Saturday, February 16, 2008

Calon latar belakang agama diiktiraf

Oleh Hasliza Hassan

DARI kiri, Mashitah, Pirdaus dan Amran

Rakyat lebih percaya kepada kebolehan ustaz, ustazah mewakili Barisan Nasional

TOKOH agama adalah antara calon dipilih untuk bertanding pada pilihan raya tidak kira sama ada membabitkan parti komponen Barisan Nasional (BN) atau pembangkang. Pada pilihan raya kali ini juga, tidak mustahil akan tampil beberapa muka baru di kalangan mereka yang berpendidikan agama.

Strategi mengetengahkan calon muka baru daripada aliran agama yang dilaksanakan BN pada pilihan raya umum 2004 umpamanya, menimbulkan pelbagai reaksi terutama daripada pihak lawan yang mula rasa tergugat.

Mana tidaknya, jika dulu calon aliran agama cenderung dikaitkan dengan parti pembangkang seperti Pas, tetapi sekarang tidak lagi kerana BN juga ada tokoh pemimpin daripada latar belakang pendidikan agama yang sedia berkhidmat untuk rakyat.

Lebih meruncing dan mengelirukan apabila pihak pembangkang mengutarakan hujah - pilih pembangunan dunia atau akhirat. Tetapi terbukti rakyat lebih bijak untuk membuat pilihan.

Kemenangan tokoh agama yang mewakili BN menjadi bukti jelas rakyat percaya dengan kemampuan 'ustaz' dan 'ustazah' yang ditampilkan.

Malah, kecemerlangan calon mendapat majoriti besar menunjukkan pengundi menyokong perjuangan BN memartabatkan pendekatan 10 prinsip Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru, kehadiran pemimpin aliran agama terdiri daripada pendakwah, imam, ahli akademik sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada pilihan raya umum lalu boleh dikatakan 'langkah yang betul pada waktu yang betul'.

Kehadiran pendakwah dan tokoh agama yang berganding bahu dengan pemimpin sedia ada menjadikan Pilihan Raya Umum 2004 itu lebih menarik apabila tumpuan terus menyuluh kepada calon yang dipertandingkan.

Mereka ialah bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail yang bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh, bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim bertanding di Baling dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad di Pasir Putih.

Pada peringkat DUN pula, bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amran Kasimin bertanding di Bangi, bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Perak yang mengendalikan kolum soal jawab agama di Berita Minggu, Najmuddin Elyas Al-Hafiz bertanding di Batu Kurau.

Selain mereka, ramai lagi pegawai agama, bekas kadi dan pendakwah yang diketengahkan pada peringkat negeri dalam usaha mengimbangkan antara pemimpin dan ulama.

Keputusannya, Mashitah mengalahkan bekas Imam Besar masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib dengan majoriti 4,100 undi dan Amran mengalahkan calon Pas, Dr Shafie Abu Bakar dengan majoriti 3,708 undi.

Calon BN Parlimen Parit Buntar, Menteri di Jabatan Perdana ketika itu, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin mengalahkan calon Pas, Datuk Dr Hassan Mohd Ali dengan majoriti 4,698 undi, sementara Datuk Dr Abdullah Md Zain, pada masa itu memegang jawatan Timbalan Rektor Kolej Universiti Islam Malaysia, bertanding di Parlimen Besut mengalahkan pemimpin kanan Pas Nasharuddin Mat Isa dengan majoriti 500 undi.

Itu belum dicampur lagi dengan kekalahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kawasan Parlimen Marang, Datuk Mustafa Ali (Parlimen Dungun dan DUN Pengkalan Berangan), Mahfuz Omar (Parlimen Pokok Sena), Mohamad Sabu (Parlimen Kuala Kedah), Datuk Dr Haron Din (Parlimen Arau dan DUN Tambun Tulang) serta Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (Parlimen Bukit Gantang) yang bukan dengan calon daripada tokoh agama.

Bagaimanapun, keputusan di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang yang menyaksikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalahkan pencabarnya, Pirdaus dalam usaha BN menawan kembali kawasan yang menjadi kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Yang penting, walaupun tewas, ia tidak melemahkan semangat Timbalan Ketua Umno Permatang Pauh itu untuk terus bergiat aktif dalam politik. Sebaliknya, beliau menyifatkan kejayaannya memperoleh undi besar dengan hanya perbezaan 590 undi sebagai detik permulaan dalam karier politiknya.

Baru-baru ini, beliau yang dihubungi memberitahu makin ramai penduduk Permatang Pauh boleh menerima beliau yang sebolehnya berada di kawasan itu setiap minggu untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

"Jika dulu nak salam pun payah, tetapi sekarang makin ramai hulur tangan dan nampak hasrat rakyat mahukan perubahan. Tetapi, Umno dan BN tidak boleh alpa sebaliknya usaha perlu diteruskan untuk mengukuhkan kedudukan," katanya.

Bagaimanapun, mengenai calon yang akan bertanding di kawasan itu, seperti juga pemimpin lain, Pirdaus menyerahkan kepada kebijaksanaan Presiden parti untuk menentukannya. Baginya, jika tersenarai, beliau tidak akan menolaknya kerana ia adalah amanah dan penghormatan yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Jadi, siapa kata orang agama tidak boleh terbabit dalam bidang politik, sedangkan Rasulullah SAW sendiri seorang ahli politik yang dikagumi serta dihormati kerana keilmuwan dan kesungguhan berkhidmat kepada masyarakat yang meyakini kepemimpinannya.

Sebagai pemimpin serta ketua, Rasulullah SAW juga mementingkan pembangunan dan pentadbiran yang cekap untuk memastikan kelangsungan perjuangan Islam. Oleh itu, agenda negara perlu membawa kepada agenda pembangunan dan pentadbiran yang cekap.

Kelebihan bagi BN yang sememangnya membawa agenda pembangunan ialah apabila diberi tanggungjawab itu kepada tokoh agama, ia menjadi satu pakej lengkap, pembangunan yang diiringi nilai murni mengikut syariat Islam.

Tidak dinafikan, di sebalik kelebihan itu menanti pula tanggungjawab berat kerana pemimpin kalangan tokoh agama yang dihormati kerana ilmunya pasti tidak mahu imej mereka terjejas disebabkan politik yang sering dikaitkan dengan kekotoran.

Inilah masanya untuk mereka meneruskan perjuangan dan membuktikan bahawa masih ada politik bersih melalui pantulan daya kepemimpinan yang dicerminkan bukan saja daripada kata-kata, juga tindakan memenuhi janji kepada rakyat.

Persoalannya apakah episod menarik 2004 akan berulang pada pilihan raya kali ini? Semuanya terpulang kepada calon yang akan diketengahkan, sama ada jumlah tokoh agama sama seperti dulu atau mungkin akan ada pertambahan.

No comments: