Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
Ada pihak mengkritik, mempertikai tindakan penguasa agama, kekang aktiviti maksiat
KAEDAH penguatkuasaan undang-undang ada kalanya perlu dilakukan bagi mencegah serta menyelesaikan jenayah syariah dan pelaksanaannya oleh pihak berkuasa mestilah mendapat sokongan masyarakat.
Ini kerana tidak dinafikan ada kalanya penguatkuasaan undang-undang syariah sukar untuk dilaksanakan kerana ada yang beranggapan, malah mempertikai undang-undang ditetapkan Islam itu sebagai melanggar hak asasi manusia.
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata pelbagai terma undang-undang digunakan pihak tertentu yang mempersoal tindakan pihak berkuasa syariah untuk menegakkan undang-undang yang hakikatnya termaktub dalam perundangan.
Katanya, kritikan dilemparkan itu bukan saja memberi kesan negatif kepada pihak penguat kuasa undang-undang yang menjalankan tanggungjawab mereka, malah mencabar undang-undang syariah sehingga menyebabkan hilang rasa hormat terhadap sistem perundangan Islam.
"Contohnya terma 'victimless crime' atau jenayah tanpa mangsa merangkumi undang-undang berkaitan kesopanan atau tatasusila. Ia bukan terma undang-undang tetapi digunakan pihak tertentu untuk mempertikai tindakan pihak berkuasa syariah.
"Dalam konteks jenayah syariah, kesalahan berkaitan tatasusila seperti perbuatan tidak sopan, khalwat dan meminum minuman memabukkan bertentangan dengan ajaran Islam tetapi sering dilaung-laungkan sebagai menyalahi kebebasan individu," katanya.
Katanya, hal itu diburukkan lagi dengan kritikan terbuka segelintir masyarakat yang menuduh pihak penguat kuasa agama mencampuri urusan peribadi dan kebebasan apabila menangkap serta menyiasat golongan disyaki terbabit kesalahan moral.
Gelaran 'polis moral' atau 'pengintip' dicanang dan dilaungkan untuk merendahkan moral serta memberi penekanan kepada pihak penguat kuasa agama menjalankan tanggungjawab hakiki mereka mencegah kemungkaran.
Sebaliknya, setiap hari masyarakat didedahkan dengan laporan mengenai salah laku umat Islam dalam pelbagai jenayah syariah yang kini dikatakan pada tahap membimbangkan sementara usaha menanganinya pula sering mendapat 'campur tangan' tidak sepatutnya.
Katanya, kejahilan mengenai mekanisme tatacara perundangan juga menyebabkan usaha membanteras perbuatan menyalahi undang-undang tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Beliau berkata, pihak berkuasa mempunyai kaedah tertentu untuk berdepan pesalah jenayah syariah termasuk menilai sesuatu kesalahan itu terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan diperuntukkan undang-undang.
Pegawai penguat kuasa agama akan hanya memberi nasihat dan mengarah untuk beredar apabila berdepan perlakuan yang dikira kurang 'mencolok mata' seperti berjalan sambil berpegang tangan, duduk rapat, bergurau senda dan sebagainya.
Bagi yang agak mencolok mata seperti duduk merangkul pasangan, pelaku akan diarah hadir kursus pemantapan iman yang diadakan di masjid negeri sementara perlakuan berat seperti berkucupan dan berpeluk secara berdepan, maka pasangan tadi akan didakwa di Mahkamah Syariah.
"Penguat kuasa syariah mempunyai cara tertentu untuk menangani jenayah syariah dan pendekatan kita bukan untuk menghukum tetapi mendidik serta membimbing masyarakat supaya tidak terbabit dengan perbuatan menyalahi hukum syarak.
"Namun, apa yang menyedihkan masyarakat Islam sendiri mencari ruang mempertikaikan apa saja tindakan pihak berkuasa agama. Bagi mereka, isu kesopanan begitu subjektif dan berpakaian seksi, berpegang tangan serta berpeluk-pelukan adalah hak peribadi," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memberi penafsiran yang mengesahkan maksud 'bertindak atau berkelakuan tidak sopan' merujuk kepada perbuatan dilakukan di tempat awam termasuk bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan, pertuturan, isyarat lucah, berpakaian mengghairahkan atau perbuatan tidak sopan yang bertentangan hukum syarak.
Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, perbuatan tidak sopan di tempat awam adalah kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Justeru menurut Badli Shah, usaha mencegah atau mengubah kemungkaran bukan terletak di bahu pihak penguatkuasa syariah saja malah wajib dipikul umat Islam untuk bersama menggunakan pendekatan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
(amar makruf nahi mungkar).
Sementara perkembangan semasa yang memperlihatkan sikap golongan remaja semakin berani melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai, beliau merujuk situasi itu kepada kehidupan masyarakat hari ini yang jauh daripada agama.
Oleh itu katanya, dalam setiap hati umat Islam perlu membersihkan jiwa melalui amal ibadat dan ia perlu dilakukan secara berterusan. Pendekatan terbaik mencapai matlamat itu ialah menyemai rasa bertuhan khususnya kepada remaja.
Usaha itu tidak akan menghasilkan keputusan dalam tempoh singkat dan Rasulullah SAW sendiri mengambil masa 13 tahun di Makkah menanam rasa bertuhan di hati sahabat sebelum Baginda memulakan pembangunan negara sepuluh tahun kemudian.
"Baginda bangunkan madrasah yang menjadi pusat melahirkan ilmuwan bertakwa sebagai penyambung dan pelapis perjuangan. Dibangun ekonomi dengan membuka pasar Ansar yang diuruskan Abdul Rahman bin Auf.
"Begitulah perjuangan itu berkembang dan terus membesar hingga akhirnya tiga perempat dunia menyerah diri kepada Islam. Semua itu bertolak daripada iman dan rasa bertuhan. Inilah yang perlu kita lakukan sekarang sebagai usaha mencegah masyarakat daripada terbabit jenayah syariah," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment