Oleh Nazri Hussein
Jual beli secara jujur untungkan pembeli, peniaga di samping perkukuh ekonomi negara
ISLAM sebagai agama yang lengkap mengangkat perniagaan antara sumber pendapatan yang dilimpahi keberkatan selain menjana ekonomi umat supaya dapat bersaing dengan masyarakat bukan Islam.
Keberkatan perniagaan sebagai sumber pendapatan menguntungkan dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Sembilan daripada 10 sumber rezeki manusia datangnya daripada perniagaan." (Hadis riwayat Muslim)
Perniagaan yang berkat memenuhi ciri diredai Allah seperti bersumberkan yang halal, adil dan tidak mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya jujur kepada pembeli ketika urusan jual beli.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda bermaksud: "Sebaik-baik pendapatan adalah daripada perniagaan (jual/beli) yang berkat dan usaha daripada tangan sendiri."
Isu kenaikan harga barang menyebabkan pengguna yang kebanyakan berpendapatan sederhana dan rendah terus mempersoalkan kejujuran serta ketelusan peniaga yang dianggap tamak dan mengejar kekayaan.
Diriwayatkan Imam Bukhari, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada golongan yang terbabit dalam dunia perniagaan seperti peruncit, pengusaha, pemborong atau orang tengah yang tidak jujur, menyeleweng serta mengamalkan rasuah.
Sabda Baginda SAW bermaksud: "Sebahagian daripada penghuni neraka terdiri daripada peniaga yang tidak amanah dalam urusan perniagaan dengan menipu dan mengurangkan timbangan berat ketika berjual beli."
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik peniaga berhemah, beretika, mempunyai sikap toleransi tinggi, jujur dan bertanggungjawab ketika berniaga. Ketika membantu perniagaan isterinya, Saidatina Khadijah, Baginda sentiasa mendapat keuntungan besar kerana jujur, bertimbang rasa dan disenangi pelanggan.
Satu perkara yang sering dipandang remeh peniaga hari ini ialah mutu barang diniagakan. Kebanyakan mereka kurang mempedulikan barang tulen atau palsu serta tarikh luput yang menentukan rosak atau baiknya barang didagangkan.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW sering mengingatkan umat Islam supaya mengelak daripada menjual barang rosak atau tidak boleh digunakan kerana balasan Allah kepada peniaga yang menipu sangat berat dan pedih.
Dalam suatu kisah, ketika Rasulullah SAW tiba di sebuah pasar, Baginda melihat ramai orang Islam berniaga, lalu Baginda mendekati seorang lelaki berniaga buah tamar yang dilonggokkan lalu memeriksa buah itu.
Rasulullah sungguh terkejut apabila mendapati peniaga itu mencampurkan buah tamar elok dengan yang rosak dan dijual dengan harga yang sama. Baginda menasihati peniaga itu mengasingkan buah berkenaan kerana perbuatan itu dianggap menipu dan hasilnya tidak berkat serta haram di sisi Islam.
Selain itu, amalan riba serta mengurangkan timbangan adalah sebesar-besar dosa dikutuk Allah. Perbuatan itu dilakukan mereka yang berniat mengaut keuntungan berganda tanpa memikirkan kesusahan orang lain akan menerima seksaan di akhirat.
Firman Allah: "Dan jangan kamu dekati harta anak yatim, melainkan dengan cara yang baik sehingga dia dewasa, dan cukupkan sukatan dan timbangan dengan betul (urusan jual beli)." (Surah al-An'am, ayat 152)
Namun, berapa ramaikah peniaga hari ini menjadikan kerjaya mereka sebagai amanah dan tanggungjawab besar dalam masyarakat selain hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Menjadi kewajipan limpahan rezeki yang diperoleh dibelanjakan untuk membantu golongan tidak bernasib baik seperti fakir miskin dan anak yatim. Keuntungan perniagaan perlu disucikan dengan menunaikan zakat, sedekah, derma serta amalan jariah demi membersihkan harta yang dimiliki sebagai bekalan di akhirat.
Demikianlah, Islam melihat besarnya peranan peniaga dalam urusan muamalat yang menjadi penentu kepada kegawatan ekonomi atau keutuhan ekonomi umat. Keikhlasan dan kejujuran akan mengikis sifat tamak, rasuah, penyelewengan serta kesombongan demi mencari keberkatan hidup yang hanya sementara ini.
Kegawatan ekonomi ketika ini adalah saat untuk peniaga dan pengguna mencari pendekatan terbaik menyemai kesefahaman supaya situasi 'menang-menang' dicapai demi memperkasa ekonomi umat Islam secara menyeluruh.
Monday, April 6, 2009
Muamalat sebagai ibadah jamin kesejahteraan umat
Labels:
(A) Nazri Hussein,
Ibadah,
Muamalat Islam,
Perniagaan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment