Saturday, February 23, 2008

Ramai lulusan agama jadi calon

Oleh Hasliza Hassan





Bukti perjuangan syiar Islam dilaksana kerajaan meliputi semua aspek pembangunan

BARISAN kepemimpinan daripada golongan berlatar belakang pendidikan agama penting bagi mendokong hasrat kerajaan melahirkan modal insan berkualiti dalam program pembangunan negara serta memastikan 10 prinsip Islam Hadhari dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Berdasar kepada keperluan itu, lebih ramai calon memiliki kelulusan dalam bidang agama diketengahkan sebagai muka baru pada pilihan raya umum kali ini bersama wakil rakyat sebelum ini yang dikekalkan.

Antara muka baru diperkenalkan Barisan Nasional (BN) di Kelantan ialah Mohd Afandi Yusuff, calon Parlimen Rantau Panjang, yang berkelulusan bidang Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Jordan dan pernah bertugas di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan Malaysia.

Seorang lagi muka baru ialah Penyelaras Program Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Asraf Wajdi Dusuki yang akan bertanding di Parlimen Tumpat, juga penceramah yang kian popular dalam program keagamaan di televisyen.

Muka baru diperkenalkan BN Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi Parlimen Marang memulakan pengajian peringkat diploma di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (kini dikenali sebagai Universiti Darul Iman Malaysia) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Pengajian Islam.

Beliau kemudian menyambung pelajaran peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, United Kingdom.

Selain mengekalkan bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Perak, Najmuddin Elyas Al-Hafiz (Batu Kurau), Perak tidak ketinggalan mengemukakan calon baru daripada aliran agama. Ia termasuk Mohd Nizar Zakaria, graduan bidang pendidikan daripada Institut Agama Islam Negeri Padang, Indonesia yang akan bertanding Parlimen Parit.

Setakat ini, calon Pilihan Raya Umum 2004 daripada kalangan tokoh agama yang dikekalkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin di Parlimen Besut dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad (Pasir Putih).

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail yang tewas kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum lalu dicalonkan sekali lagi dalam usaha BN menawan kubu kuat pembangkang itu.

Mereka yang digugurkan termasuk satu-satunya tokoh agama wanita yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang mengalahkan bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib dengan majoriti 4,100 undi, pada pilihan raya umum lalu.

Turut digugurkan ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amran Kasimin (DUN Bangi) dan Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin yang mengalahkan calon Pas, Datuk Dr Hassan Mohd Ali Parlimen Parit Buntar, pada 2004.

Tidak ketinggalan, Kedah turut menampilkan calon baru berlatar belakang perundangan Islam dengan menampilkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Hasbullah Lebai Isa yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam dan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pemilihan lebih ramai calon yang berlatarbelakangkan agama di kalangan profesional membuktikan kesungguhan BN menterjemahkan hasrat menekankan kepentingan agama melalui barisan kepemimpinannya.

Walaupun kebanyakan adalah muka baru yang belum lagi diuji kemampuan daripada segi kepemimpinan, ilmu yang dimiliki serta semangat untuk membawa perubahan kepada masyarakat diyakini sebagai kelebihan bagi mereka mendapat kepercayaan rakyat.

Masyarakat hari ini memang cenderung untuk memilih pemimpin yang bukan saja boleh membangunkan prasarana, malah membimbing orang di bawahnya dengan amalan serta nilai murni yang digalakkan Islam.

Asraf berkata, kehadiran beliau sebagai calon BN Kelantan adalah sebagai nilai tambah dalam gelombang arus politik Kelantan hari ini yang ingin mempromosikan perjuangan berasaskan kasih sayang dan membuang budaya berdendam serta suka berpecah.

Katanya, jika selama ini masyarakat diselewengkan dengan tanggapan bahawa Islam hanya berkaitan solat, puasa dan zakat saja, beliau berasakan bertanggungjawab untuk menjelaskan bahawa pembangunan ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan adalah perjuangan Islam.

"Kehadiran saya di Tumpat untuk membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan perjuangan Islam. Selama 50 tahun membina negara, pemimpin sudah melaksanakan seperti dilakukan Rasulullah SAW ketika membina kerajaan Islam Madinah.

"Rasulullah SAW tidak hanya menekankan kepada aspek akidah dan ibadat saja tetapi turut memberi penumpuan dari segi pembinaan prasarana asas yang penting dalam memenuhi keperluan rakyat," katanya.

Beliau yang mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab berkata, usaha melakukan perubahan tidak dapat dicapai sekelip mata atau dalam tempoh singkat sebaliknya perlu dilakukan secara berperingkat dan berterusan.

Justeru, katanya, beliau tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi dan akan memastikan setiap yang dilakukan berasaskan kemampuan terutama dalam membina budaya baru yang meletak Islam melangkaui kepentingan kuasa.

Asraf berkata, berdasarkan maklum balas diterima daripada masyarakat yang menghadiri sesi ceramahnya yang sudah bermula, mereka menerima pendekatan digunakan untuk menonjolkan imej Islam tidak berasaskan kebencian.

Calon Parlimen Parit, Mohd Nizar berkata, keperluan kepada pemimpin aliran agama adalah untuk membantu kerajaan memberi penjelasan dalam pelbagai isu dan pada masa sama, melaksanakan tugas dakwah mengajak mereka melakukan kebaikan.

Bekas Pengetua Maahad Al-Aziz itu berkata, tidak dinafikan calon memiliki ilmu agama mudah untuk mendekati seterusnya diterima masyarakat kerana kecenderungan mereka yang menginginkan manfaat daripada pembangunan dunia dan akhirat.

"Pemimpin memikul amanah dan bagi kami yang memiliki latar belakang agama, memang patut untuk bersama pemimpin sedia ada menunaikan amanah dan berusaha mencapai hasrat kerajaan membina modal insan berkualiti demi bangsa, agama dan negara," katanya.

No comments: