Friday, October 10, 2008

Dakwah berhikmah bentuk kekuatan kerohanian

Oleh Dr Sapora Sipon


KESEDARAN mengenai keimanan dan ketakwaan kepada Allah perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam sejak kecil. - Gambar hiasan


Rasulullah SAW buktikan kesabaran, seruan secara baik, berterusan mampu beri kejayaan

PEMBANGUNAN modal insan menjadi agenda utama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK–9) kerana memberi fokus kepada usaha mempertingkat mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, kesihatan serta fizikal.

Mempertingkatkan mutu kehidupan dilaksanakan dengan mengamalkan sistem ekonomi, perdagangan dan kewangan yang dinamik. Ke arah itu, pembangunan sepadu dan seimbang perlu dalam usaha melahirkan umat berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Keperluan membangunkan modal insan melalui keseimbangan individu dinyatakan dengan jelas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap merasmikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke–48.

Beliau berkata, untuk membangunkan modal insan kita mahu memberi ilmu pengetahuan secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara, mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. (Bernama, 31 Ogos 2005)

Dalam usaha melahirkan individu seimbang dari aspek rohani, jasmani dan intelektual bukanlah satu perkara mudah. Satu pendekatan bersifat menyeluruh dan sistematik perlu diambil. Dakwah dilihat sebagai seruan bersifat komprehensif dan terancang yang bukan saja menyeru manusia supaya melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan mengajar ilmu agama berlandaskan wahyu tetapi ilmu yang memberi manfaat kepada kehidupan. Pendek kata, dakwah amat berkesan dalam membangunkan modal insan.

Keberkesanan dakwah dalam membentuk dan melahirkan individu mempunyai kekuatan jasmani dan rohani sudah dibuktikan Baginda Rasulullah SAW. Usaha Baginda yang tidak pernah kenal putus asa berjaya mengubah bangsa Arab Jahiliah yang rendah nilai moral dan akhlaknya menjadi satu bangsa bertamadun tinggi.

Dakwah Islam yang bertujuan membangunkan modal insan perlu disampaikan penuh hikmah, secara memberi peringatan, nasihat dan seruan. Ia perlu disampaikan dengan baik melalui dialog dan pertukaran fikiran.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah an-Nahl, ayat 125)

Berdakwah melalui kaedah berhikmah dapat dilihat melalui peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian itu menjadi satu pengajaran besar yang wajib dijadikan petunjuk, betapa kejernihan hati nurani umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW yang berpegang kepada prinsip bahawa peperangan dan kekerasan bukan jalan pintas boleh membawa kejayaan.

Kalimah Allah yang terkandung dalam al-Quran disampaikan dengan penuh berhikmah, menyeru, menegur, memperingatkan dan menasihati manusia ke jalan kebaikan iaitu jalan menuju kedamaian dan jalan mendapat keredaan Allah.

Keperluan kepada usaha pembangunan insan lebih jelas terutama pada masa ini di mana berlaku pelbagai masalah kerohanian dan keruntuhan akhlak sehingga sampai satu tahap membimbangkan semua pihak.

Pelbagai jenis jenayah, masalah sosial dan bermacam perilaku negatif dihadapi masyarakat Malaysia sekarang. Keadaan itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana ia akan menghalang pencapaian negara maju seperti dihasratkan.

Usaha yang jelas dan menyeluruh dimulakan dari akar umbi perlu digerakkan oleh semua pihak dalam memastikan tahap pembangunan insan, rakyat dan negara berjalan seperti diinginkan.

Walaupun berdakwah dapat membantu dalam pembangunan modal insan cabaran dakwah yang semakin meruncing hari ini, memerlukan setiap umat Islam berperanan menjalankan dakwah dengan penuh komited dan tidak kenal letih atau jemu.

Ketrampilan intelektual pemimpin, ibu bapa dan masyarakat penting dalam menjana sumber insan yang cemerlang. Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah mereka yang beriman." (Surah Fatir, ayat 28)

Proses ini mengambil masa lama dan sentiasa berterusan kerana ilmu yang digarap tidak akan bertahan lama tanpa digilap dan dipancarkan.

Islam sebagai agama rasmi negara melalui Perlembagaan Persekutuan sepatutnya dijadikan umat Islam untuk melaksanakan dakwah Islamiah dengan bersungguh-sungguh. Kesedaran mengenai hakikat kehidupan dan rasa kecintaan, keimanan dan ketakwaan kepada Allah perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam sejak kecil.

Ketakwaan yang lahir daripada keimanan kepada Allah penting bagi melahirkan individu berakhlak dan bermoral tinggi yang akan menjaga hubungan sesama manusia, menghormati perbezaan agama, bertolak ansur dan tidak bersifat mementingkan diri.

Dalam usaha berdakwah, badan dakwah perlu berperanan secara aktif seperti membuat penyelidikan bagaimana meningkatkan pembangunan insan berlandaskan teori dan praktikal bagi memastikan dakwah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Kegiatan dakwah juga perlu dilakukan secara kontekstual iaitu bersesuaian dengan perkembangan semasa supaya orang yang didakwah dapat memahami apa yang ingin disampaikan kepada mereka.

Selain itu, mesej dakwah yang ingin disampaikan hendaklah jelas bagi mengelakkan kekeliruan ataupun salah faham yang akhirnya boleh mengakibatkan berlakunya penyelewengan akidah dan sebagainya.

Keberkesanan dakwah untuk melahirkan modal insan seimbang adalah satu tuntutan dalam Islam dan perlu dilakukan secara berterusan. Ia menjadi tuntutan umat Islam bertujuan melahirkan insan seimbang dalam semua aspek berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah.

Penulis ialah pensyarah kanan Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

No comments: