Saturday, January 23, 2010

Teknologi makanan wajar seiring tuntutan syarak

Oleh Mohd Amri Abdullah


ANTARA syarikat pengeluar kosmetik yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan


Sesuatu bahan tambahan dianggap halal atau haram bergantung kepada sumber proses

HARI ini bukan menjadi rahsia lagi bahawa punca kematian orang moden bukan kerana tidak makan tetapi terlebih makan makanan yang tidak berkhasiat dan memudaratkan kesihatan. Lebih merisaukan jika makanan itu boleh menjejaskan keimanan dan tingkah laku. Perkembangan teknologi makanan moden tidak boleh dihalang lagi yang berupaya mengubah corak kehidupan manusia. Persoalannya adakah perkembangan ini seiring Islam?

Impak perkembangan teknologi makanan, maka pelbagai bahan tambahan makanan digunakan untuk mengelak makanan daripada menjadi punca keracunan makanan, memanjangkan jangka hayat makanan, membantu pemprosesan makanan, memperbaiki rupa, rasa dan sifat makanan supaya lebih konsisten dan kekal.

Peraturan 19 (1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyebut: "Bahan tambahan makanan ialah bahan yang ditambah secara sengaja ke dalam atau ke atas makanan dalam kuantiti yang sedikit untuk mengekalkan/membaiki kualiti, penampilan, perisa, bau, rasa dan tempoh penyimpanan tidak termasuk vitamin dan mineral'. Bahan tambah ini termasuklah 'Nombor E'.

'Nombor E' ialah kod nombor untuk bahan tambah dan ia selalunya digunakan pada label makanan di negara Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Amerika Utara terutama Kanada dan Israel. Skim penomboran ini mengikut International Numbering System (INS) yang ditentukan oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius (dalam bahasa Latin bermaksud kod makanan atau buku makanan.

Antara E-Number yang digunakan sebagai bahan tambahan makanan ialah warna, pengawet, oksidan, fosfat, antioksida, pengawal asid, pemekat, pelembap, penstabil, emulsifier, garam, regulator asid, ejen penghalang kerak, penambah perisa, antibiotik, pemanis dan bahan kimia tambahan.

Isu yang menjadi pertanyaan masyarakat kepada Jakim ialah adakah sejenis emulsifier iaitu mono dan digliserida sebagai bahan kimia yang digunakan bagi memperbaiki mutu makanan. Ia dihasilkan sama ada daripada sumber lemak haiwan (lembu atau babi) atau tumbuhan (contohnya, minyak kelapa sawit).

Ini bermakna bahan itu boleh dianggap halal atau haram bergantung kepada sumber proses. Dalam hal ini, Jakim sebagai pakar pensijilan halal dunia akan memastikan sumbernya disahkan halal melalui pemeriksaan dan pemantauan yang teliti dari segi syarak dan teknologi.

Selain itu, ia juga mesti dibuktikan melalui sijil halal daripada badan Islam yang diiktiraf Jakim. Bukan nombor itu menjadi ukuran halal haram tetapi sumbernya dikenal pasti status halalnya. Apa juga nombor yang digunakan jika ada logo halal, maka ia mematuhi piawaian halal Jakim.



Ada juga bahan tambahan makanan lain yang diragui (mashbuh). Ia boleh jadi halal atau haram bergantung kepada sumber ambilan atau status sijil halal. Perkara inilah tidak diketahui oleh orang Islam disebabkan perkembangan teknologi makanan kini.

Nu'man bin Basyir meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasul SAW bersabda: "Perkara halal adalah jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun di antara keduanya, ada perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. � (HR Bukhari dan Muslim)

Banyak bahan tambahan makanan seperti bahan pemekat, penstabil, perasa, pewarna dan sebagainya. Contohnya 'antioxidant', 'animal shortening', enzim, 'gelatin', 'lard, 'renin/renet/polysorbate glycerine', 'collagen', 'tallow' dan lain-lain.

Menurut Dr Abdul Karim Alias (USM), 90 peratus pengeluar gelatin dunia yang kebiasaannya diambil dari lembu (bovine) dan babi (porcine) adalah tidak halal. (Kertas kerja dibentangkan di World Halal Research 2009). Begitu juga penggunaan rennet dari perut anak haiwan untuk buat keju, maka Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan iaitu keju sebagai bahan makanan adalah harus dengan syarat enzim yang digunakan sebagai bahan campuran dalam pembuatan keju itu diperoleh daripada tumbuhan, kulat atau binatang yang halal dan disembelih.

Bahan pewarna dalam makanan juga boleh diambil daripada 'Cochineal' (serangga) untuk warna merah tetapi diharuskan oleh fatwa kebangsaan berasaskan kepada ukuran piawaian yang ditetapkan, tidak melebihi 0.003 0.006 peratus.

Kajian saintis lebih mendalam lagi dengan kelebihan kejadian manusia apabila ditemui bakteria baik (lactobacillius) dalam najis bayi berumur 2 tahun ke bawah. Maka Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan iaitu hukum menggunakan bakteria yang diambil daripada najis bayi sebagai ejen pemangkin dalam 'yogurt' adalah harus dengan syarat sudah melalui proses pengasingan dan penyucian mengikut syarak.

Perkembangan teknologi ini memberikan kerumitan kepada pengguna untuk mengetahui status halal. Namun Jakim mengambil langkah proaktif dengan menerbitkan buku Bahan-Bahan Tambah Makanan Halal (Handbook of Halal Food Additives) selain e-halal dan e-fatwa untuk menjadikan pengguna bermaklumat.

Amalan pemakanan halal lagi sihat ini harus dimulakan sejak awal lagi. Tabiat pemakanan yang halal lagi sihat ini akan diwariskan hingga dewasa untuk membina generasi Islam. Penulis mencadangkan supaya memasukkan elemen halal di dalam silibus pendidikan Islam sama ada di peringkat menengah atau universiti (ijazah/diploma) serta modul latihan di agensi kerajaan.

Penulis ialah Penolong Pengarah Hab Halal, Jakim

No comments: