Wednesday, April 15, 2009

Iqra: Mendalami hikmah mandi wajib, sunat

Tajuk: Panduan Mandi Wajib Lengkap untuk Lelaki dan Perempuan
Penulis: Abdul Hamid Abdul hakim
Penerbit: Berlian Publications Sdn Bhd
Harga: RM8
Pengulas: Hasliza Hassan

SEBUT saja mandi wajib, pelbagai reaksi dapat dilihat dan selalunya isu itu menjadi bahan lawak sedangkan jika diteliti, perkara itu memberi kesan besar kepada kehidupan umat Islam. Ini kerana bagi mereka yang masih belum suci daripada hadas besar, ada perkara haram dilakukan.

Justeru, kefahaman mengenai keperluan mandi wajib perlu bagi memastikan kita suci daripada hadas besar serta tidak terhalang melakukan ibadah. Perhatian juga perlu diberi terhadap kesan mereka yang hidup dalam keadaan masih menanggung hadas besar.

Namun, masih ada yang tidak tahu perkara yang mewajibkan seseorang itu mandi wajib kerana ia bukan melakukan hubungan kelamin saja.

Buku Panduan Mandi Wajib Lengkap untuk Lelaki dan Perempuan menjelaskan perkara mewajibkan mandi. Syarat, rukun serta kaifiat mandi wajib turut diterangkan dalam bahagian khusus selain perkara yang sering menimbulkan kekeliruan. Buku ini turut membincangkan bahagian mandi sunat serta perkara yang boleh dilakukan wanita haid.

Turut dikembangkan ialah perbincangan masalah mandi wajib seperti dalil wanita tidak perlu membuka ikatan rambut ketika mandi junub dan mandi Jumaat boleh dilakukan sekali saja dan orang yang mandi wajib tidak perlu mengambil wuduk lagi.

Mendalami ilmu mengenai mandi, kegiatan yang dilakukan setiap hari sama ada mandi yang diwajibkan atau disunatkan mempunyai hikmah serta manfaat.

Selain membersihkan diri daripada kekotoran, kewajipan mandi mendidik masyarakat sentiasa menjaga iman kerana kebersihan sebahagian daripada iman.

Bahagian akhir buku ini menyediakan doa penting selepas sembahyang dan zikir penyelamat daripada neraka.

Buku Panduan Mandi Wajib Lengkap untuk Lelaki dan Perempuan sesuai untuk rujukan serta bahan bacaan tambahan kerana ia menyediakan jawapan yang ada antara kita sedang mencarinya.

No comments: