Saturday, November 29, 2008

Program motivasi bantu remaja fasih baca al-Quran

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


DARI kiri, Mohd Nasir Rustam, Muhammad Aqif dan Mohd Amir Farhan.


Peserta anggap kegiatan dilaksana bantu pelajari ibadat wajib serta cabar kekuatan diri

SEMUA mengakui asalnya pemergian mereka mengikuti program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah anjuran Tahsin Al-Quran Training Centre adalah kerana dihantar ibu bapa bagi mengisi waktu cuti sekolah.

Namun, selepas dua minggu berada di Kem Herba Sungai Congkak, Hulu Langat, perasaan 'terpaksa' pada mulanya bertukar menjadi seronok kerana banyak pengalaman serta pengetahuan yang ditimba di sana.

Adik beradik Mohd Amir Farhan Ampandi, 14, dan Muhammad Aqif Ampandi, 11, yang pertama kali mengikuti kem belajar al-Quran melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana membuka peluang untuk mereka mendalami ilmu membaca al-Quran dan ilmu fardu ain.

"Masa bapa saya kata hendak hantar mengikuti program ini saya tidak mahu kerana tidak tahu apa yang akan dibuat di sini. Tetapi apabila mengikuti program membaca al-Quran dan belajar solat, hati mula rasa seronok.

"Suasana di sini juga menyeronokkan kerana kami bukan saja belajar membaca al-Quran tetapi juga melakukan aktiviti riadah seperti mandi sungai, meredah hutan dan didedahkan kepada ajaran Islam antaranya kepentingan menunaikan solat," katanya.

Beliau yang bergiat aktif dalam suka skuasy dan menjuarai Penang International Junior Championship 2008 untuk kategori 11 tahun baru-baru ini berkata, perkhemahan itu memberi pendedahan baru kepada aktiviti selain daripada latihan di gelanggang skuasy.

Pendapat itu disokong Mohd Amir Farhan, yang juga aktif dalam sukan skuasy, yang berazam meneruskan usaha meningkatkan kefasihan membaca al-Quran selepas tamat mengikuti program selama dua minggu itu.

"Dulu saya tidak fasih membaca al-Quran dan dengan pertolongan fasilitator, kini saya boleh membaca al-Quran dengan lancar. Malah, saya dapat menghafal dengan mudah. Saya suka aktiviti meredah hutan sambil berzikir," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Intan Suhana Azri berkata, program Motivasi al-Quran Ala Madrasah adalah pengalaman baru yang mencabar kekuatan diri.

"Tiga hari pertama berada di kem ini memang susah bagi saya terutama untuk berkongsi chalet dengan kawan-kawan tetapi apabila sudah saling kenal mengenali dan mengikuti aktiviti harian, saya mula merasa keseronokannya.

"Dulu tidak banyak yang saya tahu mengenai Islam dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kini saya gembira kerana banyak perkara dipelajari terutama kepentingan solat dan membaca al-Quran. Saya rasa semakin dekat dengan Allah SWT," katanya.

Peserta yang sudah empat kali mengikuti program anjuran Tahsin Al-Quran Training Centre itu, Faizul Ilmi Fikri, 13, berkata keseronokan padanya ialah apabila dapat mempelajari al-Quran dan menunaikan solat berjemaah.

Disebabkan perkhemahan itu memberi peluang meningkatkan kemahiran dalam pembacaan al-Quran dan mempelajari perkara lain berkaitan ibadat wajib, beliau meminta ibu bapanya membenarkan mengikuti program berkenaan setiap kali cuti sekolah.

"Selalunya apabila cuti sekolah saya mesti merayau bersama kawan menunggang basikal. Paling penting, di kem ini saya boleh memperbaiki tajwid dan membaca al-Quran dengan baik," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, beliau tetap meneruskan amalan yang dilakukan di kem sekembalinya di rumah seperti menjadi imam solat berjemaah kepada adik-adiknya serta membaca al-Quran.

Pengasas program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah, Mohd Nasir Rustam al-Hafiz, berkata modul latihan yang dianjurkan bertujuan melahirkan anak yang menjadikan al-Quran sebagai budaya hidup di samping menerapkan nilai murni dalam kehidupan.

Beliau berkata, program yang diadakan di pusat rekreasi itu juga sebagai alternatif kepada bentuk percutian yang boleh dirancang ibu bapa untuk anak mereka iaitu bercuti sambil menimba ilmu mengenai al-Quran.

"Kami yakin ibu bapa tidak mahu anak mereka menghabiskan cuti sekolah yang panjang dengan sia-sia. Oleh itu, kami menganjurkan perkhemahan yang memberi peserta pengalaman menikmati suasana riadah sambil mendapat pengetahuan tambahan.

"Di sini kami bukan mencari peserta yang pandai membaca al-Quran tetapi mengajak mereka meningkatkan kefasihan membaca dengan bimbingan fasilitator. Ada yang tidak tahu membaca al-Quran, di sini mereka diajar asas untuk mendalami ilmu itu," katanya.

Seramai 218 peserta dari seluruh negara berumur antara sembilan hingga 16 tahun mengikuti program perkhemahan menyerupai pengajian di madrasah selama dua minggu bermula 16 November dan berakhir hari ini.

Program masuk tahun ketujuh itu mendedahkan peserta ilmu tajwid, kepentingan menunaikan solat dan ilmu fardu ain melalui kaedah pembelajaran latihan dalam kumpulan kecil serta bengkel.

Maklumat lanjut mengenai program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah boleh diperoleh dengan menghubungi Mohd Nasir di talian 019-6955930 atau layari laman web www.tahsinquran.iklan-power.com

Doa 'senjata' Muslim bantu elak musibah, mohon keinginan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

KEHIDUPAN di dunia penuh dengan pelbagai dugaan, ujian dan cabaran. Suka duka dan pahit getir menjadi asam garam kehidupan manusia sepanjang hayatnya. Dustalah jika ada yang berani berkata hidupnya sentiasa bahagia tanpa sebarang masalah.

Sebagai khalifah di bumi ini, manusia sentiasa diuji Allah SWT untuk melihat sejauh mana keimanan kita kepada-Nya. Apakah kita ini seorang yang bersikap sabar dan kental hatinya atau mudah goyah imannya apabila diuji dengan pelbagai dugaan.

Ujian Allah SWT kepada hamba-Nya meliputi semua peringkat usia dan golongan, tidak kira tua muda, miskin kaya mahu pun pemimpin terkenal atau rakyat biasa. Semuanya tidak terkecuali daripada mendapat ujian Allah SWT.

Dalam apa keadaan sekali pun, sama ada diuji atau tidak, kita patut memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT yang tidak pernah putus memberi rahmat serta nikmat.

Justeru, hendaklah selalu berdoa kepada Allah SWT supaya kita terus diberi rahmat, nikmat serta pertolongan Allah SWT terutama apabila berhadapan dengan ujian hidup. Ibnul Qayyim berkata, doa adalah saranan paling kuat untuk mencegah musibah dan mencapai apa diinginkan.

Berdoa adalah suara pengharapan, pergantungan dan pertolongan seorang hamba kepada Pencitpanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hanya kepada Engkau yang kami abadikan diri, dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan." (Surah al-Fatihah, ayat 5)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) berdoa kepada yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu akan jadilah engkau dari orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)." (Surah Yunus, ayat 106)

Doa adalah satu bentuk ibadah kepada Allah SWT. Menurut al-Asqari, doa adalah permohonan kepada Allah SWT supaya Dia mendatangkan sesuatu yang bermanfaat dan menjauhkan daripada segala bentuk kemudaratan.

Dr Wahbah Juhaily dalam Tafsir al-Wajiz mengatakan, doa secara istilah adalah meminta kemanfaatan dan menolak kemudaratan. Dan pada dasarnya, doa termasuk dalam ibadah.

Kebiasaannya kita hanya berdoa apabila ditimpa kesusahan atau menghadapi masalah. Memang pun di saat itu kita amat perlukan pertolongan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong, yakni merasa mereka boleh menyelesaikan sendiri masalah tanpa mengharapkan pertolongan Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Memang pun Allah SWT cukup menyukai hamba-Nya yang berdoa apabila ditimpa kesusahan atau mendapat musibah, akan tetapi ada di kalangan hamba Allah SWT yang lupa diri setelah terlepas daripada kesusahan atau musibah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apabila manusia ditimpa kesempitan, dia berdoa kepada Tuhan-Nya, dalam keadaan bersungguh-sungguh untuk kembali kepada-Nya. Kemudian apabila dia dianugerahi dengan nikmat daripada-Nya, dia lupa doa yang dipohon kepada Tuhannya sebelum itu dan dia menjadikan untuk Allah gandingan untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 8)

Membicarakan soal doa, dalam catatan sejarah Islam ada kisah daripada Anas, diriwayatkan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW menziarahi seorang lelaki Muslim yang keadaan tubuhnya sangat lemah.

Rasulullah SAW bertanya: "Pernahkah engkau memohon sesuatu dalam doamu? Lelaki Muslim itu menjawab: Ya. Saya sering berdoa: Ya Allah, apa pun hukuman yang hendak Engkau timpakan kepadaku di akhirat, maka segerakanlah menimpakan kepadaku di dunia."

Rasulullah SAW berkata, "Subhanallah! Engkau takkan kuasa menanggungnya. Alangkah baiknya jika engkau berdoa: Ya Allah, berikanlah kebaikan kepada kami di dunia dan kebaikan pula di akhirat, serta jauhkan kami dari seksa neraka." Kemudian Baginda SAW mendoakan lelaki itu sehingga Allah SWT memberikan kesembuhan kepadanya.

Kisah itu jelas menunjukkan keberkatan doa yang dipohon. Adalah dianjurkan berdoa untuk memohon kebaikan bukan keburukan sama ada untuk diri sendiri atau orang lain.

Satu hakikat yang perlu kita fahami ialah apabila hari ini kita berdoa memohon disembuhkan penyakit misalnya, tidak semestinya esok atau lusa Allah makbulkan permintaan itu. Ada yang memakan masa panjang. Apa pun kita perlu bersabar kerana doa orang mukmin dimakbulkan Allah.

Lambat atau cepat Allah makbulkan doa kita itu adalah dalam ketentuan-Nya. Kita hendaklah bersangka baik kepada ketentuan Allah. Janganlah kita berhenti daripada berdoa walau pun hidup tidak berada dalam kesusahan atau dibelit masalah.

Semasa senang jangan lupa berdoa kepada Allah serta mensyukuri nikmat-Nya. Jika senang, berdoalah supaya Allah murahkan lagi rezeki yang halal dan berkat di masa depan sementara yang bahagia memohon dipanjangkan kebahagiaan itu. Mereka yang sihat berdoalah supaya sentiasa diberikan kesihatan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Doa itu bermanfaat terhadap kejadian yang sudah berlaku atau kejadian yang belum berlaku. Oleh itu, wahai hamba Allah, hendaklah kamu berdoa." (Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain)

Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah melainkan berdoa." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi)

Berbakti kepada ibu bapa diberi ganjaran besar

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Pengorbanan membesarkan, kasih sayang kepada anak tidak mungkin dapat dibalas

IBU bapa adalah sepasang insan yang paling istimewa dalam kehidupan kerana tanpa mereka, tidak adalah kita di dunia ini. Kedua mereka sanggup berkorban segala-galanya demi melihat kebahagiaan dan kesejahteraan kita.

Jasa serta pengorbanan mereka terlalu besar dan mustahil dapat seseorang anak itu untuk membalas atau membayarnya. Justeru, seseorang anak wajib menghormati serta mentaati mereka.

Menjaga dan memelihara semasa mereka tua adalah sesuatu amal yang sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT. Kisah diriwayatkan pada zaman Nabi Sulaiman sewajarnya menjadi renungan untuk kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia ini,

Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana di antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin supaya tenang dan tenang pula samudera itu.

Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah daripada permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah SWT, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya Baginda melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.

"Siapakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan. "Aku adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan. "Bagaimana engkau boleh memperoleh karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda itu menceritakan riwayatnya hingga memperoleh karomah dari Allah SWT boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan mengendongnya ke mana juga dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya.

Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya," tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman kagum terhadap pemuda itu. "Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah SWT tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah," kata pemuda itu.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, "Bagaimana Allah memberi makan kepadamu? Jawab pemuda itu: "Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman yang berasa semakin hairan. Kata pemuda itu, "Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam."

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Demikianlah berkat dan mulia hidup seseorang anak yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya.

Jangan abaikan mereka walaupun kita kini sudah besar dan berjaya dalam kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sembahlah Allah, jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan dengan kedua-dua orang tua (kamu) hendaklah berbuat baik." (Surah an-Nisa, ayat 36).

Manakala dalam surah al-Israk, ayat 23, Allah berfirman yang bermaksud: "Bilamana seorang

daripada mereka atau kedua-duanya sudah mencapai usia tua di sisi kamu, maka janganlah kamu katakan kepada mereka perkataan 'uh' dan janganlah kamu mengherdik mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah sayap kamu bagi mereka (merendah diri) sebagai tanda kasih sayang."

Wednesday, November 5, 2008

Peguam Syarie Menulis: Menguatkuasa undang-undang penjualan minuman keras lebih ketat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Masyarakat Islam perlu diberi kesedaran mengenai kesalahan jenayah syariah

SETIAP hari kita akan membaca di akhbar mendapati banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di negara kita. Peraturan yang berkuatkuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit atau lesen terlebih dulu.

Pemohon juga perlu mengiklankan hasratnya bagi mengetahui sama ada wujud bantahan oleh orang ramai atau sebaliknya. Tujuan peraturan itu memang baik bagi mengawal, memantau dan menyelia penjualan minuman memabukkan secara berleluasa sejajar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Namun hakikatnya, masih banyak kedai yang menjual minuman memabukkan secara terbuka. Malah ia mudah diperoleh walaupun oleh orang beragama Islam. Natijahnya, objektif peraturan yang disebut di atas tidak kesampaian.

Penjualan minuman memabukkan yang berleluasa ini mendatangkan keresahan di kalangan orang Islam khususnya apabila premis menjual arak itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan yang majoritinya didiami orang Islam atau di premis yang dibuka 24 jam sehari, memungkinkan orang Islam membelinya tatkala tiada ramai pengunjung kedai itu.

Malah kegusaran itu ditambah lagi apabila kita mendapati minuman memabukkan itu diletakkan sebaris dengan minuman lain. Seolah-olah sensitiviti umat Islam langsung tidak diambil kira dalam hal ini kerana pekedai hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Penulis banyak menerima rungutan berhubung perkara itu dan ada yang begitu kesal kerana kadang-kadang secara tidak sengaja menyentuh barangan diharamkan agama. Bukan itu saja, sebahagian permit yang diberikan juga menganjurkan perlakuan jenayah di sisi undang-undang.

Umpamanya seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan: 18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) pula memperuntukkan: Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ini bermakna bukan saja meminum memabukkan seperti arak adalah salah di sisi undang-undang, malah orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan juga melakukan jenayah menurut enakmen sama. Malah, dalam kategori kedua ini hukumannya adalah lebih berat berbanding kategori pertama.

Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan seperti arak dan sudah sewajarnya memberi syarat khusus bahawa kakitangan yang terbabit dalam membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan hendaklah daripada kalangan bukan Islam.

Hormatilah agama Islam seperti mana bukan Islam menagih orang Islam menghormati agama mereka. Penghormatan penting bagi menjamin keharmonian masyarakat khususnya masyarakat pelbagai bangsa, ras dan agama.

Adalah tidak adil kepada pekerja beragama Islam yang terpaksa membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan bagi pihak majikannya.

Hasilnya, pihak majikan mendapat keuntungan daripada jualan minuman memabukkan itu manakala pekerja yang terpaksa menjual pula menanggung risiko melakukan jenayah di sisi Enakmen Jenayah Syariah.

Sudah tentulah ia tidak adil dan memudaratkan umat Islam secara keseluruhannya. Apatah lagi jika majikan itu bukan Islam, mereka menikmati imuniti daripada Enakmen Jenayah Syariah.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyarankan jika lesen penjualan minuman memabukkan diberikan, pihak berwajib perlu mengawal bilangan lesen diberikan di sesuatu tempat, memastikan syarat majikan tidak boleh memaksa, mengarah pekerja Islam mengendalikan penjualan arak sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam.

PGSM sedar saranan ini sudah tentu akan menimbulkan pelbagai reaksi sama ada di kalangan orang Islam dan bukan Islam, tetapi inilah hakikat yang perlu diutarakan dan diinsafi setiap rakyat.

Sudah tentu ada yang menyatakan syarat disyorkan hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan orang Islam. Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah yang ingin digunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan. Adakah lebih baik menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati Allah.

Malah sektor pekerjaan di negara ini sebenarnya masih terbuka luas bagi mencari rezeki yang halal dan diberkati. Hanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk merebut peluang. Ini terbukti kerana ada ramai pendatang asing yang datang ke negara kita mencari rezeki melalui saluran dibenarkan undang-undang atau sebaliknya.

Jika di negara kita kurang pekerjaan, sudah tentu mereka tidak berpusu-pusu datang ke Malaysia mencari rezeki. Cuma, mungkin orang Islam terlalu memilih sektor pekerjaan yang mementingkan imej dan kesenangan kerja.

Ia sebenarnya tidak selaras dengan kehendak hukum syarak yang menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencari rezeki. Penulis teringat hadis diriwayatkan apabila Rasulullah melihat tangan seorang sahabat yang bengkak.

Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat itu kenapa tangannya bengkak. Lalu sahabat tadi menjawab: "Wahai Rasulullah, tangan inilah yang memberi makan isteri dan anak-anakku. Lantaran Rasulullah SAW membalas: Tangan itu tidak akan dibakar oleh api neraka."

Ini bermakna walaupun sesuatu pekerjaan sukar dan boleh mendatangkan ketidakselesaan, demi mencari rezeki bagi menyara keluarga, pekerjaan itu sebenarnya mulia di sisi agama.

Berbalik kepada penjualan minuman memabukkan, sudah sampai masanya bagi pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya untuk mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberi pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat, memberi peluang pekerja Islam menunaikan solat tanpa didenda atau sebagainya dan tidak dipaksa memegang benda diharamkan.

Sebenarnya ini kebebasan mengamalkan agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

PGSM juga meminta pihak berkuasa agama di negeri yang menguatkuasakan seksyen 18 itu dengan ketat. Ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kesalahan seperti dinyatakan di atas.

Mungkin ramai di kalangan umat Islam termasuk pihak penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan sendiri yang tidak menyedari kewujudan peruntukan itu. Sudah tiba masanya untuk bergerak melaksanakan peruntukan yang sudah lama wujud ini.

Masyarakat Islam perlu tahu hak dan tanggungjawab sebagai orang Islam. Bukanlah tujuan kita untuk memporak perandakan masyarakat tetapi hanyalah sekadar menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang mengabsahkan kedudukan tinggi undang-undang dan agama Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari lama web www.peguamsyarie.org

Pemuda berakhlak pewaris bangsa tonggak kemakmuran negara

Oleh Penulis Khas YaPEIM

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah, orang yang jika mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang yang mereka khuatir terhadap kesejahteraannya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan supaya mereka berbicara dengan perkataan yang benar.” (Surah an-Nisa’, ayat 9)

Ayat ini mengajar kita sentiasa mempersiapkan pewaris bangsa atau generasi pemuda yang berkeperibadian tinggi, berakhlak mulia dan sihat.

Apakah ciri yang harus dimiliki generasi muda supaya tidak termasuk golongan lemah. Kriteria pemuda berkeperibadian mulia seperti digambarkan dalam lapan perkara diwasiatkan Lukman kepada anaknya diceritakan al-Quran.

Lapan perkara itu ialah larangan mempersekutukan Allah yakni keimanan yang teguh kepada Allah; berbuat baik kepada kedua orang tua; memperbanyakkan amal kebajikan walau kecil sekalipun; mendirikan solat; menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar; bersabar; tidak sombong dan angkuh serta bersikap sederhana dan lemah lembut dalam tutur kata.

Mempersekutukan Allah adalah dosa besar atau juga disebut sifat zalim yang maha besar. Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni dosa selain itu bagi siapa yang Dia kehendaki.

Pada era ini, pelajar atau mahasiswa sebagai generasi pemuda yang bakal memimpin negara perlu berwaspada terhadap penyusupan unsur pengaburan akidah melalui pelbagai pendekatan.

Paling tidak generasi yang lemah atau dangkal tafsirannya mudah terlena dengan buaian serta umpanan nafsu.

Serangan itu bukan saja melemahkan, malah menjadikan generasi muda meninggalkan kegiatan yang jelas makruf seperti solat, belajar dan perkara positif lain sebaliknya mengutamakan perkara melalaikan serta merosakkan pemikiran. Allah melarang kita tunduk kepada hawa nafsu kerana boleh membawa kepada perbuatan syirik yang akhirnya tertutup daripada hidayah Allah.

Umpan ditabur bukan hanya bertujuan memesongkan akidah dan pemikiran, malah kandangkala memberikan sedikit kekeliruan yang boleh membuatkan generasi muda mulai mempertikaikan nilai Islam, sunnah Rasulullah SAW dan hukum agama yang jelas termaktub dalam al-Quran.

Jangan kerana terpana dengan teori diperkenalkan atas nama Barat dan moden, kita tersesat secara sedar atau tidak. Paling membimbangkan ialah ini boleh menjerumuskan kita kepada syirik yang akhirnya tidak akan mendapat pengampunan Allah.

Satu perbuatan jelas makruf yang diperintahkan Allah adalah berbuat baik kepada kedua orang tua kerana pengorbanan mereka mendidik dan membesarkan kita tidak ternilai harganya.

Setinggi mana pun pencapaian serta kedudukan, kita tentu tidak terlepas daripada sokongan dan dukungan orang tua. Oleh itu, hendaklah berbuat baik, mematuhi nasihat, membahagiakan serta mendoakan ibu bapa walaupun mereka sudah tiada.

Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu memerintah supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan jangan engkau menengking mereka tetapi ucapkan kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Memperbanyakkan amal kebajikan sangat luas maknanya. Bagi remaja, amal paling pokok adalah menuntut ilmu di samping ibadah yang menjadi kewajipan semua seperti solat dan puasa.

Bagi mereka yang mampu, wajib mengeluarkan zakat dan menunaikan haji ke Baitullah. Berdasarkan keilmuan, keimanan dan ketakwaan yang kukuh dan mantap, maka baru generasi muda menjadi pewaris bermanfaat kepada masyarakat. Ditambah apabila kita berbuat sesuatu semata-mata kerana Allah bukan kerana ujub, riak dan takbur, pasti Allah mengangkat darjat seseorang beriman lagi berilmu pengetahuan beberapa darjat lebih tinggi daripada lain.

Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya kepada masjid antara golongan yang mendapat perlindungan Allah di hari kiamat kelak, pada hari itu tidak ada perlindungan kecuali perlindungan Allah. Kenapa Allah masukkan pemuda ini ke dalam golongan istimewa?

Sudah tentu apabila menjadi ahli masjid, mereka akan menjadi jemaah solat lima serta amalan lain seperti belajar agama, al-Quran dan iktikaf. Apabila mereka istiqamah dalam solat, ia mempengaruhi perilaku sekali gus mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Oleh itu, antara pendekatan berkesan membentuk keperibadian baik di kalangan pemuda adalah menjadikan mereka Muslimin dan Muslimat yang istiqamah.

Usaha paling efektif untuk mengubah akhlak pemuda tentu datang di kalangan generasi itu sendiri. Pemuda cemerlang mampu menyampaikan dakwah amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebajikan dan mencegah mungkar) dalam kelompok mereka sendiri.

Menerusi dakwah dan mengingatkan orang lain ke jalan lurus, pendakwah termasuk pemuda memberikan manfaat kepada orang lain. Apabila ini diamalkan, pemuda tergolong sebaik-baik manusia kerana selalu bermanfaat kepada manusia lain.

Generasi pemuda cemerlang juga memerlukan gandingan amalan yang dilaksanakan secara berkelompok atau berjemaah. Gerakan secara berjemaah mewujudkan kesatuan fikiran yang mampu mencorakkan perjalanan generasi muda atas nama iman dan amal.

Kesatuan fikiran bukan saja melahirkan watak dan imej, malah mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi apa juga cabaran. Allah sentiasa menguji keimanan dan ketakwaan seseorang dengan rasa takut, kelaparan dan kekurangan harta. Mereka yang sabar memperoleh rahmat, pengampunan dan petunjuk dari Allah.

Pemuda yang mengamalkan seluruh nasihat Lukman di atas, pasti menjadi tulang belakang pembangunan negara pada masa depan. Semakin banyak pemuda berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, semakin cepat negara menjadi makmur dan sentiasa dalam pengampunan serta reda Allah, insya-Allah.

Kurniaan rahmat, nikmat tidak boleh dihitung

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Syukuri setiap kelebihan dengan peningkatan amalan, membantu sesama manusia

UMUMNYA, nikmat kurniaan Allah dapat dibahagikan kepada bersifat fitri atau asasi iaitu nikmat yang diterima manusia sejak dilahirkan dan nikmat mendatang yang diterima mengikut keadaan dan waktu.

Nikmat fitri digambarkan Allah dalam firman bermaksud: "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (Surah al-Nahl, ayat 78)

Manusia dilahirkan dalam bertelanjang bulat tetapi mereka dilengkapi alat yang diperlukan untuk perjuangan hidup iaitu telinga, mata dan akal. Nikmat mendatang ialah kenikmatan, kelazatan atau kebahagiaan yang diterima manusia dalam perjalanan hidupnya. Segala dunia ini bermula daripada tanaman hingga ternakan dan hasil bumi disediakan untuk manfaat manusia.

Keadaan ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: "Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan Kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan dia serta Kami keluarkan daripadanya bijiran, maka daripada bijiran itu mereka makan. Dan Kami jadikan di bumi itu kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air. Ini supaya mereka makan daripada buah-buahannya dan dari sesuatu yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur." (Surah Yasin, ayat 33-35) Sedar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak terlepas daripada nikmat dan rahmat Allah yang tidak terhitung banyak. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang sesiapa pun.

Ini dinyatakan menerusi firman Allah bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiada akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nahl, ayat 18)

Lazimnya, seseorang hanya menyedari berharganya kurniaan Allah apabila nikmat itu hilang daripadanya (diambil kembali oleh Allah). Contohnya mata menjadi rabun, telinga menjadi pekak, kaki patah dan tangan putus. Nikmat kesihatan amat dirasai apabila sakit. Seseorang berkuasa atau berpangkat rasa kehilangan nikmat itu apabila dipecat.

Hartawan apabila miskin dan melarat akan terasa besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya. Oleh itu, pelihara setiap nikmat yang diperoleh dengan tindakan dianjurkan Islam.

Bersyukur kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu dikekalkan-Nya. Syukur dapat diertikan sebagai mengerti semua nikmat pada diri seseorang hamba, lahir atau batin adalah kurniaan Allah. Tanda bersyukur ialah apabila seseorang menggunakan nikmat Allah untuk melakukan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya dan sentiasa memperbanyakkan ucapan syukur. Mereka mengerjakan ketaatan kepada Allah dan membesarkan nikmat yang kecil sekalipun.

Sikap syukur semata-mata untuk keuntungan manusia, Allah tidak mendapat sedikit pun keuntungan dengan perbuatan syukur hamba-Nya. Allah juga tidak rugi sedikit pun dengan sikap kufur dan ingkar ditunjukkan manusia.

Firman Allah bermaksud: "Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukur itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah." (Surah al-An'am, ayat 40)

Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih. Dia bertambah dekat kepada Allah dan semakin sedar nikmat adalah kurniaan Ilahi yang perlu digunakan untuk kebaikan sesama manusia.

Seseorang yang memperoleh kekayaan perlu menggunakan kurniaan itu untuk menolong fakir miskin. Orang berpangkat pula perlu melakukan kebaikan kepada orang bawahannya atau masyarakat umum.

Sesungguhnya bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehnya semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Menyedari pentingnya sikap ini, maka syukuri segala nikmat kurniaan Allah besar atau kecil. Mudah-mudahan, nikmat itu kekal dan hidup diredai Allah di dunia serta akhirat. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Firman Allah bermaksud: "Oleh itu, makan (wahai orang beriman) dari sesuatu yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya." (Surah al-Nahl, ayat 114)

Iqra: Menyingkap sejarah tilawah al-Quran

Judul: 50 Tahun Tilawah Al-Qur'an Malaysia
Penerbit: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM75

TRADISI tilawah al-Quran atau dulunya dikenali sebagai Pertandingan Membaca al-Quran di negara ini bermula di Kedah apabila Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, mencetuskan idea untuk menganjurkan pertandingan itu pada 1951.

Bertitik-tolak daripada kejayaan itu, Tunku membawa dan memperkenalkan majlis tilawah ke mana saja beliau pergi.

Ketika menjadi Presiden Umno, Tunku mengambil daya usaha menganjurkan Musabaqah Membaca al-Quran di antara negeri Johor dan Kedah pada Ramadan 1378 bersamaan 1959. Beliau kemudian mengembangkan pertandingan dengan menganjurkan Musabaqah Membaca al-Quran peringkat kebangsaan yang membabitkan penyertaan setiap negeri di Persekutuan Tanah Melayu.

Penganjuran Tilawah al-Quran yang menempa sejarah buat negara dibukukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui penerbitan buku 50 Tahun Tilawah Al-Qur'an Malaysia sempena meraikan 50 tahun kemerdekaan negara tahun lalu.

Buku yang diterbitkan dalam dua versi, bahasa Malaysia dan Inggeris, menyingkap sejarah permulaan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa yang berjaya menyerlahkan nama Malaysia di persada dunia.

Kejayaan penganjuran hingga ke hari ini juga membuktikan komitmen negara menarik minat masyarakat Islam seluruh dunia untuk bersama memartabatkan ayat suci al-Quran serta berkongsi ilmu membaca al-Quran dengan tajwid betul dan secara berlagu.

Penganjuran majlis tilawah itu berjaya melahirkan barisan qari serta qariah tersohor seperti Ismail Hashim, Abdul Hamid Desa, Saidin Abdul Rahman dan Abdul Ghani Abdullah.

tidak asing kepada mereka yang mengikuti tilawah al-Quran.

Nama hebat lain yang terus terpahat termasuk Datuk Rogayah Sulong, Faridah Mat Saman, Rahmas Abdullah, Sepinah Mamat dan Pasiah Hasim.

Buku 50 Tahun Tilawah Al-Qur'an Malaysia turut memuatkan gambar qari dan qariah yang pernah dinobatkan sebagai johan di samping senarai penuh peserta yang pernah mewakili negeri serta negara untuk dikenang generasi hari ini.

Begitu juga gambar reka bentuk astaka yang menjadi pentas qari dan qariah memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran yang menunjukkan perubahan dari tahun ke tahun berdasarkan tema dipilih.

Sejak awal penganjurannya hingga kini, tilawah al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, melalui perubahan positif dengan menampilkan banyak pembaharuan demi manfaat peserta yang bertanding.

Perkembangan serta pembaharuan dilakukan Jakim selaku penganjur untuk memastikan majlis tilawah bertaraf antarabangsa berjalan lancar dan memberi manfaat kepada peserta sewajarnya membuka mata masyarakat untuk terus mendekati al-Quran.

Hakikatnya, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa bukan sekadar pentas mencari yang terbaik, ia juga perhimpunan untuk mengeratkan ukhuwah Islamiah dan

mengembalikan kegemilangan penyatuan umat Islam melalui pencarian ilmu berteraskan pembacaan ayat al-Quran.

Bagi yang berminat boleh membelinya di kedai buku Jakim di Parcel D, Putrajaya atau di kedai buku yang mengedarkan buku terbitan Jakim di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Jakim di talian 03-88864575.

Thursday, October 23, 2008

Seruan ke Baitullah wajar dilaksana tanpa bertangguh

Persediaan fizikal, mental dan spiritual perlu diberi perhatian jemaah sebelum berangkat

MENURUT catatan sejarah, suatu ketika Rasulullah SAW ditanya oleh sahabatnya, "Ya Rasulullah, mana antara amal yang banyak itu yang lebih utama? Rasulullah menjawab: Iman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dijawab lagi: Berjihad di jalan Allah. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dan Baginda SAW menjawab: Haji yang mabrur." - (Hadis riwayat Bukhari)

Musim haji datang lagi dan Kota Makkah akan menerima kunjungan jutaan umat Islam seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1429 hijrah. Jemaah haji negara kita yang terpilih mengerjakan ibadat haji akan mula berangkat ke Tanah Suci Makkah akhir Oktober ini untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima itu. Ibadat haji wajib dilakukan umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan serta sihat tubuh badan.

Mereka yang akan pergi mengerjakan haji tahun ini pasti sudah siap sedia dengan persiapan fizikal serta mental, tentu tidak sabar untuk segera berada di Tanah Suci Makkah sebagai tetamu Allah. Menjadi tetamu Allah adalah sesuatu yang cukup bermakna dalam hidup seseorang Muslim. Tidak semua insan dijemput Allah sebagai tetamu-Nya. Mereka yang terpilih adalah hamba-Nya yang dikira beruntung dan sewajarnyalah mereka itu berasa bersyukur kepada Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah Maka Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) dari sekian makhluk." - (Surah Ali-Imran, ayat 97)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah." - (Surah al-Baqarah, ayat 196)

Ibadat haji diwajibkan kepada umat Islam pada tahun kelima atau keenam Hijrah, akan tetapi mula dilaksanakan pada tahun kesembilan Hijrah. Pada tahun itu, Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Abu Bakar al-Siddiq mengetuai rombongan 300 umat Islam supaya mengerjakan haji.

Imam Qurthubi mengisahkan riwayat daripada Ibnu Abas bahawa ketika Nabi Ibrahim selesai membangunkan Kaabah, beliau memperoleh perintah langsung dari Allah supaya melaksanakan perintah menunaikan haji kepada manusia. Nabi Ibrahim menjawab, "Bagaimana suaraku didengar oleh manusia? Maka Allah berfirman: Serulah mereka, maka Aku yang akan menyampaikannya."

Nabi Ibrahim lalu naik ke Jabal Abu Qubais dan menyeru dengan suara keras: "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu untuk berhaji ke rumah ini (Baitullah), nescaya Allah akan memberi pahala syurga dan menjauhkan kamu daripada api neraka."

Saat itu seluruh manusia menjawab, baik yang ada di dalam sulbi lelaki mahupun yang ada dalam rahim wanita, dengan jawapan talbiyah yang bermaksud, "Aku siap melaksanakan dan memenuhi perintah-Mu, ya Allah."

Kelebihan bagi mereka mengerjakan haji dapat dilihat melalui Ali bin Abi Talib yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa menghendaki (kebaikan) dunia dan akhirat, maka hendaklah dia mengunjungi Baitullah sebab setiap orang yang mendatanginya seraya memohon kepada Allah akan (kebaikan) dunia, nescaya Allah akan mengurniakannya dan setiap orang yang memohon kepada-Nya akan (kebaikan) akhirat, nescaya Dia akan menyimpan sebahagiannya untuknya. Ingatlah wahai manusia, kerjakan olehmu haji dan umrah, perturutkanlah antara keduanya, sebab keduanya akan mencuci dosa, ibarat air mencuci kotoran yang melekat pada baju. Keduanya juga akan menghilangkan kefakiran, ibarat api menghilangkan kotoran besi."

Mengerjakan haji tidak hanya bergantung kepada tubuh badan yang sihat, cergas dan bertenaga, tapi ketahanan minda juga perlu kuat. Jika tubuh badan saja sihat serta mampu melakukan rukun dan wajib haji tetapi minda sakit dan lemah, maka dibimbangi jemaah tidak mendapat haji mabrur. Justeru, persediaan fizikal, mental dan spiritual perlu diberi perhatian jemaah yang akan ke Tanah Suci.

Mengerjakan ibadat haji nampak mudah, tetapi oleh kerana ia dilakukan di tempat berlainan, maka semuanya itu memerlukan kekuatan fizikal kerana ibadat tawaf di Baitullah, sa'ie pula di Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar jamrah di Mina. Semuanya itu memerlukan tenaga dan sekali gus menguji ketabahan serta kesabaran jemaah.

Sepanjang mengerjakan ibadat haji, seseorang itu sentiasa diuji Allah dengan pelbagai ujian yang boleh mencacatkan ibadahnya kepada Allah seperti cepat marah, tidak sabar, riak, sombong, bermegah-megah, berkata dusta, umpat dan mengata, hasad dengki dan sifat tercela lain. Semuanya boleh berlaku jika jemaah tidak ikhlas melakukan ibadat semasa berada di Makkah dan Madinah.

Apa yang baik seharusnyalah diamalkan jemaah sewaktu berada di Makkah dan Madinah sepanjang mengerjakan ibadat haji, hendaklah sentiasa bersikap sabar dalam apa juga keadaan yang mereka hadapi.

Selain sabar, hendaklah selalu ikhlas melakukan serta reda serta perlulah rajin, amanah, jujur, tolong menolong, bersedekah, penyayang dan yang penting hendaklah sentiasa mengucap syukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan-Nya selama ini.

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedangkan ia tiada melakukan persetubuhan dan perkara yang dilarang maka bersihlah ia daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Dosa yang berlaku di antara umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur (haji yang diterima) melainkan syurga." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Melihat kepada ganjaran diberikan Allah kepada mereka yang pergi mengerjakan ibadat haji seharusnyalah seruan mengunjungi Baitullah itu disambut secepat mungkin tanpa bertangguh. Jika ada kemampuan bersegeralah menyempurnakan Rukun Islam kelima itu tanpa memberi alasan belum sampai seru, usia masih muda atau sibuk dengan tugas.

Yang penting adalah niat, kemahuan dan azam untuk menziarahi Baitullah walaupun sekali dalam hidup. Oleh demikian, mulai saat ini tanamkan niat, kemahuan dan azam yang bulat dalam hati untuk mengunjungi Baitullah secepat mungkin sebelum datangnya sakit.

Hak Muslim: Hukum status anak pasangan dinikah imam tamat tauliah

SAYA dan suami tidak mengetahui imam yang menikahkan kami sudah tamat tauliahnya sedangkan bapa saya mewakilkan wali kepada imam berkenaan. Selepas pernikahan, saya mengandung dan melahirkan anak perempuan. Apabila suami hendak membuat pendaftaran anak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan sijil nikah kami adalah palsu. Kami dinasihatkan untuk mengesahkan pernikahan. Ketika kes pengesahan nikah, mahkamah memutuskan pernikahan itu adalah fasid tetapi mahkamah tidak memutuskan sama ada anak kami adalah anak sah taraf atau tidak. Apakah taraf anak kami sebenarnya? Bagaimanakah kami hendak mengesahkan taraf anak kami? Apakah hak anak kami terhadap kami sebagai ibu bapanya kerana kami tidak bersalah dan tidak tahu tauliah imam itu sudah tamat.

Shikin,
Shah Alam

Kami bersimpati dengan permasalahan puan dan moga puan serta suami tabah menghadapi ujian Allah. Isu yang diutarakan adalah berkaitan nasab anak. Nasab anak perlu diketahui kerana kesannya dari segi undang-undang berkaitan nafkah, penjagaan, memanfaatkan harta benda, harta pusaka dan juga perwalian semasa pernikahan anak itu nanti.

Dalam kes pengesahan nikah, sememangnya mahkamah hanya mensabitkan berkaitan kesahan pernikahan saja tanpa mensabitkan status anak hasil pernikahan itu.

Pihak yang perlu membuat permohonan pengesahan nasab anak adalah suami puan kerana nasab anak disabitkan kepada bapa. Beliau boleh memohon untuk pengesahan nasab anak di Mahkamah Tinggi Syariah melalui notis permohonan dan afidavit.

Mahkamah pula, melalui kaedah digariskan hukum syarak akan mengambil keterangan pihak yang mengetahui mengenai pernikahan serta kelahiran anak dan setelah berpuas hati, mahkamah akan memutuskan sama ada anak berkenaan sah taraf atau tidak hasil daripada pernikahan itu.

Jawapan permasalahan puan ini akan merujuk Konsep Nasab Dalam Undang-undang Islam dan Implikasi Perundangannya oleh Md Som Sujimon dalam Manual Undang-undang Keluarga Islam, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di mana penulis menyatakan majoriti pengkaji Undang-Undang Keluarga Islam menggariskan beberapa cara untuk mensabitkan nasab.

Antaranya, menggunakan doktrin daripada hadis berbunyi anak itu milik kepada pemilik katil, penyaksian itu secara pengakuan lisan pihak dan dua orang saksi yang menyaksikan anak yang lahir itu.

Sementara persoalan berkaitan tuntutan pengakuan nasab atau secara qiyafah iaitu berdasarkan ilmu firasat salasilah untuk mensabitkan nasab seperti pada zaman moden ini menggunakan kaedah ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Berdasarkan permasalahan puan, hanya beberapa garis panduan saja diterangkan sebagai mensabitkan nasab, namun ia bukanlah bertujuan mensabitkan nasab anak puan dalam tulisan ini kerana semuanya bergantung kepada keterangan puan, suami dan saksi semasa di mahkamah kelak.

Merujuk teks hadis anak itu milik kepada pemilik katil, secara literal ia menetapkan anak yang dihasilkan di tilam yang dipunyai oleh pemiliknya dianggap sebagai anak yang sah taraf. Ulama sependapat menyatakan pemilik katil atau 'al firasy' merujuk kepada nikah sahih dan juga nikah fasid.

Nikah fasid ialah nikah yang salah satu daripada syarat atau rukun nikah tidak dapat dipenuhi. Segelintir ulama mazhab Hanafi berpendapat anak hasil daripada nikah fasid dianggap sah taraf secara automatik walaupun ayah kepada anak itu tidak membuat tuntutan nasab.

Mereka berpendapat anak hasil nikah fasid tidak dianggap sah kecuali jika persetubuhan berlaku dan hasil pernikahan, wanita itu mengandungkan anak. Namun, terdapat beberapa kriteria yang mesti dipenuhi untuk menggunakan doktrin ini iaitu suami mestilah seorang yang baligh dan berkemampuan melakukan hubungan seks sehingga menjadikan isterinya mengandung dan selepas pernikahan, mereka mestilah tinggal bersama yang memungkinkan berlakunya persetubuhan menyebabkan wanita itu mengandung.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Euukins) ada memperuntukkan berkaitan sah taraf yang menyamai mazhab Syafie dan selaras dengan doktrin ini di mana Seksyen 111 memperuntukkan jika seseorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Persoalan wati' syubhah, istilhaq iaitu tuntutan pengakuan juga sebagai cara mensabitkan nasab di mana hubungan kelamin yang berlaku antara seorang lelaki dan wanita yang tidak menyedari hubungan kelamin dilakukan itu tidak sah atau haram.

Mazhab Syafie, Hanafi dan kebanyakan ulama Hambali berpendapat bahawa anak hasil perhubungan itu dianggap sah taraf kerana ketika persetubuhan berlaku mereka beranggapan sah. Seksyen 114 Euukins pula memperuntukkan berkaitan persetubuhan syubhah iaitu jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang, sudah digariskan cara untuk mensabitkan taraf seseorang anak.

Oleh itu, puan dan suami perlu membuat permohonan untuk mengesahkan nasab anak itu berdasarkan garis panduan yang dinyatakan.

Apabila mahkamah sudah mensabitkan berkaitan nasab anak, barulah puan boleh membawa perintah mahkamah ke JPN untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak.

Dapatkan khidmat peguam syarie berkaitan kes pensabitan nasab anak untuk membantu puan dan suami mengemukakan keterangan, bukti dan hujah yang menyokong kesahtarafan anak dari segi hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke exco@yahoo.com. Layari http:// peguamsyarie.org.com

Tuntutan ubat penyakit menerusi jalan halal

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh

Tangkal, azimat, mantera adalah suatu kebodohan dan kesesatan bertentangan hukum syarak

MEMAKAI tangkal untuk menyembuhkan penyakit atau melindungi diri daripada musibah membahayakan adalah sejenis penyakit. Terasa asing juga apabila menulis mengenai tajuk ini kerana pada dunia tanpa sempadan ini, hal begini sudah jarang berlaku malah menjadi pelik apabila dibaca golongan muda kerana mustahil tangkal yang tergantung di leher, pergelangan tangan, pintu rumah dan sebagainya mampu mengatasi kuasa Allah.

Umat Islam perlu mengetahui bahawa untuk menjauhkan diri daripada penyakit, mara bahaya, mengelak terkena penyakit kronik, menambahkan kasih sayang antara suami isteri dan sebagainya ada cara yang dihalalkan.

Pelbagai mantera yang dibaca untuk berubat serta menjaga diri adalah suatu kebodohan dan kesesatan yang bertentangan dengan ketetapan Allah malah boleh menghilangkan tauhid.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa menggantungkan tangkal, maka Allah tidak akan menyempurnakan (imannya) dan barang siapa menggantungkan azimat, maka Allah tidak akan mempercayakan kepadanya." - (Hadis riwayat Ahmad, Abu Ya'la dan Hakim)

Uqbah bin 'Amir pula meriwayatkan bahawa ada sepuluh orang berkenderaan datang ke tempat Rasulullah SAW. Sembilan daripadanya bersumpah setia sementara seorang lagi ditahan. Kemudian mereka yang sembilan itu bertanya: "Mengapa dia ditahan? Rasulullah SAW menjawab: "Kerana di lengannya ada tangkal. Kemudian lelaki itu memotong tangkalnya, maka sumpah setianya diterima Rasulullah SAW dan bersabda yang bermaksud: "Barang siapa menggantungkan (tangkal), maka sungguh dia sudah menyekutukan Allah." - (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Tangkal asalnya adalah daripada orang jahiliah yang menggunakan sihir untuk sesuatu maksud. Setelah kedatangan Islam dan wahyu Allah, sudah tentulah amalan sebegini dihapuskan kerana harapan dan munajat orang Islam hanyalah kepada Allah, berdoa serta mengharapkan rahmat-Nya tanpa ada sesuatu lain dijadikan alat.

Hari ini ada dua jenis tangkal yang berbeza, iaitu tangkal dibacakan ayat al-Quran, nama Allah atau doa dan jenis kedua, alat diperbuat daripada logam iaitu keris, paku, jarum, duit syiling, cincin, tembaga, timah, kulit binatang, misai atau kuku harimau, sisik tenggiling, benang, tasbih, kayu dan sebagainya.

Abdullah bin Mas'ud pernah mendapati isterinya memakai kalung yang ada padanya tangkal (benang dililit di lehernya). Beliau melucutkan tangkal itu dan memotongnya sambil berkata: "Seluruh keluarga Abdullah tidak boleh melakukan amalan syirik kepada Allah dengan sesuatu yang tidak pernah diturunkan oleh Allah keterangannya."

Kemudian beliau menyatakan yang beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik. Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, jampi dan tangkal sudah kami tahu, apakah yang dinamakan 'tiwalah' itu? Baginda menjawab: Tiwalah itu ialah pekerjaan yang dilakukan kaum wanita supaya dengannya suami menyayangi isteri mereka." - (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Hakim)

Menurut ulama, tangkal yang ditulis ayat al-Quran, nama Allah, sifat-Nya dan doa tidak kira di mana digunakan, sama ada digantung di leher, diikat di pergelangan tangan, di pinggang, diletak di bawah bantal, di bawah alas tempat tidur, digantung di dinding, atau di atas rangka pintu tidak harus digunakan berdasarkan kepada hadis umum yang bermaksud: "Sesungguhnya jampi dan tangkal juga tiwalah itu syirik." - (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Juga berdasarkan kepada hadis daripada Aqabah bin Amir yang bermaksud: "Barang siapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia sudah syirik." - (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Habban dan al-Hakim)

Ia juga adalah untuk mengelakkan berlakunya penghinaan terhadap ayat suci, iaitu jika ia dibawa ke tempat kotor seperti tandas, dipakai ketika istinjak, ketika dalam keadaan junub dan sebagainya. Pendapat itu disokong oleh Abdullah bin Mas'ud, Ahmad Hambal dan juga kebanyakan sahabat, dan disokong ulama terkemudian daripadanya seperti Ibn Abbas, Uqbah bin Amir dan Ibn Akim.

Pendapat lain pula mengharuskan penggunaan tangkal diperbuat daripada ayat al-Quran, nama Allah dan sifat-Nya. Ini adalah pendapat Abdullah bin Umr bin al-As dan sesetengah ulama salaf.

Walau bagaimanapun, menurut fatwa Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Arab Saudi yang dibukukan, Al-Fatawa Az-Zahabiyah (1996;252), pendapat melarang penggunaan tangkal adalah lebih kuat hujahnya, lebih mantap untuk memelihara akidah, tauhid dan pegangan hidup orang Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Zat yang membuat penyakit, Dia pula yang membuat ubatnya." - (Hadis riwayat Ahmad)

Bukanlah manusia tidak perlu berbuat apa-apa untuk mengelak daripada kecelakaan, tetapi ia harus dilakukan dengan ikhtiar yang tidak menyekutukan Allah. Untuk melariskan perniagaan, bukanlah dengan pelaris yang dijampi serapah dan dipacakkan di tengah gerai.

Bukan juga tangkal yang digantung di leher anak sehingga berserah sepenuhnya kepada benang yang tidak setebal mana pun, sehingga akhirnya lupa untuk merendah diri memohon pertolongan-Nya, sedangkan Dialah yang mempunyai ubatnya.

Penulis ialah penuntut Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang, Universiti Keele, United Kingdom dan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Wednesday, October 22, 2008

Peguam Syarie Menulis: Paradigma baru junjung raja Melayu

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


RAJA-RAJA Melayu bergambar kenangan selepas istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan dan istiadat menandatangani surat perisytiharaan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin Shah (lapan kanan) di Balairong Seri, Istana Negara tak lama dulu. - Foto Bernama


Hak Bumiputera, kaum lain tetap diperaku Perlembagaan Persekutuan

RAKYAT keseluruhannya menjunjung kasih kepada Majlis Raja-Raja Melayu kerana memberi peringatan, panduan, seruan dan nasihat kepada rakyat berhubung beberapa persoalan yang kerap kali ditimbulkan sejak kebelakangan ini.

Peringatan Ke Bawah Duli Tuanku ini amat bertepatan bagi menghilangkan kegusaran dan keresahan rakyat. Isu ini adalah berhubung dengan hak keistimewaan kedudukan kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Jika kita menelusuri sejarah secara ikhlas sudah tentu kita akan mendapati orang Melayu sejak sekian lama menjadi tunjang pembentukan negara Malaysia. Orang Melayu yang rata-ratanya Islam sudah tidak harus dipertikaikan lagi sebagai penduduk asal negara ini.

Mempertikaikan perkara ini seolah-olah mempertikaikan Raja-Raja Melayu juga. Walaupun keistimewaan ini dinikmati orang Melayu, orang bukan Melayu tidak pernah ditindas di negara kita. Ia adalah manifestasi keunggulan dan jatidiri negara kita.

Menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu tidak harus dipersoalkan lagi. Malah, rakyat sudah pasti bangkit melindungi institusi Raja-Raja Melayu dalam apa juga keadaan sejajar dengan apa yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya menjadi tugas dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu mempertahankan agama Islam di Malaysia. Ia jelas termaktub umpamanya dalam sumpah atau ikrar Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta.

Bukan hanya sumpah itu untuk melindungi Islam, malah ia turut dimulai dengan menyebut nama Allah dengan lafaz 'wallahi wabillahi watallahi'. Jelaslah tanggungjawab ini harus dipikul Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu ini hendaklah dibantu oleh kerajaan baginda.

Dalam konteks sama juga, kerajaan, sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri mempunyai tanggungjawab amat besar bagi menyempurnakan lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya itu.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Pihak kerajaan tidak boleh melakukan sesuatu tindakan yang memudarat, menghakis atau mencemarkan kedudukan dan kesucian Islam di Malaysia. Segala dasar dan tindakan kerajaan hendaklah selaras dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong ini.

Contoh paling mudah ialah dalam segala urusan kerajaan, kita akan mendapati sampul surat semua jabatan kerajaan akan tertera tulisan 'Urusan Seri Paduka Baginda'. Maksud frasa ini adalah jelas. Ia bermaksud urusan yang dibuat oleh pihak kerajaan itu adalah atas titah Raja-Raja Melayu. Ia juga bagi menjamin sumpah Yang di-Pertuan Agong itu disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Adalah langsung tidak masuk akal jika 'Urusan Seri Paduka Baginda' itu tidak sejajar dengan sumpah Ke Bawah Duli Tuanku. Tidak boleh difikirkan jika di luar tertulis Urusan Seri Paduka Baginda yang bersumpah mempertahankan Islam itu, kandungan suratnya pula sesuatu yang menghina, memperlekeh, mencemar atau mengetepikan kepentingan Islam.

Mempersoalkan hak dan ketuanan Melayu sama juga seperti mempertikaikan kedudukan Raja-Raja Melayu kerana Raja-Raja Melayu memayungi rakyat jelata sekalian. Raja-Raja Melayu bukan hanya simbol negara, malah terbukti Raja-Raja Melayu berperanan penting dalam memastikan kestabilan politik, mempertahankan agama dan sebagainya.

Malah, ada beberapa perkara menjadi hak eksklusif Raja-Raja Melayu yang tidak harus dipersoalkan langsung.

Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Raja-Raja adalah ketua agama yang mempunyai kuasa atas hal ehwal Islam. Malah, perkara mengenai Islam seperti penggunaan perkataan tertentu adalah kuasa Raja-Raja Melayu dan bukan semua perkara boleh dibawa ke mahkamah. Ia adalah kerana perkara membabitkan hal ehwal Islam, Majlis Raja-Rajalah yang mempunyai kuasa pemutus.

Kita sering mendengar saranan agar semua pihak mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Sudah sewajarnyalah setiap rakyat menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai Undang-Undang tertinggi di Malaysia.

Sesetengah golongan hanya memilih sebahagian saja peruntukan perlembagaan itu. Itupun kerana ia memihak kepada mereka. Malah, apabila Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan yang tidak memihak kepada golongan mereka, mereka tidak menerimanya.

Mereka tidak menerima hakikat bahawa perlembagaan itu ditafsirkan sedemikian rupa yang memihak kepada Islam dan masih berusaha bagi mendapatkan tafsiran sebaliknya.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong memelihara keistimewaan orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sentiasa dijamin Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 pula memperjelaskan tanggungjawab serta kuasa Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan.

Walaupun orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak menikmati keistimewaan di Malaysia ia tidak bermakna orang bukan Melayu dan bukan pribumi Sabah dan Sarawak dipinggirkan. Mereka juga mempunyai hak yang sah di negara ini sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang.

Mereka tidak harus bimbang mengenai hak mereka itu. Selagi ia tidak menghakis ciri istimewa Perlembagaan Persekutuan ini, orang bukan Melayu berhak mengecapi nikmat sama sebagai warga negara Malaysia.

Orang Melayu dan bukan Melayu hendaklah saling lengkap memperlengkap antara satu sama lain bagi membangunkan negara Malaysia yang kita cintai ini. Janganlah dibiarkan anasir luar menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat yang sudah sekian lama menjadi kebanggaan kita semua.

Berbalik kepada kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Melayu berkaitan dengan hak keistimewaan kedudukan kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan tempoh hari, sudah sewajarnyalah setiap rakyat jelata menjunjung kasih dan menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu kerana berkenan memberi nasihat dan teguran kepada rakyat jelata.

Mulakanlah paradigma baru selaras dengar nasihat itu. Jangan sesekali mempertikaikannya lagi pada masa depan. Keunikan negara kita ini perlulah dipertahankan dan jatidiri negara kita ini hendaklah sentiasa dipelihara.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://peguamsyarie.org

Bersama YaPEIM: Penerapan pelbagai ilmu pertingkatkan kualiti pengurusan

Oleh Penulis Khas YaPEIM

FIRAUN menolak tawaran petunjuk ilmu yang benar, lalu terus mengganas sehingga ke batas ditetapkan Allah, dia binasa ditelan laut. Demikian hakikatnya orang yang tidak berilmu dan zalim.

Keadilan amat berkait dengan ilmu. Hanya dengan ilmu seseorang dapat mengetahui makna nilai dan kedudukan sesuatu. Ilmu memberi petunjuk untuk berlaku adil iaitu memberikan hak kepada yang berhak dan meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya. Dengan ilmu seseorang dapat mengenal urutan keutamaan lalu membuat keputusan tepat. Al-Quran banyak menyebut ungkapan: "Yang demikian itu lebih baik jika kamu mengetahui."

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Apabila diseru azan untuk mengerjakan sembahyang pada Jumaat, maka segera kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkan berjual beli; yang demikian adalah baik bagi kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." Surah al-Jumu'ah, ayat 9

Orang berilmu mengetahui menghentikan urus niaga untuk menunaikan sembahyang (Jumaat) adalah lebih baik kerana menurut perkiraan ilmu ia dapat keredaan, keberkatan dan ganjaran Allah berbanding keuntungan duniawi.

Berasaskan ilmu adalah pembentukan watak manusia adil dan bertanggungjawab, ia menjadi syarat utama penyandang kepemimpinan. Nabi Sulaiman penyandang dwi-fungsi nabi dan raja sekali gus. Sebagai pemerintahan, kekuatannya terletak pada ilmu dan hikmah kurnia Allah. Nikmat Allah kepada Nabi Sulaiman melimpah ruah tetapi tidak menjadikannya lupa diri.

Objektif perutusan rasul adalah melakukan transformasi kemanusiaan, merubahnya daripada sesat menjadi terbilang dalam petunjuk Ilahi (hidayah). Untuk mencapai objektif itu, rasul menggunakan kaedah menyerapkan ilmu dan menyucikan jiwa serta minda.

Misi pengilmuan serta pemurnian itulah yang tersurat dan tersirat dalam ayat firman Allah yang bermaksud: "Dialah yang sudah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktikad sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2)

Menurut perspektif Islam, ilmu bukan barang mewah yang menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Ia adalah sebahagian daripada kemanusiaan kerana itu ilmuwan seperti Dr Yusuf al-Qardawi memasukkan pendidikan dalam senarai keperluan asasi manusia di samping makanan, pakaian dan tempat tinggal. Nabi Adam tidak diciptakan hanya dalam bentuk makhluk fizikal, tetapi diperangkap dengan ilmu menerusi proses taklim seperti diisyaratkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah mengajarkan Adam dengan nama (benda) seharusnya." (Surah al-Baqarah, ayat 31) Demikianlah seterusnya perjuangan Rasulullah SAW mengubah masyarakat jahiliah menjadi umat terunggul bermula dengan satu kata, iqra', kalimat melambangkan ilmu dalam erti dan semangat yang tepat.

Tauhid bukan sekadar tanggapan mental mengenai keesaan Allah, tetapi sekali gus kaedah pemanduan menunjukkan kesepaduan ilmu. Menerusi tamadun tauhidik segala disiplin ilmu terpadu dalam jalinan saling memperkukuh bagaikan anyaman yang terjelma dalam rupa kesatuan utuh dan padat. Begitu juga dengan ilmu pengurusan Islami yang terjalin dan teranyam erat antara pelbagai ilmu seperti ilmu akidah, syariat, akhlak, sejarah, geografi serta ilmu kemanusiaan. Kesepaduan itu harus dipelihara kerana pemecahan ilmu mengakibatkan kekacauan. Pengurusan yang cekap dan bersih tidak mungkin dapat dilakukan ketika kerosakan pelbagai sektor kehidupan masyarakat. Sebarang kerosakan yang berlaku di sesuatu bahagian akan memberi kesan kepada bahagian lain.

Objektif pengurusan berkualiti hanya dapat dicapai andai seluruh sistem dan budaya lingkungannya dalam keadaan sihat, harmonis dan kondusif hasil penerapan ilmu terpadu yang saling memperkukuh. Tanpa dukungan dan pengukuhan daripada ilmu lain, ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

Hakikat itu dapat menjelaskan mengapa ilmu pengurusan perlu dipadukan dengan ilmu tauhid. Pengurusan berkesan memerlukan daya manusia berwatak kuat, tabah, sabar, berani, jujur dan ikhlas. Watak seperti itu hanya dapat dibina dengan berkesan menerusi pendidikan tauhid kerana ia adalah doktrin menjurus pembebasan jiwa dan minda, mengangkat martabat insani, pemberian erti hidup dan nilai amal. Ilmu pengurusan memerlukan landasan akidah untuk pembangunan sumber daya manusia yang dinamik dan pembinaan motivasi dalaman.

'Jurang antara kebaikan, kejahatan cuma satu hasta'

Oleh Ibrahim Abdullah

Takdir ketentuan Allah, tetapi manusia perlu bertindak menurut panduan digariskan Islam

KETIKA Rasulullah SAW menempuh perjalanan Israk Mikraj untuk menerima langsung perintah solat lima waktu sehari semalam daripada Allah, Baginda menyaksikan banyak peristiwa aneh dan luar biasa.

Antaranya ketika bersama Jibril tiba di langit pertama (langit dunia), Baginda berjumpa Abul Basyar (bapa umat manusia) iaitu Nabi Adam seperti dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: "Ketika dibuka, kami pun naik ke langit dunia. Ternyata di sana ada seorang lelaki sedang duduk. Di sebelah kiri dan kanannya ada kelompok orang dalam jumlah yang besar. Apabila dia melihat ke arah kanannya, maka ia tertawa, dan apabila melihat ke arah kirinya, dia menangis.

Lelaki itu berkata: Selamat datang wahai Nabi dan anak yang salih. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah ini? Jibril berkata: Ini adalah Adam. Sedangkan kelompok di kanan dan kirinya adalah roh keturunannya. Kelompok di kanan adalah penghuni syurga, kelompok kirinya pula penghuni neraka. Apabila Nabi Adam melihat ke kanannya Baginda tertawa dan ke kirinya Baginda menangis." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Nabi SAW disambut Nabi Adam AS dengan ucapan: "Selamat datang wahai nabi dan anak yang salih." Nampak sekali betapa gembira dan bangganya Nabi Adam melihat keturunannya yang ditunjuk Allah sebagai penghulu nabi dan rasul, iaitu Rasulullah SAW.

Menurut penulis kitab Fathul Baari, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, boleh jadi yang diperlihatkan kepada Nabi Adam adalah kumpulan roh keturunannya sebelum ditiupkan ke dalam jasad masing-masing, namun ditentukan dulu oleh Allah bakal menjadi penghuni syurga atau neraka.

Ada pula kemungkinan bahawa yang dinampakkan ialah roh belum masuk ke dalam jasad yang diciptakan sebelum ada jasad dan berada di kanan dan kiri Adam. Kemudian Adam mengetahui akhir perjalanan roh itu. Oleh itu yang dimaksudkan bukan roh di dalam jasad atau sudah berpisah dengan tubuh dan kembali ke tempatnya, di syurga atau neraka. Nabi Muhammad SAW menerangkan waktu Allah tetapkan takdir pada janin dalam rahim ibunya, antara perkara ditetapkan Allah ialah penghujung perjalanan anak itu sengsara (neraka), atau bahagia (syurga).

Daripada Abdullah, Rasulullah SAW menceritakan kepada kami: "Sesungguhnya seorang antara kamu dikumpulkan pada perut ibunya 40 hari, kemudian menjadi segumpal darah seperti itu (selama 40 hari), kemudian menjadi segumpal daging seperti itu (40 hari), kemudian Allah mengutuskan malaikat dengan membawa empat kalimah: ditulis amalan, ajal, rezeki dan sengsara atau bahagia. Kemudian dihembuskan roh. Sesungguhnya seseorang melakukan amalan penghuni neraka sehingga tidak ada antara dirinya dan neraka kecuali satu hasta, namun tulisan sudah mendahuluinya, maka ia melakukan amalan penghuni syurga lalu masuk syurga. Sesungguhnya seseorang melakukan amalan penghuni syurga sehingga tidak ada antara dirinya dan syurga kecuali satu hasta, namun tulisan sudah mendahuluinya, maka ia melakukan amalan penghuni neraka, lalu masuk neraka." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut ar-Raghib al-Asfihani, dalam Mufradatul al-Fadhlil Quran, kebaikan dalam erti umum sesuatu yang digemari manusia dalam setiap keadaan seperti akal, keadilan, keutamaan dan berfaedah. Lawannya ialah kejahatan.

Kebaikan dan kejahatan berkait rapat seperti bunyi radio, lagu, muzik, atau nyanyian dapat menjadi hiburan bagi orang yang menyukainya, tetapi menjadi gangguan bagi yang tidak menyukainya.

Kebaikan dan kejahatan adalah ciptaan Allah seperti diterangkan dalam hadis Qudsi bermaksud: "Tidak dinamakan perbuatan baik apabila perbuatan itu mengakibatkan neraka, dan tidak dinamakan perbuatan jahat apabila perbuatan itu mengakibatkan syurga."

Mengenai kejahatan dalam erti perbuatan atau sifat, tidak termasuk sifat atau perbuatan Allah, apalagi zat-Nya sendiri kerana bersifat sempurna dan mutlak. Hanya Allah melakukan kebaikan terhadap hamba atau makhluk-Nya dan menghukum orang yang layak dijatuhi hukuman. Hanya Allah Maha Mengetahui segala rahsia tersembunyi di sebalik ciptaan-Nya, yang diperlihatkan kepada orang dikehendaki. Mustahil perbuatan jahat keluar daripada zat yang Maha Mengetahui dan Maha Terpuji.

Firman Allah bermaksud: "Di mana saja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, walaupun kamu berada dalam benteng yang tinggi dan kukuh. Jika mereka memperoleh kebaikan mereka berkata: "Ini datangnya daripada Allah" akan tetapi apabila mereka ditimpa bencana, mereka mengatakan: "Ini datangnya daripada kamu (Muhammad)", katakan, "Semua datang daripada Allah, mengapa orang-orang itu tidak mahu memahami sedikit pun pelajaran dan nasihat yang diberikan. Kebaikan yang kamu peroleh datang daripada Allah dan bencana menimpa kamu, berasal daripada diri kamu sendiri." (Surah an-Nisa', ayat 78-79)

Manusia diingatkan tetap melakukan perbuatan menurut panduan ditentukan Allah bila menyimpang sedikit, ia termasuk golongan ahli batil yang melakukan kejahatan sehingga layak mendapat bencana, seksaan dan balasan neraka.

Memahami sejarah al-Quran

Tajuk Buku: Anatomi al-Quran
Penulis: Dr Ammar Fadzil
Penerbit : PTS Islamika, PTS Publication & Distributors Sdn Bhd
Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar

BAGI mereka yang baru berjinak dengan al-Quran atau ingin mendalami sejarah turunnya kitab suci, kandungan dan perkembangannya sehingga kini, buku Anatomi al-Quran mempunyai jawapan lengkap dan ilmiah untuk memahaminya.

Dalam bab `Apa Itu al-Quran', turut dijelaskan mengenai perbezaan antara al-Quran dan hadis nabi, malah yang penting ialah perbezaan antara Hadis Qudsi dan Hadis Nabawi, yang selama ini menimbulkan masalah pemahaman terutama di kalangan masyarakat awam. Malah, penulis turut mengaitkan hubungan kitab suci itu dengan Taurat dan Injil yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Isa, semuanya diulas dengan mudah untuk pemahaman pembaca terutama yang sebelum ini hanya membaca al-Quran, tanpa melakukan pembacaan mengenai sejarah al-Quran dan perkembangannya.

Dalam buku yang ditulis pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa, kaedah penulisan dan pembukuan al-Quran turut disentuh, bermula daripada zaman Nabi Muhammad hingga ketika khalifah Islam, Uthman Affan yang kemudian dikenali Rasm Uthmani.

Ulasan panjang lebar penulis mengenai Rasm Uthmani, membolehkan pembaca mengetahui susur galur usaha mengekalkan kitab yang dijamin keasliannya oleh Allah sehingga hari kiamat. Begitu juga kaedah penyusunan ayat dan surah selain pembahagian nama dan kesatuan surat turut disentuh penulis dengan cukup jelas.

Ternyata, kaedah penulisan yang mudah dan jelas membolehkan pembaca dapat menghayati buku ini dengan lebih selesa untuk memudahkan pemahaman terutama mereka yang baru berjinak dengan sejarah perkembangan al-Quran. Ia kerana ramai yang membaca al-Quran termasuk tafsirannya, tidak memberi perhatian khusus mengenai sejarah perkembangan turunnya kitab mukjizat kepada Nabi Muhammad.

Tuesday, October 21, 2008

Tajdid Iman: Memelihara kesucian hati sebagai penerima hidayah

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda77@hotmail.com


MENGINGATI mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik daripada kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati untuk sentiasa bertaubat. - Foto Bernama


Membaca al-Quran, solat dan mengingati mati asas ummah capai ketenangan hidup

PENYAKIT berbahaya sehingga boleh menyuramkan masa depan seseorang ialah tekanan perasaan yang berpunca daripada hati sakit.

Seorang guru yang tertekan boleh bersikap kejam dan melampau dalam mendisiplinkan murid atau mungkin membiarkan mereka tanpa kawalan dan pengajaran.

Seorang pegawai yang seharusnya melaksanakan amanah dengan dedikasi apabila diserang penyakit hati akan mengambil kesempatan lari daripada tanggungjawab dan menangguhkan kerja sehingga menjejaskan jabatannya.

Seorang pemimpin di rumah atau di tengah masyarakat jika tidak bersih hati akan rosaklah apa yang dipimpinnya dan terabai amanah. Seorang isteri yang tercemar hatinya suka menyusahkan suami, mengabaikan anak dan mendedahkan diri kepada dosa dan maksiat.

Seorang yang sembahyang, puasa dan sedekah dengan hati yang berpaling daripada Allah, hatinya akan mati, kotor dan menyimpan penyakit serta sudah tentu ibadahnya tidak memberi kesan kepada keperibadiannya.

Pertanyaan paling mahal dan bernilai bagi seorang Mukmin ialah: "Apakah aku sudah kehilangan hati suciku hari ini? Mengapa? Kerana hati menjadi asas segala sesuatu yang bernama sebuah kehidupan.

Hidup ini tidak akan bermakna tanpa hati yang hidup.

Jika hati mati maka semua amalan yang dilakukan akan menjadi tempang, kerja mengejar dunia akan mengaburi pandangan ke akhirat dan ibadat pula hilang kemanisannya.

Fokus utama hati hanya akan terarah untuk memenuhi kehendak nafsu, padahal ia diciptakan untuk sentiasa memandang keagungan Tuhannya, menerima hidayah dan kemudian mengawal semua gerak kerja seluruh anggota badan semata-mata untuk keredaan Allah.

Namun demikian, hati juga diciptakan dengan ciri sensitif seperti mudah terpengaruh oleh persekitaran, mudah berubah, berbolak-balik, kadang tersesat dan kadang terpimpin.

Adalah menjadi tugas seorang Mukmin menjaga hatinya, merawat dan menghidupkan semangat iman di dalam hati.

Sahabat Rasulullah pernah menerima teguran langsung melalui wahyu-Nya, supaya mereka sentiasa mengurus hati dengan penjagaan baik agar ia dapat berfungsi dengan sempurna sebagai ejen penerima hidayah Allah.

Menurut pendapat Abdullah ibn Mas'ud, Allah menegur mereka pada saat mereka baru empat tahun memeluk Islam. Dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalu masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah al-Hadid ayat: 16)

Apabila hati dibiarkan tanpa penjagaan, lama-kelamaan ia menjadi keras lalu membentuk benteng kukuh yang tidak dapat ditembusi cahaya hidayah Allah.

Terkunci mati dan menjadi sarang kejahilan dan kejahatan. Jika demikian keadaannya maka yang menjadi raja di dalam hati ialah iblis dan nafsu syahwat.

Hasilnya semua amal dan kerja berorientasi pada kemahuan keduanya. Kalau keadaan sebegini dibiarkan sepanjang masa, boleh jadi seseorang akan kehilangan hatinya.

Pernahkah anda melihat manusia yang tidak memiliki hati? Orang yang langsung tidak mahu mendengar apa kata hatinya akibat nurani bersih hasil limpahan ilham daripada Allah sudah tiada lagi. Kerana dia sendiri sudah meleburkan hatinya bersama kegelapan tanpa mahu menerima cahaya Ilahi.

Pada hakikatnya, cahaya menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Al-Imam Al-Ghazali, beliau berkata: "Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka mohonlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati."

Cahaya hati pertama - membaca al-Quran.

Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari al-Quran.

Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan daripada Allah, tanpa bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.

Kejayaan itu ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah dengan ikatan kuat. Maka al-Quranlah yang menjadi ikatan antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak daripada batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk al-Quran. Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu.

Dia lahir menjadi manusia jujur, kuat bekerja dan memiliki misi yang jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaannya itu sebagai ibadah kepada Allah.

Kalaupun seseorang itu malas, miskin dan suka menyusahkan orang lain punca pertama penyakitnya ialah kerana dia jahil, jauh daripada bimbingan al-Quran dan tidak mengenal Allah dengan lebih dekat.

Begitu pula kalau ada orang kaya dan berpangkat tetapi sengsara hatinya punca utama keadaan itu ialah jauhnya ia daripada Allah, merasa asing dengan ayat-ayatnya dan membiarkan diri terus menerus dalam kekeringan ilmu.

Kejayaan atau kegagalan itu bermula daripada usaha mengurus hati, mengenal Allah lewat kalam-Nya suci.

Cahaya hati kedua - mendirikan sembahyang.

Siapakah yang mahu berjaya dalam perniagaan; yang bercita-cita kariernya sentiasa naik ke puncak; mengimpikan pasangan hidupnya setia dan jujur; berharap anak-anak dan keluarga menjadi penyejuk matanya dan mahu sentiasa bergembira dan bahagia?

Semua itu hanya dapat dirasai dengan pertolongan Allah, yang memberi manfaat dan mudarat, membahagi dan mencabut rezeki bagi manusia, memberi petunjuk dan menyesatkan, mengatur segala urusan makhluk.

Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah daripada pergantungannya itu.

Ibnu al-Qayyim Rahimahullah pernah berkata: "Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah.

Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah."

Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia kepada Allah dengan sedekat-dekatnya adalah sujud, permintaan tidak akan ditolak adalah doa ikhlas dan proses pembersihan dosa dilakukan terus menerus adalah sembahyang.

Apakah kejayaan seseorang itu bergantung kepada kualiti sembahyangnya? Mengapa tidak, jika sembahyangnya itu melahirkan akhlak yang mahmudah.

Sembahyang yang didirikan dengan sempurna syarat, rukun dan khusyuknya boleh diumpamakan stesen minyak yang bertugas mengisi kekosongan pada tangki kereta agar dapat meneruskan perjalanan hingga sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.'

Sembahyang adalah energi yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup mencabar.

Sembahyang berkualiti adalah yang boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba-lumba melakukan amal salih dan membina kehidupan di dunia.

Namun demikian, dunia tidak akan memperdayakan orang khusyuk hatinya serta menyerahkan diri sebulat-bulatnya kepada Allah.

Sembahyang juga menjaga seseorang daripada ancaman perhiasan dunia yang melekakan, dan menjadi salah satu cara kita mengingati diri supaya pandai merancang hidup yang selamat di dunia sampai ke akhirat.

Cahaya hati ketiga - mengingati mati.

Antara tanda kebijaksanaan orang Mukmin ialah pandai merancang masa depan.

Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.

Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang?

Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik daripada kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati untuk sentiasa bertaubat.

Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan yang indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai kegiatan rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian.

Sebagaimana yang dilakukan Baginda Rasulullah lazim menziarah kubur dan mendoakan kaum Muslimin tidak kira siang ataupun malam.

Dengan membaca al-Quran, menunaikan solat dan sentiasa mengingati mati seorang Mukmin melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya.

Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini?

Mungkin hidupnya begitu hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula mungkin lebih terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.

Disiplin, kasih sayang tidak seimbang pincangkan proses mendidik anak

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

KASIH sayang mempunyai kesan amat kuat dalam pendidikan, khususnya bagi pembinaan keluarga. Pendidikan menggunakan kekerasan hanya mengundang padah lebih dahsyat. Pendekatan yang sama disarankan Islam dalam mendidik jiwa seseorang. Dalam konteks pendidikan kanak-kanak, pendidikan jiwa perlu diutamakan. Jiwa yang mengenal Allah, beriman dan menyembah-Nya serta bebas daripada syirik adalah matlamat pendidikan rohaniah.

Keadaan ini jelas difahami dalam al-Quran. Maksud firman Allah: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Luqman: 13)

Akidah kukuh lagi mantap mesti melahirkan insan beramal salih dan berakhlak mulia. Pendidikan berasaskan kasih sayang dan bertanggungjawab bererti kasih sayang rasional dan masih disertakan dengan ketegasan. Kasih sayang rasional melahirkan usaha mendidik berterusan dan tanpa putus asa daripada pendidik. Kasih sayang yang bertanggungjawab merujuk kepada niat dan matlamat pendidikan untuk melahirkan insan beriman lagi bertakwa dan beramal salih serta berakhlak mulia.

Oleh itu, ia tidak bermakna kasih sayang membuta tuli memberi fokus kepada aspek material semata-mata mahupun aspek emosi saja. Tindakan ini membabitkan aspek pendidikan spiritual yang berlandaskan syariat. Seorang kanak-kanak perlu dididik bukan saja aspek fizikal, namun spiritualnya lebih perlu diambil kira. Namun, keseimbangan kedua-dua aspek ini penting demi memastikan perkembangan individu sejahtera. Pendidikan rohani termasuk menekankan kasih sayang antara ibu bapa dan anak. Kasih sayang adalah senjata utama dalam memastikan keberkesanan didikan kerana kepatuhan mudah terhasil daripada rasa cinta dan sayang. Kecintaan kepada Allah menjadikan kita hamba yang patuh dan taat.

Ibu bapa berperanan sebagai pendidik utama kepada anak sebelum gurunya. Kasih sayang yang terjalin atas dasar ibu bapa dan anak paling berkesan bagi memastikan segala ajaran dipatuhi. Perasaan kasih sayang juga akan lebih kukuh jika pelaksanaan tugas mendidik itu disertai dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas serta sedar bahawa ia adalah amanah dari Allah.

Didikan dengan penuh kasih sayang tidak bermakna mengabaikan aspek disiplin yang tetap penting dilaksanakan, namun atas dasar kasih dan sayang untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada salah didikan. Disiplin yang disertakan dengan kasih sayang amat berbeza dengan berbentuk penaklukan dan pemerintahan. Dalam proses pendidikan, disiplin yang disertakan dengan kasih dan sayang serta niat melaksanakan amanah Allah tentu menghasilkan natijah baik. Salah faham antara disiplin dan kasih sayang menjadikan proses didikan tidak seimbang.

Jika masyarakat semakin tidak menitikberatkan keperluan rohani iaitu kasih sayang, maka pincang pembentukan sesebuah masyarakat. Gejala sosial seperti vandalisme, rogol, buli, penderaan dan pembunuhan menunjukkan rohani manusia semakin jauh daripada perasaan kasih sayang.

Semua jenayah terhadap makhluk lain hanya dilakukan jika diri seseorang kosong daripada kasih sayang. Perasaan ini perlu ada dalam diri manusia yang merangkumi kepada Allah, diri sendiri, sesama manusia dan makhluk lain. Didikan yang penuh dengan paksaan dan kekerasan tidak menghasilkan natijah yang baik.

Memandangkan kepentingan kasih sayang dalam pendidikan individu seterusnya masyarakat, maka dalam mengkaji permasalahan melanda sekarang perlu dihalusi punca berhubungkait dengan unsur kasih sayang.

Manusia yang kekurangan kasih sayang dan perhatian menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan. Tambahan pula jika tidak diiringi fahaman dan pegangan agama yang kukuh, manusia begini terus hanyut tanpa pertimbangan. Kasih sayang sepatutnya menjadi teras kepada pembinaan akhlak kanak-kanak yang bermula dari rumah.

Perspektif Ikim: Kewangan Islam mampu tangani kemelut ekonomi

Oleh Mohd Noor Omar

Sudah tiba masanya ummah memakmurkan peraturan berlandaskan keadilan, saksama

MUNGKIN tiada yang menjangka ekonomi Amerika Syarikat dan dunia akan sumbang sebegini teruk. Syarikat gergasi yang megah dengan aset berbilion dolar di Amerika mengalami kerugian, tidak dapat lagi meneruskan syarikat dan terpaksa gulung tikar kerana muflis.

Amerika terpaksa menampung kerugian bagi memulihkan syarikat tertentu supaya dapat meneruskan hayatnya. Pasaran saham dan medan agihan modal di Amerika serta negara lain juga terjejas teruk akibat kemerosotan yang dihadapi. Urus niaga saham sesetengah negara terpaksa digantung.

Apa yang berlaku sebenarnya selama lebih kurang 10 tahun lalu, banyak pihak tenggelam dalam kerancakan pertumbuhan ekonomi dunia yang dibiayai wang dan pulangan palsu. Aturan ekonominya berasaskan riba dan gharar kerana mata wang tidak disandar kepada nilai sebenar, ditambah kegagalan pentadbiran kewangan berhemah menjadi punca segala masalah ini.

Mata wang dan urus niaga dilaksanakan semata-mata untuk menjana pesta pertumbuhan ekonomi berterusan dengan sifat menghancurkan berbanding memakmurkan ekonomi. Keseluruhan aturan yang diamalkan bercanggah dengan roh kewangan Islam yang memberi penekanan kepada keadilan risiko dan pulangan. Pihak berkuasa Amerika pula seolah-olah tertidur diulit mimpi. Sekitar 200 agensi pengawalan dan penguat kuasa mengawasi Fannie Mae dan Freddie Mac, tetapi kedua-dua syarikat itu akhirnya terbelenggu dengan hutang hampir AS$5 trilion.

Pada asasnya, syarikat dokongan kerajaan ini membiarkan pelabur menyangka pinjaman perumahan yang mereka miliki, walaupun banyak lapuk, tetap dilindungi kerajaan. Keadaan ini menyebabkan agensi pengadaran kredit memberikan mereka markah tinggi termasuk kepada bon yang sebenarnya tidak boleh dipercayai.

Seperti jambatan reput yang menampung ribuan manusia, keruntuhannya menyebabkan bukan saja kesan ekonomi tetapi politik dan kemasyarakatan.

Banyak institusi kewangan memberi jenama baru hutang lapuk dan menjualnya semula di pasaran dunia. Ada institusi kewangan memberi pinjaman terlalu tinggi sehingga 30 kali jumlah aset yang mereka miliki dengan pelbagai andaian termasuk kemungkinan hartanah serta perumahan terus meningkat dan tidak mungkin jatuh.

Pihak berkuasa pula terus membisu tidak mengambil langkah yang perlu untuk mengawalnya. Apa yang berlaku menunjukkan ketempangan jelas pada pihak berkuasa dan peraturan yang berkongsi kefahaman aturan kewangan sama. Apabila pihak berkuasa tertidur, jangan pula kita terkejut jika ada pihak yang mengambil risiko terlalu tinggi. Perkara yang patut dipersalahkan bukan saja aturan ekonomi, malah pihak berkuasa.

Penyelesaian yang dicadangkan mesti kembali kepada prinsip asas ekonomi. Usaha kerajaan Amerika untuk membiayai syarikat tertentu hanya menyelamatkan mereka yang bersalah tanpa menghiraukan keperluan mencorak semula aturan keseluruhan ekonomi mereka. Kita juga harus sedar dunia bukan dominasi Amerika semata-mata. China kini menjadi ekonomi keempat terbesar dan terus berkembang dengan kadar hampir 10 peratus.

India dan negara lain membangun juga terus berkembang. Rakyat miskin di negara membangun tetap merasai kesan positif pembangunan ekonomi negara mereka. Dengan mengambil kira kedudukan ini, walaupun ekonomi negara Barat merudum, ekonomi dunia dianggarkan terus berkembang empat peratus. Negara yang mengamalkan aturan kewangan Islam menjadi perhatian walaupun dalam kadar menurun.

Kemerosotan ini mengajar kita pentingnya aturan ekonomi berlandaskan aturan ekonomi Islam yang adil. Urus niaga secara besarnya berasaskan jual beli hutang atau kredit perlu disusun semula.

Mungkin tepat pada masanya negara mengorak langkah memakmurkan aturan kewangan Islam yang berlandaskan kepada keadilan dan saksama. Namun, kebelakangan ini ada sebilangan pengamal perbankan yang berkecenderungan meniru dan mereka cipta produk kewangan mimikan kewangan biasa dengan mengetepikan falsafah dan roh muamalah Islam.

Dengan kata lain, ditakuti aturan ekonomi Islam juga dijangkiti penyakit sama jika tersalah langkah. Hadis tidak terkecuali menegaskan bahawa imbuhan harga atau imbangan pertukaran setimpal dalam faham pertukaran jual beli.

Pendekatan sama juga digunakan oleh Khalifah Umar Khattab dalam menetapkan kadar diyat (pampasan) baru apabila nilai dirham jatuh akibat daripada kenaikan harga barang. Perkara sama didapati juga dalam surat kerajaan khalifah keempat Saidina Ali Abi Talib. Mungkin sudah tiba masanya pihak berkuasa di negara ini mempertimbangkan aturan pentadbiran kewangan, akad dan institusi kewangan dengan lebih terperinci seperti penggubalan dan pengiktirafan setara bagi akad atau undang-undang Islam untuk pemakaian dan pengiktirafan dengan lebih luas. Halangan pentadbiran perundangan perlu dilihat semula bagi memberi ruang dalam pelaksanaannya di mahkamah terhadap kes pertikaian membabitkan akad muamalah Islam.

Monday, October 20, 2008

Sindrom prasangka dengan agama lain masih wujud

Laporan Hasliza Hassan dari Canberra, Australia



Dialog di New South Wales didakwa belum berkesan semai persefahaman antara penganut

PENGERUSI Suruhanjaya Perhubungan Komuniti (CRC) untuk rakyat pelbagai budaya di New South Wales (NSW), Stepan Kerkyasharian, membangkitkan fakta menarik apabila menyatakan dialog antara agama yang sering dianjurkan kepemimpinan persatuan keagamaan dan masyarakat tidak memberi kesan seperti diharapkan.

Katanya, walaupun ada pertemuan dan perbincangan antara pemimpin pelbagai agama, maklumat yang diperoleh tidak disebarkan kepada akar umbi menyebabkan mereka terus jahil mengenai agama, amalan serta cara hidup masyarakat pelbagai budaya di Australia.

"Pada dialog antara agama itu, kita ada imam, paderi dan rabbai yang menyatakan agama kita semua sama kerana kita adalah Ahli Kitab. Tetapi saya yakin paderi tidak sebarkan perkara itu kepada orang Kristian, imam tidak sampaikan kepada orang Islam dan rabbai tidak menjelaskan kepada orang Yahudi," katanya.

Hakikatnya apa yang diperkatakan itu ada benarnya kerana bukan mudah untuk seorang Islam mendengar imam memberitahu mengenai kebaikan agama Kristian, Katolik atau Buddha dalam khutbah Jumaat dan begitu juga sebaliknya.

Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Islam Turki Dandenong, Victoria, Suleyman Sahigoz, berkata, sukar bagi ketua persatuan serta pertubuhan pelbagai agama untuk menyampaikan maklumat atau membuat kenyataan positif mengenai ajaran agama lain kepada ahli komuniti mereka.

Beliau yang juga koordinator remaja dan komuniti persatuan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Masjid Emir Sultan, berkata ada antara ahli komuniti berasa terancam apabila orang dihormati kerana pengetahuannya dalam bidang agama seperti imam misalnya tiba-tiba memuji serta memberi pandangan seakan menyokong falsafah atau ajaran disampaikan agama lain.



"Bukan pemimpin agama tidak mahu menyebarkan apa yang sepatutnya kepada akar umbi tetapi ada kalanya keadaan menjadi sukar apabila kita beritahu kerana ada yang tidak boleh menerima. Tetapi kita sentiasa berusaha memberi maklumat untuk kebaikan semua pihak.

"Ibarat orang sesat dalam hutan, apabila dengar pelbagai bunyi pelik, mula berasa takut dan membayangkan yang bukan-bukan. Ilmu pengetahuan seperti bulan yang menerangi dan bagi orang yang sesat, cahaya bulan menyebabkan perasaan takut itu hilang.

"Sebab itu kita tidak mahu masyarakat jahil kerana ini akan menjurus kepada perasaan takut sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang ditakutkan.

"Islam menimbulkan rasa takut kerana isu keganasan yang dikaitkan dengan umat Islam sedangkan Islam sebenarnya menentang keganasan dan ini perlu dijelaskan kepada mereka," katanya pada sesi lawatan ke rumah ibadat di City of Greater Dandenong anjuran Interfaith Network Inc.

Wartawan yang mengikuti program Lawatan Media Antarabangsa ke Australia anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia, dibawa melawat empat rumah ibadat di Dandenong iaitu Masjd Emir Sultan, Gereja Ortodoks Greek St Panteleimon, Gereja Katolik St Mary dan Kuil Buddha Vietnam Hao Nghiem.

Selain diperkenalkan secara ringkas mengenai asas ajaran agama, kumpulan media turut mengadakan perbincangan dalam sesi soal jawab bagi memahami lebih mendalam mengenai dialog antara agama serta bentuk hubungan dijalinkan antara pemimpin agama.

Dandenong yang terletak 31 kilometer di tenggara Melbourne mempunyai 125,520 penduduk dan ia sebuah bandar yang mempunyai kegiatan paling banyak kerana kepelbagaian budaya dimiliki. Majoriti penduduk Dandenong beragama Kristian tetapi agama lain terus berkembang seperti Buddha, Islam, Hindu dan agama lain.

Dianggarkan 15,000 penduduk Islam di sekitar Dandenong daripada pelbagai etnik dan ada enam masjid serta empat musola bagi kemudahan menjalankan kegiatan ibadat serta kegiatan kemasyarakatan.

Suleyman berkata, dialog antara agama tetap penting kerana ia membantu mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kepercayaan dan kebudayaan melalui program yang dianjurkan sama ada oleh pertubuhan agama itu sendiri atau gabungan semua ahli Interfaith Network Inc.

"Mungkin kita tidak boleh paksa masyarakat untuk memahami dan menerima agama masyarakat lain tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mengekalkan keharmonian melalui persefahaman dicapai antara masyarakat pelbagai budaya di Dandenong," katanya.

Persekutuan Paderi Gereja Katolik St Mary's, Margaret Fields memberitahu pernah melalui pengalaman memalukan apabila seorang kumpulan wanita yang datang ke gereja melenting apabila beliau cuba menjelaskan mengenai Islam serta nilai baik dianjurkan agama itu dalam kehidupan seharian.

Katanya, timbul kegusaran di hati mereka kerana menyangka beliau ingin berdakwah dan mengajak untuk menganut agama lain apabila cuba berkongsi pengetahuan bagi mengelak prejudis antara masyarakat pelbagai budaya di kawasan itu.

Begitu juga apabila pihak gereja merancang mengadakan lawatan ke rumah ibadat agama lain di sekitar Dandenong, ada ibu bapa yang tidak mahu membenarkan anak mereka pergi kerana bimbang kanak-kanak itu akan terpengaruh dengan agama lain.

"Ini berlaku dan kita tidak boleh salahkan ibu bapa. Sebenarnya jika mereka lihat bagaimana penerimaan kanak-kanak terhadap program dialog antara pelbagai agama ini, anda akan kagum bagaimana mereka boleh menerima perbezaan dan saling menghormati amalan agama lain," katanya.

Margaret berkata, kini mereka boleh melihat masyarakat Katolik di kawasan itu turut menyertai majlis berbuka puasa anjuran kakitangan masjid bersama masyarakat daripada agama lain dan suasana itu tidak dapat dilihat 10 tahun lalu.

Malah, ada ibu bapa Muslim yang menghantar anak ke sekolah Katolik tanpa berasa bimbang anak akan terpengaruh kerana yakin dengan sistem pendidikan ditawarkan dapat membantu pelajar mencapai kejayaan.

Banyak lagi program kerjasama diadakan antara persatuan masyarakat pelbagai budaya serta nilai baik yang diserapkan dalam diri mereka seperti menganjurkan majlis doa beramai-ramai bagi meringankan beban pihak menghadapi kesusahan seperti mereka yang dilanda bencana alam.

"Kita pernah anjurkan majlis membaca doa untuk mangsa yang dilanda bencana alam dengan semua pemimpin agama membacakan doa memohon keselamatan mereka. Banyak perubahan positif berlaku dalam masyarakat kebelakangan ini dan kita harap ia dapat diteruskan," katanya.

Sementara itu, kisah diceritakan Ahli Jawatankuasa Kuil Buddha Vietnam Hao Nghiem, Viet Tran, wajar menjadi panduan masyarakat pelbagai agama walau di mana mereka berada untuk menerima hakikat perbezaan tidak semestinya memisahkan kedua-dua pihak.

Katanya, seorang sami Buddha keturunan Inggeris yang sudah meninggal dunia suka bertafakur di masjid kerana katanya suasana di masjid memberi ketenangan jiwa dan membolehkan beliau menumpukan ibadat yang dilakukannya.

"Sepatutnya kehadiran pemimpin atau penganut agama lain di rumah ibadat kita menjadi satu penghormatan bukan dipandang serong. Kami di kuil ini sentiasa menerima kehadiran sesiapa saja tidak kira agama dan bangsa yang ingin bertanyakan mengenai agama Buddha dengan tangan terbuka," katanya.

Menariknya pertemuan dengan Paderi Gereja Ortodoks Greek St Panteleimon, Anthony Krinas, ialah apabila diberitahu bahawa tidak ada kompromi dalam perkara membabitkan ajaran Kristian Ortodoks Greek kepada penganutnya yang melanggar peraturan ditetapkan.

Contohnya, penganut agama itu hanya boleh berkahwin dengan pasangan yang dibaptiskan menurut upacara ditetapkan dan jika ada yang melanggarnya, hak mereka akan ditarik balik. Lelaki Kristian Ortodoks yang ingin berkahwin dengan wanita daripada agama lain tidak boleh menjalankan upacara di gereja Kristian Ortodoks.

Sememangnya perkara membabitkan kepercayaan mana-mana agama tidak boleh dipandang ringan dan cara terbaik menghadapinya ialah dengan mengakui wujudnya perbezaan dan perlunya tindakan memahami perbezaan itu.

Memetik kata-kata Stepan, "Akui saja agama kita memang berbeza. Anda bebas mengamalkan ajaran agama anda dan saya bebas mengamalkan ajaran agama saya. Yang penting, kita saling menghormati untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni."