CABARAN perlu dihadapi dalam usaha meningkatkan kadar pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) antaranya ialah kekurangan kesedaran mengenai pengkomersialan harta intelek menyebabkan penyelidik masih tertumpu kepada penerbitan kertas kerja.
Ramai penyelidik masih kurang sedar mengenai kepentingan paten dan pengkomersialan hasil R&D, iaitu sumber kekayaan baru. Konsep penyelidikan untuk menjana kemakmuran mungkin masih baru memandangkan beberapa dekad lalu tugas universiti hanyalah kepada penyelidikan, melahirkan siswazah dan sebagai ejen pengembangan.
Tetapi, peredaran masa menuntut anjakan paradigma minda menjadikan hasil penyelidikan sebagai satu kriteria penilaian. Oleh itu, pendedahan terhadap aspek pengkomersialan harta intelek perlu diberikan dengan menggabungkan idea dan tindakan mengenai pelan perniagaan, perlindungan harta intelek dan aspek pemasaran produk akhir.
Kesedaran itu perlu diketahui penyelidik melalui latihan dan pendedahan diberikan pihak Technology Transfer Office (TTO) universiti dan perlu dirangkum dalam cadangan penyelidikan semasa permohonan pembiayaan penyelidikan.
Keduanya, penyelidik perlu mempatenkan produk mereka kerana menghasilkan jurnal semata-mata tidak akan membawa kepada pengkomersialan. Langkah berkaitan keperluan mempatenkan produk atau teknologi dihasilkan perlu dipelajari supaya hasil penyelidikan mendapat perhatian industri.
Selain itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) juga menganjurkan aktiviti atau program berbentuk pertandingan, anugerah, pameran, pertandingan reka cipta pada peringkat sekolah dan universiti.
Sering kali pihak industri mendapati produk dikatakan penyelidik sedia untuk dikomersialkan masih perlu melalui beberapa peringkat penyelidikan atau persediaan. Hal itu menyebabkan pihak industri skeptikal dengan produk atau reka cipta tempatan.
Mosti bersama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) berusaha membentuk satu Jaringan Pengkomersialan Teknologi yang mampu berfungsi sebagai ‘pusat sehenti’ bagi menyatukan keperluan penyelidik dan pihak industri berhubung isu pengkomersialan.
Selain itu, Mosti juga memberikan perhatian ke atas kerjasama penyelidikan antara institusi penyelidikan dan industri. Ia salah satu langkah perlu dalam memastikan hasil penyelidikan mampu dieksploitasi oleh pihak industri.
Sehingga kini, 80 daripada 128 projek penyelidikan Technofund diluluskan Mosti dijalankan secara usaha sama antara institusi penyelidikan dengan industri. Di samping itu, 77 projek usaha sama institusi penyelidikan dengan pihak industri di bawah ScienceFund juga dibiayai.
Masalah lain yang sering diperkatakan adalah mengenai TTO di universiti dan institut penyelidikan, yang dikenali dengan pelbagai nama menggunakan model pengurusan berbeza. Perbezaan itu sering menimbulkan kekeliruan kepada pihak industri yang ingin berurusan.
Masa lebih lama diperlukan untuk berurusan dengan pihak bertanggungjawab. Sering kali masalah itu menyebabkan pihak industri tawar hati kerana kurang yakin kepada kebolehan pihak terbabit. Oleh itu, kerjasama antara kementerian dan universiti diperlukan.
Wujud ketidakseragaman klausa digunakan dalam dokumen perjanjian dari aspek yuran pelesenan dan royalti antara universiti dengan institut penyelidikan walaupun teknologi dikomersilkan hampir sama. Ketidakseragaman mengurangkan motivasi di pihak penyelidik.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan berusaha menarik minat penyelidik dengan memberikan ganjaran lumayan kepada mereka. Pada masa ini, pembahagian royalti pengkomersialan R&D adalah 50 peratus kepada institut penyelidikan dan 50 peratus antara institut penyelidikan dan penyelidik.
Untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti pengkomersialan serta untuk memberi insentif lebih baik kepada penyelidik, kadar pembayaran royalti penyelidik perlu ditingkatkan. Satu garis panduan harta intelek sedang digubal untuk memberi lebih galakan kepada penyelidik.
Pada masa sama, sebagai insentif kepada penyelidik, adalah dicadangkan sebanyak RM5,000 diberikan selepas paten difailkan dan RM10,000 selepas menerima sijil paten.
Proses pendaftaran sehingga mendapat kelulusan paten adalah mahal dan mengambil masa panjang. Hal itu sering kali menjadi penghalang kepada pihak industri untuk melindungi harta intelek mereka.
Proses kelulusan paten akan dipermudahkan untuk menggalakkan lebih ramai para pencipta menghasilkan inovasi dan seterusnya mengkomersilkan hasil inovasi mereka.
Pemahaman terhadap keperluan berinovasi, kepentingan perlindungan harta intelek dan proses pengkomersialan perlu disemai dari peringkat persekolahan untuk mengelak generasi masa hadapan daripada ‘buta inovasi’, tidak mampu mencipta seterusnya gagal memperkayakan landskap pengkomersialan.
Kejayaan dalam inovasi ditentukan oleh keupayaan untuk mengubah idea serta ilmu pengetahuan kepada produk dan proses yang diperlukan oleh pasaran. Kerajaan memainkan peranan penting mewujudkan rangkaian antara penjana ilmu pengetahuan dengan penggunanya.
Pihak industri, universiti, institut penyelidik, komuniti dan masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pembangunan perkongsian yang berkesan bagi membolehkan Malaysia meningkatkan kadar pengkomersialan harta intelek dan seterusnya menjana pendapatan.
(Sambungan kedua kertas kerja Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3))
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment