan pengalaman mereka yang memiliki latar belakang kepemimpinan bersifat global.

Dalam erti kata lain, mereka bukan saja mempunyai ilmu pengetahuan, malah mampu mengaplikasi ilmu yang ada dalam sistem pentadbiran bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat dan negara serta memikirkan kaedah terbaik menangani cabaran yang datang.

Justeru, penampilan calon baru dengan semangat serta jiwa segar diharap dapat membantu kerajaan menjayakan gagasan Islam Hadhari menggunakan kuasa politik yang ada untuk membangunkan Islam secara bijaksana.

INFO: Ketokohan calon BN berpendidikan agama

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Abdul Hamid Othman disegani pada peringkat antarabangsa pernah menjadi calon BN untuk Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum 1990.

Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Yusof Noor yang juga lulusan Universiti al-Azhar pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Menteri Perusahaan Awam dan menerajui Felda sejak Julai 2001 hingga kini pernah bertanding bagi Parlimen Setiu (1986) dan Besut (1990, 1999).

Datuk Mustafa Taib yang berlatar belakang agama dan pernah menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia bertanding di DUN Chetok.

Ketua Wanita Umno Kubang Kerian, Zaleha Hussin yang juga seorang ustazah bertanding di DUN Salor dalam kawasan Parlimen Pasir Mas.

Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Kedah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di Perak.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail bertanding Parlimen Permatang Pauh.

Thursday, February 28, 2008

Calon perlu kawal tutur bicara, berakhlak mulia ketika kempen

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

CIRI utama kehidupan seorang Muslim ialah sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang mukmin sejati. Justeru, kempen pilihan raya bukannya masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan.

Antara anggota badan yang paling banyak digunakan dalam kempen pilihan raya adalah lidah untuk tutur bicara. Calon dan penyokong parti akan menggunakan lidah sepuas-puasnya untuk menarik sokongan dan kepercayaan pengundi dengan menabur pelbagai janji manis.

Menjanjikan sesuatu yang baik kepada rakyat tidak salah, malah itulah yang sewajarnya, tetapi bukan janji kosong dan palsu. Ia juga bukan medan untuk menghamburkan tutur bicara sesuka hati tanpa kawalan sehingga menimbulkan bibit perpecahan serta kebencian sesama rakyat.

Lidah adalah nikmat kurniaan Allah dan sebaik-baik fungsi lidah ialah digunakan untuk berzikir kepada Allah atau melakukan kerja dakwah iaitu menyeru manusia kepada kebaikan dan kebenaran seperti firman Allah bermaksud: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (agama-Nya) serta beramal salih serta berkata, "saya salah seorang Muslim." (Sural al-Fushilat, ayat 33)

Di sebalik kebaikannya, lidah juga boleh membawa kebinasaan kepada pemiliknya juga manusia lain. Medan pertuturan lidah tidak ada sempadan. Jika baik penggunaannya, maka baiklah natijahnya, tetapi jika buruk penggunaannya, maka buruklah natijahnya.

Justeru, keghairahan berkempen tanpa mengawal tutur bicara boleh menyebabkan pelbagai implikasi bukan saja kepada pemilik lidah, malah anggota masyarakat. Disebabkan lidah yang tidak terkawal boleh membawa perpecahan, benci membenci, permusuhan, fitnah memfitnah dan api perkauman.

Ketika berkempen (berceramah) lidah akan berputar ligat di hadapan pendengar menjanjikan yang manis-manis yang pada hakikatnya mungkin adalah kepalsuan atau pembohongan. Tidakkah pembohongan dan kepalsuan itu satu dosa yang terbit daripada lidah yang tidak bertulang?

Paling buruk yang mungkin berlaku dalam tempoh berkempen ialah kegagalan mengawal lidah daripada mengeluarkan fitnah dan hasutan. Lidah kedua-dua pihak (parti) yang cabar mencabar boleh menjadi panas dan akhirnya mencetuskan pertelingkahan atau pergaduhan.

Ketika berceramah atau berkempen ramai calon atau penyokong parti gagal mengawal perasaan lalu terhamburlah caci-maki dan tuduh-menuduh.

Sebaiknya, mereka yang dicaci atau difitnah mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Diam itu adalah suatu hukum dan amat sedikit orang yang melakukannya." (Hadis riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)

Tempoh berkempen pilihan raya perlu dihiasi dengan akhlak mulia, tutur bicara beradab dan bersopan. Sentiasalah ingat pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengawal lidahnya daripada memperkata kehormatan orang lain, maka Allah akan menutup kecelaannya."

Fitnah adalah perbuatan melempar tuduhan keburukan terhadap seseorang tanpa bukti dan asas kukuh. Fitnah dan mengadu domba (namimah) biasanya seiringan. Justeru, ia wajib dijauhi kerana kesannya amat buruk sekali.

Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)

Oleh itu, jangan jadikan kempen pilihan raya medan atau kesempatan untuk menabur fitnah. Semua lisan keji itu dilarang dan dicela oleh agama. Kata-kata keji tidak seharusnya keluar daripada lidah mereka yang mengaku mukmin. Berjanjilah kepada rakyat sesuatu yang baik dan mampu dikotakan serta berpijak di bumi nyata.

Monday, February 25, 2008

Profesional agama perkukuh kerajaan

Oleh Hasliza Hassan

Calon lulusan pendidikan Islam dalam BN bawa perspektif baru

MELETAK calon yang memiliki latar belakang pendidikan agama untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini tidak sepatutnya dilihat sebagai tindakan mempolitikkan agama kerana membicarakan perihal agama dalam merencana pembangunan bangsa serta negara adalah siasah politik.

Oleh itu, ada pemimpin daripada aliran agama menjadi keperluan untuk memastikan setiap matlamat program pembangunan prasarana serta modal insan didasari oleh cita-cita untuk mencapai kejayaan bukan saja di dunia, malah di akhirat.

Muka baru yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang, Kapten (B) Mohd Johari Husin, berkata kehadiran calon berpendidikan agama dilihat dapat memantapkan lagi usaha membangunkan negara.

Beliau berkata, dengan ada pemimpin yang memiliki ilmu agama memperlihatkan bahawa sumbangan mereka diperlukan untuk menjadikan barisan kepemimpinan satu pasukan lengkap yang dianggotai calon daripada pelbagai latar belakang.

"Tambahan dengan suasana masyarakat sekarang yang melihat kepentingan agama dalam semua perkara dilakukan, maka calon pemimpin daripada aliran agama memberi perspektif baru untuk membentuk arah masa depan kepada pengikut mereka.

"Sebagai calon baru, saya tidak menafikan ketrampilan sebagai seorang berlatar belakang pendidikan agama itu bonus untuk mendekati masyarakat seterusnya mendapatkan kepercayaan mereka," katanya yang memiliki ijazah sarjana muda Perundangan Syariah dari Universiti Jordan.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Staf Agama Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kementerian Pertahanan selama lapan tahun, lapan bulan dan lapan hari sebelum bersara melahirkan kesediaan untuk menyambung khidmat kepada masyarakat sebagai wakil rakyat.

Katanya, dengan disiplin ilmu dan disiplin menjaga masa yang diraih bersama pengalaman ketika bertugas sebagai pegawai agama Kor Agama ATM, beliau yakin dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat.

Mohd Johari berkata, beliau akan meletakkan jiwa bangsa Melayu dan mengangkasakan kualiti pemikiran sebagai landasan berkempen kerana menjadi hasratnya untuk membangunkan masyarakat yang berilmu serta berketrampilan.

Hakikatnya, kemenangan calon dengan latar belakang agama pada pilihan raya umum sama ada yang mewakili BN atau pembangkang menunjukkan masyarakat memandang tinggi serta memberi kepercayaan terhadap kemampuan mereka untuk memimpin.

Pemilihan mereka sebagai calon juga membuktikan golongan aliran agama tidak dipinggirkan untuk menyertai barisan kepemimpinan negara sekali gus mematahkan tanggapan bahawa orang agama tidak layak berpolitik atau tidak boleh menjadi pemimpin.

Pada pilihan raya kali ini, ramai muka baru memiliki latar belakang agama yang diketengahkan sebagai calon. Walaupun ketokohan mereka masih belum terbukti ujian pertama sudah dilepasi dengan jayanya apabila diberi mandat untuk diletak sebagai calon.

Malah, pembabitan dalam bidang profesional menguatkan lagi keyakinan akan kebolehan mereka seperti calon Parlimen Tumpat iaitu Penyelaras Program Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Asraf Wajdi Dusuki dan calon Parlimen Marang, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir yang memiliki kelulusan dalam bidang pengajian Islam dari Universiti al-Azhar serta Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, United Kingdom.

Calon lain, Mohd Afandi Yusuff yang berkelulusan bidang Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Jordan (Parlimen Rantau Panjang) dan Mohd Nizar Zakaria, graduan bidang pendidikan daripada Institut Agama Islam Negeri Padang, Indonesia (Parlimen Parit) dan peguam syarie, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir, graduan Kulliyah Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Azhar (Titiwangsa) dan bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail yang dicalonkan semula di Permatang Pauh.

Barisan calon muka baru ini diharap akan mengikut jejak kejayaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad dan bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Perak, Najmuddin Elyas Al-Hafiz yang menang pada pilihan raya 2004.

Parti pembangkang Pas memang sejak dulu dikaitkan dengan Islam juga mempunyai barisan calon memiliki latar belakang pendidikan agama walaupun tidak semuanya. Selain Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Imam Masjid Negara, Taib Azamuddin Mohd.

Calon lain, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan (Maran) lulusan jurusan Usuluddin Universiti Al-Azhar; Dr Mujahid Yusuf Rawa (Parit Buntar) yang juga lulusan Universiti al-Azhar dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Jengka) yang memiliki kelulusan dalam bidang Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nasrudin berkata, meletakkan calon berpendidikan agama pada pilihan raya umum adalah pengalaman biasa dalam perjalanan politik negara dan muka baru yang ditampilkan memperlihatkan suasana kesegaran berpolitik di kalangan pengundi.

Katanya, tindakan mengetengahkan calon muka baru adalah ekoran muka lama yang mungkin mempunyai masalah di peringkat parti dan masyarakat dan perkara itu biasa bagi mana-mana parti politik.

"Suasana masyarakat sekarang perlu pada perubahan ke arah yang lebih baik dan tentunya pemimpin daripada golongan aliran agama menjadi tarikan kepada masyarakat yang menaruh harapan tinggi kepada mereka untuk memikul tanggungjawab dan amanah," katanya.

Bagaimanapun katanya, langkah BN menampilkan ramai muka baru yang berpendidikan agama bukan satu ancaman kepada Pas kerana masyarakat ingin melihat Islam akan menilai secara tulus dan adil siapa yang berniat ikhlas.

Malah katanya, pertembungan calon aliran agama daripada BN dan pembangkang pada pilihan raya umum adalah kesan positif bahawa masyarakat sedar Islam boleh diterima dalam politik dan Islam adalah agama praktikal.

Saturday, February 23, 2008

Ramai lulusan agama jadi calon

Oleh Hasliza Hassan





Bukti perjuangan syiar Islam dilaksana kerajaan meliputi semua aspek pembangunan

BARISAN kepemimpinan daripada golongan berlatar belakang pendidikan agama penting bagi mendokong hasrat kerajaan melahirkan modal insan berkualiti dalam program pembangunan negara serta memastikan 10 prinsip Islam Hadhari dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Berdasar kepada keperluan itu, lebih ramai calon memiliki kelulusan dalam bidang agama diketengahkan sebagai muka baru pada pilihan raya umum kali ini bersama wakil rakyat sebelum ini yang dikekalkan.

Antara muka baru diperkenalkan Barisan Nasional (BN) di Kelantan ialah Mohd Afandi Yusuff, calon Parlimen Rantau Panjang, yang berkelulusan bidang Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Jordan dan pernah bertugas di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan Malaysia.

Seorang lagi muka baru ialah Penyelaras Program Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Asraf Wajdi Dusuki yang akan bertanding di Parlimen Tumpat, juga penceramah yang kian popular dalam program keagamaan di televisyen.

Muka baru diperkenalkan BN Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi Parlimen Marang memulakan pengajian peringkat diploma di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (kini dikenali sebagai Universiti Darul Iman Malaysia) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Pengajian Islam.

Beliau kemudian menyambung pelajaran peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, United Kingdom.

Selain mengekalkan bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Perak, Najmuddin Elyas Al-Hafiz (Batu Kurau), Perak tidak ketinggalan mengemukakan calon baru daripada aliran agama. Ia termasuk Mohd Nizar Zakaria, graduan bidang pendidikan daripada Institut Agama Islam Negeri Padang, Indonesia yang akan bertanding Parlimen Parit.

Setakat ini, calon Pilihan Raya Umum 2004 daripada kalangan tokoh agama yang dikekalkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin di Parlimen Besut dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad (Pasir Putih).

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail yang tewas kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum lalu dicalonkan sekali lagi dalam usaha BN menawan kubu kuat pembangkang itu.

Mereka yang digugurkan termasuk satu-satunya tokoh agama wanita yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang mengalahkan bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib dengan majoriti 4,100 undi, pada pilihan raya umum lalu.

Turut digugurkan ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amran Kasimin (DUN Bangi) dan Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin yang mengalahkan calon Pas, Datuk Dr Hassan Mohd Ali Parlimen Parit Buntar, pada 2004.

Tidak ketinggalan, Kedah turut menampilkan calon baru berlatar belakang perundangan Islam dengan menampilkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Hasbullah Lebai Isa yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam dan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pemilihan lebih ramai calon yang berlatarbelakangkan agama di kalangan profesional membuktikan kesungguhan BN menterjemahkan hasrat menekankan kepentingan agama melalui barisan kepemimpinannya.

Walaupun kebanyakan adalah muka baru yang belum lagi diuji kemampuan daripada segi kepemimpinan, ilmu yang dimiliki serta semangat untuk membawa perubahan kepada masyarakat diyakini sebagai kelebihan bagi mereka mendapat kepercayaan rakyat.

Masyarakat hari ini memang cenderung untuk memilih pemimpin yang bukan saja boleh membangunkan prasarana, malah membimbing orang di bawahnya dengan amalan serta nilai murni yang digalakkan Islam.

Asraf berkata, kehadiran beliau sebagai calon BN Kelantan adalah sebagai nilai tambah dalam gelombang arus politik Kelantan hari ini yang ingin mempromosikan perjuangan berasaskan kasih sayang dan membuang budaya berdendam serta suka berpecah.

Katanya, jika selama ini masyarakat diselewengkan dengan tanggapan bahawa Islam hanya berkaitan solat, puasa dan zakat saja, beliau berasakan bertanggungjawab untuk menjelaskan bahawa pembangunan ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan adalah perjuangan Islam.

"Kehadiran saya di Tumpat untuk membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan perjuangan Islam. Selama 50 tahun membina negara, pemimpin sudah melaksanakan seperti dilakukan Rasulullah SAW ketika membina kerajaan Islam Madinah.

"Rasulullah SAW tidak hanya menekankan kepada aspek akidah dan ibadat saja tetapi turut memberi penumpuan dari segi pembinaan prasarana asas yang penting dalam memenuhi keperluan rakyat," katanya.

Beliau yang mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab berkata, usaha melakukan perubahan tidak dapat dicapai sekelip mata atau dalam tempoh singkat sebaliknya perlu dilakukan secara berperingkat dan berterusan.

Justeru, katanya, beliau tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi dan akan memastikan setiap yang dilakukan berasaskan kemampuan terutama dalam membina budaya baru yang meletak Islam melangkaui kepentingan kuasa.

Asraf berkata, berdasarkan maklum balas diterima daripada masyarakat yang menghadiri sesi ceramahnya yang sudah bermula, mereka menerima pendekatan digunakan untuk menonjolkan imej Islam tidak berasaskan kebencian.

Calon Parlimen Parit, Mohd Nizar berkata, keperluan kepada pemimpin aliran agama adalah untuk membantu kerajaan memberi penjelasan dalam pelbagai isu dan pada masa sama, melaksanakan tugas dakwah mengajak mereka melakukan kebaikan.

Bekas Pengetua Maahad Al-Aziz itu berkata, tidak dinafikan calon memiliki ilmu agama mudah untuk mendekati seterusnya diterima masyarakat kerana kecenderungan mereka yang menginginkan manfaat daripada pembangunan dunia dan akhirat.

"Pemimpin memikul amanah dan bagi kami yang memiliki latar belakang agama, memang patut untuk bersama pemimpin sedia ada menunaikan amanah dan berusaha mencapai hasrat kerajaan membina modal insan berkualiti demi bangsa, agama dan negara," katanya.

Friday, February 22, 2008

Pilihan raya selaras amalan syura

Oleh Ghafani Awang Teh

KEBEBASAN: Pilihan raya adalah cara terbaik untuk memilih kerajaan sesebuah negara.

Proses demokrasi langkah selari ajaran Islam memilih pemimpin layak

BUKAN mudah untuk menjadi pemimpin politik dan membela hak kepentingan rakyat jelata. Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto mati dibunuh pada 27 Disember 2007 dalam usahanya untuk memimpin semula Pakistan.

Dalam perkembangan semasa, Kenya di benua Afrika pula menjadi huru-hara kerana proses pilihan raya dikatakan ada penipuan. Di Palestin, kita lihat walaupun Parti Hamas memenangi pilihan raya bebas tetapi kemenangan itu tidak diiktiraf Barat kerana dikatakan bercanggah dengan dasar demokrasi Barat.

Pada dasarnya, proses demokrasi adalah langkah selari dengan ajaran Islam. Proses pengundian dalam pilihan raya untuk memilih pemimpin dianggap sebagai penyaksian memilih pemimpin yang layak memerintah negara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mintalah kesaksian daripada dua orang yang adil di antara kamu." (Surah al-Talaq, ayat 2)

Pemilihan Nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara Islam Madinah pada masa itu tidak ditentukan oleh pilihan raya tetapi dilantik secara mutlak oleh Allah SWT selari dengan pemilihan Baginda sebagai Rasul Allah SWT.

Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah mengutus Nabi Muhamad SAW sebagai Rasul Allah bertujuan membawa rahmat kepada makhluk sejagat." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Proses pilihan raya bermula selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 632 Masihi. Menurut pendapat mazhab empat, Nabi Muhammad SAW tidak menentukan penggantinya. Baginda menyerahkan urusan penggantinya kepada umat Islam pada masa itu.

Menurut sirah Ibnu Ishak, pemimpin Kaum Ansar dan Muhajirin berkumpul dan mengadakan Majlis Syura di Dewan Saqifah Bani Saidah untuk mencari pemimpin yang layak menggantikan Rasulullah SAW.

Dua pemimpin Ansar dicalonkan iaitu Said bin Ubadah dan Abu Ubaidah al-Jarrah. Kumpulan Muhajirin juga mencalonkan dua wakil iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Menurut Ibnu Ishak pada peringkat awal berlaku ketegangan antara golongan Ansar dan Muhajirin dalam proses pemilihan pengganti itu.

Bagaimanapun dengan kebijaksanaan dan semangat keislaman yang tinggi maka Majlis Syura bersetuju memilih Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah pertama. Kumpulan Ansar dan Muhajirin berikrar mematuhi (berbaiah) kepimpinan Khalifah Abu Bakar.

Dalam ucapan dasar sebagai Khalifah, Saidina Abu Bakar antara lain menyatakan: "Wahai manusia, aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak daripada kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, maka perbetullah aku."

Ketika menjelang saat wafatnya, Saidina Abu Bakar menunjukkan Saidina Umar al-Khattab sebagai penggantinya. Pilihan itu dipersetujui sahabat.

Khalifah Umar ketika menyampaikan ucapan dasarnya sempena pemilihannya menyatakan: "Wahai manusia, sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku." Kemudian seorang makmum berkata, "Demi Allah SWT jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkan dengan mata pedang kami!" Umar menjawab: "Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, terdapat mereka yang akan memperbetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedang."

Demikian juga ketika menjelang kewafatannya, Saidina Umar membentuk satu pasukan seramai enam orang sahabat besar untuk memilih salah seorang di kalangan pasukan itu menggantikannya. Saidina Uthman terpilih. Demikian juga pelantikan Saidina Ali ditunjukkan oleh Saidina Uthman dan dipersetujui oleh sahabat besar yang lain.

Berdasarkan analisis pemilihan pemimpin di zaman Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rasyidin, ternyata caranya berlainan. Nabi Muhammad SAW tidak menentukan pengganti tetapi menyerahkan kepada amalan syura.

Begitu juga dengan amalan Khulafa' al-Rasyidin walaupun ditentukan pengganti tetapi diluluskan secara syura. Antara ciri penting kepimpinan Rasulullah SAW dan sahabatnya ialah kepimpinan melalui teladan dalam pematuhan perintah Allah dan beramanah.

Persoalan besar timbul ialah mengapa syura penting dalam pemilihan pemimpin. Syura secara mudahnya bermaksud bermesyuarat. Pada dasarnya syura adalah sebahagian proses demokrasi. Sebagai perbandingan kita boleh qiaskan dalam kepimpinan sembahyang.

Islam sendiri mengajarkan bahawa seseorang yang tidak disukai orang ramai tidak boleh menjadi iman dalam solat. Ketika mengulas perkara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga jenis manusia yang tidak akan diangkat pahala solat mereka sejengkal pun daripada kepala mereka. Salah satu antaranya ialah seorang imam yang memimpin kaumnya (dalam solat) sedangkan mereka (pengikut) tidak suka terhadapnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Pengajaran besar daripada hadis ini ialah pemilihan pemimpin secara syura dapat mengelakkan pemimpin yang tidak disukai rakyat. Dengan demikian, pemilihan pemimpin yang dibuat secara individu, melalui pertemuan rahsia empat mata, dibeli undi, tidak adil dan pemilihan secara 'Pak Turut' akan melahirkan pemimpin yang tidak disukai rakyat terbanyak.

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, February 20, 2008

Kerajaan dipilih wajar terus daulat Islam

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

TEKA-TEKI bila Pilihan Raya Ke-12 terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen minggu lalu. Selepas pengumuman itu, parti yang bertanding berlumba-lumba menjelaskan manifesto serta perancangan masing-masing demi menarik perhatian rakyat supaya mengundi mereka pada 8 Mac 2008 nanti.

Pertubuhan Islam Malaysia yang bersifat non-partisan melihat pilihan raya sebagai wadah perubahan masyarakat. Lantas pertubuhan Islam yang dianggotai lebih 100 pertubuhan membuat tuntutan kepada semua calon dan parti politik bagi merealisasikan tuntutan itu tanpa mengira parti politik yang mereka sertai.

Adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Apatah lagi, sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi dan undang-undang.

Oleh itu, segala tuntutan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular mesti ditolak. Ini termasuklah tuntutan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) bertujuan mempromosi kebebasan berlandaskan faham sekular-liberal serta penubuhan Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam.

Sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, tulisan ataupun media siber dan elektronik perlu ditangani dengan serius mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan. Pertikaian undang-undang berkaitan Islam hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Kita juga mendesak bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah diperluaskan menerusi pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 serta Enakmen Pentadbiran negeri. NGO Islam menuntut supaya Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah disamatarafkan dari aspek perjawatan, penggajian, status serta prasarana.

Penyeragaman undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera dan diwujudkan Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie seluruh negara seperti rakan mereka peguam sivil.

NGO Islam menuntut supaya digubal dan diwartakan dengan segera undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di seluruh negara selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

NGO Islam kecewa atas kegagalan sesetengah negeri sehingga kini menggubal atau mewartakan undang-undang berkenaan. Segala usaha hendaklah dipadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia.

Kerajaan yang dipilih kelak dituntut mengambil tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti menghalang pemakaian tudung, solat Jumaat, berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam.

Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi warga negara dibanggakan. Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai satu cara hidup.

Dengan itu, NGO Islam menuntut supaya kerajaan bakal dipilih memperkasakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan termasuk menambah waktu dan pendekatan pengajaran Islam di sekolah.

Malaysia hendaklah menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan perkembangan keilmuan Islam. Bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) hendaklah dikembalikan dan buku teks percuma juga dinikmati pelajar SAR.

Kerajaan dipilih juga didesak menghentikan amalan diskriminasi Kementerian Pelajaran di mana menafikan peluang murid cemerlang UPSR dan PMR dari sekolah agama swasta memasuki sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kemudahan biasiswa dinikmati pelajar Melayu juga perlu diberikan kepada pelajar Islam bukan berketurunan Melayu. Disamping itu, kerajaan digesa menambah jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di kalangan pelajar Melayu/Islam yang cemerlang.

Amalan pemberian biasiswa JPA kepada pelajar bukan Islam sejak akhir-akhir ini tidak sepatutnya menjejaskan peluang pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk mendapat tajaan. Menteri Pelajaran yang bakal dilantik digesa tidak bersikap apologetik (meminta maaf) dalam menangani desakan kelompok sekular dan bukan Islam yang menggesa amalan Islam di sekolah kebangsaan dihentikan atas alasan mengelakkan pemisahan kaum dan agama.

Amalan bacaan doa dan sambutan perayaan kebesaran Islam perlu diteruskan kerana ia sama sekali tidak menghakis keharmonian kaum dan agama, malah mendidik anak bangsa menjadi insan bersahsiah mulia.

Kementerian Penerangan pula hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji. Program berunsur pendidikan Islam dan moral perlu diperbanyakkan dan disiarkan pada waktu puncak dan azan sepenuhnya hendaklah disiarkan setiap waktu. Program hiburan mempromosi budaya hendonisme Barat hendaklah dihentikan termasuk program hiburan realiti.

Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan mewujudkan sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama adalah ramuan utama kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak. Oleh demikian, pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama. Parti politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama termasuk mempersendakan kedudukan agama Islam di Malaysia hendaklah ditolak.

Pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan hendaklah dikawal ketat tanpa mengira agama. Jika pihak berkuasa agama tegas dalam melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka ternyata sangat lemah apabila berhadapan dengan pembinaan rumah ibadat agama lain.

Bagi wakil rakyat Islam yang dipilih pula, adalah menjadi kewajipan mereka memelihara kesucian akidah dan ketinggian moral. Dengan kuasa diberikan, mereka hendaklah menolak sebarang usaha mengelirukan akidah umat Islam dengan pelbagai cara termasuk membenarkan penggunaan kalimah khusus seperti ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ bagi merujuk agama bukan Islam.

Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan. Kerajaan dipilih kelak dituntut melaksanakan undang-undang antimaksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.

Demikianlah tuntutan NGO Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini. Semoga semua calon yang menang dapat merealisasikan tuntutan NGO Islam yang juga umat Islam arus perdana. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengajak rakyat menggunakan hak sebagai pengundi demi kebaikan bersama.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari ttp://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com

Saturday, February 16, 2008

Calon latar belakang agama diiktiraf

Oleh Hasliza Hassan

DARI kiri, Mashitah, Pirdaus dan Amran

Rakyat lebih percaya kepada kebolehan ustaz, ustazah mewakili Barisan Nasional

TOKOH agama adalah antara calon dipilih untuk bertanding pada pilihan raya tidak kira sama ada membabitkan parti komponen Barisan Nasional (BN) atau pembangkang. Pada pilihan raya kali ini juga, tidak mustahil akan tampil beberapa muka baru di kalangan mereka yang berpendidikan agama.

Strategi mengetengahkan calon muka baru daripada aliran agama yang dilaksanakan BN pada pilihan raya umum 2004 umpamanya, menimbulkan pelbagai reaksi terutama daripada pihak lawan yang mula rasa tergugat.

Mana tidaknya, jika dulu calon aliran agama cenderung dikaitkan dengan parti pembangkang seperti Pas, tetapi sekarang tidak lagi kerana BN juga ada tokoh pemimpin daripada latar belakang pendidikan agama yang sedia berkhidmat untuk rakyat.

Lebih meruncing dan mengelirukan apabila pihak pembangkang mengutarakan hujah - pilih pembangunan dunia atau akhirat. Tetapi terbukti rakyat lebih bijak untuk membuat pilihan.

Kemenangan tokoh agama yang mewakili BN menjadi bukti jelas rakyat percaya dengan kemampuan 'ustaz' dan 'ustazah' yang ditampilkan.

Malah, kecemerlangan calon mendapat majoriti besar menunjukkan pengundi menyokong perjuangan BN memartabatkan pendekatan 10 prinsip Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru, kehadiran pemimpin aliran agama terdiri daripada pendakwah, imam, ahli akademik sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada pilihan raya umum lalu boleh dikatakan 'langkah yang betul pada waktu yang betul'.

Kehadiran pendakwah dan tokoh agama yang berganding bahu dengan pemimpin sedia ada menjadikan Pilihan Raya Umum 2004 itu lebih menarik apabila tumpuan terus menyuluh kepada calon yang dipertandingkan.

Mereka ialah bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail yang bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh, bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim bertanding di Baling dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad di Pasir Putih.

Pada peringkat DUN pula, bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amran Kasimin bertanding di Bangi, bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Perak yang mengendalikan kolum soal jawab agama di Berita Minggu, Najmuddin Elyas Al-Hafiz bertanding di Batu Kurau.

Selain mereka, ramai lagi pegawai agama, bekas kadi dan pendakwah yang diketengahkan pada peringkat negeri dalam usaha mengimbangkan antara pemimpin dan ulama.

Keputusannya, Mashitah mengalahkan bekas Imam Besar masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib dengan majoriti 4,100 undi dan Amran mengalahkan calon Pas, Dr Shafie Abu Bakar dengan majoriti 3,708 undi.

Calon BN Parlimen Parit Buntar, Menteri di Jabatan Perdana ketika itu, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin mengalahkan calon Pas, Datuk Dr Hassan Mohd Ali dengan majoriti 4,698 undi, sementara Datuk Dr Abdullah Md Zain, pada masa itu memegang jawatan Timbalan Rektor Kolej Universiti Islam Malaysia, bertanding di Parlimen Besut mengalahkan pemimpin kanan Pas Nasharuddin Mat Isa dengan majoriti 500 undi.

Itu belum dicampur lagi dengan kekalahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kawasan Parlimen Marang, Datuk Mustafa Ali (Parlimen Dungun dan DUN Pengkalan Berangan), Mahfuz Omar (Parlimen Pokok Sena), Mohamad Sabu (Parlimen Kuala Kedah), Datuk Dr Haron Din (Parlimen Arau dan DUN Tambun Tulang) serta Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (Parlimen Bukit Gantang) yang bukan dengan calon daripada tokoh agama.

Bagaimanapun, keputusan di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang yang menyaksikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalahkan pencabarnya, Pirdaus dalam usaha BN menawan kembali kawasan yang menjadi kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Yang penting, walaupun tewas, ia tidak melemahkan semangat Timbalan Ketua Umno Permatang Pauh itu untuk terus bergiat aktif dalam politik. Sebaliknya, beliau menyifatkan kejayaannya memperoleh undi besar dengan hanya perbezaan 590 undi sebagai detik permulaan dalam karier politiknya.

Baru-baru ini, beliau yang dihubungi memberitahu makin ramai penduduk Permatang Pauh boleh menerima beliau yang sebolehnya berada di kawasan itu setiap minggu untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

"Jika dulu nak salam pun payah, tetapi sekarang makin ramai hulur tangan dan nampak hasrat rakyat mahukan perubahan. Tetapi, Umno dan BN tidak boleh alpa sebaliknya usaha perlu diteruskan untuk mengukuhkan kedudukan," katanya.

Bagaimanapun, mengenai calon yang akan bertanding di kawasan itu, seperti juga pemimpin lain, Pirdaus menyerahkan kepada kebijaksanaan Presiden parti untuk menentukannya. Baginya, jika tersenarai, beliau tidak akan menolaknya kerana ia adalah amanah dan penghormatan yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Jadi, siapa kata orang agama tidak boleh terbabit dalam bidang politik, sedangkan Rasulullah SAW sendiri seorang ahli politik yang dikagumi serta dihormati kerana keilmuwan dan kesungguhan berkhidmat kepada masyarakat yang meyakini kepemimpinannya.

Sebagai pemimpin serta ketua, Rasulullah SAW juga mementingkan pembangunan dan pentadbiran yang cekap untuk memastikan kelangsungan perjuangan Islam. Oleh itu, agenda negara perlu membawa kepada agenda pembangunan dan pentadbiran yang cekap.

Kelebihan bagi BN yang sememangnya membawa agenda pembangunan ialah apabila diberi tanggungjawab itu kepada tokoh agama, ia menjadi satu pakej lengkap, pembangunan yang diiringi nilai murni mengikut syariat Islam.

Tidak dinafikan, di sebalik kelebihan itu menanti pula tanggungjawab berat kerana pemimpin kalangan tokoh agama yang dihormati kerana ilmunya pasti tidak mahu imej mereka terjejas disebabkan politik yang sering dikaitkan dengan kekotoran.

Inilah masanya untuk mereka meneruskan perjuangan dan membuktikan bahawa masih ada politik bersih melalui pantulan daya kepemimpinan yang dicerminkan bukan saja daripada kata-kata, juga tindakan memenuhi janji kepada rakyat.

Persoalannya apakah episod menarik 2004 akan berulang pada pilihan raya kali ini? Semuanya terpulang kepada calon yang akan diketengahkan, sama ada jumlah tokoh agama sama seperti dulu atau mungkin akan ada pertambahan.