Saturday, April 18, 2009

Kekuatan akhlak, ilmu asas pembangunan insan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


KANAK-KANAK mengikuti kem solat yang digunakan sebagai model pembangunan insan. - Gambar hiasan


Umat wajib bersihkan jiwa daripada hasutan nafsu, kebendaan capai kehidupan diredai

SEIRING pelantikan sebagai khalifah Allah, manusia diamanah untuk memakmurkan bumi dengan pembangunan dan kemajuan sesuai kepentingan serta keperluan manusia. Perkara itu dilaksanakan umat terdahulu seperti diceritakan al-Quran.

Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba' satu tanda (menandakan kemurahan Allah) di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun (luas lagi subur) di sebelah kanan dan kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukur kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba', ayat 15)

Kaum Saba' sudah menjulang ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan dengan Empangan Ma'ribnya yang masyhur. Ditambah limpahan nikmat Ilahi yang tiada terhingga dan kesuburan tanahnya mengubah wajah kota sekitarnya umpama syurga dunia.

Pada mulanya, penduduk kota Saba mensyukuri nikmat Allah, namun kemudian mereka lupa diri dan semakin berani melakukan kezaliman sehingga terjerumus dalam kancah kederhakaan kepada Allah. Bukan setakat itu, mereka lantang menentang seruan nabi Allah yang diutuskan kepada mereka. Natijahnya, Allah mengirimkan banjir besar sehingga meleburkan Empangan Ma'rib yang tersohor itu Segala tanaman musnah dan menjadikan negeri itu umpama padang jarak padang tekukur. Semua nostalgia silam itu dirakamkan dalam surah Saba'.

Jelas, kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai bidang adalah keperluan kehidupan manusia serta diharuskan syarak selama ia membawa kebaikan dan manfaat kepada umat manusia. Inilah pembangunan material yang diharuskan kepada umat, tetapi pada masa sama mereka perlu menginsafi segala kemajuan dan pembangunan dicapai itu adalah dari Allah juga.

Umat Islam wajar menyatakan kesyukuran kepada Allah atas limpah dan kurnia nikmat-Nya yang tiada terhingga. Kesyukuran itu antara ciri pembangunan rohani yang perlu disemai supaya kemajuan dan pembangunan berlangsung terus seiring peredaran zaman.

Justeru, pembangunan fizikal dan kerohanian memainkan peranan ke arah kelangsungan bangsa bertapak kukuh. Meninjau keadaan umat Islam kini, pembangunan fizikal perlu dalam kehidupan ummah, sekali gus mewujudkan keunggulan umat dalam pelbagai bidang kehidupan kini.

Islam tidak melarang pembangunan fizikal selagi ia memberi manfaat. Jika pembangunan membawa kemudaratan, Islam melarangnya seperti pembangunan senjata nuklear atau pengedaran dadah. Pembangunan kerohanian yang tidak ditekankan atau diberi perhatian sewajarnya oleh umat Islam menyebabkan mereka mudah dilabelkan sebagai umat mundur dan jumud. Sedangkan, pembangunan kerohanian adalah mekanisme penting yang perlu dijana ke arah membawa umat Islam ke mercu kegemilangan. Pembangunan kerohanian bukan istilah baru dalam diari masyarakat Islam. Ia wujud sejak zaman Rasulullah SAW yang diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam. Dewasa ini, pembangunan kerohanian dikaitkan dengan pembangunan insan.

Prof Zakaria Stapa dalam bukunya, Akidah dan Kerohanian dalam Kehidupan Muslim mendefinisikan pembangunan insan sebagai usaha berterusan memupuk dan mengembangkan potensi dalam diri manusia supaya subur dan kental keimanannya terhadap Rukun Iman serta berupaya terdorong menggesa atau menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan diri, orang lain juga alam.

Mereka juga perlu sedia dan sentiasa terpanggil untuk melaksanakan kerja pencegahan terhadap perkara mungkar yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup.

Pembangunan insan merujuk kepada usaha pembinaan diri atau sahsiah manusia dengan nilai positif sesuai dengan akal murni dan syarak supaya kewujudan serta kehadiran mereka menjadi sumber kepada kebaikan dan kesejahteraan hidup, bukan sebaliknya.

Jelas di sini, maksud pembangunan insan adalah usaha berencana untuk melahirkan peribadi yang dapat menghayati konsep hidup manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dengan akidah mantap, akhlak terpuji, ilmu yang kukuh serta semangat juang.

Acuan inilah juga rahsia dan formula sebenar kejayaan serta keunggulan yang dirintis generasi dulu seterusnya berjaya menghasilkan personaliti terbilang antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman bin Affan, Ali Abi Talib dan ramai lagi.

Merekalah yang menyemarakkan pentas dunia dengan nilai positif tiada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah Islam. Ini bertepatan jolokan istimewa yang Allah kurniakan kepada mereka sebagai umat terbaik. Firman Allah bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk lagi keji) serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-sebenar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Perlu diinsafi antara punca kehancuran bangsa terdahulu kerana tersebarnya kefasikan dan kemungkaran penghuninya. Oleh itu, perbuatan maksiat dan kemungkaran perlu dijauhi dan dihapuskan secara menyeluruh.

Sejarah manusia membuktikan akhlak bertindak sebagai ejen penentu kepada jatuh bangun sesebuah bangsa. Syauqi Bek pernah berhikmah: "Sesungguhnya umat dan bangsa sangat bergantung pada akhlaknya. Jika baik, maka akan kuatlah bangsa itu. Jika rosak, maka hancurlah bangsa itu."

Lebih-lebih lagi gelora globalisasi, pasca modenisme dan dunia tanpa sempadan menuntut sedikit sebanyak kesediaan umat Islam melakukan perubahan ke arah kecemerlangan Islam. Oleh itu, umat Islam semua lapisan dan peringkat menyedari peranan merealisasikan program pembangunan insan. Individu Muslim wajib memurnikan jiwanya daripada unsur syirik, belenggu fahaman kebendaan dan karat penyakit hati serta dorongan nafsu membinasakan. Setiap ibu bapa perlu menyedari tanggungjawab tarbiah anak supaya berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar.

Setiap anggota masyarakat Islam turut menyumbangkan saham dalam tradisi ketamadunan ilmu, membangunkan agama, bangsa dan negara di atas kefahaman Islam sebenar. Pemimpin perlu menjadikan Islam teras pentadbiran berteraskan keadilan dan ketelusan.

Memadailah Rasulullah SAW dan generasi selepasnya sebagai contoh terbaik untuk diteladani dalam program pembangunan insan yang berjaya apabila Baginda SAW berjaya mendidik generasinya dengan tauhid, akhlak, ilmu dan semangat jihad sehingga tercipta generasi bertakwa.

Pembangunan insan perlu bagi menjana kekuatan akidah, kekentalan akhlak dan kemantapan ilmu; Ketiga-tiga aspek itu perlu dicernakan seiring pembangunan material untuk membentuk pembangunan bermanfaat kepada umat manusia di bawah naungan limpahan keredaan Ilahi.

No comments: