Oleh Khairunneezam Mohd Noor
Amalan warisan syaitan cetus porak-peranda dalam masyarakat serta malas cari rezeki halal
BERJUDI adalah jalan singkat yang salah untuk mengejar kekayaan dan wang ringgit. Judi disebut 'Al-Maisir' dalam Bahasa Arab dan ditafsirkan sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib, menggunakan wang atau harta benda sebagai taruhan dengan pemenang akan mendapat hasil taruhan berlipat ganda.
Perjudian di negara kita amnya diamalkan dalam pelbagai bentuk antaranya menggunakan dadu, daun terup, jackpot, tikam, loteri, pertaruhan permainan sukan, mesin slot atau nombor ekor. Lebih canggih lagi, zaman sekarang berjudi turut diamalkan dengan mudah melalui internet.
Apabila berjudi, seseorang tidak perlu mengerah keringat dan tulang empat kerat. Bahkan modal diperlukan tidak begitu besar. Bak kata orang, goyang kaki pun boleh dapat hasil lumayan. Inilah antara faktor menyemarakkan semangat kaki judi untuk terus terjebak dengan gejala buruk ini.
Apatah lagi, jika pernah sekali dua 'tuahnya terkena' dan menang sejumlah wang, bertambah galak dan bersemangatlah si kaki judi melaburkan wangnya ke premis judi kononnya untuk mengaut keuntungan lebih besar lagi.
Sungguh menyedihkan melihat masih ramai umat Islam yang mengunjungi premis perjudian hari ini. Lebih memilukan adalah sesetengah mereka yang kental mengunjungi pusat atau premis perjudian ini boleh dikategorikan sebagai 'warga emas'.
Sudahlah begitu, anak cucu sendiri pun kadang kala dibawa bersama 'singgah' ke premis judi untuk membeli nombor atau bertaruh tanpa ada malu dan segan.
Jika kaki judi beranggapan bahawa judi adalah bentuk usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan, mereka silap kerana sebenarnya matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Demi mengejar sesuatu matlamat, kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan saluran yang betul dan mengerah akal fikiran serta tenaga.
Islam meletakkan keutamaan kepada pencarian rezeki dan nafkah hidup yang bersih lagi halal. Bukannya mencari jalan singkat mengumpul harta melalui judi yang hukumnya haram dari perspektif Islam.
Islam menegah umatnya daripada bergelumang dengan perjudian yang ternyata bersifat keji dan amalan warisan syaitan. Selaras dengan firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?" (Surah al-Maidah, ayat 90-91)
Dari segi akhlak, seseorang kaki judi itu akan menjadi lalai dalam beramal ibadah, malas untuk berusaha, tamak dan haloba, iri hati, dendam, khianat, suka berhutang, membazir, bercakap bohong serta berputus harap kepada Allah.
Apabila penyakit berjudi semakin kronik membelenggu, maka si kaki judi ini sanggup pula menggadaikan akidah mereka dengan melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah seperti bertilik nasib, memuja kubur, mendapatkan bantuan bomoh dan memakai tangkal azimat.
Perbuatan syirik seperti ini dimurkai Allah dan akan menerima balasan setimpal dengan perbuatan terkutuknya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa orang menyekutukan-Nya dan dia akan mengampunkan dosa selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya." (Surah an-Nisa', ayat 48)
Seseorang meraih hasil daripada perjudian, ketahuilah ia sumber haram dan tidak diberkati Allah. Maka, kesan seterusnya terpaksa ditanggung akibat berjudi adalah ahli keluarga sendiri.
Apabila rezeki haram disogok ke mulut isteri, anak dan sebati menjadi darah daging mereka, tidak mustahil kesan negatif akan terserlah sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.
Contohnya, luntur nilai silaturahim sesama keluarga, kehidupan porak-peranda, tiada kepercayaan dan hormat-menghormati, sukar mencapai kejayaan dalam apa juga yang dilaksanakan, terjebak dalam masalah sosial dan sebagainya.
Di akhirat kelak, penderitaan terpaksa ditanggung adalah lebih dahsyat lagi.
Untuk itu, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita harus membendung gejala judi secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat merentasi pelbagai umur. Ada begitu banyak permainan berkonsepkan judi yang ada di kedai runcit, seperti permainan tikam dan telur plastik berisi hadiah.
Kata-kata nasihat, program bimbingan keagamaan dan kaunseling adalah kaedah berlembut yang mungkin boleh dipraktikkan untuk memberikan kesedaran kepada kaki judi.
Pengamal media boleh memainkan peranan melalui iklan, dokumentari, siaran perbincangan atau pun dalam bentuk drama dan filem.
Jika ia tidak memberi kesan, perlulah pihak berwajib melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat dan tegas.
Berjudi membuatkan seseorang lalai dan ingkar dengan tuntutan Islam supaya mencari rezeki halal dan diredai Allah. .
Wednesday, April 1, 2009
Berjudi menjurus manusia kepada kelalaian, syirik
Labels:
(A) Khairunneezam Mohd Noor,
Judi,
Kelalaian,
Syirik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment