Thursday, April 30, 2009

Menonjolkan kembali ikatan persaudaraan sesama Islam

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


UMAT Islam kini perlu bersatu menentang keganasan serta propaganda yang dicetuskan musuh.


Umat perlu bersatu elak terpedaya dengan strategi musuh cuba gagalkan perpaduan ummah

RUANG yang masih lapang, masa masih bersisa, peluang sudah terbentang dan doa sekalian umat manusia supaya sesama Muslim kembali hidup bersaudara bukan sekadar demi perpaduan dan kesejahteraan, tetapi lebih daripada itu.

Benar, Islam adalah agama mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah, tetapi ia bukan tuntutan ke atas seorang individu saja, tetapi buat semua.

Hari ini pertelingkahan serta perbalahan menjadi adat dan norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih sayang sesama insan. Mengejar impian yang fana, menggadai untung nyata, mempertaruhkan janji luar biasa kerana tamak dan haloba lalu semangat persaudaraan digadai begitu saja adalah sikap tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah semata-mata, tetapi sesama manusia dan makhluk lainnya.

Allah berfirman bermaksud: "Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan daripada Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat Allah dan mereka membunuh nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas." (Surah Ali-Imran, ayat 112)

Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan dan keturunan, tetapi kasih sayang sesama saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya.

Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah teguh kepada keEsaan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Justeru, adanya hak yang perlu dipelihara seseorang Muslim terhadap saudara seagama menunjukkan betapa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan supaya tiada sesiapa teraniaya.

Malah, Barat turut mendakwa hak asasi manusia adalah sesuatu yang dibina daripada norma kehidupan sejak azali yang bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang.

Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia jika hak sebagai manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa mengejar untung dunia. Sedangkan Islam menitipkan hikmah persaudaraan supaya tiada siapa dizalimi kerana kita semua adalah makhluk dan hamba tiada keistimewaan di sisi Dia melainkan yang bertakwa saja.

Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam yang semakin melampaui batas kesabaran sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan tidak membawa kebaikan atau lencongan yang sengaja dicari kerana ego sendiri.

Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak, bongkak serta tidak reda dengan qada dan qadar Allah adalah punca putusnya silaturahim sesama Muslim hingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah dianjurkan al-Quran dan sunnah.

Umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri hingga akhirnya tiada siapa menang, malah diperolokkan dan dihina secara terang-terangan.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti api memakan kayu atau memakan rumput." (Hadis riwayat Abu Daud)

Strategi demi strategi untuk menggagalkan persaudaraan sesama Muslim mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan dicita lebur begitu saja, bahkan kehidupan aman sentosa menjadi kacau-bilau kerana propaganda begitu halus dicipta.

Lalu Islam yang sempurna dilihat orang lain sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya. Penganut agama lain pula menggeleng kepala melihat kemunduran negara Islam di dunia yang hingga hari ini masih dibelenggu kesusahan.

Mereka pula menggembleng fikiran dan tenaga tanpa berkira waktunya untuk memastikan dunia mereka aman dan damai serta dipelihara. Seharusnya ayat Allah dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Baginda Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan, warna kulit dan kedudukan.

Sejarah juga membuktikan bahawa belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga berjaya membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.

Bukan itu saja, golongan bangsawan turut dipersaudarakan dengan golongan hamba dan mereka sanggup berkorban harta, jiwa raga, hasil perasaan kasih sayang yang dipupuk, hingga benar-benar menusuk dalam sanubari sahabat.

Malah, setiap sahabat dapat merasai mengenai nikmat persaudaraan serta perpaduan dibina berteraskan agama Allah. Hal ini dapat dilihat daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, perlu diingat kebatilan terancang pasti dapat meruntuhkan hak yang tidak diperteguhkan dengan kukuh di atas paksinya. Jika asasnya umat Islam yang menjulang panji kebenaran dan mereka berpecah-belah, tiadalah lagi upaya melainkan menunggu masanya saja.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Melakukan kerja halal seperti jaga maruah agama

Oleh Amran Zakaria

Pekerja curi masa ketika di pejabat, buat kerja peribadi akan diperhitung di akhirat


MENJALANKAN kerja yang halal bermakna membawa rezeki diberkati untuk menanggung kehidupan sendiri mahupun keluarga. Jauhilah daripada kerja haram dan subahat kerana kelak pintu keberkatan rezeki akan tertutup.

Daripada Anas bin Malik meriwayatkan, seorang lelaki daripada kaum Ansar datang menemui Rasulullah SAW dan meminta sesuatu kepada Baginda. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya lelaki itu: "Adakah sesuatu di rumahmu? Jawabnya: Ada, ya Rasulullah. Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebahagian kami gunakan untuk selimut dan sebahagian kami jadikan alas tidur. Selain itu, saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami guna untuk minum."

Rasulullah SAW meminta lelaki itu membawa barang berkenaan dan menyerahkannya kepada Baginda. Setelah barang diterima, Rasulullah SAW melelongnya kepada sahabat yang hadir pada saat itu, Baginda menawarkan pada siapa yang mahu membeli.

Salah seorang sahabat menawar kedua barang itu dengan harga satu dirham. Tetapi Rasulullah SAW menawarkan kepada mereka barangkali ada yang sanggup membeli lebih daripada satu dirham. Kemudian ada yang menawarkan dua dirham dan Rasulullah SAW menyerahkan kedua barang itu kepada si pembeli dan menerima wangnya.

Wang itu lalu Baginda SAW serahkan kepada lelaki Ansar berkenaan, seraya berkata: "Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan sebuah kapak dan engkau kembali lagi ke sini." Tidak lama kemudian lelaki itu kembali menemui Rasulullah SAW dengan membawa kapak.

Rasulullah SAW melengkapi kapak itu dengan membuatkan gagangnya terlebih dulu, lantas berkata, "Pergilah mencari kayu bakar, lalu hasilnya kamu jual di pasar dan jangan menemui aku sampai dua pekan." Lelaki itu taat melaksanakan apa yang disaran Rasulullah SAW.

Selepas dua pekan berlalu lelaki itu menemui Rasulullah SAW melaporkan hasil kerjanya. Dia memberitahu Rasulullah SAW bahawa selama masa itu dia berjaya memperoleh wang sebanyak sepuluh dirham. Sebahagian perolehan digunakan untuk membeli makanan dan pakaian.

Selepas mendengar kata-kata lelaki Ansar itu, Rasulullah SAW bersabda: "Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis, yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat."

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dipertahankan. Islam menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri.

Rasulullah SAW pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik." (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Seorang yang bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan bertambah martabat serta kemuliaannya. Sebaliknya, mereka yang berat tulang dan lebih selasa menganggur, memberi imej buruk dan negatif pada pandangan serta penglihatan orang lain.

Diceritakan pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab melihat Zaid bin Maslamah sedang menanam tanaman di tanahnya, maka berkatalah Saidina Umar kepada Zaid: "Benar sekali perbuatanmu itu. Engkau tidak menggantungkan hidupmu kepada orang lain adalah cara terbaik untuk memelihara agamamu dan amat mulia untuk menjaga martabat dirimu."

Saidina Umar juga pernah memberitahu: "Sesungguhnya aku memandang seorang pemuda, maka aku kagum kepadanya. Lantas aku bertanya kepadanya apakah pekerjaan yang dilakukannya. Lalu dijawab tidak, maka jatuh nilai pemuda itu pada pandanganku."

Memang benar kehidupan sebagai buruh sangat berbeza dengan kehidupan eksekutif. Secara umumnya buruh dilihat memerah keringat sementara eksekutif bertungkus-lumus memerah dan mengeluarkan idea.

Jika semuanya itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah nescaya ia akan menghasilkan produk yang sangat bermanfaat dari segi masa, kos dan tenaga sementara ruang lingkup kehidupan pula akan lebih sejahtera.

Di samping itu, kita hendaklah mengetahui setiap tugas atau kerja yang diberi Allah SAW kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan mereka seperti firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya." (Surah al-Baqarah , ayat 286)

Ayat itu menegaskan tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Seseorang pekerja itu boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya, melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.

Bagi pekerja yang punya prestasi kerja tinggi, komited, menjaga akhlak, masa dan bermatlamat jelas untuk kepentingan keluarga, agama dan majikan, wajar dihargai serta disanjung tinggi. Islam memandang tinggi kepada golongan pekerja seperti ini.

Apalagi banyak antara mereka yang melakukan kerja dari subuh hingga larut malam bagi tujuan memenuhi keperluan keluarganya. Atas niat yang betul, mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Pekerja mahu pun majikan wajib mentaati dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah. Seorang buruh wajib bekerja sesuai dengan akad yang disepakati bersama begitu juga majikan memastikan pekerja mendapat haknya.

Jangan sekali-kali kita lupakan bahawa bekerja mengikut kaedah Islam adalah berbeza mengikut pendekatan Barat. Dalam Islam, pekerjaan halal yang dipilih akan meletakkan status pelakunya pada tahap yang tinggi sehingga pahala diperoleh seperti pahala orang yang berjihad di jalan Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." (Hadis riwayat Bukhari)

Kita hendaklah insaf dan sedar bahawa setiap kegiatan dan pekerjaan di dunia ini akan dihitung di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud: "Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang sudah diperbuatnya." (Surah al-Muddaththir, ayat 38)

Kita tidak boleh mengambil peluang mencuri masa dengan membuat kerja peribadi dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak kerana kita akan dihukum di akhirat kelak walaupun terlepas hukuman di dunia.

Sebaliknya, berbahagialah kita di dunia dan akhirat jika kita melaksanakan tugas menurut tuntutan Islam dan bergembiralah mana-mana pekerja yang mendapat keredaan Allah dengan ganjaran pahala.

Islam benci kepada mereka yang layak bekerja tetapi menjadi pengemis atau penganggur sementara yang mempunyai tanggungjawab perlu melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan amanah kerana Allah SWT.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Hak Muslim : Isteri dicerai talak tiga berhak tuntut nafkah tempat tinggal

Soalan:

MERUJUK penulisan mengenai perceraian talak tiga pada ruangan ini minggu lalu, saya ingin bertanya mengenai hak isteri yang diceraikan dengan talak tiga. Sebagai isteri yang diceraikan talak tiga, bolehkah saya menuntut nafkah edah.

Bekas isteri,
Hulu Selangor

Jawapan:

Isteri yang diceraikan, walaupun dengan talak tiga masih berhak mendapat nafkah edah, tetapi nafkah tempat tinggal saja. Tempat tinggal adalah menjadi hak kepada semua wanita yang bercerai tidak kira cerai mati, talak rajie, talak bain atau fasakh. Kecuali jika isteri disabitkan sebagai isteri nusyuz dan isteri masih kecil atau isteri tidak disetubuhi.

Firman Allah bermaksud: "Tempatkanlah isteri (yang menjalani edahnya) di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu." (Surah at-Talaq, ayat 6)

Tujuan edah tempat tinggal adalah untuk meringankan beban ditanggung bekas isteri akibat perceraian. Dengan kata lain, apabila berlaku perceraian, bekas isteri mempunyai kediaman buat sementara waktu sebelum berpindah ke tempat lain.

Pada waktu sama, bekas isteri dapat membuat persediaan awal untuk menghadapi kehidupan baru tanpa bantuan bekas suami. Edah tempat tinggal juga bertujuan anak hasil perkahwinan mempunyai tempat tinggal sesuai, meskipun ibu bapa mereka sudah berpisah.

Isteri berhak tinggal di rumah didiami ketika berlaku perceraian walaupun rumah itu hak suami. Jika suami tidak mempunyai rumah, isteri boleh memohon suami menyewakan rumah sesuai supaya isteri boleh mendiaminya semasa dalam tempoh edah.

Dalam keadaan suami yang tidak mempunyai rumah sesuai untuk ditempatkan bekas isteri yang dalam edah dan isteri meminta dihantar ke rumah ibu bapanya lalu suami bersetuju, maka bapa atau ibu kepada isteri berhak mengenakan sewa rumah ke atas suami selagi isteri belum habis edahnya.

Seksyen 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan:

l Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.

l Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam seksyen kecil (1) akan terhenti jika tempoh edah sudah tamat atau jika tempoh penjagaan anak sudah tamat atau jika perempuan itu berkahwin semula atau jika perempuan itu melakukan perbuatan keji yang nyata dan sesudah itu suami boleh memohon mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.

Seksyen itu menjelaskan suami masih bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal sesuai untuk isterinya dalam tempoh edah. Hak tempat tinggal akan terhenti apabila isteri memenuhi salah satu daripada kriteria di atas. Selepas itu, suami boleh menuntut kembali rumah itu.

Hak tempat tinggal dalam edah ini perlu dituntut bekas isteri dalam tempoh seberapa segera yang mungkin, selepas berlaku perceraian. Jika isteri tidak berbuat demikian, hak itu akan gugur dan tidak menjadi hutang kepada bekas suami.

Merujuk kitab Kifayatul Akhyar, disebut yang maksudnya: "Berlalu sebahagian masa daripada edah atau keseluruhannya dan isteri yang diceraikan tidak menuntut hak tempat tinggal, maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya, seperti dinaskan as-Syafie."

Di sinilah letaknya keindahan dan kesyumulan Islam. Apa pun keadaan berlaku kepada puan, janganlah sesekali salahkan Islam. Islam itu baik, cuma penganutnya saja yang tidak memahami serta melaksanakan Islam seperti sepatutnya.

Jika suami tidak menyediakan tempat tinggal puan semasa tempoh edah, saya nasihatkan puan bersegeralah ke Mahkamah Rendah Syariah tempat puan bermastautin, failkan tuntutan nafkah edah dengan jumlah kiraan yang wajar untuk peruntukan tempat tinggal.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

Wednesday, April 29, 2009

Hak ibu bapa tak terputus jika anak peluk Islam

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Keputusan jemaah menteri belum jadi peraturan, sedia terima pandangan

KEPUTUSAN Kabinet bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agamanya, diterima dengan rasa terkejut dan perasaan cemas 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Keputusan Kabinet itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada NGO Islam, mufti serta pakar perundangan Islam. Dalam kenyataan bersama serta beberapa pandangan mufti dan badan profesional, menyarankan keputusan itu dikaji semula kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mahkamah Persekutuan serta hukum syarak.

Keputusan Kabinet mengecewakan NGO Islam kerana ia diambil tanpa perbincangan dengan pihak yang mungkin terkesan daripada pengumuman. Sebagai NGO Islam yang terbabit secara langsung dengan masalah berkaitan proses pemelukan Islam oleh penganut agama lain, sewajarnya maklum balas mereka diambil kira.

Hakikatnya, bantahan NGO terhadap keputusan itu bersandarkan kepada alasan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia serta Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya". Berdasarkan peruntukan itu persetujuan satu pihak memadai dalam penentuan status agama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, atau ditetapkan penjaganya jika kanak-kanak itu tidak mempunyai ibu bapa.

Perkataan 'parent or guardian' pada perkara 12 (4) bermaksud ibu atau bapa atau penjaga, bukan ibu bapa atau penjaga. Ia bermakna ibu atau bapa sudah cukup untuk menentukan status agama anak.

Peruntukan itu diterjemahkan dalam kes Teoh Eng Huat lawan Kadi Pasir Mas (1990) 2 MLJ 300 dan keputusan Mahkamah Tinggi (1986) 2 MLJ 228. Dalam kes itu, seorang bapa membawa tindakan terhadap kadi yang mengislamkan anak perempuannya yang dilahir dan dibesarkan sebagai penganut Buddha ke mahkamah.

Seseorang belum mencapai 18 tahun tidak ada hak untuk memilih agamanya sendiri tanpa kebenaran ibu atau bapa atau penjaganya. Dalam membuat keputusan, mahkamah merujuk kepada laporan suruhanjaya dan menekankan soal keharmonian agama.

Perlu ditegaskan walaupun Islam ditetapkan agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, hak penganut agama lain tetap dijaga mengikut Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Penentuan status agama anak apabila ibu bapa memeluk Islam perlu dilihat kepada aspek hukum syarak dan perundangan Islam. Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

Peruntukan akta itu jelas bahawa ibu atau bapa atau penjaga mempunyai kuasa untuk membenarkan seorang anak bawah umur 18 tahun memeluk Islam tertakluk kepada keizinan bapa atau ibu atau penjaga anak itu.

Kes R Subashini lawan T Saravanan juga menjadi rujukan kepada NGO Islam untuk meminta Kabinet menilai semula keputusan kerana Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara memutuskan bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan itu, agama seseorang bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya. Justeru, dalam kes ini suami berhak mengislamkan anaknya walaupun ibu tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya.

Mengikut hukum syarak jika bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak sudah berumur 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri.

Ibu atau bapa tidak Islam seharusnya tidak bimbang jika pihak satu lagi memeluk Islam dan mengislamkan anak mereka bawah 18 tahun kerana hak mereka terhadap anak itu tidak terputus. Walaupun anak memeluk agama Islam, hubungan dengan ibu atau bapanya tidak akan terputus.

Seseorang yang masuk Islam adalah soal hidayah Allah. Persoalan sama ada seseorang memeluk Islam atas tujuan lain di luar batas kita untuk menentukannya kerana ia membabitkan soal niat atau hati.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bersama NGO Islam lain berharap keputusan dinilai semula dengan maklum balas daripada pihak terbabit secara langsung dalam proses pemelukan Islam penganut agama lain serta pakar seperti mufti dan pengamal undang-undang syariah.

Keputusan jemaah menteri belum lagi menjadi peraturan atau undang-undang, justeru masih ada ruang untuk mengkaji semula apa yang diputuskan demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan pada masa sama mengekalkan semangat hormat menghormati antara pelbagai agama di negara ini.

Memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, bahawa kerajaan bersedia mendengar sebarang pandangan masyarakat mengenai keputusan berkenaan bagi kebaikan semua pihak, diharap suara PGSM dan 100 NGO Islam lain mendapat perhatian sewajarnya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Iqra: Panduan tingkat keharmonian rumah tangga

Judul: 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam
Penulis: Zawiyah Hassan dan Rohayati Bakri
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM17.50 (Semenanjung) RM19.50 (Sabah/Sarawak).

ISLAM menggariskan undang-undang perkahwinan lengkap bagi memelihara kepentingan umat manusia. Segala peraturan dan disiplin dalam perkahwinan bertujuan memelihara kepentingan suami isteri serta zuriat mereka.

Perkembangan institusi perkahwinan membentuk masyarakat Islam daripada pelbagai bangsa dan keturunan bagi memakmurkan alam. Namun, kebelakangan ini berlaku kepincangan institusi keluarga mengakibatkan gejala sosial dalam masyarakat semakin menjadi-jadi. Antara punca gejala itu kerana tidak mengikut peraturan dan panduan ditetapkan Islam.

Buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam memberi maklumat dan panduan bagi membantu mereka yang menghadapi masalah perkahwinan mencari penyelesaian terbaik seterusnya meningkatkan iltizam menjaga keharmonian rumah tangga.

Dibahagikan kepada empat bahagian, buku setebal 257 halaman membicarakan isu serta persoalan sebelum perkahwinan merangkumi tujuan perkahwinan, merisik dan meminang, sama taraf, bertunang dan haram berkahwin.

Bahagian dua pula mengupas persoalan berlaku ketika perkahwinan seperti isu berlainan pegangan agama, pernikahan dan kenduri kahwin, poligami serta hal membabitkan perceraian iaitu talak, rujuk, tebus talak dan nafkah.

Mutaah, nafkah anak serta penjagaan anak selepas perceraian dimuatkan dalam bahagian tiga yang turut membincangkan masalah wasiat dan harta pusaka. Bahagian empat ialah isu semasa antaranya harta sepencarian, sumbang mahram serta masalah dihadapi masyarakat hari ini.

Buku yang disusun dalam bentuk soal jawab itu cuba merungkai masalah daripada sudut agama kerana tidak dinafikan ada sesetengah pihak memandang ringan hukum hingga menjadikan ia satu budaya yang diterima masyarakat.

Contohnya, wanita bertunang pergi dan balik dari pejabat dijemput serta dihantar tunangnya. Bagi ibu bapa hari ini perbuatan itu dilihat biasa kononnya untuk memberi peluang mereka mengenali hati budi masing-masing sebelum menjadi suami isteri.

Pertunangan bukan tiket untuk pasangan melakukan sesuka hati. Itu bagi yang sudah bertunang tetapi ada juga yang belum mempunyai ikatan tetapi hubungan seperti pasangan suami isteri.

Justeru, buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam sewajarnya menjadi teman kepada suami, isteri, pasangan bertunang dan pembaca umum supaya dapat memahami lebih lanjut mengenai perkahwinan serta bagaimana dapat dilayari rumah tangga supaya sentiasa mendapat keredaan Allah.

Iqra: Kaedah mendedah anak terhadap seks

Judul: Tanggungjawab Pendidikan Seks Menurut Islam
Penulis: Dr Abdullah Naseh Ulwan
Penterjemah: Ahmad Hasan Mohd Nazam dan Mohd Nizam Mohd Ali
Penerbit: Yamani Angle Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM20 (Semenanjung) RM22 (Sabah/Sarawak).

MAKLUMAT kini di hujung jari, baik ilmu pengetahuan bermanfaat, sumber hiburan, malah bahan terlarang boleh diperoleh melalui internet berserta teknologi canggih yang memungkinkan ia disebar luas ke seluruh dunia.

Bahaya bahan tidak ditapis memang diakui dan tidak dinafikan agak sukar menyekat atau menghalang kebebasan mendapatkan maklumat kini. Namun, pencegahan perlu supaya bahan tadi tidak mendatangkan kerosakan sebaliknya dimanfaatkan.

Seks kini menjadi perkara diperkatakan secara umum sedangkan dulu perkataan seks sebagai perkataan larangan. Kanak-kanak dilarang memperkatakan mengenai seks dan orang dewasa belum bersedia bercerita secara terbuka.

Kewujudan dunia tanpa sempadan menjadikan buku Tanggungjawab Pendidikan Seks Menurut Islam penting terutama bagi menyebar maklumat yang perlu diketahui bukan saja remaja, juga golongan dewasa mengenai pendidikan seks.

Penulis buku yang diterjemahkan ini, Dr Abdullah Naseh Ulwan yang juga seorang ulama, mengupas apa yang baik dan buruk untuk pendidikan seks anak.

Tanggungjawab mengenai seks tidak dinafikan, malah ia perlu menjadi perhatian pendidik untuk tahap umur lapan hingga 10 tahun, 10-14 tahun, 14-16 tahun serta usia akil baligh.

Perpaduan kukuh asas bentuk bangsa cemerlang

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Rapatkan segera saf untuk jadi ummah terbilang, angkat martabat Islam di mata dunia

PERPADUAN menjadi asas pembentukan negara, bangsa dan ummah terbilang. Rasulullah SAW menjadikan perpaduan asas pembentukan negara Islam Madinah dengan menyatukan kaum Aus serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.

Ini antara resipi kejayaan Baginda dalam proses membentuk negara Islam contoh, seterusnya melahirkan ummah terbaik.

Bermula daripada penyatuan individu kepada penyatuan warga negara Madinah dan umat Islam seluruhnya daripada segenap pelosok dunia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang mukmin bagi orang mukmin yang lain itu laksana satu binaan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak dapat dinafikan sikap saling menolong dan membantu boleh memperkuatkan perpaduan ummah. Jika dilihat dalam konteks sejarah pembentukan negara Islam Madinah, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar didasari semangat tolong-menolong sesama Muslim dalam memenuhi keperluan memulakan kehidupan baru.

Kehidupan lebih bermakna dan bahagia daripada tekanan dan cabaran dilalui oleh Muhajirin ketika di bumi Makkah. Semangat ini yang perlu diteruskan dalam keadaan masa kini bagi mendepani cabaran zaman kian hebat.

Ada 1001 faktor yang boleh menyebabkan perpaduan umat Islam menjadi lemah dan tergugat. Dalam keadaan terkini, politik keterlaluan menjadi antara faktor utama mengancam perpaduan umat Islam di kebanyakan negara Islam di seluruh dunia.

Hakikatnya, politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam sebagai agama bersifat syumul (sempurna) menggariskan panduan lengkap dalam segenap perkara membabitkan urusan dunia dan akhirat.

Jika umat Islam terus berpolitik tanpa menghiraukan batasan ditetapkan Islam, akan tercetus perpecahan ummah yang secara langsung melemahkan kekuatan Islam sebagai agama suci dan tinggi.

Lebih teruk jika perjuangan politik hanya untuk kepentingan peribadi dan poket sendiri tanpa memahami kepentingan politik dalam menjamin kestabilan ummah serta ketinggian agama Islam.

Perbezaan ideologi yang ketara mengenai perkara furuk (sampingan) menyebabkan semangat perpaduan sesama umat Islam terus terancam. Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif seperti budaya fitnah memfitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, fitnah, dendam dan mendedah keaiban orang lain yang membawa kepada bibit persengketaan dan perpecahan.

Sebagai ummah unggul, umat Islam perlu berusaha menjauhi perkara itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi merapatkan kembali perpaduan ummah. Firman Allah bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu)." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Jika dilihat secara mendalam, tanggungjawab umat Islam amat besar dalam membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan memerlukan.

Tidak dinafikan umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu bukan Islam atas dasar kemanusiaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Siapa berusaha memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Mendepani keadaan semasa yang semakin mencabar ketika ini, umat Islam khususnya di negara ini harus merapatkan saf demi memelihara keutuhan ummah dan berusaha mencari jalan bagi memelihara kesucian agama serta kedaulatan negara.

Ketepikan buat sementara perbezaan khususnya politik bagi mengeratkan silaturahim. Jangan terus berpolitik sedangkan masalah umat Islam meruncing tanpa berkesudahan.

Lihat umat Islam yang dilanda masalah seperti di Palestin, Afghanistan, Iraq dan Selatan Thailand, pasti umat Islam di negara itu mengharapkan bantuan serta pertolongan saudara Islam.

Perbalahan sesama umat Islam menjadikan mereka lemah semangat dan hilang kekuatan. Perkara ini yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika pertelingkahan itu semakin parah dan sampai ke kemuncaknya.

Allah mengingatkan menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisih), jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal, ayat 46)

Perbalahan dan perpecahan membuatkan Yahudi dan Nasrani ditolak oleh Allah. Mereka saling berbantah dan berselisih dalam banyak perkara khususnya berkaitan agama.

Firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-'Imran, ayat 105)

Sesungguhnya tiada cara lain untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat.

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia.

Bersama YaPEIM: Sektor sukarela mampu tangani cabaran ekonomi umat Islam

UMAT Islam di negara ini dan seluruh dunia mempunyai kewangan yang besar dan jika berjaya digemblengkan berupaya menyelesaikan banyak masalah pokok ekonomi dan kewangan. Cabarannya ialah menyahut seruan Allah dalam al-Quran untuk mempraktikkan semangat persaudaraan dan pemikiran yang satu serta jitu dalam mengurus kewangan dan kapasiti kekayaan.

Paradigma ekonomi dan kewangan dunia juga mula berubah dengan menonjolkan kepentingan sektor sukarela sebagai peneraju dalam pengurusan ekonomi. Konsep asas wakaf ditonjolkan sebagai kaedah pokok menggembleng kekayaan dan kapasiti kewangan umat Islam.

Pembangunan ummah secara menyeluruh menjadi matlamat umum bagi umat Islam sejagat. Pembangunan menyeluruh menekankan keseimbangan antara semua perspektif kehidupan termasuk spiritual, kebendaan dan persekitaran.

Pada abad ke-19, umat Islam dijajah secara fizikal oleh kuasa Barat. Selepas merdeka pada abad ke-20, umat Islam dilanda penjajahan baru tanpa disedari. Laporan tahunan Bank Pembangunan Islam (IDB) menganggarkan negara ahlinya (hampir seluruh negara Islam di dunia) menanggung lebih AS$600 bilion pinjaman daripada sistem kewangan seluruh dunia.

Apa yang lebih menakjubkan ialah pada masa sama, jumlah deposit umat Islam seluruh dunia di negara Barat melebihi AS$1 trilion. Persoalannya ialah mengapa dan bagaimana umat Islam boleh membenarkan sistem bank konvensional di Barat mengawal kekayaan mereka sedangkan pada masa sama, kita perlu berhutang kepada Barat dengan membayar kos pembiayaan yang tinggi?

Jawapannya ada dalam al-Quran yang menekankan bahawa umat Islam adalah bersaudara dan Nabi Muhammad SAW menghendaki umat Islam bertindak sebagai satu entiti yang teguh. Jurang jarak fizikal tidak sepatutnya menjadi pemisah antara umat Islam di seluruh dunia.

Di sebabkan kita tidak dapat mengamalkan semangat persaudaraan dan bertindak sebagai satu entiti yang teguh, kita dihadapkan dengan segala dugaan serta cubaan dalam kehidupan.

Pelbagai bentuk organisasi dan institusi kini wujud untuk menyokong pembangunan ummah dan peniaga Muslim di Malaysia serta seluruh dunia. Setiap satunya berusaha memainkan peranan yang berkesan dalam usaha membantu ummah.

Namun, kesangsian terus wujud apakah institusi dan organisasi itu benar-benar menyumbang kepada pembangunan ummah serta peniaga Muslim.

Kepentingan sektor ketiga dalam ekonomi iaitu sektor sukarela sudah diakui dan kini ditonjolkan bukan saja dalam persekitaran ekonomi dan sosial umat Islam, malah di kalangan bukan Islam di seluruh dunia.

Sektor sukarela dilihat sebagai jawapan yang perlu ditonjolkan untuk mengatasi cabaran ummah dan peniaga Muslim masa kini. Ini pilihan semula jadi berasaskan prinsip Islam sejati.

Di kalangan bukan Islam, pilihan sektor sukarela menjadi penting apabila mereka menyedari kelemahan sektor swasta dan awam dalam mencapai matlamat pembangunan manusia secara menyeluruh.

Persoalannya ialah apakah bentuk sektor ketiga atau sektor sukarela paling berkesan untuk umat Islam dalam membangunkan ummah dan peniaga Muslim? Salah satu ialah regim kewangan baru dunia.

Dua pembaharuan yang ditonjolkan dalam regim kewangan baru dunia ialah penekanan konsep self governance berasaskan prinsip akhlak, etika dan pendedahan penuh dalam pengurusan perniagaan.

Penonjolan sektor ketiga dalam ekonomi selain awam dan swasta iaitu sektor sukarela yang juga model Islam unggul. Sektor ketiga kini menjadi penggenap penting kepada sektor swasta dan awam.

Sektor sukarela dimiliki umat sejagat, sektor yang hanya memperjuangkan kepentingan umat awam, jiran, masyarakat dan ummah, diterajui kumpulan pejuang umat sukarelawan profesional dan bebas daripada tekanan serta pengaruh.

Di Kanada satu akta khas diwujudkan khusus untuk pengurusan kewangan sektor sukarela. Di Australia satu akta dan standard khas diwujudkan untuk Kewangan Badan Sukarela. Di Amerika Syarikat, sektor sukarela menjadi de-facto dalam pelaksanaan skim kewangan yang menjanjikan keuntungan.

Usahawan terkaya di dunia, Warren Buffet dan Bill Gates memindahkan lebih dua pertiga kekayaannya ke dalam yayasan yang mereka uruskan. Ini menjadi penjana perintis dalam pemantapan sektor ketiga.

Di seluruh dunia sektor sukarela dilihat mengembangkan pengaruh dan saiznya untuk menguasai kehidupan manusia. Di Iran, sistem humus (seperlima) sudah wujud sekian lama sejak zaman Rasulullah SAW dengan setiap ahli qariah menyumbang seperlima pendapatan kepada masjid untuk membangun dan memastikan kesejahteraan setiap ahli kariah. Ini dibuktikan amat berjaya.

Di Masjid Regent Mosque, London, sistem takaful diwujudkan dengan ahli kariah menyumbang sebahagian pendapatan ke dalam tabung untuk digunakan bagi keperluan mendadak ahli kariah dipanggil tabung tabaruk.

Umat diuji dan dicabar untuk menunjukkan model Islam unggul. Tidakkah kita melihat ini sebagai cabaran jihad yang utama? Beberapa kaedah mengembangkan sektor ketiga mengikut model Islam sudah dikemukakan dan diamalkan.

Kertas kerja pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga

Tuesday, April 28, 2009

Tajdid Iman: Usah merendah nilai Islam melakukan jenayah ilmu

Oleh Dr Juanda Jaya


BELAJAR dengan bimbangan pakar atau guru adalah cara terbaik untuk menambah ilmu. - Gambar hiasan


Al-Quran tetap benar tanpa perlu teori manusia serba lemah yang pasti belum berakhir

SAAT ini ramai manusia mengalami tekanan akibat kekejaman dunia, amukan tsunami ekonomi dan politik kucar kacir yang menjadikan kehidupan semakin susah. Kesan putus asa terhadap keadaan ini menyebabkan mereka tercari-cari agama untuk mendapatkan ketenangan.

Maka muncullah ajaran baru berjenamakan Islam moden bagi menyediakan khidmat menyejuk hati manusia yang tertekan ini. Daripada yang berharga murah meriah, hingga beribu gebu untuk satu pakej bimbingan mencari 'ketenangan jiwa', dengan kepelbagaian teknik profesional dan mempesona, daripada berjubah hingga bertali leher, secara tradisional kuno hingga menggunakan khidmat teknologi maklumat terkini serta canggih.

Pendekatan hipnosis ala karismatik Kristian Evangelical digunakan bagi menghipnosis, mengkhayalkan dan mempesona 'pengikut' dengan lantunan zikir yang ada kala membelai jiwa serta diiringi muzik klasik syahdu menusuk jiwa.

Ada pula yang ganas seolah-olah merempit, berpusing-pusing sambil menari, memukul dada dengan iringan 'alat muzik rock' sambil bernasyid memuja syeikh didakwa boleh menyinarkan lampu cahaya Allah SWT di hati mereka.

Muncul pula ajaran songsang yang mempercayai sudah muncul nabi baru membawa 'wahyu' hasil bisikan hatinya, yang kononnya boleh memberi kekayaan dan berkat bagi sesiapa mengikutnya.

Ada pula mengamalkan meditasi umpama yoga Hindu, disulami zikir hasil ciptaan 'nabi baru' yang sama sekali tidak pernah diajarkan Nabi terakhir, Muhammad SAW. Ada cuba mempercayai 'keberkatan' nombor tertentu, sebelum membina bangunan dan melakukan pekerjaan dan urusan.

Sedangkan Rasulullah SAW menyuruh umatnya mengkaji tafsiran al-Quran sebagai wahyu panduan, tetapi mereka pula menyesatkan umat dengan mengkaji nombor pelik terdapat dalam al-Quran. Gurunya amat terlatih menggoda, mesra 'alam' terlampau dan pandai mengambil hati.

Walaupun tanpa kelulusan diiktiraf mana-mana institusi agama tersohor, atau mungkin hanya bersahabat dengan ulama kontroversi pegangan agamanya, lantas ahli ekonomi dan pakar psikologi ini berani menceroboh dan bercakap mengenai akidah Islam serta tauhid yang murni.

Mereka menafsir nama dan sifat Allah SWT mengikut 'suara hati', padahal latar belakang pendidikannya mendatangkan keraguan terhadap tafsiran Islam mereka. Yang pasti, ia dibuat sesuka hati, sesuai pakej jualan agama baru mereka.

Akhirnya murid berasa cukup dengan mendengar suara hati dan tak perlu melalui kepayahan mujahadah menuntut ilmu. Usaha mengkaji al-Quran dan kitab hadis pun akhirnya tidak penting lagi dan ditolak.

Apa yang disampaikan itu sebenarnya suatu bentuk candu yang mendatangkan nikmat high and fly dan meresap ke dalam hati, mereka tidak perlu menulis, membaca dan mengkaji, hanya memadai mendengar suara hati.

Aneh dan sungguh hebat dakwaan palsu ini. Nabi yang dapat wahyu terus dari langit pun tidak dapat kemampuan sebegini. Sedangkan Baginda sepatutnya lebih layak tahu rahsia penciptaan manusia melalui dokongan wahyu langit, malangnya Allah SWT kekal menjadikan rahsia itu tidak akan disingkap untuk sesiapa.

Oleh itu apakah benar jika hanya dengan mendengar suara hati saja manusia boleh menghayati Islam. Adakah itu ilmu yang diwariskan Nabi SAW? Padahal sahabat Baginda SAW dan golongan salafus salih bersabar mencari ilmu melalui bacaan dan tadabbur ribuan ayat al-Quran dan jutaan hadis yang mesti dikaji, dihayati dan diamalkan.

Bukan kerana mereka tiada aktiviti lain selain bersama Rasulullah SAW dalam majlis ilmu, bahkan mereka adalah pejuang dan tentera yang tangkas, boleh diarah berperang serta-merta jika dikehendaki untuk memerdekakan Islam di belahan dunia lain.

Mereka juga adalah peladang dan petani yang memiliki ladang kurma yang luas, mereka juga adalah usahawan dan hartawan berniaga sampai ke luar negara mengambil masa berbulan-bulan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW menegaskan bahawa Baginda SAW hanya mewarisi ilmu. Dan ilmu itu hanya ada pada ulama yang berautoriti. Jika seseorang hendak belajar ilmu perubatan, apakah relevan jika dia berguru kepada pakar ekonomi yang jahil ilmu perubatan? Bukankah pelik?

Tetapi masa kini, manusia tidak berasa pelik jika belajar akidah dan tauhid daripada seorang guru zikir, pakar motivasi atau seorang guru ekonomi. Janganlah merendahkan nilai Islam dengan melakukan jenayah sebegini. Ilmu Islam itu tinggi, mulia lagi bersyarat dan ada disiplin yang ketat bagi sesiapa yang mahu mengajar dan belajar.

Janganlah mempergunakan Islam untuk kepentingan dunia. Masih banyak lagi barang lain yang halal lagi bersih boleh dijual, jangan jual jenama Islam untuk melariskan produk. Itu perbuatan haram yang berat namanya.

Usaha untuk mengislamkan apa-apa saja produk tidak bermakna seseorang sudah bersih daripada fahaman sekular, seolah-olah mereka bangga dengan slogan jangan pisahkan Islam daripada ekonomi, politik, sains dan segala urusan dunia.

Padahal sebenarnya mereka boleh jadi tanpa sengaja atau memang sengaja mencampurkan yang hak dengan batil, nilai bukan Islam dicampur dengan Islam dan diberi jenama baru semata-mata untuk kepentingan tertentu. Islam yang asli dan bersih hanyalah Islam mengikut al-Quran dan al-Sunnah dalam bentuk serta caranya.

Jika bermaksud hendak mengkaji ilmu politik, sains, fizik, biologi, psikologi, pengurusan atau ekonomi dalam al-Quran, jangan sesekali memaksa idea dan hasil kajian itu kononnya setaraf nilai al-Quran kerana ia boleh mencemarkan kesucian wahyu al-Quran.

Lebih-lebih lagi jika kajian ilmu manusia dikaitkan terus dengan akidah. Ulama al-Azhar pernah menolak fahaman yang menyatakan kajian sains sudah membuktikan kebenaran al-Quran hasil pencarian seorang saintis Perancis, Maurice Bucchaiel.

Apakah al-Quran perlu kepada pembuktian sains? Sedangkan al-Quran itu wajib diimani walaupun tanpa pembuktian sains kerana ia wahyu Allah SWT yang maksum daripada kesilapan. Ilmu hasil pemikiran manusia tidak akan setanding dengan al-Quran, kerana manusia hanya menggunakan akal terbatas.

Bagaimana jika hasil penemuan mereka didapati tidak relevan lagi pada masa akan datang, apakah mereka akan mengatakan al-Quran juga tidak relevan lagi? Ada mendakwa ilmu sains saudara kembar al-Quran mengapa ilmu hasil pemikiran akal manusia yang kerdil boleh berkembar dengan wahyu Allah yang tidak akan tercapai seluruh akal makhluk pun?

Bukankah sains bersifat subjektif, berubah-ubah dan sementara bahkan dapat dipatahkan oleh hipotesis baru, sedangkan al-Quran bersifat benar, mutlak dan tuntas, tidak ada perubahan padanya. Walaupun tanpa teori Big Bang dan God Spot, al-Quran tetap benar dan tidak perlukan sokongan teori manusia yang lemah. Boleh jadi teori itu belum berakhir lagi, masih akan ada penemuan baru yang akan menguatkan ataupun malah menafikan teori lama.

Jadi, jangan kembarkan al-Quran dengan apa saja, apatah lagi ilmu orang kafir, atheis, liberalis, pluralis dan jangan cuba menyedut ilmu yang tidak bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah untuk membincangkan perkara akidah.

Tidak ada masalah jika mahu mentafsir ilmu psikologi atau pengurusan dan ekonomi berlandaskan asas Islam tetapi rujuklah kepada al-Quran yang ditafsir al-Quran sendiri dan hadis sahih. Jangan sewenang-wenang mengambil ayat al-Quran untuk membela idea yang direka cipta kemudian ayat itu dipaksa dan dikembarkan pula dengan tafsiran sarjana kafir dari Barat.

Sama seperti usaha menyampaikan Islam oleh segelintir hamba Allah SWT dalam kursus motivasi kepemimpinan yang anehnya tidak mengaku sebagai organisasi atau badan dakwah Islam padahal mereka sesuka hati mengeksploitasi al-Quran kononnya memberi pencerahan jiwa pesertanya.

Bahkan sampai ke tahap berani mentafsirkan manusia berasal daripada cahaya Allah SWT: "Jadilah cahaya yang menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari cahaya di atas cahaya." Ayat ini memang indah dan mengagumkan sesiapa mendengar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkat, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu."

Siapakah yang dicipta dari cahaya di atas cahaya? Bukankah manusia asalnya hanya dicipta dari tanah dan kemudiannya air mani, manakala roh pula ciptaan Allah SWT? Al-Quran mencurahkan semua bahawa roh adalah rahsia Allah SWT, tidak akan disingkap untuk sesiapa hakikatnya.

Jangan disoal hal itu, apatah lagi mahu menafsir akhlak manusia berasal daripada sifat Allah Yang Maha Tinggi. Tidak pernah disebut melalui lisan Nabi-Nya perkara itu. Hanya Allah SWT berada pada cahaya di atas cahaya. Jika mahu menyamakan manusia dengan sifat dan zat Allah, walau tanpa sengaja, maka sudah tentu tidak wajar kita membela fahaman sebegini.

Azab berat menunggu insan putar belit hukum agama

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Islam menetapkan perkara halal serta dilarang untuk elakkan kemudaratan kepada masyarakat

HARI ini hidup manusia banyak dikuasai nafsu. Ada masanya nafsu itu dilihat bersifat lebih buruk daripada kelakuan binatang. Sedangkan manusia diberi akal untuk berfikir dan membezakannya dengan haiwan.

Hidup kita ada peraturan dan batas perlu diikuti dan dipatuhi demi kesejahteraan serta keharmonian hidup. Tanpa peraturan, batasan dan undang-undang, maka dibimbangi hidup manusia akan jadi haru-biru serta kucar-kacir.

Allah SWT menggariskan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi semasa hidup. Menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT untuk menjauhkan diri daripada perkara dilarang dan ditegah Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apa yang dihalalkan Allah di dalam Kitab-Nya adalah halal, dan apa yang diharamkan-Nya adalah haram, dan apa yang tidak dijelaskan-Nya adalah kemurahan ('afiah), maka terimalah daripada Allah kemurahan itu, sesungguhnya Allah tidak lupa." Kemudian Baginda SAW membaca ayat (ertinya): "Dan Rabbmu tidak pernah lupa." (Hadis riwayat al-Hakim)

Allah SWT memberi peringatan kepada manusia dalam firman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mengatakan apa yang disebut oleh lidahmu secara dusta: ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan pembohongan terhadap Allah." (Surah an-Nahl, ayat 116)

Firman Allah SWT itu jelas dan mudah difahami, iaitu benda yang halal tetap halal dan haram (yang dilarang) tetap haram. Manusia tidak boleh mengatakan halal itu haram dan sebaliknya. Azab amat berat menanti mereka yang melanggar larangan ditetapkan Allah SWT.

Melainkan mereka tidak takutkan seksaan Allah SWT kerana amaran sudah diberi tetapi masih ada yang tergamak melakukan perbuatan dilarang. Keberanian itu seolah-olah mereka tidak menghiraukan amaran diberi kepada mereka yang menderhaka perintah Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam neraka sedang ia kekal di dalamnya, dan baginya seksa yang menghinakan." (Surah an-Nisa', ayat 14)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apapun yang aku larang kalian mengerjakannya, maka jauhilah. Dan apa saja yang aku perintahkan kepada kalian, maka lakukanlah sesuai dengan kemampuan kalian." (Hadis riwayat Muslim)

Larangan Allah SWT semata-mata untuk kebaikan manusia juga kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang akan terjadi kepada manusia jika mereka melanggar peraturan diperintahkan-Nya. Contoh paling mudah ialah Allah SWT mengharamkan bagi orang Islam menjual dan meminum arak.

Arak adalah minuman memabukkan dan mereka yang dalam keadaan mabuk akan menjadi tidak waras hingga ada kalanya tindakan mereka mendatangkan mudarat serta bencana kepada diri sendiri atau orang di sekeliling.

Si peminum boleh bertindak di luar duga, seperti mencederakan orang tidak berdosa hatta sanggup membunuh sekali. Justeru, Allah haramkan bagi orang Islam menjual dan meminum arak.

Namun begitu, ada segelintir umat Islam yang berani melanggar peraturan ditetapkan Allah SWT. Mereka tidak takut Allah yang Maha Besar dan Maha Perkasa sekali gus tidak takut seksa yang dijanjikan kerana menderhaka kepada Allah SWT.

Banyak lagi peraturan dilanggar umat Islam antaranya memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli barang, melakukan zina, tidak berlaku adil kepada isteri apabila berpoligami, mengambil dan memakan riba, menyakiti jiran serta perlakuan lain yang dimurkai Allah SWT.

Di segi berpakaian pula, larangan yang selalu diabaikan umat Islam ialah memakai emas dan sutera bagi lelaki. Masih ada lelaki Islam yang gemar memakai sutera dan emas seperti rantai, jam tangan, pen, kancing baju terutama di kalangan mereka yang berada.

Diriwayatkan daripada Abu Mursa al-Asy'ari bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dihalalkan sutera dan emas bagi kaum wanita dari umatku, dan diharamkan atas kaum lelakinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW pernah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda menanggalkannya dan membuangnya seraya berkata: "Apakah seseorang di antara kamu sengaja mengambil bara api dan meletakkannya di tangannya?"

Kerap berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah perbuatan menceritakan atau mendedahkan aib orang lain. Perbuatan menceritakan dan mendedahkan keburukan orang lain semacam menjadi satu budaya di kalangan orang Islam, terutama mereka yang lemah imannya.

Allah SWT melarang dan mencegah hamba-Nya mencemarkan kehormatan seseorang di depan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya." (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Perspektif Ikim: Galak anak belajar sains melalui kegiatan di rumah

Oleh Azrina Sobian

SEDAR atau tidak, soal pendidikan anak kini lebih banyak dibebankan atas bahu orang lain termasuk mendidik minat anak terhadap sains. Sedangkan pendidikan sains bukan tanggungjawab guru saja kerana kesedaran dan minat awal anak terhadap sains seharusnya bermula daripada rumah.

Seterusnya, minat itu dikembangkan di sekolah dan ia menunjukkan bahawa kerjasama membentuk minat anak terhadap bidang sains adalah tanggungjawab bersama. Ia juga mengiyakan ungkapan ibu bapa adalah guru pertama anak.

Menanam minat terhadap bidang sains, peranan ibu bapa sangat penting. Dalam hal ini, ibu bapa hendaklah menyediakan atau membentuk satu suasana pembelajaran sains di rumah iaitu merangkumi kegiatan penerokaan, pemerhatian, pengkajian dan penilaian.

Anak hendaklah digalakkan untuk bertanya banyak soalan dan soalan itu perlu dijawab ibu bapa. Jika tidak berupaya menjawab soalan anak, maka ibu bapa boleh mencari jawapan bersama anak di internet atau buku yang banyak di pasaran.

Di rumah juga, dalam usaha membentuk minat terhadap sains, ada banyak kegiatan yang boleh dilakukan bersama anak. Contohnya, ketika memasak, ibu boleh mengambil kesempatan itu untuk menarik minat anak memerhati dan berfikir.

Ketika menjerang air, tanyalah kepada anak kenapa wap panas keluar apabila air sudah masak. Atau ketika menggunakan soda bikarbonat untuk membuat kek, tanyakan kepada anak kenapa kek itu naik atau mengembang.

Uji kaji mudah itu juga boleh dikembangkan supaya anak merasakan keseronokan kegiatan dilakukan. Sekali lagi, bahan yang ada didapur boleh digunakan. Cubalah campurkan cuka dan soda bikarbonat. Saksikan bagaimana kedua-dua bahan itu bertindak balas.

Anak akan seronok melihat buih keluar daripada tindak balas dua bahan tadi. Terangkan kepada anak kenapa itu terjadi dan biarkan pula si anak mencubanya sendiri. Namun, jangan lupa, setiap kegiatan hendaklah dilakukan dengan berhati-hati dan diawasi ibu bapa.

Pelbagai kegiatan sains boleh dijalankan di rumah. Bukan saja di dapur, kegiatan sains itu juga boleh dijalankan semasa berkebun di laman rumah atau ketika mencuci kereta. Malah, kegiatan sains boleh dilakukan ketika bercuti ke pantai atau melancong ke pelbagai tempat menarik.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan adalah mencari maklumat kegiatan untuk dilakukan bersama keluarga di internet atau buku. Perancangan awal terhadap kegiatan ingin dilakukan adalah penting.

Guru juga mempunyai tugas besar membentuk sikap dan pemikiran saintifik pelajar. Sikap dan pemikiran itu perlu dipupuk dengan menanam minat pelajar terhadap sains. Pelajar hendaklah dididik mempelajari dan meminati sains kerana sains penting dalam hidup manusia.

Sains secara asasnya bermula untuk menyelesaikan masalah seharian manusia. Inilah hakikat perlu difahami semua pihak. Ia bermakna sains berkaitan dengan kegiatan harian manusia dan bukannya untuk mendapat markah tinggi atau peluang pekerjaan yang baik saja.

Sebagai guru, mereka seharusnya bijak dan kreatif merancang kegiatan pembelajaran sains dengan lebih menarik. Kegiatan pembelajaran itu hendaklah meliputi ciri kegiatan sains iaitu pemerhatian, penerokaan, percubaan uji kaji, penilaian dan laporan kajian.

Pelajar hendaklah digalakkan dan diberi peluang bertanya serta mencuba sendiri uji kaji yang dijalankan. Ia penting kerana mempelajari sains tanpa berpeluang mencuba atau melakukan kajian sendiri adalah ibarat lagu tanpa irama. Kegiatan melakukan sendiri penting dalam pendidikan sains.

Pembelajaran sains juga tidak sewajarnya terhad dalam kelas semata-mata. Pelajar harus diberi peluang belajar di luar kelas. Malah, pembelajaran luar kelas ini memberi pelajar lebih peluang untuk meneroka dan memerhati. Guru boleh membawa pelajar menyelidik persekitaran sekolah. Semasa kegiatan ini, pelajar boleh membuat inventori serangga yang ada di kawasan sekolah.

Atau, pelajar boleh mengumpul pelbagai jenis daun di sekolah dan disusun dalam buku skrap. Daun serta serangga tadi boleh disusun dan ditulis namanya. Lebih menarik lagi jika pelajar disuruh mencari nama saintifik serangga atau tumbuhan yang dikumpul.

Selain itu, guru boleh mengatur kegiatan lawatan ke pelbagai tempat yang ada kaitan dengan dunia sains. Di Malaysia, ada banyak tempat seperti Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, Petrosains dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

Lawatan itu tidak terhad kepada tempat rasmi tetapi boleh ke tapak pelupusan sampah, kawasan sungai, pembinaan atau taman bunga. Malah, guru boleh menjemput ahli sains ke sekolah untuk berkongsi pengalaman mereka dengan pelajar.

Pendek kata, guru harus menggunakan kreativiti dan kepakaran mereka dalam pengajaran sains dan mereka hendaklah terus menerima latihan dalam membangunkan kaedah pengajaran sains dengan lebih menarik.

Hasrat membentuk golongan muda yang cintakan sains memerlukan kerjasama semua termasuk ibu bapa, pihak sekolah, guru dan saintis yang bersama menyumbang tenaga. Semua pihak hendaklah yakin bahawa kegiatan sains boleh dilakukan dan ia sememangnya menarik.

Guru pula memberikan alasan ‘banyak kerja’ atau ‘tiada masa’ untuk menjalankan kegiatan sains. Sikap sama mungkin ditunjukkan ahli sains. Jika semua orang menunjukkan sikap sebegini maka sampai bila pun usaha melahirkan masyarakat Malaysia mempunyai sikap dan pemikiran saintifik tidak akan berhasil. Oleh itu, berubahlah dan inilah kata kunci yang perlu kita pegang.

Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia

Monday, April 27, 2009

Tanggungjawab khalifah uji ketaatan, iman ummah

Oleh Mohd Adib Ab Rahman

Manusia digalak bangunkan bumi menerusi usaha berfaedah, bukan bawa kehancuran

MUSLIM yang selalu mengharap rahmat dan keredaan Allah akan menyedari serta mengerti siapa dirinya dan untuk apa diciptakan di dunia ini. Jelas diberitahu dalam al-Quran manusia diwujudkan semata-mata untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah yang selalu beribadat kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah Adz-Dzaariyat, ayat 58)

Tidak dinafikan sebilangan besar umat Islam yang hanya memahami istilah ibadat itu tertumpu kepada amalan ibadat khusus dan fardu ain seperti solat, zakat dan haji.

Sementara soal selain itu seperti bercucuk tanam, bertukang, belajar ilmu kedoktoran dan mendalami selok-belok pertanian dianggap tiada kaitan dengan ibadat. Fahaman itu tidak menepati maksud ibadat sebenar mengikut pandangan Islam.

Ibadat ialah melakukan sesuatu pekerjaan atau kegiatan dengan ikhlas kerana Allah sama ada ibadat umum atau khusus.

Allah juga menghendaki manusia menjadi khalifah yang berperanan mentadbir, mengatur dan membangunkan dunia mengikut saluran ajaran Islam yang suci. Allah berfirman yang bermaksud: "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Menjadi khalifah satu tanggungjawab atau amanah sangat besar dan berat. Lantaran itu makhluk lain tidak sanggup memikulnya. Al-Quran menceritakan yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung. Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikullah amanat itu oleh manusia." (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dengan sebaiknya, Allah melengkapkan manusia dengan akal fikiran untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Penguasaan ilmu membolehkan manusia menguruskan alam. Mengambil manfaat daripada kejadian langit, bumi, lautan dan pada masa sama mentadbir umat manusia supaya berakhlak mulia, mengejar kemajuan, membina tamadun serta dapat menguasai pelbagai bidang ilmu menepati ciri hamba yang taat dan bertakwa.

Namun, realitinya umat Islam hari ini belum dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah kerana cara hidup, fizikal dan mental mereka berdegup mengikut hawa nafsu serta dipimpin kuasa budaya Barat. Ini gambaran yang mendukacitakan, betapa lemahnya umat Islam kini gara-gara ketinggalan dalam penguasaan ilmu. Sehingga senang ditindas dan dihina serta diperlakukan sebagai manusia tidak bertamadun oleh musuh.

Sememangnya keadaan itu sudah diduga sejak awal iaitu jika umat Islam tidak mempersiapkan diri dengan ilmu. Lantaran itu Rasulullah SAW secara tegas mewajibkan setiap Muslim menuntut ilmu supaya dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan sejagat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Kami ciptakan besi (dan perak, emas, tembaga, minyak dan lain-lain) yang padanya ada kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia (untuk diolah) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong agama-Nya (Islam) dan Rasul padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Surah al-Hadid, ayat 25)

Apabila manusia rajin bekerja dan istiqamah berusaha menegakkan ibadat, bermakna sudah menepati tujuan penciptaannya supaya menjadi khalifah yang bijak memakmurkan bumi ini. Firman Allah bermaksud: "Dialah yang menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya (menghuni dan mengolah hasil bumi untuk kesejahteraan umat manusia)." (Suraj al-Hadid, ayat 61)

Pengertian pemakmur dalam ayat tadi ialah kepakaran dan kemampuan manusia membangunkan bumi menerusi usaha dalam pertanian, perindustrian, memajukan taraf hidup serta menghindari perkara yang boleh merosakkan alam ini berdasarkan ilmu yang benar.

Manusia yang dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah di bumi dengan baik mengikut syariat Islam, tentu mulia di sisi Allah. Sesungguhnya manusia memikul tanggungjawab sebagai khalifah adalah ujian Allah mengukur sejauh mana ketaatan dan keimanan. Jika dijalankan tugas itu dengan baik, diberi ganjaran di akhirat dan begitu juga sebaliknya kerana tidak menunaikan tanggungjawab seperti mengkhianati amanah yang diberi.

Firman Allah bermaksud: "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat kerana hendak menguji kamu pada apa yang sudah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-An'am, ayat 165)

Sepanjang hidup kita sebagai umat Islam perlu berlumba-lumba mengejar kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat dengan usaha menepati ciri umat Nabi Muhammad yang diakui Allah sebagai umat terbaik.

Ibu bapa alpa laksana amanah antara punca anak derhaka

Oleh Hashim Ahmad

ALLAH memerintahkan kita berbakti kepada kedua orang tua dan berbuat baik terhadap anak serta bersungguh dalam mendidik mereka kerana perbuatan itu termasuk sebahagian daripada menunaikan amanah Allah.

Melalaikan hak ibu bapa dan anak termasuk perbuatan khianat terhadap amanah Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya." (Surah an-Nisa, ayat 58)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin lalu ia mati (sedangkan pada) hari kematiannya dalam keadaan mengkhianati amanahnya itu, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya." (Hadis riwayat Bukhari)

Meskipun ibu bapa mengetahui mendidik anak adalah tanggungjawab besar, masih ramai yang lalai dan menganggap remeh perkara itu. Kemudian, apabila anak derhaka, melawan orang tua atau menyimpang daripada aturan agama baru mereka menyalahkan anak.

Sedihnya, ramai tidak sedar sebenarnya ibu bapa juga menjadi penyebab utama sikap derhaka. Ada kelalaian atau kesilapan dalam mendidik anak yang tanpa disedari memberi saham kepada munculnya kenakalan remaja serta sikap durhaka kepada orang tua antaranya:

# Menumbuhkan rasa takut pada anak ketika mereka menangis dengan harapan berhenti dengan gambaran hantu, jin atau suara angin. Akibatnya, anak menjadi penakut seperti takut kepada bayang sendiri dan takut pada sesuatu yang sebenarnya tidak perlu ditakuti.

Contohnya, takut ke bilik mandi dan tidur sendiri kerana mendengar cerita hantu, jin. Ibu bapa tidak sepatutnya menakutkan anak.

# Mendidik anak menjadi sombong dengan niat supaya mereka menjadi berani. Berani tidak harus dengan bersikap sombong atau bongkak kepada orang lain.

# Membiasakan anak hidup berfoya-foya dan bermewah kerana yang mendorong mereka suka bersenang-senang, mementingkan diri dan tidak peduli keadaan orang lain. Mendidik anak seperti ini merosak fitrah, membunuh sikap bersederhana dan bersyukur.

# Selalu memenuhi permintaan anak kerana ada ibu bapa yang sedaya upaya menunaikan semua kehendak anak mereka. Sedangkan, tidak setiap yang diinginkan anak itu bermanfaat atau sesuai dengan usia serta keperluannya.

Jika anak biasa dipenuhi segala permintaannya, mereka tumbuh menjadi anak yang tidak peduli nilai wang dan kesusahan mencari rezeki. Mereka juga tidak tahu membelanjakan wang dengan baik.

# Mengalah dengan anak semata-mata tidak tahan mendengar tangisan mereka juga perlu difikirkan semula ibu bapa. Memang memberi apa diminta akan menghentikan tangisan tetapi ia menggalakkan sifat mengugut dengan menggunakan tangisan sebagai senjata.

# Terlalu berkeras juga tidak baik seperti memukul atau memarahi dengan suara tinggi. Ada ibu bapa menggunakan bahasa kasar ketika memarahi anak dan ada kalanya sikap itu menyebabkan anak kecil hati dan ada yang menyimpan dendam kerana tidak suka dimarah atau ditengking.

# Ada juga ibu bapa yang kedekut sehingga anak berasa tidak disayangi apabila permintaan atau keperluan tidak dipenuhi. Jangan terkejut jika disebabkan sikap kedekut ibu bapa, anak mula mencuri demi memenuhi keinginan mereka.

# Tidak memberi perhatian serta kasih sayang menyebabkan mereka mencari kasih sayang di luar rumah. Keadaan ini banyak terjadi dan menyebabkan anak terjerumus dalam pergaulan bebas. Anak yang tidak mendapat perhatian keluarga senang berpaling kepada rakan sebaya.

Jika tersalah pilih kawan, mereka akan rosak. Justeru, ibu bapa perlu mengambil perhatian mengenai pemilihan rakan anak takut memberi pengaruh negatif dan paling penting memberi kasih sayang secukupnya bagi membina keluarga bahagia.

# Ada juga ibu bapa yang terlalu menumpukan keperluan material anak sehingga terlupa kepentingan rohani sedangkan yang penting bagi memastikan pembinaan sahsiah seimbang dari aspek keperluan duniawi dan ukhrawi.

# Ibu bapa perlu ada rasa syak wasangka terhadap anak tetapi perasaan itu biar bertempat serta berasas kerana ada ibu bapa terpedaya dengan kebaikan anak hingga tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka terbabit dengan aktiviti tidak baik.

Ibu bapa yang sangat percaya kepada anak tetapi tiba-tiba mendapati anaknya terbabit dadah, pasti akan terkejut dan tertanya-tanya kenapa perkara itu boleh berlaku. Berwaspada lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.

Itu antara kesalahan dilakukan ibu bapa sama ada antara sedar atau tidak. Justeru, ibu bapa bertanggungjawab meningkatkan pengetahuan dengan ilmu keibubapaan supaya dapat mendidik anak serta melayari kehidupan keluarga yang dipenuhi kasih sayang.

Empat keburukan bawa kemudaratan perlu dijauhi

Oleh Ibrahim Abdullah

Ilmu kurang dimanfaat, jiwa gelisah, nafsu makan dan doa ditolak dapat diatasi dengan iman

EMPAT keburukan perlu dijauhkan untuk menyelamatkan diri daripada kemudaratan serta kerugian iaitu ilmu yang tidak dimanfaatkan, hati tidak khusyuk, nafsu tidak pernah kenyang dan doa tidak dimakbulkan.

Perkara itu terkandung dalam doa diajar Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak pernah kenyang dan daripada doa tidak dimakbulkan." (Hadis riwayat Muslim)

Ilmu tidak bermanfaat ialah pengetahuan yang tidak membawa kebaikan atau menyebabkan seseorang semakin jauh daripada jalan Allah sehingga iman yang sepatutnya bertambah, sebaliknya menjadi berkurangan.

Ilmu bermanfaat bukan saja membuka minda lebih luas, malah meningkatkan semangat seseorang mencari lebih banyak pengetahuan yang mendekatkannya kepada Allah dan pada masa sama menggunakannya demi memajukan diri, agama, masyarakat serta negara.

Mereka berakal iaitu yang sentiasa berfikir sentiasa mencari ilmu pengetahuan. Firman Allah yang bermaksud: "Ada tanda bagi orang yang berakal (iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya) berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Ya Tuhan kami, sesungguhnya barang siapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang zalim itu seorang pun penolong." (Surah al-Imran, ayat 190-191)

Orang yang menggunakan akal fikiran dengan melakukan pengamatan terhadap alam sambil mengingati Allah, lalu mereka segera teringat akan kehidupan di akhirat pasti termasuk mereka yang beruntung. Inilah gambaran mereka yang berakal dan cerdik memilih ilmu untuk diamalkan. Mereka tekun dengan ilmu yang bermanfaat. Mereka mengambil berat untuk memastikan ilmu diperoleh itu mesti menjadikan mereka lebih dekat dan tunduk kepada Allah.

Keburukan berikutnya adalah memiliki hati yang tidak khusyuk iaitu yang tidak tunduk kepada Allah. Hati liar dan tidak bersandar kepada Allah dalam menggapai ketenteraman serta kejernihan jiwa. Ciri orang beriman ialah mengingati Allah dan hati mereka menjadi tenteram. Firman Allah bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'du, ayat 28)

Begitulah pentingnya memiliki hati khusyuk sehingga Allah memperingatkan kita supaya waspada terhadap ketandusan atau kegersangan hati. Hal ini wujud apabila orang beriman terlalu lama mengabaikan ayat Allah sehingga hati menjadi tidak khusyuk dan lalai.

Satu-satunya cara ialah kembali menghidupkan ingatan dan perhatian terhadap ayat Allah, bukan saja ayat al-Quran, tetapi yang terkandung dalam penciptaan langit, bumi dan alam akhirat. Hidupkan makna ayat itu dalam kehidupan.

Firman Allah bermaksud: "Belumkah datang waktunya bagi orang beriman, untuk tunduk (khusyuk) hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang suda turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang sebelumnya diturunkan al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16)

Nafsu yang tidak pernah kenyang mudah terkesan dengan banyak fitnah yang tersebar, sehingga tawaran untuk menuruti hawa nafsu di sekeliling tidak dapat dielak. Hampir dalam semua keadaan ada peluang dan ruang untuk menuruti hawa nafsu dan dengan mudah dituruti. Oleh itu, kekuatan iman diperlukan sebagai benteng kerana Islam tidak membunuh nafsu tetapi menegaskan keperluan mendidik nafsu supaya manusia jangan cepat hanyut dipengaruhi kehendak hawa nafsu.

Apabila ia dilakukan dengan syariat, bukan saja seseorang terbebas daripada dosa bahkan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah kerana memenuhi hawa nafsu sesuai dengan syariat Allah. Sesungguhnya antara sahabat Rasulullah SAW ada yang berkata: "Ya Rasulullah, orang kaya lebih banyak mendapat pahala, mereka mengerjakan solat seperti kami mengerjakan solat, dan mereka berpuasa seperti kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Bukankah Allah menjadikan bagimu sesuatu untuk bersedekah? Sesungguhnya tiap-tiap tasbih adalah sedekah, tiap-tiap tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah, menyuruh seseorang kepada kebaikan adalah sedekah dan tidur seorang kamu dengan isterinya adalah sedekah."

Mereka bertanya: Ya Rasulullah, apakah jika salah seorang daripada kami menyalurkan hawa nafsunya, apakah ia mendapat pahala? Rasulullah SAW menjawab: Tidakkah kamu tahu, apabila seseorang menyalurkan nafsunya kepada yang haram, dia berdosa? Demikian pula apabila disalurkan kepada yang halal, dia mendapat pahala." (Hadis riwayat Muslim)

Bayangkan seorang Muslim berdoa kepada Allah, namun tidak dimakbulkan. Jelas ini adalah musibah sedangkan Allah menjamin jika seseorang memohon sesuatu kepada-Nya, pasti di makbulkan. Bagaimanapun, ada syaratnya iaitu memohon hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya.

Kedua, penuhi segala perintah Allah dan ketiga, beriman dengan sebenarnya kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawa Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Hutang dibolehkan ikut kemampuan, tepati janji bayar semula

BUDAYA berhutang yang menjadi gaya hidup masyarakat Islam hari ini boleh menjadi isu membimbangkan jika tiada langkah pengawalan kerana berhutang bermakna cara berbelanja melebihi kemampuan.

Oleh itu, sikap mudah terpengaruh dengan iklan jualan murah, tidak puas dengan apa yang dimiliki, mudah membuat pinjaman dan gagal mengawal nafsu apabila berbelanja dikenal pasti sebagai punca budaya berhutang menular.

Kegawatan global melanda dunia masa ini, mahu tidak mahu mendesak setiap kita berhari-hati supaya tidak terjebak dengan budaya berhutang. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk seperti tekanan emosi, muflis dan kehilangan semangat bekerja.

Disebabkan hutang ada keluarga bahagia menjadi porak-peranda apabila menyalahkan pihak lain sedangkan semua bertanggungjawab terhadap kesulitan berlaku.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa membabitkan) hutang piutangnya." (Hadis riwayat Muslim)

Islam mengharuskan seseorang berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat memerlukan kewangan untuk meneruskan kehidupan. Bagaimanapun, Islam sangat teliti dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang.

Pada dasarnya isu hutang dan pinjam meminjam berkait rapat dengan sikap amanah pemiutang dan penghutang. Sifat amanah dilihat sebagai kontrak membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang dan ketinggian iman seseorang antara mereka yang mampu dengan yang dalam kesusahan.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya." (Surah al-Baqarah, ayat 283)

Oleh itu, Islam menetapkan setiap yang berhutang wajib melaksanakan amanah dan bersifat jujur membayar hutang mereka selepas berkemampuan. Bagi sesiapa yang suka melewatkan atau menangguhkan pembayaran hutang, maruah mereka menjadi hina, hidup hilang keberkatan dan tidak diredai Allah selain termasuk golongan orang yang zalim.

Pihak yang berhutang perlu segera melunaskan hutang. Akhir-akhir ini bukan saja yang berhutang menjadi korban, bahkan keluarga mereka turut diugut, dipukul, di samun dan dibunuh. Apa yang membimbangkan ialah azab Allah pada akhirat kelak.

Bagi mendapat keredaan Allah, kita bertanggungjawab menunaikan amanah apabila berhutang dengan membayar hutang bagi memelihara hak manusia dan Allah, bersegera membayar hutang jika sudah berkemampuan.

Sebagai ingatan kepada yang suka berhutang, mulai sekarang jangan mudah terpengaruh dengan budaya hidup mewah tetapi tidak mampu membayar sebaliknya memenuhi prinsipnya berhutang bagi perkara yang perlu saja dan di dalam kemampuan.

Firman Allah bermaksud: "Dan beri kepada mereka daripada harta Allah yang dikurniakan kepada kamu. Dan jangan kamu paksa hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah sesudah paksaan mereka itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nuur, ayat 33)

Sunday, April 26, 2009

Ulul Albab: Islam penyelesai masalah perkauman dunia

Bersama Abdurrahman Haqqi

Barat takut berhadapan kenyataan Israel sebenarnya suku bangsa sangat kejam


JIKA minggu lalu ruangan ini mentakrif bangsa mengikut Kamus Dewan, kali ini satu lagi perkataan yang mempunyai kedekatan makna dengannya iaitu 'kaum'.

Dalam kamus sama, kaum mempunyai lima makna iaitu puak, suku bangsa; jenis bangsa; keluarga, sanak saudara; golongan (orang yang sekerja, sefahaman, setingkat dan lain-lain); serta istilah sains ia bermakna bahagian daripada jenis (tumbuh-tumbuhan dan haiwan).

Jika kaum diberi imbuhan kemudian menjadi 'perkauman', maknanya menjadi tiga saja iaitu (yang berkaitan dengan) kaum kerabat (keluarga), (pertalian) sanak saudara; (yang berkaitan dengan) golongan, puak; dan (yang berkaitan dengan sesuatu) suku bangsa dan kesukuan (bangsa dan lain-lain).

Minggu lalu masyarakat antarabangsa melangsungkan persidangan pertama isu perkauman yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland. Malangnya, persidangan yang salah satu tujuannya mencari jalan penyelesaian isu perkauman di dunia diboikot Amerika Syarikat dan lapan negara lain kerana bimbang negara Islam akan menuntut supaya Israel dikutuk dan kritikan terhadap agama Islam diharamkan. Kelapan-lapan negara itu ialah Belanda, Jerman, Australia, Kanada, Israel, Itali, Poland dan New Zealand.

Dari sudut pandangan Islam, pemulauan mereka pada persidangan itu dengan sebab sedemikian menunjukkan kepada kita kebenaran sabda Rasulullah SAW yang menyatakan, musuh Islam akan takut berdepan dengan umat Islam sebelum terjadinya pertempuran selama sebulan. Mereka takut berdepan dengan kenyataan bahawa Israel yang disokong Barat sebenarnya negara perkauman sangat kejam.

Apabila kita merujuk kepada kitab suci al-Quran yang menjadi buku panduan umat manusia sejagat yang diturunkan oleh Pencipta mereka kepada Nabi akhir zaman, kita dapati satu kenyataan menarik yang sepatutnya masyarakat antarabangsa tidak takut atau bimbang membicarakannya. Malah, ia akan menjadi jalan yang lurus dan senjata tepat untuk menyelesaikan masalah perkauman.

Kaum berasal daripada bahasa Arab dengan kata dasar 'qa-wa-ma' dengan pengertian berdiri. Al-Quran menyebut perkataan 'qaum' sangat banyak dalam ayatnya sehingga kitab Fath al-Rahman li Talib Ayat al-Quran, satu kitab indeks pencarian perkataan dalam al-Quran tidak menyenaraikannya. Jika anda merujuk kitab itu tanpa membaca mukadimahnya, anda akan menyatakan bahawa kitab yang berharga itu tidak lengkap. Pada hal dalam mukadimah itu disebut oleh penyusunnya, Ilmi Zadah Faidullah al-Maqdisi bahawa dia tidak memasukkan 23 perkataan di dalamnya termasuk kata 'qaum' kerana terlalu banyak disebut al-Quran. (hal. Ha')

Ia bermakna jika kita merujuk kepada al-Quran sebagai kitab hidayah, kita akan dapat mencari banyak cara penyelesaian bagi isu perkauman bermula daripada konsep kaum; perbezaannya dengan konsep bangsa; adab dan sopan-santun hubungan kaum; hak dan kewajipan; kriteria kaum baik dan kaum jahat; sifat kaum yang berjaya dan kaum yang gagal; panduan cara menyelesaikan masalah perkauman dan lain-lain. Betapa indahnya kitab suci umat Islam ini, malangnya manusia mengetepikannya sehingga mereka selalu menerima kehampaan hidup.

Mengenai asal kejadian kaum dan tujuannya, al-Quran menjelaskan maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas kamu)." (Surah al-Nisa': 1)

Secara tersurat dan tersirat, ayat di atas menyentuh secara global pengertian kaum pada awal tulisan ini. Semua kaum yang wujud di dunia selama ini berasal daripada satu susuk tubuh Adam as. Proses pembiakan manusia sehingga menjadi kumpulan manusia menjadi bangsa dan kaum adalah dengan kebenaran Allah. Oleh itu manusia disuruh untuk bertakwa kepada-Nya. Malah suruhan ini diulang dua kali dalam satu ayat ini.

Ketakwaan manusia secara individu mahupun kolektif, secara persendirian mahupun berkelompok akan menghasilkan pengukuhan tali silaturahim antara mereka agar saling hormat menghormati, saling faham memahami, saling tolong-menolong dan saling bertimbang rasa. Ketakwaan ini hasil daripada satu hakikat pengertian manusia bahawa Allah SWT sentiasa memerhati dan mengawasi mereka.

Dalam Surah Nuh, surah ke-71 daripada urutan al-Quran kita akan dapati konsep kaum dan pelaksanaannya secara amnya. Surah yang terdiri daripada 28 ayat ini mengisahkan perjalanan dakwah Nabi Nuh as sebagai bapa manusia kedua selepas Nabi Adam as bersama kaumnya.

Dalam konsep kaum pada surah ini dijelaskan beberapa kenyataan, termasuk dalam setiap kaum mesti ada golongan agama yang tugasnya sebagai pemberi peringatan dan amaran yang nyata (ayat 2); bahawa tujuan utama keberadaan satu-satu kaum ialah menyembah Allah, bertakwa kepada-Nya dan mentaati utusan-Nya (ayat 3); bahawa jika ini dilakukan, mereka akan diampunkan sebahagian dosa mereka dan mendapat keselamatan hidup sepanjang masa (ayat 4); bahawa kaum yang banyak beristighfar akan memperoleh ketenteraman hidup yang penuh keberkatan dalam rezeki, harta dan keturunan (ayat 10-12); bahawa dalam satu-satu kaum akan ada penentangan terhadap ajaran Allah (ayat 5-9); bahawa pada akhir setiap pertarungan yang hak dan yang batil doa nabi maksudnya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua-dua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahkan orang zalim melainkan kebinasaan." (Ayat 28).

Al-Quran dengan jelas menyediakan garis panduan hubungan kaum yang diwakili orang beriman dengan satu ayatnya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran buruk. (Larangan berkenaan menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik) amat buruk sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujarat: 11)

Sopan- santun antara kaum di atas adalah deklarasi global yang wajib dipatuhi semua kaum agar mereka hidup dalam keharmonian yang berkekalan.

Seandainya dalam persidangan isu perkauman yang dilangsungkan di Barat itu tidak digunakan untuk menghentam sesetengah pihak yang sudah sememangnya diketahui dunia kebiadabannya dan sebaliknya kita menjelaskan konsep kaum dan perkauman menurut al-Quran secara jelas dan jitu, sudah pasti kita boleh membuktikan ketakutan Barat untuk menghadirinya adalah tidak benar dan kita juga membuktikan bahawa Islam adalah agama yang menyeru kepada perdamaian sejagat, bukan sebaliknya.

Persoalan Agama: Asuh murid kelas agama hormati jiran

Bersama Jakim

Soalan:

Apakah hukumnya mengadakan kelas agama dengan terlalu bising di rumah sehingga mengganggu ketenteraman dan ketenangan jirannya? Persoalan kedua, apakah cara terbaik bagi meleraikan masalah itu secara baik?

Hamba Allah,
Pahang.

Jawapan:

FIRMAN Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat dan anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh dan rakan-rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong dan membanggakan diri." (Surah an-Nisa': Ayat 36).

Jiran tetangga adalah salah satu golongan yang amat dititikberatkan dalam Islam.

Oleh itu, semua orang mempunyai tanggungjawab untuk berlaku baik kepada jiran tetangga seperti saling hormat-menghormati, mudah menghulurkan bantuan, mengelakkan perselisihan faham dan sebagainya.

Merujuk kepada masalah yang anda hadapi, perlulah kedua-kedua pihak saling bertolak ansur dan berbincang dengan baik atau melantik pihak ketiga yang lebih disegani dan dihormati bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

Sebaik-baiknya mereka yang mengadakan pengajian di rumah yang menyebabkan kebisingan sehingga mengganggu jiran tetangga (kemungkinan rumah yang dipisahkan oleh dinding papan) hendak berusaha mengawal keadaan seperti menasihati anak murid agar tidak terlalu menguatkan suara ketika berbicara, membaca atau menghafal supaya mereka memahami kepentingan menghormati jiran tetangga.

Pilihan kedua ialah mengadakan kelas pengajian di tempat yang lebih sesuai dan selesa.

Jiran tetangga pula perlulah bertolak ansur dengan memikirkan adakah kelas pengajian itu diadakan sepanjang waktu yang menyebabkan rasa terganggu atau hanya memakan masa sejam dua di dalam sehari.

Justeru, sekiranya seseorang itu berlapang dada dalam soal pengajian agama atau kelas mengaji al-Quran yang diadakan oleh jirannya, moga-moga Allah SWT melapangkan kehidupannya.

Bagaimanapun, sekiranya kelas pengajian itu sesuai diikuti, maka adalah lebih baik jiran tetangga memberi sokongan dan mengikutinya bersama-sama untuk menambahkan pengetahuan mereka dalam bidang berkenaan. Sokongan akan meningkatkan kerjasama mereka.

Persoalan Agama: Berdoa, bermunajat agar suami kerjakan solat

Bersama Jakim

Soalan:

Saya berusia 39 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai empat anak. Anak sulung sudah mencecah umur 13 tahun. Sepanjang perkahwinan, suami saya tidak pernah menunaikan solat. Saya dan keluarga sudah letih menasihatkannya. Apabila tiba Ramadan, beliau berpuasa dan kadang-kadang solat tarawih, tetapi solat wajib diabaikan. Apakah hukum tindakan suami saya itu.

Hamba Allah
Pulau Pinang

Jawapan:

KEWAJIPAN solat termaktub dalam al-Quran yang bermaksud : "... maka dirikanlan solat. Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang mukmin." (An-Nisa':103)

Sabda Rasulullah maksudnya: "Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, hendaklah dia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." (Riwayat al-Bukhari)

Solat ialah tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam mewajibkan umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.

Solat juga tiang agama. Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna ia menegakkan agamanya, manakala orang yang meninggalkannya ia sudah meruntuhkan agamanya.

Oleh itu, bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.

Justeru, seperti ditetapkan oleh Islam, solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan seperti setiap hutang yang wajib dibayar.

Puan sebagai isteri wajib menasihati suami yang tidak menunaikan solat fardu dengan berhikmah secara berterusan.

Banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar suami puan diberi petunjuk dan hidayah agar kembali mengerjakan solat lima waktu khususnya untuk menjadi contoh kepada anak.

Saturday, April 25, 2009

Wujud gerakan rosak akidah, tarik Muslim kepada murtad

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


ANN Wan Seng menunjukkan buku bertajuk Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata.


Mualaf perlu diberi sokongan supaya dapat sesuaikan diri

SUSAHNYA mendapat hidayah Allah SWT dan sukarnya untuk menukar agama, tetapi selepas memeluk Islam tiba-tiba ingin keluar pula. Itu bagi yang mualaf atau penganut agama lain yang kemudian memeluk Islam. Bagaimana pula yang dilahirkan Islam, tiba-tiba membuat keputusan untuk menganut agama lain.

Keadaan yang berlaku dalam masyarakat hari ini tetapi dilihat sebagai sesuatu yang endah tidak endah saja, mendorong saudara baru atau saudara Muslim, Ann Wan Seng untuk menghasilkan buku membincangkan mengenai isu murtad berjudul Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata yang dilancarkan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu berkata, sikap masyarakat hari ini terutama umat Islam sendiri yang tidak berani membicarakan secara terbuka isu murtad menguatkan lagi tekadnya untuk menyedarkan mereka.

"Saya asal bukan Islam dan saya sudah rasa susahnya hendak masuk Islam. Jadi, kenapa orang Islam begitu mudah hendak keluar Islam. Itu yang menimbulkan tanda tanya kepada saya kerana jika masalah murtad tidak diatasi dengan berkesan akan membantutkan dakwah Islamiah.

"Oleh itu, saya berasakan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam bersama mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Bagi saya isu murtad yang membabitkan akidah kini menjadi tanggungjawab orang Islam untuk mempertahankannya," katanya.

Beliau berkata, walaupun isu murtad bukan perkara baru tetapi sikap masyarakat yang menyepikan diri seolah-olah perkara itu tidak berlaku hanya akan merugikan umat Islam dan sudah tiba masanya perkara itu diberi perhatian serius supaya dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Katanya, adalah bertentangan jika kita berusaha mempromosikan Islam dan menunjukkan kecantikan ajaran agama itu, sedangkan pada masa sama ramai orang Islam yang keluar daripada agama suci ini.

Justeru, beliau mengharapkan maklumat yang dimuatkan dalam buku Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata dapat memberi gambaran jelas kemelut melanda umat Islam dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan akidah umat Islam terus terjaga.

Sebagai memberi hujah lengkap dan seimbang, Pengerusi Perkim Cawangan Putra Wilayah Persekutuan itu turut mengambil tulisan pakar intelektual, ulama serta mereka terbabit secara langsung menangani isu murtad untuk dimuatkan dalam karyanya.

"Saya rasa buku ini lengkap kerana merangkumi keseluruhan isu berkaitan murtad dari sudut pandangan Islam, perundangan termasuk mengambil kes dan kejadian murtad yang pernah menjadi isu hangat supaya pembaca mendapat gambaran sebenar," katanya.

Berdasar kajian serta hasil penulisan buku itu, antara punca dikenal pasti mendorong seseorang itu keluar daripada agama Islam ialah wujud gerakan menyesatkan umat Islam walaupun tindakan itu menyalahi Perlembagaan negara.

Selain itu, orang Islam sendiri perlu mengubah persepsi terhadap saudara baru yang memeluk Islam dan memberi sokongan kepada mereka supaya proses menyesuaikan diri dapat dilakukan dengan sempurna termasuk memantapkan iman mereka.

Kegagalan umat Islam khususnya orang Melayu berbuat demikian akan menyebabkan golongan saudara baru berasa terpinggir dan kehadiran mereka tidak dialu-alukan. Keadaan itu tidak dapat ditolak menjadikan saudara baru kecewa hingga ada mengambil keputusan kembali ke agama asal.

Hakikatnya, banyak lagi punca seperti perasaan kecewa di kalangan saudara baru yang memeluk Islam dan berkahwin dengan pasangan beragama Islam tetapi diabaikan atau tidak diberi bimbingan sepatutnya.

Apa pun alasannya menurut Wan Seng, perkara itu perlu dibendung memandangkan cabaran dihadapi umat Islam hari ini kian getir termasuk berhadapan serangan daripada pelbagai unsur serta kaedah pihak musuh memesongkan mereka ke arah menyesatkan.

Beliau juga tidak setuju dengan tanggapan bahawa murtad adalah isu sensitif kerana membabitkan sensitiviti penganut agama lain kerana yang diserang ialah Islam dan akidah yang sepatutnya tidak ada tolak ansur.

"Ada yang kata isu murtad sensitif dan kadang-kadang ada yang tidak mahu bercakap di khalayak kerana takut timbul rasa kurang senang penganut agama lain. Saya rasa itu tidak sepatutnya berlaku; sebab ini membabitkan akidah, perkara berkaitan akidah tidak ada kompromi.

"Jika rosak akidah umat Islam, bermakna segala amalan dibuat sebelum ini akan tertolak, perkara berkaitan akidah dijaga Rasulullah dan diwariskan pada kita. Ia amanah yang perlu kita pikul dan laksanakan. Ia juga sebab mengapa saya membangkitkan isu murtad," katanya.

Mengakui kegiatan dakwah dan perbincangan mengenai isu murtad perlu dilakukan secara berhemah, anak jati Klang yang memeluk Islam sejak 13 tahun lalu menggalakkan supaya perkara itu ditangani secara diplomasi bukan emosi.

Penjelasan, katanya perlu diberi dari semasa ke semasa bukan saja kepada bukan Islam tetapi umat Islam, jangan hanya menanti apabila timbul isu baru hangat diperkatakan kerana tidak dinafikan ada orang Islam yang murtad dalam diam.

Pada masa sama, katanya usaha pemulihan akidah kepada mereka yang ingin keluar daripada Islam atas apa juga sebab perlu dilakukan secara konsisten dan penuh iltizam supaya dapat menarik mereka kembali kepada mentauhidkan Allah.

Selain melalui sistem perundangan, gerakan menarik saudara Islam yang ingin kembali kepada agama asal atau orang Islam daripada menganut agama lain ialah menggunakan pendekatan psikologi kerana keadaan kes adalah berbeza.

"Kita perlukan golongan yang memahami psikologi orang murtad dan boleh berdepan dengan golongan murtad menggunakan kaedah yang boleh membalikkan hati mereka. Kita perlukan orang yang biasa buat dakwah Islamiah dan berdepan dengan golongan bukan Islam.

"Untuk tarik orang Cina yang keluar Islam elok gunakan Cina Muslim, orang India keluar Islam pula gunakan kalangan India Muslim yang lebih faham hati budi cita rasa dan latar belakang. Pendekatan harus sesuai kerana tidak ada kaedah yang boleh digunakan secara menyeluruh," katanya.

Wan Seng berkata, pengalaman memberi kaunseling kepada saudara baru yang murtad ada kala mendatangkan kerisauan kerana memikirkan bagaimana hendak mengelak mereka yang sudah mendapat hidayah tidak mensia-siakannya.

Sifat malu melambangkan nilai keimanan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Masalah sosial, maksiat berlaku kerana manusia hilang perasaan segan dan silu

MALU antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya. Sifat malu juga satu petanda membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai rasa malu bermakna sudah hilang imannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, malu adalah sifat semula jadi diciptakan Allah SWT pada setiap insan. Ia dapat diperhatikan apabila seseorang manusia kemerahan wajahnya atau pipinya akibat malu selepas dimarahi atau melakukan sesuatu yang kurang sopan.

Ada juga manusia bermuka tebal sehingga tidak menghiraukan apa dilakukannya. Orang itu tidak mempunyai perasaan malu di sudut hatinya. Sifat malu diberi kedudukan istimewa dalam Islam.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap agama ada tatasusilanya atau ciri-ciri istimewanya, maka untuk Islam ialah sifat malu." (Hadis riwayat Malik)

Sehubungan itu, Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Akhlak Muslim menjelaskan, dalam ajaran Yahudi pada zaman Nabi Musa AS ada ciri kekerasan dan dalam ajaran Masihi pada zaman Nabi Isa AS pula ada ciri kelembutan dan kelonggaran dalam kira bicaranya serta saling bermaaf-maafan.

Sementara Islam pula mempunyai sifat malu sebagai ciri keistimewaannya. Ringkasnya, sifat malu mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam sehingga dijulang sebagai satu simbol melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan seseorang Muslim, sekali gus mengisyaratkan betapa Islam adalah agama menganjurkan umatnya berakhlak mulia dan menjauhi sama sekali segala yang keji.

Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dalam penampilan akhlak terpuji sehingga diperakui bahawa akhlak Rasulullah SAW terjemahan menyeluruh al-Quran. Sebenarnya, Rasulullah SAW adalah seorang yang amat pemalu dalam tingkah laku sehariannya.

Diriwayatkan oleh sahabatnya, Abu Sa'id al-Khudri yang bermaksud: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu dan lebih pemalu daripada seorang anak dara dalam kelubungnya dan apabila Baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya, nescaya kami dapat camkan yang demikian itu melalui wajahnya." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, wajarlah setiap Muslim menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu lambang kesempurnaan iman seseorang kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, sifat malu mampu bertindak sebagai perisai atau benteng bagi seseorang Muslim terjerumus ke lembah kehinaan.

Malah, dengan sifat malu yang bertakhta kukuh dalam sudut hati berupaya memartabatkan individu Muslim sebagai Muslim yang kental imannya, luhur budi pekertinya, berdisiplin dan disenangi semua insan.

Sebaliknya, seandainya sifat malu terhapus dan tidak bertapak dalam hati seseorang, maka ia menjadi bibit virus atau penyakit yang mampu menggugat keimanan seseorang dan akhirnya dengan mudah terjerumus ke lembah kederhakaan kepada Allah SWT.

Mungkin ini bertepatan dengan peringatan keras Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Apabila Allah SWT kehendaki untuk membinasakan seseorang hamba, akan dicabut daripadanya perasaan malu. Maka apabila dicabut daripadanya sifat malu, dia akan dibenci orang dan bila dia dibenci orang, akan dicabut daripadanya sifat amanah. Apabila dicabut daripadanya sifat amanah, maka dia didapati sebagai seorang yang khianat dan dikhianati. Jika dia berada dalam keadaan yang sedemikian, akan dicabut pula daripada hatinya perasaan rahmat dan bila ia terjadi begitu, maka dia tidak akan berada melainkan dalam keadaan yang dilaknati dan dimurkai. Bila dia dilaknati dan dimurkai, bermakna terungkailah akhirnya tambatan Islam daripadanya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Akibatnya, berleluasa krisis sosial dan maksiat tanpa batasan dalam kehidupan manusia seperti diperhatikan dalam masyarakat hari ini. Kita melihat muda mudi tanpa segan silu bergandingan tangan dan berpelukan di khalayak ramai biarpun tidak mempunyai ikatan sah.

Malah, ada juga yang sudah terlanjur ke lembah perzinaan di mana akhirnya si gadis yang hamil terpaksa melakukan pengguguran terhadap anak yang dikandunginya secara haram.

Begitu juga, amalan rasuah yang semakin menjadi-jadi. Semuanya berpunca tidak lain tidak bukan kerana sifat malu tidak menjadi perhiasan wajib dalam diri seseorang Muslim. Pendek kata, sifat malu berupaya menghambat hawa nafsu dan menghalang daripada terjebak ke kancah kehinaan.