Sunday, April 5, 2009

Persoalan Agama: Riba jadikan manusia rakus, zalim

Islam halalkan urusan jual beli untuk umat mengaut keuntungan

Soalan:

APAKAH benar riba dan untung dalam perniagaan merujuk perkara yang sama. Jika tidak, apakah perbezaannya.

Ismail Ali,
Baling, Kedah.

Jawapan:

Firman Allah SWT bermaksud "Orang yang makan (ambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian itu disebabkan mereka mengatakan sesungguhnya berjual beli sama seperti riba. Padahal Allah sudah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang sudah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (mengambil riba), maka apa yang sudah diambilnya sebelum ini menjadi haknya dan perkara itu terserah kepada Allah. Sesiapa yang mengulanginya, maka mereka itulah ahli neraka, kekal di dalamnya" (al-Baqarah : Ayat 275).

Riba dan untung mempunyai perbezaan yang jelas. Syeikh al-Maududi menyatakan perbezaan antara kedua-dua itu:

# Pihak pembeli berhak menikmati manfaat dan penjual berhak mendapat keuntungan atas susah payahnya memasarkan barang. Riba menyebabkan pemberi hutang mendapat tambahan wang sedangkan orang yang berhutang hanya mendapat lanjutan tempoh bayaran hutang, tetapi belum pasti sama ada dia akan memperoleh manfaat daripada lanjutan tempoh itu.

# Penjual mendapat keuntungan sekali saja dalam urusan jual beli, tetapi dalam sistem riba penjual atau pemberi hutang terus mendapat tambahan bayaran, bahkan kemungkinan ia akan bertambah dari satu tempoh ke satu tempoh lain selagi hutang tidak diselesaikan.

# Pihak yang terbabit dengan perniagaan perlu berusaha keras bagi memperoleh keuntungan, tetapi dalam sistem riba penjual atau pemberi hutang mampu meraih wang tambahan atas lanjutan tempoh bayaran pembeli atau peminjam.

Kesimpulannya, keuntungan berjual beli boleh menimbulkan semangat persaingan sihat dalam perniagaan dan pada waktu sama tidak akan menindas orang lain.

Amalan riba pula diharamkan kerana membuka ruang berlaku kezaliman dan penindasan Kegiatan riba juga boleh menyebabkan timbul sifat tamak, mementingkan diri, hilang sifat timbang rasa dan sebagainya.

No comments: