Wednesday, October 1, 2008

Peguam Syarie Menulis: Aidilfitri bukan suatu adat, wajar dipenuhi ibadat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Islam galak umat sambut Syawal dengan perkukuh semangat persaudaraan, bersederhana

IBADAT puasa di bulan Ramadan diibaratkan suatu ‘institusi’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa. Bukan saja menahan lapar dahaga juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa.

Malah disiplin institusi ini amat tinggi sehinggakan bukan saja di hadapan umat Islam berpuasa, tetapi apabila bersendirian juga amalan ini masih utuh. Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah.

Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi. Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Hari Raya.

Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari itu dan selalunya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Dari segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan telah membersih segala dosa.

Namun tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal mendapat ‘ijazah’ dari madrasah Ramadan ini apabila mereka juga kembali kepada ‘fitrah’ iaitu sikap negatif yang diamalkan sebelumnya. Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat. Agama Allah memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah suatu adat, tetapi ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia suatu ibadat, adalah wajar hari besar ini dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah. Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir dari apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Ramai juga di kalangan umat Islam tidak mahu keluar rumah mengunjungi sanak saudara. Hal sedemikian seolah-olah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia. Ia berlaku kerana umat Islam khususnya di kalangan muda mudi menumpukan perhatian kepada rancangan hiburan disediakan.

Bukanlah penulis mengatakan hiburan patut diharamkan di hari raya, tetapi rancangan disajikan itu menghakis semangat Hari Raya itu sendiri. Apatah lagi rancangan disajikan itu pula disiarkan pada waktu prima, sudah tentu muda mudi lebih tertarik kepada rancangan itu berbanding perkara lain. Malah golongan pertengahan dan yang berusia juga kadangkala terpengaruh dengan rutin ini.

Seperti lazimnya, Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis berkenaan. Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa dilakukan sekian lama ataupun menyarankan ia diberhentikan, tetapi biarlah dalam semua tindakan itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak disifatkan sebagai suatu pembaziran.

Malah, oleh kerana terlalu banyak rumah terbuka meraikan Aidilfitri, ada kalanya kita tidak berkesempatan menunaikan tuntutan agama seperti berpuasa enam. Berpuasa enam hari pada Syawal amatlah dituntut dalam Islam.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan berjumpa lagi Ramadan akan datang? Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta? Kebeningan Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada’ dan qadar-Nya.

Apa juga tindakan yang ingin kita lakukan, sewajarnya renung terlebih dulu sama ada sesuatu tindakan itu mempunyai asas hukum syarak atau sebaliknya. Segala perbuatan kita hendaklah mempunyai susur galur kepada sumber perundangan Islam sebenar.

Janganlah hanya mengikut tanpa memahami nas atau dalil sesuatu perkara. Jika kita tidak berkemampuan mendapatkan ilmu daripada sumber asal tanyalah guru yang mursyid bagi membimbing kita.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli PGSM, peguam syarie, penyokong perjuangan PGSM dan seluruh Muslimin dan Muslimat sekalian.

Bagi pihak pimpinan PGSM, penulis menyusun sepuluh jari mohon keampunan di sisi-Nya dan kemaafan zahir dan batin terhadap segala kesilapan yang dilakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun sebaliknya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org

No comments: