Monday, January 18, 2010

Memastikan perintah nafkah dilaksana

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Badan Sokongan Keluarga bukan agensi kebajikan bantu wanita bercerai

"SAYA dalam proses nak bercerai. Boleh tak saya dapat duit daripada RM15 juta itu? Sikit pun tak apa. Jika saya dijamin boleh dapat duit itu, saya pasti akan bercerai."

Itu antara pertanyaan daripada pemanggil yang menelefon Badan Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berhubung dana RM15 juta yang disalurkan kerajaan kepada BSK, baru-baru ini.

Pertanyaan itu satu daripada puluhan atau mungkin ratusan, jika dijumlah kesemua panggilan diterima BSK di setiap negeri sejak pengumuman dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, mengenai keputusan Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta kepada BSK.

Timbalan Pengarah BSK, Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata perasaan teruja terhadap dana RM15 juta yang bakal disalurkan kepada BSK menyebabkan timbul salah faham seolah-olah BSK adalah badan kebajikan membantu wanita yang bercerai.

Katanya, tanggapan masyarakat yang menyangka BSK adalah badan kebajikan perlu diperbetulkan kerana matlamat utama penubuhan BSK adalah untuk memastikan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah dilaksanakan dengan berkesan.

"Perlu ditekankan BSK bukan badan kebajikan dan masyarakat tidak boleh fikir hendak dapatkan duit daripada badan ini. Tugas BSK ialah sebagai penguatkuasa pelaksanaan perintah mahkamah yang tidak dipatuhi terutama membabitkan nafkah anak selepas perceraian pasangan.

"Kebanyakan perintah pemberian nafkah dikeluarkan Mahkamah Syariah tidak dipatuhi menyebabkan anak dan bekas isteri terumbang ambing untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, BSK akan memastikan bapa dan bekas suami melaksanakan perintah itu," katanya.

Beliau berkata, BSK ditubuhkan hasil mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Ke-46 yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melihat kelemahan penguatkuasaan pelaksanaan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah khususnya nafkah anak.

Justeru, JKSM diarah menubuhkan satu bahagian baru bertanggungjawab memastikan perintah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan pada 20 Oktober 2008, BSK ditubuhkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada mulanya, BSK mendapat dana sebanyak RM500,000 hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebelum Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta bagi membantu isteri serta anak yang tidak mendapat nafkah.

Mohd Na'im berkata, berbeza dengan agensi kebajikan lain yang memberi bantuan hangus, apa yang diberikan BSK kepada pihak sepatutnya menerima bayaran nafkah (anak) akan dibayar semula oleh pihak berhutang (bapa).

Oleh itu katanya, apa yang diberikan BSK kepada bekas isteri dan anak adalah bayaran pendahuluan bagi melaksanakan perintah nafkah yang dikeluarkan terhadap bapa untuk memastikan anak dapat meneruskan kehidupan dengan sempurna.

"Jadi perlu jelas di sini, bayaran dibuat BSK kepada bekas isteri dan anak adalah bayaran pendahuluan atau dalam bahasa mudah ialah pinjaman kerana kita tidak mahu kehidupan anak terjejas disebabkan sikap tidak bertanggungjawab bapa mengingkari perintah mahkamah.

"Apabila kita dapat menguatkuasakan perintah membayar nafkah itu nanti, bapa yang berhutang perlu membayar balik wang yang diberikan BSK. Diharap, masyarakat tidak keliru kerana dana BSK tidak sama dengan dana agensi kebajikan lain," katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata sebelum ini apabila berlaku ketidakpatuhan kepada perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah oleh bekas suami, tidak ada agensi atau badan yang boleh membantu bekas isteri.

Pemahaman bekas isteri bahawa tugas itu akan dilakukan mahkamah menyebabkan penantian mereka ibarat menunggu buah yang tidak gugur. Sebenarnya menjadi tanggungjawab isteri untuk memaklumkan mahkamah jika suami mengingkari perintah mahkamah.

Kini, dengan ada BSK yang khusus melihat kepada isu perintah bayaran nafkah dikeluarkan mahkamah, bekas isteri boleh membuat aduan dan BSK akan memastikan perintah itu dilaksanakan pihak sepatutnya.

BSK mempunyai tiga seksyen yang berkait antara satu sama lain dan bekerja beriringan iaitu Seksyen Khidmat Nasihat, Seksyen Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah serta Seksyen Dana yang menyalurkan bayaran kepada penerima nafkah.

Mohd Na'im berkata, apabila menerima aduan daripada ibu yang mendapat perintah mahkamah mengenai ketidakpatuhan bekas suami melaksanakan perintah itu, BSK akan memanggil bekas suami untuk datang ke mahkamah bagi sesi khidmat nasihat.

Katanya, melalui sesi khidmat nasihat itu BSK akan menasihatkan bapa mengenai tanggungjawab bukan saja daripada sudut perundangan malah juga hukum syarak selain menyiasat sebab musabab kenapa bapa enggan melaksanakan perintah itu.

"Sebolehnya kita harap masalah nafkah ini dapat diselesaikan melalui khidmat nasihat. Sebab itu kita bukan saja terangkan aspek perundangan, kita beri kefahaman bahawa tidak kira apa yang berlaku bapa wajib memberi nafkah kepada anak.

"Apabila kita minta dia bayar dan dia setuju bayar, Alhamdulillah. Tetapi jika selepas sesi khidmat nasihat, bapa tadi enggan juga melaksanakan perintah mahkamah, BSK dengan kuasa diberi oleh mahkamah boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah," katanya.

Antara tindakan boleh diambil oleh seksyen penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah ialah mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan, merampas dan menjual harta penghutang untuk membayar tunggakan.

Pindaan Undang-udang Keluarga Islam juga bakal memudahkan tugas pelaksanaan apabila diwujudkan akta bagi bapa yang tidak mampu memberi nafkah, tugas itu dipertanggungjawabkan kepada datuk atau adik beradik sebelah bapa.

Mengenai bapa dan bekas suami yang gagal dikesan atau halimunan, Mohd Na'im berkata BSK menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menjejaki pihak berhutang.

"BSK akan terus mencari dan menyiasat tetapi jika pihak berhutang itu gagal juga ditemui, itu di luar kuasa kita. Bagaimanapun, BSK akan membantu mahkamah memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan dilaksanakan," katanya.

No comments: