Sunday, February 10, 2008

Pengambilalihan SAR, SAN lonjak kecemerlangan pelajar sekolah agama

Oleh Samsudin Awang

USAHA kerajaan memperkasakan institusi pendidikan agama Islam melalui pengambilalihan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) terbukti berjaya melonjakkan kecemerlangan pelajar dengan penyediaan prasarana persekolahan yang lebih berkualiti.

SAR dan SAN yang didaftarkan semula sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Jabatan Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran, menerima peruntukan khas menaik taraf segala infrastrukturnya di samping tenaga pengajar lebih berkelayakan.

Tadbir urus dan pelaksanaan kurikulum SABK juga ditingkatkan melalui peranan Jawatankuasa Lembaga Pengurus Sekolah yang dilantik dan dipantau oleh Kementerian Pelajaran.

Selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan dan prinsip Islam Hadhari yang mengutamakan pembangunan modal insan secara spiritual dan intelektual, perubahan SAR kepada SABK amat jelas menjamin masa depan pendidikan agama berkualiti kepada rakyat.

SAR pertama mendaftar sebagai SABK ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maarif, Felda Bukit Goh, Kuantan yang secara rasmi menjadi SABK pada 25 Disember 2004.

Sekolah berkenaan yang beroperasi sejak 1996 tidak mempunyai bangunan sendiri sebaliknya hanya menumpang di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Goh bagi menampung 35 murid dan tiga guru.

Pada 1998, ia memiliki bangunan sendiri selepas memperoleh bantuan modal RM400,000 daripada Kementerian Pelajaran manakala kawasannya seluas 2.5 hektar adalah tanah Wakaf.

Jumlah pelajar meningkat kepada 265 di dalam 10 kelas dengan guru seramai 12 orang untuk pembelajaran Tingkatan Satu hingga Tiga.

Bagaimanapun, SMA Al-Maarif terpaksa ditutup pada 2002 akibat kekurangan pelajar selepas kerajaan memutuskan untuk tidak lagi menyalurkan bantuan perkapita kepada semua SAR.

Selepas bangunannya dikosongkan, Lembaga Pengurus Al-Maarif meluluskan permohonan Pergerakan Rufaqa (Al-Arqam) untuk menjalankan pengajian mereka di situ.

Namun ia mendapat tentangan penduduk setempat kerana aktiviti Rufaqa banyak menimbulkan masalah sosial menyebabkan Lembaga Pengurus Al-Maarif tiada jalan lain melainkan menyerahkannya kepada kerajaan sebagai SABK.

Sebaik didaftarkan sebagai SABK, sekolah itu menerima peruntukan RM6.3 juta bagi menaik taraf kemudahannya meliputi pembinaan bangunan baru mengandungi makmal sains, bengkel, kelas, surau dan pejabat.

Pada 17 Januari 2005, SMA Al-Maarif dibuka semula sebagai SABK dengan 77 pelajar dan enam guru.

Semua pelajar menerima buku teks percuma dan makanan masak dengan kadar RM12.70 sehari bagi setiap pelajar.

Pada 1 Januari 2008, pelajarnya berjumlah 196 orang selepas peningkatan mendadak permohonan masuk sehingga 350 permohonan untuk 80 tempat pada 2007 dan 600 permohonan untuk 80 tempat bagi kemasukan 2008.

Faktor utama melonjakkan permohonan ke Al-Maarif selepas ia bertaraf SABK adalah prestasi cemerlang yang direkodkan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 apabila ia mencatatkan kelulusan 100 peratus dengan bilangan pelajar yang mendapat 5A, 18 orang.

Pengetua SMA Al-Maarif, Abu Talib Abdullah berkata, sekolah berkenaan berpotensi tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam pendidikan agama dan menjadi SMA yang terbaik di Pahang.

"Menjelang 2010 sekolah ini akan menjadi SABK pertama di negara ini menawarkan aliran Sains Integrasi kepada pelajar Tingkatan Empat.

"Ia dijangka melonjakkan lagi bilangan pelajar bukan saja dari negeri ini malahan dari seluruh negara untuk mendapatkan pendidikan agama yang menggabungkan kurikulum sains tulen, agama dan tahfiz.

"Bagaimanapun, untuk menampung peningkatan itu, sekolah ini memerlukan tambahan prasarana termasuk 15 kelas, makmal dan peralatan komputer," katanya.

No comments: