Showing posts with label Mahkamah Syariah. Show all posts
Showing posts with label Mahkamah Syariah. Show all posts

Wednesday, January 27, 2010

Peguam Syarie Menulis: Usaha martabat perundangan Syariah perlu berterusan

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariapgsm@yahoo.com

Pengiktirafan amalan 5S bukti komitmen mahkamah

SEBAGAI institusi awam tempat masyarakat membawa dan mengadu masalah untuk diselesaikan, bukanlah sesuatu yang mudah bagi Mahkamah Syariah memuaskan semua hati pelanggannya.

Namun, pujian wajar diberikan kepada kakitangan Mahkamah Syariah di seluruh negara kerana setakat ini berjaya menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan, walaupun usianya masih muda berbanding Mahkamah Sivil yang wujud sejak zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Pada 15 Januari lalu, satu majlis penyampaian sijil pengiktirafan amalan 5S diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang dirasmikan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan berjaya mendapat pengiktirafan amalan 5S pada sesi audit yang dijalankan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 21 Disember lalu. 5S merujuk kepada gabungan lima perkataan Jepun yang bermula daripada huruf S iaitu Seiri (sisih), Seiton (susun), Seiso (sapu), Seiketsu (seragam) dan Shitsuke (sentiasa amal).

Amalan 5S adalah amalan mengasing dan membuang barangan yang tidak diperlukan, menyusun barang diperlukan secara sistematik supaya mudah diambil dan dikembalikan di tempat asal selepas digunakan, membersihkan tempat bekerja, mewujudkan standard amalan terbaik di tempat kerja dan memas-tikan ia dipatuhi.

Ia juga melatih pekerja mengamalkan rutin ini secara berterusan agar membudaya dalam organisasi. Kebersihan, keceriaan dan sistematik di tempat kerja mempengaruhi budaya kerja kakitangan mahkamah agar dapat melayan kerenah pelanggan dengan baik, ceria dan sistematik.

Sijil pengiktirafan diterima Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ini bukan yang pertama kerana sebelum itu beberapa negeri lain termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia meraih beberapa pencapaian sama. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Putrajaya, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang sudah mendapat pengiktirafan pensijilan MS ISO 9001: 2000.

Pada 15 Disember lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor muncul jabatan kehakiman syariah negeri pertama dianugerahi sijil MS ISO 9001: 2008, iaitu pengiktirafan bertaraf dunia kerana menyediakan sistem pengurusan dan pentadbiran terbaik dalam mengendalikan kes mal, jenayah, rayuan dan pembahagian faraid.

Pengiktirafan ini membuktikan kakitangan Mahkamah Syariah komited dan bersungguh-sungguh merealisasikan wawasan menjadikan perkhidmatan awam sebagai terbaik dan terunggul, meskipun Mahkamah Syariah masih muda usianya, dengan bilangan pendaftaran kes meningkat setiap tahun, serta cabaran semasa dihadapi mahkamah seperti kecaman dan tanggapan negatif sesetengah pihak.

Sebagai usaha berterusan untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, penulis mencadangkan pada setiap tahun diadakan satu hari dikenali sebagai 'Hari Mahkamah Syariah' sebagai memperingati tarikh penubuhan rasmi Mahkamah Syariah di Malaysia. Rujukan boleh dibuat terhadap tarikh terawal penubuhan Mahkamah Syariah di negara ini.

Menyorot sejarah, pada 1948 ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kehakiman persekutuan memisahkan Mahkamah Syariah daripada hierarki mahkamah. Selangor pertama mewujudkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (1952), diikuti negeri lain di Malaysia Barat.

Waktu itu Mahkamah Syariah dikenali sebagai Mahkamah Kadi bagi menjalankan peraturan dan peruntukan undang-undang pentadbiran agama Islam bagi setiap negeri di Tanah Melayu.

'Hari Mahkamah Syariah' yang dicadangkan ini juga sebagai menghargai jasa kakitangan yang bekerja keras memajukan organisasi dan meningkatkan syiar syariah di Malaysia.

Satu daripada usaha memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai peranan Mahkamah Syariah adalah mengetahui sejarah dan perkembangannya. Dengan itu kita tahu bagaimana sesuatu perkara bermula dan menghargai susah payah pejuang terdahulu berhempas-pulas untuk kesejahteraan dan nikmat yang dirasai pada hari ini.

Dengan memahami sejarah juga, masyarakat sedar peranan Inggeris selepas menduduki Pulau Pinang pada 1786, dengan membawa undang-undang mereka ke Tanah Melayu, menubuhkan mahkamah dan melantik hakim yang mahir dengan undang-undang Inggeris untuk mengadili kes di Tanah Melayu.

Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam Charters of Justice pada 1807, 1826 dan 1885, bertujuan mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara langsung menenggelamkan undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan. Usaha memartabatkan perundangan Syariah perlu berterusan. Usaha murni untuk tujuan itu wajar disokong kerajaan dan umat Islam agar perundangan Syariah di Malaysia akan lebih berkesan, mantap dan cemerlang dari semasa ke semasa.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariapgsm@yahoo.com

Friday, January 22, 2010

Patuh mahkamah selagi tiada permohonan ubah perintah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

ADA bapa atau bekas suami yang bukan sengaja tidak mahu melaksanakan perintah nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tetapi sikap ibu tidak membenarkan bapa berjumpa anak menjadi punca perintah itu diabaikan.

Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata alasan menyebabkan perintah mahkamah tidak dilaksanakan itu diketahui apabila kedua-dua pihak dipanggil untuk sesi khidmat nasihat.

Katanya, bagi kes seumpama itu selalunya dapat diselesaikan cara baik selepas pegawai BSK meminta supaya ibu bapa patuh kepada undang-undang dan hukum agama yang pastinya memberi kebaikan kepada semua pihak terutama anak.

“Memang ada kes bukan bapa tidak mahu bayar nafkah tetapi apabila tidak dibenarkan jumpa anak, buat apa mereka nak bagi nafkah. BSK akan menasihatkan ibu walau apa terjadi, hubungan bapa dan anak tidak boleh putus.

“Kita juga jelaskan hukum agama siapa yang memutuskan hubungan bapa dan anak tidak akan masuk syurga. Jadi selain melaksanakan perintah mahkamah, BSK juga beri kesedaran agama. Jika isu tanggungjawab ditekankan, secara tidak langsung hak disempurnakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada bekas suami yang memang sengaja tidak mahu membayar nafkah kerana perasaan seronok kononnya dapat mengatasi undang-undang apabila tidak mematuhi perintah mahkamah.

Bagi kes sebegitu katanya, BSK akan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang dengan mendapat perintah mahkamah untuk menahan, merampas, melelong dan menjual harta bekas suami yang ‘tegar’ itu.

Mohd Na’im berkata, kefahaman mengenai undang-undang penting terutama bagi melaksanakan perintah mahkamah kerana perintah yang dikeluarkan wajib dilaksanakan tetapi boleh diubah apabila berlaku situasi yang membenarkan.

Antaranya, apabila pihak yang sepatutnya memberi sejumlah bayaran nafkah tidak mampu melaksanakan perintah itu atau pihak yang mendapat bayaran ingin menambah jumlah atas alasan bapa berkemampuan.

“Bagi kes nafkah anak, perintah bayaran yang diputuskan mahkamah berdasarkan status pihak terbabit ketika itu. Ada bapa yang selepas bercerai disahkan bankrap dan tidak mampu membayar nafkah, undang-undang membenarkan pihak berkenaan datang untuk ubah perintah.

“Ada juga yang selepas bercerai menjadi kaya raya dan bekas isteri boleh datang mahkamah minta ubah jumlah nafkah terdahulu kerana merasakan bekas suami mampu memberi lebih untuk nafkah anak.

“Perintah dikeluarkan mahkamah wajib dilaksanakan dan selagi tiada permohonan ubah perintah, ketetapan itu terus berjalan. Itu yang kita beritahu kepada pihak yang datang ketika sesi khidmat nasihat kerana kita mahu pastikan perintah mahkamah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, BSK memikul cabaran besar sebagai badan penguatkuasa untuk memastikan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan kepentingan anak terjamin untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun ditubuhkan 20 Oktober 2008, pegawai dan kakitangan BSK hanya mula dihantar bertugas di negeri April lalu selepas menjalani latihan serta pendedahan tugas di JKSM. Seramai enam pegawai dan kakitangan BSK ditempatkan di mahkamah di setiap negeri.

Sejak beroperasi dengan dana sebanyak RM500,000 sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seramai 37 penerima mendapat bayaran pendahuluan BSK membabitkan jumlah RM100,000. Kes mereka juga sudah difailkan untuk penguatkuasaan.

Mohd Na’im berkata, perundangan saja tidak boleh menyelesaikan masalah kerana undang-undang adalah sebahagian mekanisme untuk memastikan kestabilan masyarakat dan perlu ada badan sokongan bagi memenuhi kekosongan yang ada.

Katanya, penubuhan BSK dilihat sebagai harapan kepada ibu dan anak mendapat hak nafkah yang selama ini diabaikan oleh bapa kerana tidak patuh perintah dikeluarkan mahkamah.

“Harapan saya, masyarakat umum memberi peluang kepada BSK untuk menyelesaikan perintah nafkah yang tidak dilaksanakan. Jika dulu tidak ada pihak boleh membantu, kini BSK ada untuk mendapatkan hak supaya dapat diberi kepada yang berhak.

“Pada masa sama, BSK memenuhi tanggungjawab menyalurkan bantuan melalui pembayaran pendahuluan bagi meringankan beban ibu tunggal yang menghadapi kepayahan membesarkan anak disebabkan suami tidak mematuhi perintah mahkamah,” katanya.

Oleh itu katanya, masyarakat perlu memahami fungsi serta matlamat utama penubuhan BSK dan memberi sokongan kepada badan itu melaksanakan tanggungjawab menegakkan undang-undang syariah dan meningkatkan imej Mahkamah Syariah.

Peranan Bahagian Sokongan Keluarga:

# Meleraikan konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.

# Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.

# Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.

# Menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.

Wednesday, December 9, 2009

Peguam Syarie Menulis: Usah memperlekeh kedaulatan Mahkamah Syariah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


SEBARANG perintah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah harus dipandang serius kerana ia mengguna pakai undang-undang Islam. - Gambar hiasan


Umat Islam patut hormati sistem perundangan untuk tegakkan keadilan ikut al-Quran, sunnah


SEPERTI Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah hendaklah dihormati dan dipandang tinggi kerana kedua-duanya adalah institusi keadilan di negara ini walaupun sistemnya berlainan. Kita tidak boleh lari daripada hakikat negara mempunyai dua sistem perundangan berasingan.

Namun, adat segelintir umat Islam yang tidak yakin dan tidak menghormati Mahkamah Syariah dan disebabkan itu mereka tidak mengambil berat soal kehadiran ke mahkamah walaupun saman dikeluarkan bagi memastikan mereka hadir.

Ini diburukkan lagi apabila sesetengah keadaan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah dilanggar serta diperlekehkan pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam kes membabitkan perintah pembayaran wang seperti perintah nafkah isteri, anak, edah dan mutaah.

Tanggapan 'ala, perintah Mahkamah Syariah saja, bukan ke mana pun' sepatutnya dihakis bagi menghilangkan pandangan negatif orang ramai terhadap Mahkamah Syariah.

Semua prosiding di Mahkamah Syariah dimulakan dengan saman seperti pengesahan lafaz cerai, tuntutan perceraian dan tuntutan lain melainkan mana-mana prosiding yang ditetapkan undang-undang dibuat melalui permohonan.

Apabila sesuatu saman difailkan, saman itu hendaklah disertakan dengan penyata tuntutan. Selepas saman difailkan, Pendaftar Mahkamah hendaklah memeriksa saman dan pihak menuntut (plaintif) membayar yuran ditetapkan. Pendaftar Mahkamah akan menandatangani, memeterai dan mengeluarkan saman itu.

Saman berserta penyata tuntutan yang menyatakan secara khusus bentuk tuntutan plaintif hendaklah diserahkan sendiri kepada pihak yang kena tuntut (defendan) oleh pegawai mahkamah atau orang dipertanggungjawabkan.

Apabila defendan menerima saman itu, defendan hendaklah hadir bersendirian atau melalui peguam yang dilantik mewakilinya pada hari kes ditetapkan mahkamah pada surat saman untuk menjawab tuntutan berkenaan. Undang-undang memperuntukkan secara jelas jika defendan tidak hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes, mahkamah boleh meneruskan perbicaraan sekali gus memutuskan atau memberikan penghakimannya.

Ia berlaku dengan syarat saman sudah diserahkan kepada defendan secara sempurna. Defendan yang menerima saman tidak boleh mengambil ringan soal ketidakhadiran kerana mahkamah mempunyai kuasa menjalankan perbicaraan, sekali gus mengeluarkan perintah membabitkan perceraian mahupun perintah pembayaran wang.

Jika defendan menerima saman tetapi enggan hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah dari segi undang-undang dan hukum syarak,

mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap yang dilaksanakan oleh polis atau pegawai penguatkuasa agama.

Mengikut Seksyen 51 (a) atau (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan waran untuk menangkap defendan dalam keadaan:

# Sama ada sebelum atau selepas pengeluaran saman oleh mahkamah tetapi sebelum mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes. Di dalam keadaan ini mahkamah berpendapat ada alasan untuk mempercayai bahawa defendan sudah melarikan diri atau dipercayai tidak akan mematuhi saman itu;

# Dalam keadaan defendan sudah menerima saman tetapi tidak hadir ke mahkamah dengan tidak memberikan alasan munasabah.

Dalam keadaan pertama, mahkamah sebelum saman atau selepas saman dikeluarkan boleh mengeluarkan waran tangkap jika ada bukti menunjukkan defendan sudah melarikan diri atau ada alasan dan bukti jelas defendan memang tidak akan mematuhi saman itu.

Contohnya, defendan mengatakan kepada plaintif atau di hadapan saksi bahawa dia tidak akan hadir mahkamah walaupun menerima saman. Oleh kerana saman perlu diserahkan kepada defendan, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap walaupun sebelum tarikh sebutan kes ditetapkan.

Merujuk keadaan kedua, jelas defendan sudah menerima saman tetapi tidak hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah yang boleh memuaskan hati mahkamah. Seseorang yang hadir ke mahkamah selepas kes disebut juga tidak dikira sebagai hadir atas rekod mahkamah.

Dalam keadaan itu waran tangkap boleh dikeluarkan mahkamah atas permohonan plaintif atau peguam syarie plaintif. Begitu juga seorang yang ada alasan tidak hadir seperti sakit, berlaku kematian tetapi tidak mengemukakan kepada mahkamah perkara itu.

Mahkamah tidak akan membenarkan pengeluaran waran tangkap jika semua pihak menghormati dan tahu tanggungjawabnya untuk hadir ke Mahkamah Syariah pada masa ditetapkan tanpa perlu dipaksa.

Sewajarnya, umat Islam wajar menghormati Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan dalam Islam termasuk menghadirkan diri ke mahkamah apabila diperintahkan.

Jika umat Islam tidak menghormati institusi perundangan syariah, siapa lagi yang akan menghormati dan memartabatkannya kerana mahkamah ini mendukung undang-undang syariah berasaskan keadilan di bawah neraca Allah.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Thursday, April 16, 2009

Hak Muslim: Kemuka masalah ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan

ARWAH ayah menyerahkan sejumlah wang kepada saya sebelum beliau meninggal dunia tanpa pengetahuan adik-beradik lain. Adik-beradik mendapat tahu mengenai perkara itu dan menuntut wang berkenaan dibahagikan sebagai harta pusaka. Saya tidak mahu membahagikan kepada mereka kerana saya yakin wang itu diserahkan kepada saya sebagai hibah. Adakah saya perlu membahagikan wang itu kepada adik-beradik lain. Apa yang perlu saya lakukan.

Yang mempertahankan hak
Alai, Melaka

Sebelum menjawab soalan anda, saya perlu mengetahui sama ada ketika wang diserahkan, arwah bapa ada membuat apa-apa wasiat terhadap wang itu? Jika ada wasiat, maka lain jawapannya. Tetapi jika tiada wasiat, mungkin ia boleh dianggap hibah, dengan syarat rukun dan syarat hibah itu sempurna.

Hibah ialah akad yang dapat memindah milik sesuatu yang dibuat ketika hidup dan dibuat secara sukarela. Hibah menurut istilah syarak ialah suatu akad pemberian milik ain harta kepada seseorang tanpa balasan ('iwad), dilakukan ketika hidup dan secara sukarela.

Hibah mempunyai pengertian hampir sama dengan hadiah dan sedekah. Cuma ketiga-tiganya berbeza dari segi tujuan dan natijahnya. Sedekah ialah pemberian untuk mendapatkan pahala di akhirat.

Hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang. Setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah itu adalah sedekah atau hadiah. Hibah adalah suatu amalan yang disunatkan dalam Islam, terutama kepada kaum keluarga terdekat.

Allah berfirman bermaksud: "Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya." (Surah an-Nisa', ayat 4)

Akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi rukun dan syarat hibah, iaitu si pemberi hibah (al-wahib), si penerima hibah (al-mauhub lahu), barang yang dihibahkan (al-mauhub), dan sighah (ijab dan kabul).

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah.

Menurut Mazhab Syafie, syarat berlaku penyerahan dan penerimaan (al-qabd) adalah syarat luzum, yang bermaksud akad hibah tidak akan berkuat kuasa dengan berlaku ijab dan kabul semata-mata, tetapi perlu berlaku al-qabd.

Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Bagi memastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi suatu akad yang mengikat pihak, maka al-qabd tertakluk kepada syarat berikut:

# Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara jelas (sorih).

# Harta yang dihibahkan itu tidak bercampur dengan harta lain.

# Penerima hibah berkeahlian (baligh dan berakal) untuk menerima hibah.

Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza mengikut jenis harta. Bagi harta tak alih (seperti rumah dan tanah), al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan kegiatan terhadap harta itu seperti menyerahkan kunci dan sebagainya. Sementara harta alih boleh berlaku al-qabd dengan mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta dengan harta lain.

Dalam kes anda, jika penyerahan wang dibuat oleh ayah secara sukarela tanpa sebarang wasiat, harta itu tidak bercampur dengan harta lain dan ketika wang diserahkan, anda seorang yang berkeahlian, memenuhi rukun dan syarat hibah seperti dinyatakan, maka mungkin boleh dihukumkan wang itu adalah hibah.

Bagaimanapun, untuk lebih meyakinkan, saya nasihatkan perkara itu dibawa ke Mahkamah Syariah, yang mana anda memohon mahkamah mengesahkan pemberian adalah hibah menurut hukum syarak. Sila dapatkan nasihat dan pandangan kedua daripada peguam syarie bertauliah.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Wednesday, March 18, 2009

Bangunan baru perkasa syiar Islam, imej Mahkamah Syariah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


BANGUNAN Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Jalan Damansara, Kuala Lumpur.


Warga MSWPKL diharap beri khidmat lebih cekap

MAJLIS pecah tanah bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSWPKL) yang baru pada 12 Mac, lalu bernilai RM105.47 juta menjadi titik tolak ke arah memantapkan lagi urusan, kemudahan dan keselesaan pegawai dan kakitangan untuk menggalas dan melaksanakan perkhidmatan yang berkesan kepada orang ramai.

Kerja tapak projek pembangunan MSWPKL ini bermula pada 29 November 2007 dengan keluasan empat hektar dan dijangka siap pada 10 Mei tahun depan.

Sejajar dengan pembinaan bangunan baru itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sudah meluluskan 221 perjawatan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pada Februari tahun lalu. Dengan pertambahan perjawatan dan pengisian pegawai dan kakitangan mahkamah itu secara tidak langsung membolehkan organisasi itu berjalan dengan keupayaan maksimum dengan kakitangan serta sumber tenaga mencukupi bagi merealisasikan objektif kualiti ketua hakim syarie Wilayah Persekutuan dicapai.

Objektif kualiti digariskan adalah mencakupi:

100 peratus kes ditetapkan tarikh sebutan pada hari pendaftaran.

100 peratus kes mal (harta), jenayah dan faraid disebut atau dibicarakan dalam masa 21 hari selepas didaftarkan.

100 peratus Surat Akuan Faraid dikeluarkan dalam masa 21 hari selepas dibuat pembahagian hak waris oleh Mahkamah Rendah dan disahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi.

80 peratus kes mal, Jenayah dan Faraid dapat dibicarakan atau diselesaikan dalam tahun semasa.

100 peratus aduan dijawab dalam masa 14 hari dari tarikh aduan diterima.

Pendengaran rayuan dari mahkamah rendah ke mahkamah tinggi dalam masa 30 hari selepas menerima rekod rayuan.

Pendengaran rayuan dari mahkamah tinggi ke mahkamah rayuan dalam masa 60 hari selepas rekod rayuan.

Pertambahan dan pengisian perjawatan baru ini menyebabkan bangunan mahkamah syariah di bangunan sedia ada tidak lagi sesuai menampung jumlah pegawai dan kakitangan yang bertambah.

Justeru, pembinaan prasarana yang lengkap dengan pelbagai kemudahan adalah perlu bukan saja untuk keselesaan pegawai dan kakitangan Mahkamah, malahan pembinaan bangunan baru ini dapat memberi keselesaan yang lebih kepada orang ramai khususnya kepada pelanggan mahkamah yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk peguam syarie yang berguam di mahkamah itu.

Perkara penting adalah dengan pembinaan mahkamah yang baru ini akan menaikkan lagi syiar Islam negara ini umumnya serta khususnya di Kuala Lumpur di samping dapat memperkasakan lagi imej Mahkamah Syariah yang sekarang ini cuba direndahkan martabatnya sesetengah pihak.

Sekiranya dilihat dari kedudukan bangunan mahkamah itu, kedudukan bangunan itu amat sesuai iaitu bersebelahan dengan Kompleks Pentadbiran Kerajaan di Jalan Duta serta Masjid Wilayah Persekutuan. Lokasi strategik dan senang dikunjungi sekali gus memberi kemudahan kepada pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan.

Pembinaan bangunan baru ini dilihat amat bersesuaian dengan peningkatan imej mahkamah di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Selain daripada pembinaan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan negeri lain seperti Selangor sedang rancak membina bangunan selari dengan imej JKSM itu sendiri yang mementingkan pembangunan fizikal di samping mementingkan pembangunan modal insan yang cekap, berpengetahuan tinggi, mahir, sistematik serta inovatif.

Amat diharapkan dengan adanya bangunan baru lebih besar dan selesa ini warga MSWPKL dapat memberikan perkhidmatan lebih cekap dalam meningkatkan mutu pencapaian perkhidmatan jabatan kepada orang ramai selain kemudahan bangunan baru mahkamah syariah ini dapat memberikan banyak manfaat kepada orang ramai.

Menyorot sejarah penubuhan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ia ditubuhkan selepas penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi perjanjian antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Selangor pada 1 Februari, 1974.

Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang pertama ditempatkan di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang Kuala Lumpur. Bangunan itu berpindah ke bangunan JKR, Jalan Tun Abdul Razak dan kemudian di bangunan Baitul Mal, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan terakhir di bangunan Sulaiman, Jalan Damansara Kuala Lumpur, pada September, 1990 dan kekal sehingga sekarang.

Oleh itu, adanya bangunan itu diharapkan visi jabatan ini menjadikan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan organisasi berwibawa dalam melaksanakan perundangan demi menegakkan keadilan tercapai serta objektif jabatan di dalam melaksanakan sistem keadilan Islam dan cekap berlandaskan hukum syarak dan undang-undang.

INFO

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

VISI: Menjadikan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sebuah agensi berwibawa dalam melaksanakan perundangan islam demi menegakkan keadilan.
MISI: Mendengar kes mal, jenayah dan faraid dalam bidangkuasa dengan cara berkesan dan sistematik.
OBJEKTIF: Melaksanakan Sistem Keadilan Islam Yang Adil dan Cekap Berlandaskan Hukum Syara' dan Undang-Undang Negara Yang digubal.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Wednesday, March 11, 2009

Peguam Syarie Menulis: Mahkamah Syariah selari kehendak Perlembagaan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Persetujuan ibu atau bapa bagi tukar agama anak bawah 18 tahun jelas ikut undang-undang

JABATAN Agama dan Mahkamah Syariah difitnah lagi. Ketua Biro Pendidikan Politik MCA, Gan Ping Sieu menempelak keputusan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang dikatakan membenarkan seorang bayi berusia 15 bulan, memeluk Islam.

Tindakan memeluk Islam itu dibuat secara berseorangan oleh ibu kandung bayi berkenaan Siti Zubaidah Chew Abdullah tanpa persetujuan bapa. Mahkamah Syariah Seremban juga sudah memberi hak penjagaan sementara kepada Siti Zubaidah bagi menjaga anaknya itu.

Maka pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah akibat ketidakpuasan hati mereka. Antaranya, seperti dilaporkan dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan dan laman web malaysiakini.com iaitu:

# Keputusan berkenaan adalah suatu penghinaan kepada mana-mana sistem keadilan;

# Mahkamah Syariah mengambil kesempatan atas masalah yang melanda pasangan dan keluarga itu, dan

# Hak penjagaan anak mesti diputuskan oleh Mahkamah Sivil kerana anak itu lahir daripada perkahwinan sivil dan Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Malah, MCA menyifatkan keputusan menukar agama kanak-kanak bukan Islam berusia 15 bulan sebagai 'keghairahan agama berlebihan' dan 'salah guna sewenang-wenangnya' tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Gan juga menyatakan kekecewaan dengan tindakan mengambil kesempatan melalui proses perundangan syariah sehingga menjejaskan pasangannya dan anggota keluarga suami.

Tuduhan sebegini amat keterlaluan yang muncul daripada kejahilan mereka sendiri berkaitan Perlembagaan Persekutuan daripada sudut penafsiran, kerangka dan sejarahnya. Malah, ia juga meminggirkan keputusan Mahkamah Sivil sendiri.

Kenyataan Gan menyinggung perasaan orang Islam. Gan juga gagal memahami dwi sistem perundangan yang diamalkan di negara kita.

Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri."

Perkara 12 (4) pula menegaskan: "Bagi maksud Fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya."

Jelas peruntukan yang disebut itu membenarkan salah seorang ibu atau bapa menukar agama anaknya. Perlembagaan Persekutuan yang juga undang-undang tertinggi memperuntukkan sedemikian.

Jika kita menjunjung Perlembagaan itu sudah tentu kita mengakui hakikat keputusan Mahkamah Syariah adalah selari dengan kehendak Perlembagaan.

Sebenarnya ada beberapa kes Mahkamah Sivil iaitu Chang Ah Mee dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun.

Namun, Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam kes Nenduchelian memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu bapa saja diperlukan. Dalam hal demikian ada perbezaan keputusan antara mahkamah berkenaan.

Namun, perbezaan keputusan sudah diselesaikan oleh keputusan mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan. Ini kerana, baru-baru ini Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes Subahsini dan Saravanan bahawa salah seorang ibu bapa boleh menukar agama anak kecilnya itu.

Oleh demikian, kedudukan undang-undang ini sudah pun diselesaikan dan mahkamah bawahan tidak mempunyai pilihan lain selain mengikuti keputusan itu.

Jika Gan tidak menerima keputusan Mahkamah Syariah kenapa pula keputusan Mahkamah Sivil ini tidak diperlekehkan? Adakah Gan mempunyai agenda tertentu dalam komentarnya itu?

Tidak timbul soal mengambil kesempatan dalam sebarang situasi. Sebenarnya Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak bertanding antara keduanya.

Masing-masing mempunyai bidang kuasa tertentu dan tidak melangkaui batasan yang digariskan itu. Hakikat ini amat dipertahankan oleh kedua-dua mahkamah namun pihak ketiga pula yang gagal mengamati hikmahnya, lantaran desakan emosi serta minda yang tertutup.

Lebih menghairankan, Gan langsung tidak menyentuh ketidakadilan yang berlaku kepada mualaf dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Apa yang ingin digambarkan oleh Gan ialah akta itu adalah akta terbaik yang tiada cacat celanya dan adil kepada semua pihak.

Penulis mengambil contoh seksyen 51 akta berkenaan hanya memberi kuasa kepada pihak yang tidak memeluk Islam saja memohon membubarkan perkahwinan mereka. Bagi mualaf yang memeluk Islam, hak mereka langsung tidak diberikan untuk membubarkan perkahwinan itu.

Mereka langsung tidak mempunyai pilihan di Mahkamah Sivil, sebaliknya terpaksa menunggu pasangan yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil barulah boleh memohon sesuatu di mahkamah sedangkan keIslaman mereka sudah diiktiraf dan dijamin Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 menganut dan mengamalkan agamanya.

Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain menoleh ke Mahkamah Syariah untuk memutuskan kedudukan mereka di sisi hukum syarak. Tatkala berbuat demikian, mereka diterjah pelbagai tohmahan mengatakan mereka melakukan penindasan dan sebagainya.

Sebenarnya, mualaf inilah yang ditindas oleh Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 itu. Mengapa Gan langsung tidak menyentuh hal demikian dan tidak menyarankan supaya seksyen 51 itu dipinda? Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh Gan.

Memanglah diakui mencari jalan penyelesaian yang memuaskan hati semua orang adalah amat sukar. Oleh itu, kita mesti berbalik kepada asas dan kerangka perlembagaan itu sendiri. Malah, keputusan Mahkamah Sivil juga memihak kepada Mahkamah Syariah. Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan dan terimalah hakikat itu.

Mahkamah Syariah memutuskan pertikaian berdasarkan kepada nas agama. Amat keterlaluan jika dikatakan Mahkamah Syariah terlalu ghairah dalam agama. Agama adalah tunjang Mahkamah Syariah dan tiada istilah ghairah dalam perjalanan prosiding Mahkamah Syariah.

Segala-galanya sudah ditunjukkan oleh agama. Oleh demikian, orang bukan Islam perlu lebih sensitif dan memahami perasaan orang Islam. Orang Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam tetapi apabila seseorang itu sudah Islam adalah menjadi tanggungjawab orang Islam membantu saudara seagamanya tanpa mengira sama ada mereka dilahirkan Islam atau baru memeluk agama Islam.

Hakikatnya ialah Gan dan MCA yang sebenarnya terlalu ghairah memperlekehkan institusi Islam tanpa membuat penyelidikan mengenai kedudukan undang-undang dan perlembagaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Wednesday, March 12, 2008

Peguam Syarie Menulis: Laknat menimpa jika berdusta ketika li'an

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

KEBELAKANGAN ini banyak timbul isu atau kes di Mahkamah Syariah berkaitan kecurangan suami mahupun isteri dan kesan daripada kecurangan itu menyebabkan kebanyakan daripada mahligai yang dibina musnah atau hancur di pertengahan jalan.

Kesan daripada kecurangan itu juga menyebabkan kepercayaan pada pihak suami atau isteri akan tergugat sehingga timbul kes di mana seorang suami sanggup menuduh isterinya melakukan zina atau menafikan kandungan yang dikandung isteri bukan darah dagingnya.

Tuduhan seorang suami bahawa isterinya berzina atau menuduh anak yang bakal dilahirkan itu adalah bukan darah dagingnya satu tuduhan yang serius dan amat berat dalam Islam.

Jika berlaku, suami perlu membuktikan isterinya sudah berzina dan ini menjadi beban kepadanya melainkan beliau sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah yang boleh memberi bukti isterinya melakukan zina.

Sebaliknya, jika suami tidak melihat kejadian itu ataupun tiada saksi yang menyaksikan isteri berzina, suami diharuskan oleh hukum syarak untuk menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab yang dikandung adalah anaknya dengan cara berli'an.

Li'an adalah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan zina tanpa saksi atau menafikan kandungan isterinya bukan daripada benihnya dan isterinya bersumpah menafikan tuduhan suaminya.

Li'an adalah jalan terbaik jika suami yakin bahawa anak yang bakal dilahirkan isterinya bukan daripada darah dagingnya. Dengan itu, suami perlu bersumpah di hadapan mahkamah bahawa anak itu bukan anaknya dan jika ia berbohong maka Allah akan melaknatnya.

Sumpah dibuat dengan nama Allah dan si suami menyebut: "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya sudah melakukan zina" atau "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa anak yang dikandung bukan dari benih saya."

Sumpah itu hendaklah diulang sebanyak empat kali berturut-turut dan akhir sekali si suami akan melafazkan: "Sesungguhnya Allah melaknat saya jika saya berdusta" dan sumpah ini hanya diulang sekali saja.

Bagaimanapun, tuduhan suami hanya akan bersabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri sanggup bersumpah maka segala tuduhan suami dengan sendirinya akan tertolak. Sama seperti suami, isteri perlu bersumpah dan sumpah dibuat dengan nama Allah.

Isteri menyebut: "Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina" atau "Saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini dari benih suami saya." Sumpah itu juga hendaklah diulang sebanyak empat kali berturut-turut dan akhir sekali si isteri akan melafazkan: "Bahawa suami saya berdusta, dan kemurkaan Allah ke atas saya jika suami saya bercakap benar" dan sumpah ini hanya diulang sekali saja.

Dari segi hukum syarak, li'an memberi impak besar kepada hubungan suami isteri di mana hubungan mereka sebagai suami isteri akan berakhir dan mereka tidak boleh merujuk semula. Disebabkan ia termasuk dalam kategori bain kubra ia adalah satu bentuk perceraian yang tidak boleh dirujuk sampai bila-bila.

Selain daripada itu, anak tidak boleh dinasabkan kepada suami dan hendaklah dinasabkan semata-mata kepada ibunya. Suami juga tidak diwajibkan membayar nafkah anak.

Daripada sudut jinayat syariyah pula, suami akan gugur had qazaf (tidak dikenakan 80 kali sebatan atas tuduhan itu) jika beliau bersumpah, manakala bagi si isteri pula wajib dikenakan had zina (rejam) jika isteri tidak sanggup untuk bersumpah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang menuduh isterinya (dengan berzina) tetapi mereka tiada mempunyai saksi kecuali dirinya sendiri maka kesaksiannya ialah empat kali bersumpah dengan Allah bahawa ia seorang yang benar. Dan yang kelima bahawa laknat Allah atas dirinya jika ia dusta. Dan hukuman dapat tertolak dari isteri jika ia bersumpah empat kali dengan Allah bahawa suaminya itu dusta. Dan yang kelima bahawa kemurkaan Allah atas dirinya jika suaminya yang benar." (Surah al-Nur, ayat 6-9)

Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan: "Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan, dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya."

Hakikatnya, bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku adalah lebih baik suami tidak terus menuduh isteri berzina jika tiada bukti yang kukuh atau menafikan nasab anak dikandung isterinya. Jika beliau berasakan tiada sefahaman lagi selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan perkahwinan, talak adalah diharuskan dan bukannya terus menuduh dan kemudian berli'an.

Allah berfirman yang bermaksud: "Talak itu dua kali, maka hendaklah kamu pegang atau kamu lepaskan." (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perkara halal yang dibenci oleh Allah adalah talak." (Hadis riwayat Abu Daud)

Berkaitan dengan kandungan pula, jika ingin dinafikan kandungan itu sewajarnya dibuat ujian DNA untuk mengetahui sama ada suami adalah bapa biologi kepada anak itu. Ini penting bagi mengelakkan adanya perasan curiga mencurigai antara satu sama lain.

Mengikut peruntukan undang-undang, seseorang lelaki boleh berli'an menafikan anak yang lahir daripada bekas isterinya itu sebagai anaknya dalam tempoh empat tahun selepas perceraiannya dengan syarat bekas isteri tidak berkahwin lain dalam tempoh empat tahun itu. Jika lelaki itu tidak berli'an, maka anak hendaklah dinasabkan kepadanya.

Peruntukan ini termaktub dalam seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor, 2003 yang memperuntukkan: "Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara li'an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah."

Walaupun li'an dibenarkan oleh hukum syarak bagi menjaga nasab serta maruah suami, sewajarnya hendaklah direnung dulu sebelum sebarang tindakan untuk melakukannya dibuat kerana kesan atau impak dari li'an ini amat serius.

Masalah akan timbul apabila apa yang dituduh tidak benar, sudah tentu kesan buruk adalah lebih daripada baiknya. Tambahan, laknat Allah akan menimpa jika tuduhan dibuat secara palsu. Ingatlah laknat Allah amat berat dan bukan saja di akhirat malah, di dunia jika Allah mengkehendaki.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia