Wednesday, October 22, 2008

Bersama YaPEIM: Penerapan pelbagai ilmu pertingkatkan kualiti pengurusan

Oleh Penulis Khas YaPEIM

FIRAUN menolak tawaran petunjuk ilmu yang benar, lalu terus mengganas sehingga ke batas ditetapkan Allah, dia binasa ditelan laut. Demikian hakikatnya orang yang tidak berilmu dan zalim.

Keadilan amat berkait dengan ilmu. Hanya dengan ilmu seseorang dapat mengetahui makna nilai dan kedudukan sesuatu. Ilmu memberi petunjuk untuk berlaku adil iaitu memberikan hak kepada yang berhak dan meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya. Dengan ilmu seseorang dapat mengenal urutan keutamaan lalu membuat keputusan tepat. Al-Quran banyak menyebut ungkapan: "Yang demikian itu lebih baik jika kamu mengetahui."

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Apabila diseru azan untuk mengerjakan sembahyang pada Jumaat, maka segera kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkan berjual beli; yang demikian adalah baik bagi kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." Surah al-Jumu'ah, ayat 9

Orang berilmu mengetahui menghentikan urus niaga untuk menunaikan sembahyang (Jumaat) adalah lebih baik kerana menurut perkiraan ilmu ia dapat keredaan, keberkatan dan ganjaran Allah berbanding keuntungan duniawi.

Berasaskan ilmu adalah pembentukan watak manusia adil dan bertanggungjawab, ia menjadi syarat utama penyandang kepemimpinan. Nabi Sulaiman penyandang dwi-fungsi nabi dan raja sekali gus. Sebagai pemerintahan, kekuatannya terletak pada ilmu dan hikmah kurnia Allah. Nikmat Allah kepada Nabi Sulaiman melimpah ruah tetapi tidak menjadikannya lupa diri.

Objektif perutusan rasul adalah melakukan transformasi kemanusiaan, merubahnya daripada sesat menjadi terbilang dalam petunjuk Ilahi (hidayah). Untuk mencapai objektif itu, rasul menggunakan kaedah menyerapkan ilmu dan menyucikan jiwa serta minda.

Misi pengilmuan serta pemurnian itulah yang tersurat dan tersirat dalam ayat firman Allah yang bermaksud: "Dialah yang sudah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktikad sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2)

Menurut perspektif Islam, ilmu bukan barang mewah yang menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Ia adalah sebahagian daripada kemanusiaan kerana itu ilmuwan seperti Dr Yusuf al-Qardawi memasukkan pendidikan dalam senarai keperluan asasi manusia di samping makanan, pakaian dan tempat tinggal. Nabi Adam tidak diciptakan hanya dalam bentuk makhluk fizikal, tetapi diperangkap dengan ilmu menerusi proses taklim seperti diisyaratkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah mengajarkan Adam dengan nama (benda) seharusnya." (Surah al-Baqarah, ayat 31) Demikianlah seterusnya perjuangan Rasulullah SAW mengubah masyarakat jahiliah menjadi umat terunggul bermula dengan satu kata, iqra', kalimat melambangkan ilmu dalam erti dan semangat yang tepat.

Tauhid bukan sekadar tanggapan mental mengenai keesaan Allah, tetapi sekali gus kaedah pemanduan menunjukkan kesepaduan ilmu. Menerusi tamadun tauhidik segala disiplin ilmu terpadu dalam jalinan saling memperkukuh bagaikan anyaman yang terjelma dalam rupa kesatuan utuh dan padat. Begitu juga dengan ilmu pengurusan Islami yang terjalin dan teranyam erat antara pelbagai ilmu seperti ilmu akidah, syariat, akhlak, sejarah, geografi serta ilmu kemanusiaan. Kesepaduan itu harus dipelihara kerana pemecahan ilmu mengakibatkan kekacauan. Pengurusan yang cekap dan bersih tidak mungkin dapat dilakukan ketika kerosakan pelbagai sektor kehidupan masyarakat. Sebarang kerosakan yang berlaku di sesuatu bahagian akan memberi kesan kepada bahagian lain.

Objektif pengurusan berkualiti hanya dapat dicapai andai seluruh sistem dan budaya lingkungannya dalam keadaan sihat, harmonis dan kondusif hasil penerapan ilmu terpadu yang saling memperkukuh. Tanpa dukungan dan pengukuhan daripada ilmu lain, ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

Hakikat itu dapat menjelaskan mengapa ilmu pengurusan perlu dipadukan dengan ilmu tauhid. Pengurusan berkesan memerlukan daya manusia berwatak kuat, tabah, sabar, berani, jujur dan ikhlas. Watak seperti itu hanya dapat dibina dengan berkesan menerusi pendidikan tauhid kerana ia adalah doktrin menjurus pembebasan jiwa dan minda, mengangkat martabat insani, pemberian erti hidup dan nilai amal. Ilmu pengurusan memerlukan landasan akidah untuk pembangunan sumber daya manusia yang dinamik dan pembinaan motivasi dalaman.

No comments: