Thursday, October 16, 2008

Hak Muslim: Bekas suami, isteri boleh rayu ketepi perintah ex-parte

http://www.peguamsyarie.org

Soalan:

SAYA mempunyai sepasang anak, seorang lelaki berumur setahun dan perempuan tiga tahun. Pada November 2007, saya memfailkan tuntutan hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan kerana saya bekerja di sana.

Bekas suami saya membuat tuntutan hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan dan diberi hak penjagaan sementara secara ex-parte untuk anak perempuan kami. Soalan saya:

1) Bolehkah tuntutan sama dibuat di dua negeri sedangkan mengikut bukti tarikh pendaftaran, kes saya terlebih dulu difailkan?

2) Bolehkah Mahkamah Tinggi Syariah memberi hak penjagaan sementara kepada bapa terhadap seorang anak perempuan di bawah umur mumayyiz dan si ibu dilarang daripada berjumpa seperti dalam perintah hak penjagaan sementara itu.

Banyak keraguan di dalam perintah berkenaan?

Puan Roslinah
Seremban,
Negeri Sembilan.

Jawapan:

Tuntutan sama di dua negeri berlainan:

Isu pertindihan pendaftaran kes berkemungkinan berlaku kerana setakat ini belum ada penyeragaman pendaftaran kes yang membabitkan seluruh negara, melainkan di negeri yang menggunakan perkhidmatan guna sama mengikut pentadbiran Persekutuan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), iaitu Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Sabah. Kelantan tidak termasuk dalam senarai itu tetapi tetap masih mengaplikasikan Arahan Amalan dikeluarkan oleh JKSM untuk tujuan penyeragaman.

Arahan Amalan JKSM Nombor 12, 2002 menggariskan kes yang difailkan atas isu sama oleh pihak sama di mahkamah di sesebuah negeri tidak boleh diterima pendaftarannya di mahkamah di negeri lain.

Mengikut Arahan Amalan Nombor 13, tahun sama, jika berlaku pertindihan pendengaran kes atas isu dan pihak sama dan prosidingnya masih berkuat kuasa, maka kes yang terlebih dulu difailkan hendaklah diberikan keutamaan.

Maka kes puan sepatutnya diberi keutamaan untuk didengar dan diputuskan, dengan syarat puan membuktikan yang ia difailkan dulu berbanding bekas suami puan. Masalah puan ini bolehlah dirujuk ke Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya untuk tujuan semakan oleh jabatan berkenaan.

Hak Jagaan Sementara Anak Bawah Umur Kepada Bapa

Mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan sebarang perintah sementara mengenai hadhanah atas terma yang patut menurut hukum syarak. Perintah sementara itu boleh diberikan secara ex-parte (sebelah pihak) jika keadaan mendesak yang memerlukan campur tangan mahkamah dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada anak itu.

Walaupun menurut prinsip asasnya, ibu adalah paling berhak bagi menjaga anaknya yang masih kecil. Perlu ditekankan ibu yang dikatakan layak itu ialah ibu yang memenuhi syarat yang digariskan hukum syarak, iaitu seorang Islam, sempurna akal, berkelayakan untuk memberi anak itu kasih sayang yang diperlukan, berkelakuan baik; dan mempunyai tempat tinggal sesuai untuk anak itu.

Hak menjaga anak juga boleh hilang jika ibu itu berkahwin lain, ibu itu berkelakuan buruk secara terbuka, ibu itu menukar pemastautin dengan tujuan mencegah bapa anak itu menjalankan pengawasan ke atas anak itu, murtad, ibu cuai atau menganiaya anak itu.

Jika ibu gagal memenuhi syarat dinyatakan, maka hak penjagaan berkemungkinan beralih kepada orang lain. Perlu juga diingatkan dalam menentukan hak penjagaan anak, kesejahteraan dan kebajikan anak itu akan diberi keutamaan oleh mahkamah, bukan keutamaan ibu atau bapanya. Berkemungkinan besar mahkamah mendapati kebajikan anak itu lebih terbela jika dijaga bekas suami puan, maka sebab itulah hak jagaan sementara diberikan kepadanya.

Saya tidak dapat mengulas mengenai terma dalam perintah yang menegah atau melarang puan daripada berjumpa dengan anak berkenaan. Mungkin puan tersilap pandang atau kesilapan perkeranian. Hubungan di antara anak dengan ibu dan bapanya tidak akan terputus dan tidak boleh diputuskan. Sabda Rasulullah yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim."

Semua perintah sementara yang dikeluarkan mahkamah boleh diketepikan jika pihak satu lagi tidak berpuas hati dengan kandungan perintah itu atau jika berlaku kesilapan teknikal, prosedur, penyalahgunaan proses mahkamah, berlaku kezaliman atau bertentangan dengan hukum syarak.

Seksyen 194 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah memperuntukkan bahawa 'mahkamah boleh atas permohonan mana-mana pihak dalam mana-mana klausa atau perkara, mengetepikan sesuatu perintah yang dibuat secara ex-parte."

Permohonan untuk mengetepikan perintah ex-parte itu hendaklah dibuat dalam masa 14 hari daripada tarikh puan diserahkan perintah itu dan hendaklah didengar secara inter-parte (dua belah pihak). Saya nasihatkan puan dapatkan khidmat peguam syarie yang bertauliah kerana proses yang saya nyatakan di atas banyak membabitkan aspek teknikal dan prosedur.

Jawapan disediakan oleh Tuan Musa Awang, Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari http://www.peguamsyarie.org.

No comments: