Sunday, April 5, 2009

Persoalan Agama: Bisikan murtad runsingkan pelajar

Soalan:

SAYA seorang pelajar dan bergelut dengan masalah dalaman diri. Saya tidak boleh bersendirian kerana gemar melayan perasaan termasuk mengeluarkan kata-kata 'aku kafir' biarpun cuma di dalam hati.

Sebaik menyedarinya, saya segera mengucap dua kalimah syahadah. Namun masalahnya, ia tidak berhenti malah perbuatan itu semakin kerap. Apakah saya sudah terkeluar daripada Islam jika melakukannya berulang kali.

Insan Buntu,
Johor.

Jawapan:

Masalah atau musibah adalah ujian yang menimpa setiap manusia. Allah menyatakan ujian tidak akan melangkaui kemampuan seseorang seperti firman Allah SWT bermaksud " Allah tidak akan memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya� (Surah al-Baqarah, ayat 286).

Mengenai persoalan mengenai bisikan 'aku kafir' tidak menyebabkan anda terkeluar daripada Islam kerana perkara itu tidak sengaja dan tanpa disedari.

Namun, bisikan itu adalah daripada syaitan untuk menyesatkan manusia. Anda patut mengatasi pemasalahan berkenaan dengan beberapa cara antaranya:

# Mencari guru agama atau kaunselor yang dapat membimbing anda merungkaikan kekeliruan yang bermain di fikiran. Mencari punca masalah dan berusaha merawat berdasarkan punca itu.

# Bersolat, berpuasa, banyak membaca al-Quran dan terjemahan bagi mengukuhkan jiwa, berzikir bagi menenangkan hati serta banyak berdoa agar sentiasa ditunjukkan jalan kebenaran, ditetapkan hati atas keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

# Berfikir untuk mengenali keagungan Allah SWT dengan merenung segala kejadian dan penciptaan diri serta alam sejagat oleh Allah SWT seperti yang digambarkan di dalam al-Quran.

# Membaca buku, mendengar ceramah atau bermuzakarah bersama guru dan rakan mengenai perkara keilmuan, keagamaan dan motivasi bagi menambah keyakinan,

# Memastikan diri sentiasa sibuk dengan sesuatu perkara sama ada bersama keluarga dan rakan bagi mengelak bersendirian.

# Mengelak diri daripada memikirkan perkara yang tidak sepatutnya atau melampaui batas yang dibenarkan syarak.

Justeru, anda perlu tabah dan berusaha bersungguh-sungguh memohon pertolongan Allah SWT bagi menyelesaikan masalah itu seperti firman Allah SWT bermaksud: "Mohonlah pertolongan Allah dengan sabar dan sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali atas orang yang khusyuk," (al-Baqarah: Ayat 45).

No comments: