Tuesday, February 26, 2008

Ufuk Minda: Gandingan pemimpin wibawa, pengikut peka cetus kemajuan

Bersama Dr Sidek Baba

PEMIMPIN dan pengikut mempunyai jalur pengaruh yang saling memberi kesan. Pemimpin yang melihat tanggungjawab kepemimpinan sebagai suatu taklif akan sentiasa menghubungkan amanah kepemimpinan dalam semangat khalifah.

Pengikut pula mempunyai amanah besar menentu dan membantu supaya kepemimpinan berada di landasan yang betul. Manfaat kepemimpinan serta pengikut dapat memberi kesan seimbang terhadap proses kemajuan dan perubahan.

Kepemimpinan dalam masyarakat majmuk mempunyai dimensi lebih luas. Keragaman dan kepelbagaian menuntut pendekatan bijaksana supaya faktor penting seperti hak asasi, keadilan, kesejahteraan dijadikan landasan.

Kepemimpinan dalam tradisi Islam harus mempunyai kualiti ihsan dan insan. Keihsanan memberi kesan langsung hubungan manusia dengan Allah dan keinsanan adalah tanggungjawab yang perlu disempurnakan terhadap negara dan sistem.

Rasulullah SAW memberikan asas ihsan iaitu dalam melakukan kerja yang bersifat ibadat walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi berasakan Allah sentiasa melihat kita. Asas ini dirakamkan dalam firman Allah bermaksud: "Kemuliaan dan kecemerlangan disisi-Nya asasnya ialah ketakwaan." (Surah al Hujurat, ayat 13)

Pemimpin berjiwa muttakin sentiasa menginsafi bahawa daya kepemimpinan dan aktiviti kepemimpinannya sentiasa berlandaskan kepada takwa akan cenderung menjadikan Allah sebagai pedoman, al-Quran sumber petunjuk dan Rasulullah SAW teladan Qurani.

Asas ini memberi keyakinan kepada pemimpin bahawa Islam bukan hanya sebagai suatu sistem kepercayaan, tetapi mencorak kehidupan secara sistematik. Cabaran kepemimpinan Islam dilihat daripada keupayaannya menterjemah prinsip dan ajaran murni al-Quran ke dalam realiti dan sistem.

Pancaran akidah yang dimiliki kepemimpinan Islam tidak hanya terlihat kepada keyakinannya terhadap Allah, tetapi terlihat dalam kerangka membangun diri, masyarakat dan sistem yang sifatnya memperkasa.

Membangun ilmu yang sifatnya bersepadu adalah langkah memperkasa, menyediakan modal insan yang arif dalam hal keagamaan dan pada masa sama pakar dalam pengurusan sistem. Aplikasi keilmuan dan pendidikan Islam tidak saja melahirkan pemikiran besar, juga memiliki keupayaan memperkasa ilmu bersepadu.

Keperluan umat Islam kini ialah proses keilmuan dan pendidikan yang membuka jalan membangunkan modal insan secara seimbang. Pendidikan mekanistik didorong kesedaran nilai dan etika Islami boleh mencetuskan perubahan bermakna yang membimbing ke arah pembinaan tamadun.

Globalisasi yang mendatangi umat kini memerlukan upaya penyaringan yang tinggi disamping alternatif terbaik bagaimana penyelesaian terhadap model Islam dapat dilakukan secara bijaksana, strategik dan profesional.

Di sinilah perlunya wibawa pengikut yang tidak saja mampu memilih kepemimpinan sezaman, tetapi membantu kepemimpinan melakukan agenda kemajuan dan perubahan. Sifat Islam itu sendiri adalah dinamik dan cenderung ke arah perubahan.

Jiwa islah dan tajdid adalah syarat penting melihat masalah umat terkini dan memberikan jawapan yang komprehensif bagaimana alternatif dapat diberi dan pada masa sama dukungan pengikut membolehkan agenda pembaharuan berlaku.

Pengikut yang arif berasakan wibawa kepemimpinan penting dalam menempatkan diri di gelanggang terpilih. Ia merujuk kepada asas keilmuan yang baik, memiliki akhlak contoh, keupayaan menawarkan khidmat terbaik dan mampu memikir serta mencari pendekatan terhadap masalah kepemimpinan dan pengikut dengan bijaksana.

Ada pemimpin yang mempunyai idealisme tinggi, tetapi kurang memahami realiti lalu hilang kebijaksanaan membangun umat. Wujud juga kepemimpinan yang pragmatik, tetapi tandus dengan idealisme lalu hilang arah dalam hala tuju kepemimpinan.

Umat Islam memerlukan kepemimpinan yang didukung oleh idea segar bersumberkan al-Quran, memiliki upaya bijaksana memahami realiti dan melakukan aktiviti kepemimpinannya dengan bijaksana serta strategik. Kepemimpinan jenis ini amat diperlukan oleh umat masa kini.

Umat Islam memerlukan kepemimpinan yang amanah, adil, bijaksana dan memiliki teladan tinggi yang boleh dicontohi.

Begitu juga dengan pengikut supaya rasional dan bertimbang rasa bagi menentukan perubahan serta kemajuan tetap berlaku. Gandingan pemimpin berwibawa dan pengikut yang peka bakal merintis jalan ke arah sinergi lebih bermakna untuk perubahan dan kemajuan.

No comments: