Friday, January 22, 2010

Patuh mahkamah selagi tiada permohonan ubah perintah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

ADA bapa atau bekas suami yang bukan sengaja tidak mahu melaksanakan perintah nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tetapi sikap ibu tidak membenarkan bapa berjumpa anak menjadi punca perintah itu diabaikan.

Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata alasan menyebabkan perintah mahkamah tidak dilaksanakan itu diketahui apabila kedua-dua pihak dipanggil untuk sesi khidmat nasihat.

Katanya, bagi kes seumpama itu selalunya dapat diselesaikan cara baik selepas pegawai BSK meminta supaya ibu bapa patuh kepada undang-undang dan hukum agama yang pastinya memberi kebaikan kepada semua pihak terutama anak.

“Memang ada kes bukan bapa tidak mahu bayar nafkah tetapi apabila tidak dibenarkan jumpa anak, buat apa mereka nak bagi nafkah. BSK akan menasihatkan ibu walau apa terjadi, hubungan bapa dan anak tidak boleh putus.

“Kita juga jelaskan hukum agama siapa yang memutuskan hubungan bapa dan anak tidak akan masuk syurga. Jadi selain melaksanakan perintah mahkamah, BSK juga beri kesedaran agama. Jika isu tanggungjawab ditekankan, secara tidak langsung hak disempurnakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada bekas suami yang memang sengaja tidak mahu membayar nafkah kerana perasaan seronok kononnya dapat mengatasi undang-undang apabila tidak mematuhi perintah mahkamah.

Bagi kes sebegitu katanya, BSK akan mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang dengan mendapat perintah mahkamah untuk menahan, merampas, melelong dan menjual harta bekas suami yang ‘tegar’ itu.

Mohd Na’im berkata, kefahaman mengenai undang-undang penting terutama bagi melaksanakan perintah mahkamah kerana perintah yang dikeluarkan wajib dilaksanakan tetapi boleh diubah apabila berlaku situasi yang membenarkan.

Antaranya, apabila pihak yang sepatutnya memberi sejumlah bayaran nafkah tidak mampu melaksanakan perintah itu atau pihak yang mendapat bayaran ingin menambah jumlah atas alasan bapa berkemampuan.

“Bagi kes nafkah anak, perintah bayaran yang diputuskan mahkamah berdasarkan status pihak terbabit ketika itu. Ada bapa yang selepas bercerai disahkan bankrap dan tidak mampu membayar nafkah, undang-undang membenarkan pihak berkenaan datang untuk ubah perintah.

“Ada juga yang selepas bercerai menjadi kaya raya dan bekas isteri boleh datang mahkamah minta ubah jumlah nafkah terdahulu kerana merasakan bekas suami mampu memberi lebih untuk nafkah anak.

“Perintah dikeluarkan mahkamah wajib dilaksanakan dan selagi tiada permohonan ubah perintah, ketetapan itu terus berjalan. Itu yang kita beritahu kepada pihak yang datang ketika sesi khidmat nasihat kerana kita mahu pastikan perintah mahkamah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, BSK memikul cabaran besar sebagai badan penguatkuasa untuk memastikan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan kepentingan anak terjamin untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun ditubuhkan 20 Oktober 2008, pegawai dan kakitangan BSK hanya mula dihantar bertugas di negeri April lalu selepas menjalani latihan serta pendedahan tugas di JKSM. Seramai enam pegawai dan kakitangan BSK ditempatkan di mahkamah di setiap negeri.

Sejak beroperasi dengan dana sebanyak RM500,000 sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seramai 37 penerima mendapat bayaran pendahuluan BSK membabitkan jumlah RM100,000. Kes mereka juga sudah difailkan untuk penguatkuasaan.

Mohd Na’im berkata, perundangan saja tidak boleh menyelesaikan masalah kerana undang-undang adalah sebahagian mekanisme untuk memastikan kestabilan masyarakat dan perlu ada badan sokongan bagi memenuhi kekosongan yang ada.

Katanya, penubuhan BSK dilihat sebagai harapan kepada ibu dan anak mendapat hak nafkah yang selama ini diabaikan oleh bapa kerana tidak patuh perintah dikeluarkan mahkamah.

“Harapan saya, masyarakat umum memberi peluang kepada BSK untuk menyelesaikan perintah nafkah yang tidak dilaksanakan. Jika dulu tidak ada pihak boleh membantu, kini BSK ada untuk mendapatkan hak supaya dapat diberi kepada yang berhak.

“Pada masa sama, BSK memenuhi tanggungjawab menyalurkan bantuan melalui pembayaran pendahuluan bagi meringankan beban ibu tunggal yang menghadapi kepayahan membesarkan anak disebabkan suami tidak mematuhi perintah mahkamah,” katanya.

Oleh itu katanya, masyarakat perlu memahami fungsi serta matlamat utama penubuhan BSK dan memberi sokongan kepada badan itu melaksanakan tanggungjawab menegakkan undang-undang syariah dan meningkatkan imej Mahkamah Syariah.

Peranan Bahagian Sokongan Keluarga:

# Meleraikan konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.

# Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.

# Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.

# Menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.

No comments: