Wednesday, April 1, 2009

Peguam Syarie Menulis: Hukum syarak rujukan utama dalam penyelesaian kes hadanah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
http://peguamsyarie.blogspot.com

Hakim diperintah adil tangani pertikaian hak jagaan anak

PERCERAIAN adalah perkara dibenci Allah, tetapi diharuskan oleh syarak jika perkahwinan itu tidak mendatangkan kebaikan malah menimbulkan kemudaratan kepada seseorang individu.

Dewasa ini kes perceraian dikatakan meningkat dari setahun ke setahun di mana statistik terbaru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan peningkatan kes kepada 20,294 kes pada 2008 berbanding 13,605 kes pada 1990.

Peningkatan itu amat membimbangkan kerana kesannya bukan saja terhadap pasangan, malah anak hasil perkahwinan. Secara tidak langsung, ia menyumbang kepada peningkatan kes tuntutan anak di Mahkamah Syariah.

Justeru, apabila berlaku perceraian, sama ada ibu atau bapa boleh membuat permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menjaga anak mereka secara sementara (interim) sehingga kes hak jagaan (hadanah) kekal diputuskan mahkamah.

Ini berlaku apabila pihak pemohon membuat permohonan di Mahkamah Syariah secara sebelah pihak tanpa perlu menyampaikan notis permohonan kepada pihak satu lagi untuk mendapatkan hak penjagaan anak.

Mahkamah selepas mendengar permohonan difailkan dan berpuas hati dengannya, akan mengeluarkan perintah interim secara ex-parte. Prosiding ini biasanya dijalankan dalam kamar dan tidak dalam mahkamah terbuka.

Permohonan ex-parte adalah permohonan di mana mahkamah membuat suatu keputusan selepas mendengar keterangan satu pihak saja. Oleh sebab pihak satu lagi tidak mengetahui mengenai permohonan itu dan seterusnya tidak berpeluang menyoal balas keterangan pemohon, membentangkan hujah serta keterangannya, maka perintah ex-parte ini bersifat sementara dan boleh diketepikan.

Secara umumnya pemohon perlu memfailkan tindakan induk hak jagaan anak dalam masa 14 hari selepas perintah dikeluarkan. Ini dilakukan supaya pihak satu lagi (responden) dapat mencabar kes pemohon di mahkamah terbuka secara inter-parte atau dengan kehadiran kedua-dua belah pihak.

Seksyen 201 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor (2003) menyebut: "Jika mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan hadanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim mengenai hadanah kanak-kanak itu, maka mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan berkuat kuasa hingga mahkamah membuat keputusan atas perkara itu."

Seksyen itu jelas memperuntukkan apabila seseorang itu membuat permohonan dan memerlukan perintah interim, maka perintah dikeluarkan mahkamah melalui perintah ex-parte hendaklah berkuat kuasa sehingga mahkamah memutuskan berkaitan dengan kes induknya.

Berhubung permohonan ex-parte dalam kes hadanah, tiada nas atau dalil jelas mengenainya. Sebaliknya, dalil syarak yang ada menunjukkan sesuatu penghakiman hanya boleh dibuat selepas hakim mendengar semua keterangan daripada kedua-dua belah pihak.

Amalan ini berasaskan hadis diriwayatkan Abu Daud bermaksud: Ali bin Abi Talib berkata, Rasulullah SAW mengutuskan aku ke Yaman sebagai kadi. Aku berkata kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah! Tuan mengutuskan saya (menjadi kadi) sedangkan saya masih muda dan tidak mengetahui mengenai kehakiman. Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya Allah akan memberikan hidayahnya dan menetapkan lidahmu, jika engkau menghakimkan di antara dua orang yang bertikai, janganlah engkau membuat keputusan sehingga kamu sudah mendengar (hujah) yang satu lagi seperti kamu mendengar yang pertama, dengan demikian hukuman akan jelas. Saidina Ali berkata, sejak itu aku terus menjadi kadi dan tidak pernah ragu-ragu dalam membuat keputusan."

Namun, ada pengecualian terhadap kaedah umum hukum syarak tadi iaitu diharuskan permohonan dan penghakiman secara ex-parte dalam keadaan tertentu iaitu berdasarkan kepada pemakaian beberapa kaedah fiqh menyokong hukum pengecualian itu seperti:

# Kesukaran menarik kemudahan

# Apabila urusan itu menyempit longgarlah ia

# Kemudaratan itu haruslah dilenyapkan

# Kemudaratan itu menghalalkan larangan dan;

# Tidak ada pengharaman berserta darurat dan tidak ada kemakruhan bersama keperluan hajat.

Kaedah ini secara kolektif dapat memberi maksud dalam konteks permohonan secara ex-parte dan memberi ruang cukup luas bagi mahkamah menggunakan budi bicaranya secara bijaksana untuk mendengar serta memutuskan permohonan ex-parte berdasarkan kewujudan sebarang unsur mendesak dengan syarat tertentu.

Sesungguhnya faktor segera dan terdesak untuk mendengar sesuatu permohonan adalah inti pati kepada permohonan ex-parte. Malah, tahap pembuktian diperlukan cukup setakat berat sangka (dzan al-ghalib) bermaksud keterangan diberikan tidak mencapai tahap yakin. Ia didasarkan kepada kenyataan bahawa ada kalanya dzan ini menepati kebenaran.

Keharusan permohonan ex-parte dalam kes hadanah diperkuatkan lagi prinsip keadilan dalam Islam. Allah berfirman bermaksud: "Dan Allah menyuruh kamu apabila kamu menghakimi di antara manusia bahawa kamu memberikan hukuman yang adil" (Surah an-Nisa', ayat 58)

Ayat ini boleh difahami sebagai satu bentuk perintah kepada hakim untuk melakukan keadilan kepada setiap pihak yang mengadu kepadanya. Keadilan dituntut supaya diberi kepada pengadu tidak mungkin dapat disempurnakan jika pihak satu lagi dapat menafikan hasil keputusan sesuatu penghakiman.

Oleh itu, dalam konteks hadanah, mahkamah memberikan satu perintah iaitu perintah penjagaan sementara kepada pihak memohon.

Justeru, hukum syarak adalah rujukan utama dalam sebarang permasalahan termasuk prosedur berkaitan permohonan perintah ex-parte dalam kes hadanah.

Matlamat hukum syarak adalah untuk memberi keadilan kepada pihak yang bertikai. Oleh sebab itu, selagi mana sesuatu prosedur itu boleh menepati prinsip keadilan, ia dibolehkan oleh hukum syarak dan ini termasuklah permohonan ex-parte.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: