Tajuk: Cara Nabi SAW Berubat dan Mencegah Penyakit
Penulis: Prof Abdul Basit Muhammad Al-Syyid
Penerbit: Berlian Publications Sdn Bhd
Harga: RM10
Pengulas: Hasliza Hassan
MENJAGA kesihatan diri adalah keutamaan kerana ia satu daripada kaedah pencegahan disebabkan badan sihat dapat menghindari penyakit. Hari ini, masyarakat semakin prihatin mengenai keperluan menjaga kesihatan diri.
Buku Cara Nabi SAW Berubat dan Mencegah Penyakit boleh membantu usaha memastikan kesihatan diri dan jika dihinggapi penyakit pula, bagaimana untuk mengubatinya. Rasulullah SAW adalah seorang yang bersih jiwa, pakaian dan manusia paling harum.
Anas meriwayatkan hal ini: “Kulit Rasulullah SAW warnanya cerah, sekatan keringatnya adalah permata. Jika berjalan Baginda tegak. Baginda tidak pernah menyentuh kain bulu atau sutera. Tidak ada sesuatu pun lebih lembut daripada telapak tangan Baginda. Aku tidak pernah mencium minyak misik atau anbar lebih wangi daripada apa yang Baginda pakai.”
Bagaimana seorang Muslim boleh mencapai tahap seperti Rasulullah SAW tanpa perlu bersusah paya? Inilah ditegaskan ilmu perubatan pencegahan pada masa sekarang dan semua itu sudah diajarkan Rasulullah sejak dulu.
Rasulullah SAW memiliki dua kelebihan iaitu Baginda mengajak kepada hal yang tidak pernah ada sebelumnya dan tidak diketahui manfaatnya kecuali pada masa sekarang serta tidak sekadar memberi hadis teori tetapi mempraktikkan dalam kehidupannya.
Apabila diamati buku Cara Nabi SAW Berubat dan Mencegah Penyakit, perkara yang dipaparkan bukan asing dalam hidup umat Islam seperti berwuduk dan mandi yang dilakukan setiap hari.
Baginda juga menerapkan kepentingan menjaga kebersihan peralatan seharian, persekitaran seperti sumber air, tempat rehat, halaman daripada perspektif Islam yang ada sesetengah kita memandang mudah perkara itu.
Seperti kata hikmah yang sering kita lafazkan, ‘pencegahan lebih baik daripada mengubati’, sunnah Nabi SAW sudah menunjukkan kepada kita perkara yang perlu dilakukan setiap hari dalam usaha mencegah daripada pelbagai penyakit.
Langkah pertama adalah menjauhi perkara maksiat sementara lapan langkah lain, diterangkan dalam buku ini.
Bagi yang ingin mengetahui rahsia Rasulullah SAW mengubat serta mencegah penyakit, dapatkan buku Cara Nabi SAW Berubat dan Mencegah Penyakit.
Wednesday, April 15, 2009
Iqra: Panduan ubati sakit cara Rasulullah
Labels:
(B) Iqra,
(B) Ulasan Buku,
Kesihatan,
Rasulullah SAW,
Sakit
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment