Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my
BOLEHKAH Ustaz memberi sedikit ulasan mengenai gerhana. Hukum solat padanya dan cara-cara menunaikan solat gerhana.
Mona Ahmad
Kuala Lumpur.
Gerhana bulan atau matahari adalah salah satu tanda kebesaran Allah SWT dan untuk mengingatkan hamba-Nya mengenai besarnya nikmat cahaya kepada seluruh umat manusia.
Ia mengingatkan manusia bahawa Allah SWT berkuasa melakukan sesuatu ke atas alam maya ini mengikut kehendak-Nya.
Selain itu ia bertujuan menginsafkan manusia terhadap dosa yang dilakukan oleh mereka. Dengan itu mereka perlu tunduk dan sujud mengadap pencipta serta berdoa agar sentiasa mendapat cahaya dan dijauhkan malapetaka daripada-Nya.
Hukum solat gerhana ialah sunat mengikut ulama. Begitu juga sunat berjemaah mengikut Imam Syafie, Ahmad dan jumhur ulama. Wujud juga perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai kelakuan solat gerhana dan bilangan rukuknya.
Pendapat yang kuat di dalam Mazhab Syafie ialah dua rakaat dan dua kali rukuk pada setiap rakaat. Begitu juga wujud perbezaan mengenai bacaan kuat oleh Imam (jahr) dan perlahan (sir).
Pernah berlaku gerhana pada zaman hayat Baginda SAW dan Baginda bersolat jemaah bersama para sahabat. Saidatina Aishah menceritakan bahawa Baginda SAW memanjangkan bacaannya selepas takbiratul ihram dengan membaca surah al-Baqarah, memanjangkan rukuk pada masa yang hampir sama beliau berdiri tadi dan bangun semula serta membaca al-Fatihah dan surah al-Imran kemudian Baginda rukuk lagi (jumlah rukuk 2 kali) dengan masa yang panjang dan bangun semula serta sujud (2 kali).
Begitulah dilakukan Baginda pada rakaat kedua sehingga akhirnya dengan membaca tahiyyat dan salam. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim)
Berpandukan hadis ini, Imam Syafie, Ahmad dan Ishaq bersepakat merumuskan bahawa solat gerhana mempunyai dua kali rukuk pada rakaat pertama dan dua sujud. Begitu juga pada rakaat kedua. Ia dilakukan dalam jangka masa lebih panjang daripada biasa pada bacaan dan kelakuan seperti rukuk dan sujud.
Jika sekiranya masuk waktu solat fardu seperti Zuhur atau Asar dan sebagainya, Imam Syafie di dalam kitab Al-Um berpendapat lebih baik melakukan solat gerhana dulu kerana waktu gerhana biasanya terlalu singkat kemudian barulah solat fardu dan membaca khutbah selepasnya.
Jika waktu gerhana dijangka berpanjangan dan memungkinkan solat fardu terlebih dulu, maka bolehlah kita menunaikan solat fardu. Sekiranya berlaku pada hari Jumaat, maka didahului solat gerhana dengan memendekkan semua bacaan dan rukun-rukunya.
Sunat juga diceritakan mengenai gerhana pada teks khutbah Jumaat pada hari itu. Jika ada jenazah yang perlu disembahyangkan, maka didahului sembahyang jenazah. Begitu juga jika bertepatan solat hari raya. Maka didahulukan solat hari raya.
Pernah dilakukan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW mengangkat takbiratul ihram dengan niat sembahyang gerhana dua rakaat. Selepas takbiratul ihram, baginda membaca fatihah dan surah serta dan rukuk dan tasbih seperti biasa kemudian baginda bangkit semula membaca fatihah dan surah.
Kemudian Baginda rukuk yang ketiga barulah baginda sujud dua kali seperti solat biasa. Begitulah seterusnya dilakukan Baginda pada rakaat kedua sehingga diakhiri dengan salam. (Hadis riwayat Tirmizi).
Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi dengan e-mel, zaman@nstp.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment