Wednesday, February 27, 2008
Bersama YaPEIM: Mengekal persaudaraan tugas wajib masyarakat
MENGERAT PERSAUDARAAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin mengacau bubur asyura sempena Program Asyura Perdana Bersama Penduduk anjuran YaPEIM di Besut, Terengganu baru-baru ini. Pendekatan amalan gotong royong menerusi program membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dapat membantu merapatkan lagi hubungan persaudaraan di kalangan umat Islam.
Keikhlasan dalam bersahabat dicapai jika dapat bersih diri daripada kepentingan peribadi
DR Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Bayna al-Juhud wa al-Tatarruf menceritakan bagaimana Hasan al-Banna, seorang tokoh gerakan dakwah di Mesir berjaya menyelesaikan perselisihan membabitkan dua kumpulan berselisih mengenai solat sunat Tarawih.
Satu kumpulan inginkan supaya solat sunat dikerjakan sebanyak 20 rakaat dengan berhujahkan amalan Khalifah 'Umar al-Khattab manakala kumpulan satu lagi mahu solat itu dilaksanakan sebanyak lapan rakaat dengan bersandarkan sunnah Nabi SAW.
Setiap kumpulan mempertahankan hujah dan pendirian masing-masing sehingga mempertikaikan pendapat kumpulan lain. Perselisihan yang hampir-hampir membawa pertumpahan darah itu memaksa Hasan al-Banna mengemukakan persoalan prinsip dalam ajaran Islam.
Beliau bertanya kepada setiap kumpulan mengenai hukum mengerjakan solat Tarawih. Jawapan yang diberikan ialah sunat iaitu mereka yang mengerjakannya mendapat pahala tetapi tidak berdosa jika ditinggalkan.
Seterusnya beliau bertanya mengenai hukum menjaga persaudaraan dalam Islam. Jawapan yang diberikan ialah wajib dan satu kefarduan dalam agama serta cabang iman. Lantas, beliau melontarkan persoalan adakah harus dalam Islam jika meminggirkan perkara wajib untuk mempertahankan perkara sunat.
Justeru beliau meminta mereka beredar dan meninggalkan perselisihan itu jika benar-benar ingin terus berada dalam kesatuan persaudaraan sebenar. Sebagai alternatifnya, beliau meminta mereka mengerjakan solat tarawih di rumah masing-masing bagi mengelakkan perselisihan berulang kembali.
Kisah benar yang dipaparkan al-Qaradawi itu memberi isyarat kepada kita bahawa persoalan persaudaraan adalah perkara penting. Persaudaraan adalah nikmat kurniaan Ilahi kepada manusia yang benar-benar beriman dengan-Nya.
Malah ia juga satu nikmat paling berharga yang tidak ada tolok bandingnya dengan sesuatu pun di dunia ini. Inilah yang difahami daripada firman Allah yang bermaksud: "Dialah (yakni Allah) yang menyatukan hati-hati orang yang beriman walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi nescaya kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka (akan) tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." – (Surah al-Anfal, ayat 63)
Persaudaraan berlandaskan iman dan takwa kepada Allah bukan sekadar nikmat ketika berada di dunia, tetapi rahmat Ilahi kepada hamba-Nya di akhirat. Rasulullah SAW ada menggambarkan suasana di padang mahsyar dengan tujuh golongan yang mendapat rahmat.
Persaudaraan adalah sendi yang menunjangi pembinaan sesebuah masyarakat. Ia juga adalah teras yang menyokong keharmonian hidup dalam masyarakat. Justeru, apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, salah satu agenda utama baginda ialah agenda persaudaraan.
Inilah erti persaudaraan yang sebenar dalam Islam seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara." – (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Ayat itu memberi petunjuk jelas bahawa apabila kita mengaku beriman, kita sebenarnya sudah membuat satu ikatan kukuh berlandaskan kalimah syahadah. Ikatan itu satu bukti tautan hati umat Islam antara satu sama lain tidak kira di mana mereka berada.
Ada beberapa cara bagaimana umat Islam boleh mengekalkan jalinan dan ikatan persaudaraan. Persaudaraan itu perlu dibina atas dasar keikhlasan kerana Allah. Dalam hubungan ini, Rasulullah SAW menceritakan bagaimana seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah kampung.
Dalam perjalanannya, Allah menitahkan malaikat untuk menunggu lelaki itu. Apabila malaikat bertemu dengan lelaki itu lantas diajukan pertanyaan, "Ke manakah kamu hendak pergi?" Lelaki itu menjawab, "Aku mahu menemui saudaraku di kampung ini." Malaikat bertanya lagi, "Adakah kamu sedang berusaha untuk mengambil sesuatu nikmat kepunyaan kamu daripadanya?" Lelaki itu menjawab, "Tidak! Aku cuma mengasihinya kerana Allah" Malaikat itu menyatakan, "Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi kamu sebagaimana kamu mengasihinya kerana Allah."
Keikhlasan dalam bersaudara mampu dicapai jika seseorang itu dapat membersihkan dirinya daripada sebarang kepentingan peribadi. Walau bagaimanapun, fenomena masyarakat kita hari ini, ada yang mengaku bersaudara jika mahu mendapatkan sesuatu daripada orang lain.
Ada yang bersaudara mengikut musim tertentu. Apabila tiba musim, barulah menampakkan diri dan bertanya khabar. Persaudaraan jenis bermusim ini selalunya tidak kekal dan tahan lama. Persaudaraan yang cuba dijalin tidak bersendikan keikhlasan kepada Allah.
Persaudaraan yang berkekalan ialah persaudaraan yang boleh membantu membina kekuatan iman. Rasulullah SAW berpesan yang maksudnya, "Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri."
Di samping itu, persaudaraan sejati ialah persaudaraan yang boleh memacu diri supaya terus melakukan amal salih melalui pendekatan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Inilah yang dimaksudkan firman Allah: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan berpesan-pesan dalam kesabaran." – (Surah al-'Asr)
Prof Hamka ketika menanggapi ayat ketiga dalam surah itu merumuskan, hidup berpesan-pesan dalam masyarakat adalah inti kebahagiaan hidup bermasyarakat. Hidup secara nafsi-nafsi amat merugikan.
Oleh itu pada pandangan beliau, kita perlu menghubungkan tali kasih sayang sesama manusia dengan memberi peringatan yang benar supaya perkara benar itu dapat dipertahankan dan dimartabatkan bersama. Manakala perkara salah dapat dihindar dan dijadikan sempadan.
Rasulullah SAW mengajarkan supaya kita memupuk persaudaraan dalam semua keadaan sama ada senang atau susah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Bandingan orang mukmin dalam kasih sayang dan sayang menyayangi adalah laksana satu jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit maka ia turut dirasa oleh seluruh anggota yang lain dengan demam dan berjaga malam."
Itulah fitrah dan nikmat persaudaraan dalam Islam. Kita tidak akan rugi jika terus memelihara persaudaraan. Kita tidak perlu menggadai harga persaudaraan dengan perkara remeh temeh. Kita tidak perlu meletakkan persaudaraan di tahap tidak bernilai kerana berlainan pandangan, fahaman dan pendirian.
Kita tidak perlu membakar jaringan persaudaraan demi menegakkan benang basah. Semoga kita terus menjaga persaudaraan dalam suasana dan keadaan kita menentukan kepemimpinan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment