Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
Islam iktiraf kajian astronomi secara saintifik, haramkan ramalan astrologi
SETIAP kali munculnya Tahun Baru Cina, ramai di kalangan rakyat yang berminat dengan ramalan dikeluarkan pakar ramal berkaitan tahun yang bakal mendatang berkisar kepada aspek ekonomi, politik, kemasyarakatan dan kehidupan individu.
Budaya ramalan sebegini sebenarnya bukan eksklusif milik kaum Cina saja malah ia wujud dalam masyarakat lain. Masyarakat Arab pada zaman jahiliah juga terpengaruh dengan tilikan tukang ramal sebegini.
Malah, penduduk di negara Barat turut terdorong untuk mempercayai ramalan horoskop. Mereka membahagikan individu mengikut bintang melalui tarikh lahir antaranya Aries, Virgo, Gemini, Sagitarius dan lain-lain.
Menerusi bintang itu mereka meramalkan apa yang bakal berlaku kepada individu berkenaan sepanjang tahun, bulan bahkan setiap hari. Ramalan horoskop sebegini turut diberikan ruangan khusus dalam akhbar harian.
Ini semua membuktikan bahawa hal sebegini mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Jika diteliti asal-usul kebanyakan ilmu ramalan, sebahagian besar daripadanya adalah berpandukan kepada pergerakan bintang di langit atau ilmu astrologi.
Bagi masyarakat Melayu, tukang ramal juga dikenali sebagai ahli nujum. Perkataan nujum berasal daripada bahasa Arab, 'najm' yang bermaksud bintang. Menurut Imam Ibnu Taymiyyah, Tanjim adalah meramal kejadian di bumi berdasarkan petunjuk keadaan bintang.
Jika menyemak firman Allah dalam al-Quran, kita dapati terciptanya bintang di langit dan pergerakannya bukan berperanan untuk menentukan kebaikan atau keburukan perjalanan hidup makhluk Allah di muka bumi ini.
Peranan bintang adalah sebagai perhiasan di langit, penunjuk arah perjalanan dan pelempar syaitan. Ini diperjelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang." - (Surah al-Mulk, ayat 5)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju." - (Surah al-Nahl, ayat 16)
Seorang tabiin terkemuka, Imam Qatadah berpendapat, bagi sesiapa yang melihat hikmah kejadian bintang itu selain daripada tiga perkara di atas termasuk untuk menetapkan atau meramalkan apa yang bakal berlaku menyanggahi syarak.
Katanya, "Penciptaan bintang ini (oleh Allah) hanya untuk tiga hal; penghias langit, pelempar syaitan dan tanda bagi orang untuk mengenali arah. Maka barang siapa menafsirkan selain daripada itu, dia telah salah dan mensia-siakan bahagiannya dan memaksakan diri dalam sesuatu yang dia tidak mengetahuinya." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Ilmu ramalan sebegini atau dikenali sebagai astrologi mencemari kemurnian tauhid dan boleh membawa kepada amalan syirik kerana seseorang yang mengamal atau mempercayainya sudah menyandarkan sesuatu kejadian kepada sesuatu selain daripada kekuasaan Allah dengan meyakini perkara itu boleh membawa mudarat atau manfaat kepada kita.
Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak Allah semata-mata. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal." - (Surah al-Taubah, ayat 51)
Menyandarkan sesuatu musibah itu berlaku bersangkutan dengan gerakan atau kedudukan bintang adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: "Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." - (Surah al-A'raaf, ayat 131)
Mungkin ada yang menganggap tilikan ahli nujum itu benar-benar menjadi realiti, pada hakikatnya dia hanya benar dalam beberapa tilikan saja tetapi salah dalam beribu-ribu tilikan lain. Tilikan yang benar itu pula bukan berdasarkan ilmu yang benar, cuma secara kebetulan bertepatan dengan takdir yang sudah ditetapkan Allah.
Adakalanya tilikan mereka juga dibantu oleh jin yang membisikkan ke telinga pengikutnya dan bisikan jin itu walaupun ada kalanya benar tetapi kebanyakannya dusta dan bertujuan untuk memporak-perandakan hidup manusia.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu kemudian kami dapati ia adalah benar. Rasulullah menjawab: Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan." - (Hadis riwayat Imam Muslim)
Rasulullah SAW sendiri sudah mencela dengan keras ilmu astrologi ini dan memberi amaran bahawa ia termasuk dalam ilmu sihir yang diharamkan. Sabda baginda yang bermaksud: "Barang siapa mempelajari sebahagian daripada ilmu nujum (mengkaji bintang untuk membuat ramalan), maka dia sudah mempelajari sebahagian daripada sihir. Semakin bertambah (ilmu yang dia pelajari), semakin bertambah pula (dosanya)." - (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Di antara perkara yang amat dikhuatiri baginda jika menimpa umatnya adalah menularnya budaya mempercayai ramalan ahli nujum. Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa bagi sesiapa yang menemui tukang ramal termasuk mereka yang menggunakan ilmu astrologi dan mempercayainya maka solatnya tidak diterima selama 40 hari.
Menurut Rasulullah SAW, mempercayai tukang ramal dan ahli nujum adalah salah satu dari perkara yang berbentuk kekafiran. Sewajarnya seluruh umat Islam menghindarkan diri daripada bertemu tukang ramal, membaca ataupun mempercayai ramalan menurut ilmu astrologi sebegini.
Kita wajib meyakini segala ilmu mengenai perkara ghaib seperti perkara yang bakal terjadi pada masa depan hanyalah milik Allah dan makhluk Allah seperti bintang tidak memiliki ilmu ghaib itu.
Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" - (Surah al-Naml, ayat 66)
Bagaimanapun, pengkajian pergerakan bintang, bulan dan matahari bagi menentukan arah angin, kiblat, sesuatu tempat, keadaan cuaca, kiraan hari, taburan hujan mengikuti kaedah saintifik adalah dibenarkan. Islam mengiktiraf penggunaan bintang dalam bidang astronomi dan ilmu falak.
Ibnu Rajab menyatakan bahawa diperbolehkan dalam mempelajari ilmu peredaran bintang dan bukan ilmu pengaruh (kedudukan bintang dalam kehidupan kita) kerana hal itu suatu bentuk kebatilan dan haram baik sedikit mahupun banyak.
Adapun ilmu peredaran bintang jika mempelajari apa yang diperlukan sebagai petunjuk jalan dan mengetahui arah kiblat maka hal itu diperbolehkan oleh majoriti ulama.
Saturday, February 9, 2008
Bintang bukan penentu nasib manusia
Labels:
(A) Mohd Yaakub Mohd Yunus,
Astronomi,
Bintang,
Ramalan,
Sains
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment