Oleh Hashim Ahmad
UKIRAN ayat al-Quran, hadis nabi dan nama Allah menjadi pilihan sebagai hiasan yang digantung di dinding rumah, masjid serta premis perniagaan. Mungkin ada beranggapan ia sebagai satu bentuk ibadah atau bertujuan mengelak daripada gangguan.
Syeikh Ibnu 'Utsaimin memperingatkan dua perkara berkaitan al-Quran iaitu jika menganggap menggantungkan ayat al-Quran termasuk dalam ibadah, perbuatan itu tidak pernah dilakukan sabahat dan pengikut mereka.
Atau jika menggantungkan ayat itu dengan niat mengelak keburukan, ia bukan perantara untuk mengelak keburukan tetapi membaca ayat suci al-Quran dapat membantu daripada gangguan serta mengelak keburukan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi pada malam hari maka sentiasa dia akan mendapat penjagaan dari Allah dan syaitan tidak akan mendekatinya sampai pagi hari." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan An Nasai)
Sesungguhnya cara mencari keberkatan dengan al-Quran adalah membacanya mengikut hukum, melafazkan dengan lisan, mengimani apa yang disampaikan dalam hati dan mengamalkan dengan anggota tubuhnya.
Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barang siapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah, ayat 121)
Inilah jalan orang mukmin. Mereka membaca Kitabullah dan tidak menggantungkan di dinding. Namun, tidak dinafikan ada yang menggantungkan ayat al-Quran dengan niat murni supaya siapa yang melihat akan membaca ayat itu.
Tidak kurang juga menggantungkan ayat al-Quran, sekadar mengikut aliran semasa kerana kebanyakan rumah atau pejabat juga melakukannya dan tindakan itu tidak memberi makna sebenarnya.
Oleh itu, keberkatan ayat al-Quran sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya melalui amalan membaca secara berterusan, memahami isu kandungannya serta mengamalkan setiap ajaran dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Adalah tidak adil rumah dipenuhi gantungan tulisan ayat al-Quran tetapi sebagai hiasan saja tetapi ayat itu tidak diulang baca atau ruang yang penuh ayat al-Quran, berlaku maksiat di situ oleh penghuni yang tidak menghormati kesuciannya.
Sesungguhnya al-Quran tidak diturunkan untuk ayatnya ditulis dengan cantik, dibingkaikan dan digantung sebagai hiasan pada dinding.
Firman Allah yang bermaksud: "Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran." (Surah Shad, ayat 29)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment