Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
RAMAI pelajar kini bukan saja berani melanggar peraturan dan disiplin sekolah, malah mula terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah seperti menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi ahli kongsi gelap.
Mengikut kajian Kementerian Pendidikan pada 1984, hampir separuh kes pelanggaran disiplin yang berlaku berpunca daripada sikap pelajar seperti sentiasa menentang, bertindak mengikut perasaan, nakal dan malas.
Teman sebaya sangat berpengaruh dalam tingkah laku pelajar, lantaran itu Islam sentiasa menitikberatkan pemilihan sahabat dalam kehidupan seharian. Di luar rumah pelajar berdepan pelbagai keadaan yang banyak mempengaruhi corak kehidupan mereka.
Justeru, anak yang berada di luar kawalan ibu bapa selalu mendapat khidmat rakan sebaya untuk meneruskan kehidupan. Pelbagai usaha perlu diambil bagi membendung pengaruh negatif di kalangan pelajar daripada berterusan.
Banyak pihak menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara membendung seterusnya membanteras pengaruh negatif di kalangan pelajar juga muda mudi.
Keadaan yang kian genting itu jika dibiarkan berterusan, pasti membawa kesan besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.
Saling menasihati dan mengingati supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung kepada keupayaan seseorang apabila berada dalam kelompok manusia tertentu.
Firman Allah bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama ketika usia remaja perlu memainkan peranan besar menentukan hala tuju serta perjalanan hidup seharian mereka. Pengawasan ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi membolehkan mereka terbabit dalam kegiatan bermanfaat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Allah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Allah berpesan dalam al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa dosa dan kerosakan.
Firman Allah bermaksud: "Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pengajaran baik dan bijaksana dan bantahlah mereka dengan cara baik." (Surah an-Nahl, ayat 125)
Salah satunya ialah dengan pembinaan jati diri dalam warga terutama pelajar yang menjadi harapan negara pada masa depan. Sejak awal anak perlu ditanam supaya membenci segala kemungkaran dan mencintai yang makruf.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia menuntut ilmu, siapa yang inginkan akhirat, maka dia perlu menuntut ilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya maka hendaklah ia menuntut ilmu."
Peranan mendidik anak tidak harus dilepaskan kepada guru dan sekolah semata-mata. Dalam pendidikan akhlak umpamanya, ibu bapa berperanan besar menentukan sahsiah diri anak mereka.
Firman Allah bermaksud: "Dan sebarkanlah bersama dengan orang yang menyeru Tuhannya pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka (kerana mengharapkan) perhiasan dunia dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya Kami lalaikan daripada mengingati Kami, menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan." (Surah al-Kahfi, ayat 28)
Didikan awal ini biasanya melekat dalam sanubari mereka. Apabila dewasa, mereka akan mudah menolak segala kemungkaran kerana ada benteng dalam diri yang menegah daripada terbabit dalam sebarang tindakan yang boleh merosakkan diri sendiri.
Saturday, April 11, 2009
Jati diri Muslim mampu atasi masalah disiplin pelajar, remaja
Labels:
(A) Wan Marzuki Wan Ramli,
Disiplin,
Jati diri,
Remaja
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment