Saturday, November 29, 2008

Program motivasi bantu remaja fasih baca al-Quran

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


DARI kiri, Mohd Nasir Rustam, Muhammad Aqif dan Mohd Amir Farhan.


Peserta anggap kegiatan dilaksana bantu pelajari ibadat wajib serta cabar kekuatan diri

SEMUA mengakui asalnya pemergian mereka mengikuti program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah anjuran Tahsin Al-Quran Training Centre adalah kerana dihantar ibu bapa bagi mengisi waktu cuti sekolah.

Namun, selepas dua minggu berada di Kem Herba Sungai Congkak, Hulu Langat, perasaan 'terpaksa' pada mulanya bertukar menjadi seronok kerana banyak pengalaman serta pengetahuan yang ditimba di sana.

Adik beradik Mohd Amir Farhan Ampandi, 14, dan Muhammad Aqif Ampandi, 11, yang pertama kali mengikuti kem belajar al-Quran melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana membuka peluang untuk mereka mendalami ilmu membaca al-Quran dan ilmu fardu ain.

"Masa bapa saya kata hendak hantar mengikuti program ini saya tidak mahu kerana tidak tahu apa yang akan dibuat di sini. Tetapi apabila mengikuti program membaca al-Quran dan belajar solat, hati mula rasa seronok.

"Suasana di sini juga menyeronokkan kerana kami bukan saja belajar membaca al-Quran tetapi juga melakukan aktiviti riadah seperti mandi sungai, meredah hutan dan didedahkan kepada ajaran Islam antaranya kepentingan menunaikan solat," katanya.

Beliau yang bergiat aktif dalam suka skuasy dan menjuarai Penang International Junior Championship 2008 untuk kategori 11 tahun baru-baru ini berkata, perkhemahan itu memberi pendedahan baru kepada aktiviti selain daripada latihan di gelanggang skuasy.

Pendapat itu disokong Mohd Amir Farhan, yang juga aktif dalam sukan skuasy, yang berazam meneruskan usaha meningkatkan kefasihan membaca al-Quran selepas tamat mengikuti program selama dua minggu itu.

"Dulu saya tidak fasih membaca al-Quran dan dengan pertolongan fasilitator, kini saya boleh membaca al-Quran dengan lancar. Malah, saya dapat menghafal dengan mudah. Saya suka aktiviti meredah hutan sambil berzikir," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Intan Suhana Azri berkata, program Motivasi al-Quran Ala Madrasah adalah pengalaman baru yang mencabar kekuatan diri.

"Tiga hari pertama berada di kem ini memang susah bagi saya terutama untuk berkongsi chalet dengan kawan-kawan tetapi apabila sudah saling kenal mengenali dan mengikuti aktiviti harian, saya mula merasa keseronokannya.

"Dulu tidak banyak yang saya tahu mengenai Islam dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kini saya gembira kerana banyak perkara dipelajari terutama kepentingan solat dan membaca al-Quran. Saya rasa semakin dekat dengan Allah SWT," katanya.

Peserta yang sudah empat kali mengikuti program anjuran Tahsin Al-Quran Training Centre itu, Faizul Ilmi Fikri, 13, berkata keseronokan padanya ialah apabila dapat mempelajari al-Quran dan menunaikan solat berjemaah.

Disebabkan perkhemahan itu memberi peluang meningkatkan kemahiran dalam pembacaan al-Quran dan mempelajari perkara lain berkaitan ibadat wajib, beliau meminta ibu bapanya membenarkan mengikuti program berkenaan setiap kali cuti sekolah.

"Selalunya apabila cuti sekolah saya mesti merayau bersama kawan menunggang basikal. Paling penting, di kem ini saya boleh memperbaiki tajwid dan membaca al-Quran dengan baik," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, beliau tetap meneruskan amalan yang dilakukan di kem sekembalinya di rumah seperti menjadi imam solat berjemaah kepada adik-adiknya serta membaca al-Quran.

Pengasas program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah, Mohd Nasir Rustam al-Hafiz, berkata modul latihan yang dianjurkan bertujuan melahirkan anak yang menjadikan al-Quran sebagai budaya hidup di samping menerapkan nilai murni dalam kehidupan.

Beliau berkata, program yang diadakan di pusat rekreasi itu juga sebagai alternatif kepada bentuk percutian yang boleh dirancang ibu bapa untuk anak mereka iaitu bercuti sambil menimba ilmu mengenai al-Quran.

"Kami yakin ibu bapa tidak mahu anak mereka menghabiskan cuti sekolah yang panjang dengan sia-sia. Oleh itu, kami menganjurkan perkhemahan yang memberi peserta pengalaman menikmati suasana riadah sambil mendapat pengetahuan tambahan.

"Di sini kami bukan mencari peserta yang pandai membaca al-Quran tetapi mengajak mereka meningkatkan kefasihan membaca dengan bimbingan fasilitator. Ada yang tidak tahu membaca al-Quran, di sini mereka diajar asas untuk mendalami ilmu itu," katanya.

Seramai 218 peserta dari seluruh negara berumur antara sembilan hingga 16 tahun mengikuti program perkhemahan menyerupai pengajian di madrasah selama dua minggu bermula 16 November dan berakhir hari ini.

Program masuk tahun ketujuh itu mendedahkan peserta ilmu tajwid, kepentingan menunaikan solat dan ilmu fardu ain melalui kaedah pembelajaran latihan dalam kumpulan kecil serta bengkel.

Maklumat lanjut mengenai program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah boleh diperoleh dengan menghubungi Mohd Nasir di talian 019-6955930 atau layari laman web www.tahsinquran.iklan-power.com

Doa 'senjata' Muslim bantu elak musibah, mohon keinginan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

KEHIDUPAN di dunia penuh dengan pelbagai dugaan, ujian dan cabaran. Suka duka dan pahit getir menjadi asam garam kehidupan manusia sepanjang hayatnya. Dustalah jika ada yang berani berkata hidupnya sentiasa bahagia tanpa sebarang masalah.

Sebagai khalifah di bumi ini, manusia sentiasa diuji Allah SWT untuk melihat sejauh mana keimanan kita kepada-Nya. Apakah kita ini seorang yang bersikap sabar dan kental hatinya atau mudah goyah imannya apabila diuji dengan pelbagai dugaan.

Ujian Allah SWT kepada hamba-Nya meliputi semua peringkat usia dan golongan, tidak kira tua muda, miskin kaya mahu pun pemimpin terkenal atau rakyat biasa. Semuanya tidak terkecuali daripada mendapat ujian Allah SWT.

Dalam apa keadaan sekali pun, sama ada diuji atau tidak, kita patut memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT yang tidak pernah putus memberi rahmat serta nikmat.

Justeru, hendaklah selalu berdoa kepada Allah SWT supaya kita terus diberi rahmat, nikmat serta pertolongan Allah SWT terutama apabila berhadapan dengan ujian hidup. Ibnul Qayyim berkata, doa adalah saranan paling kuat untuk mencegah musibah dan mencapai apa diinginkan.

Berdoa adalah suara pengharapan, pergantungan dan pertolongan seorang hamba kepada Pencitpanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hanya kepada Engkau yang kami abadikan diri, dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan." (Surah al-Fatihah, ayat 5)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) berdoa kepada yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu akan jadilah engkau dari orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)." (Surah Yunus, ayat 106)

Doa adalah satu bentuk ibadah kepada Allah SWT. Menurut al-Asqari, doa adalah permohonan kepada Allah SWT supaya Dia mendatangkan sesuatu yang bermanfaat dan menjauhkan daripada segala bentuk kemudaratan.

Dr Wahbah Juhaily dalam Tafsir al-Wajiz mengatakan, doa secara istilah adalah meminta kemanfaatan dan menolak kemudaratan. Dan pada dasarnya, doa termasuk dalam ibadah.

Kebiasaannya kita hanya berdoa apabila ditimpa kesusahan atau menghadapi masalah. Memang pun di saat itu kita amat perlukan pertolongan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong, yakni merasa mereka boleh menyelesaikan sendiri masalah tanpa mengharapkan pertolongan Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Memang pun Allah SWT cukup menyukai hamba-Nya yang berdoa apabila ditimpa kesusahan atau mendapat musibah, akan tetapi ada di kalangan hamba Allah SWT yang lupa diri setelah terlepas daripada kesusahan atau musibah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apabila manusia ditimpa kesempitan, dia berdoa kepada Tuhan-Nya, dalam keadaan bersungguh-sungguh untuk kembali kepada-Nya. Kemudian apabila dia dianugerahi dengan nikmat daripada-Nya, dia lupa doa yang dipohon kepada Tuhannya sebelum itu dan dia menjadikan untuk Allah gandingan untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 8)

Membicarakan soal doa, dalam catatan sejarah Islam ada kisah daripada Anas, diriwayatkan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW menziarahi seorang lelaki Muslim yang keadaan tubuhnya sangat lemah.

Rasulullah SAW bertanya: "Pernahkah engkau memohon sesuatu dalam doamu? Lelaki Muslim itu menjawab: Ya. Saya sering berdoa: Ya Allah, apa pun hukuman yang hendak Engkau timpakan kepadaku di akhirat, maka segerakanlah menimpakan kepadaku di dunia."

Rasulullah SAW berkata, "Subhanallah! Engkau takkan kuasa menanggungnya. Alangkah baiknya jika engkau berdoa: Ya Allah, berikanlah kebaikan kepada kami di dunia dan kebaikan pula di akhirat, serta jauhkan kami dari seksa neraka." Kemudian Baginda SAW mendoakan lelaki itu sehingga Allah SWT memberikan kesembuhan kepadanya.

Kisah itu jelas menunjukkan keberkatan doa yang dipohon. Adalah dianjurkan berdoa untuk memohon kebaikan bukan keburukan sama ada untuk diri sendiri atau orang lain.

Satu hakikat yang perlu kita fahami ialah apabila hari ini kita berdoa memohon disembuhkan penyakit misalnya, tidak semestinya esok atau lusa Allah makbulkan permintaan itu. Ada yang memakan masa panjang. Apa pun kita perlu bersabar kerana doa orang mukmin dimakbulkan Allah.

Lambat atau cepat Allah makbulkan doa kita itu adalah dalam ketentuan-Nya. Kita hendaklah bersangka baik kepada ketentuan Allah. Janganlah kita berhenti daripada berdoa walau pun hidup tidak berada dalam kesusahan atau dibelit masalah.

Semasa senang jangan lupa berdoa kepada Allah serta mensyukuri nikmat-Nya. Jika senang, berdoalah supaya Allah murahkan lagi rezeki yang halal dan berkat di masa depan sementara yang bahagia memohon dipanjangkan kebahagiaan itu. Mereka yang sihat berdoalah supaya sentiasa diberikan kesihatan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Doa itu bermanfaat terhadap kejadian yang sudah berlaku atau kejadian yang belum berlaku. Oleh itu, wahai hamba Allah, hendaklah kamu berdoa." (Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain)

Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah melainkan berdoa." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi)

Berbakti kepada ibu bapa diberi ganjaran besar

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Pengorbanan membesarkan, kasih sayang kepada anak tidak mungkin dapat dibalas

IBU bapa adalah sepasang insan yang paling istimewa dalam kehidupan kerana tanpa mereka, tidak adalah kita di dunia ini. Kedua mereka sanggup berkorban segala-galanya demi melihat kebahagiaan dan kesejahteraan kita.

Jasa serta pengorbanan mereka terlalu besar dan mustahil dapat seseorang anak itu untuk membalas atau membayarnya. Justeru, seseorang anak wajib menghormati serta mentaati mereka.

Menjaga dan memelihara semasa mereka tua adalah sesuatu amal yang sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT. Kisah diriwayatkan pada zaman Nabi Sulaiman sewajarnya menjadi renungan untuk kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia ini,

Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana di antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin supaya tenang dan tenang pula samudera itu.

Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah daripada permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah SWT, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya Baginda melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.

"Siapakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan. "Aku adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan. "Bagaimana engkau boleh memperoleh karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda itu menceritakan riwayatnya hingga memperoleh karomah dari Allah SWT boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan mengendongnya ke mana juga dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya.

Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya," tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman kagum terhadap pemuda itu. "Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah SWT tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah," kata pemuda itu.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, "Bagaimana Allah memberi makan kepadamu? Jawab pemuda itu: "Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman yang berasa semakin hairan. Kata pemuda itu, "Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam."

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Demikianlah berkat dan mulia hidup seseorang anak yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya.

Jangan abaikan mereka walaupun kita kini sudah besar dan berjaya dalam kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sembahlah Allah, jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan dengan kedua-dua orang tua (kamu) hendaklah berbuat baik." (Surah an-Nisa, ayat 36).

Manakala dalam surah al-Israk, ayat 23, Allah berfirman yang bermaksud: "Bilamana seorang

daripada mereka atau kedua-duanya sudah mencapai usia tua di sisi kamu, maka janganlah kamu katakan kepada mereka perkataan 'uh' dan janganlah kamu mengherdik mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah sayap kamu bagi mereka (merendah diri) sebagai tanda kasih sayang."

Wednesday, November 5, 2008

Peguam Syarie Menulis: Menguatkuasa undang-undang penjualan minuman keras lebih ketat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Masyarakat Islam perlu diberi kesedaran mengenai kesalahan jenayah syariah

SETIAP hari kita akan membaca di akhbar mendapati banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di negara kita. Peraturan yang berkuatkuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit atau lesen terlebih dulu.

Pemohon juga perlu mengiklankan hasratnya bagi mengetahui sama ada wujud bantahan oleh orang ramai atau sebaliknya. Tujuan peraturan itu memang baik bagi mengawal, memantau dan menyelia penjualan minuman memabukkan secara berleluasa sejajar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Namun hakikatnya, masih banyak kedai yang menjual minuman memabukkan secara terbuka. Malah ia mudah diperoleh walaupun oleh orang beragama Islam. Natijahnya, objektif peraturan yang disebut di atas tidak kesampaian.

Penjualan minuman memabukkan yang berleluasa ini mendatangkan keresahan di kalangan orang Islam khususnya apabila premis menjual arak itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan yang majoritinya didiami orang Islam atau di premis yang dibuka 24 jam sehari, memungkinkan orang Islam membelinya tatkala tiada ramai pengunjung kedai itu.

Malah kegusaran itu ditambah lagi apabila kita mendapati minuman memabukkan itu diletakkan sebaris dengan minuman lain. Seolah-olah sensitiviti umat Islam langsung tidak diambil kira dalam hal ini kerana pekedai hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Penulis banyak menerima rungutan berhubung perkara itu dan ada yang begitu kesal kerana kadang-kadang secara tidak sengaja menyentuh barangan diharamkan agama. Bukan itu saja, sebahagian permit yang diberikan juga menganjurkan perlakuan jenayah di sisi undang-undang.

Umpamanya seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan: 18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) pula memperuntukkan: Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ini bermakna bukan saja meminum memabukkan seperti arak adalah salah di sisi undang-undang, malah orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan juga melakukan jenayah menurut enakmen sama. Malah, dalam kategori kedua ini hukumannya adalah lebih berat berbanding kategori pertama.

Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan seperti arak dan sudah sewajarnya memberi syarat khusus bahawa kakitangan yang terbabit dalam membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan hendaklah daripada kalangan bukan Islam.

Hormatilah agama Islam seperti mana bukan Islam menagih orang Islam menghormati agama mereka. Penghormatan penting bagi menjamin keharmonian masyarakat khususnya masyarakat pelbagai bangsa, ras dan agama.

Adalah tidak adil kepada pekerja beragama Islam yang terpaksa membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan bagi pihak majikannya.

Hasilnya, pihak majikan mendapat keuntungan daripada jualan minuman memabukkan itu manakala pekerja yang terpaksa menjual pula menanggung risiko melakukan jenayah di sisi Enakmen Jenayah Syariah.

Sudah tentulah ia tidak adil dan memudaratkan umat Islam secara keseluruhannya. Apatah lagi jika majikan itu bukan Islam, mereka menikmati imuniti daripada Enakmen Jenayah Syariah.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyarankan jika lesen penjualan minuman memabukkan diberikan, pihak berwajib perlu mengawal bilangan lesen diberikan di sesuatu tempat, memastikan syarat majikan tidak boleh memaksa, mengarah pekerja Islam mengendalikan penjualan arak sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam.

PGSM sedar saranan ini sudah tentu akan menimbulkan pelbagai reaksi sama ada di kalangan orang Islam dan bukan Islam, tetapi inilah hakikat yang perlu diutarakan dan diinsafi setiap rakyat.

Sudah tentu ada yang menyatakan syarat disyorkan hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan orang Islam. Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah yang ingin digunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan. Adakah lebih baik menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati Allah.

Malah sektor pekerjaan di negara ini sebenarnya masih terbuka luas bagi mencari rezeki yang halal dan diberkati. Hanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk merebut peluang. Ini terbukti kerana ada ramai pendatang asing yang datang ke negara kita mencari rezeki melalui saluran dibenarkan undang-undang atau sebaliknya.

Jika di negara kita kurang pekerjaan, sudah tentu mereka tidak berpusu-pusu datang ke Malaysia mencari rezeki. Cuma, mungkin orang Islam terlalu memilih sektor pekerjaan yang mementingkan imej dan kesenangan kerja.

Ia sebenarnya tidak selaras dengan kehendak hukum syarak yang menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencari rezeki. Penulis teringat hadis diriwayatkan apabila Rasulullah melihat tangan seorang sahabat yang bengkak.

Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat itu kenapa tangannya bengkak. Lalu sahabat tadi menjawab: "Wahai Rasulullah, tangan inilah yang memberi makan isteri dan anak-anakku. Lantaran Rasulullah SAW membalas: Tangan itu tidak akan dibakar oleh api neraka."

Ini bermakna walaupun sesuatu pekerjaan sukar dan boleh mendatangkan ketidakselesaan, demi mencari rezeki bagi menyara keluarga, pekerjaan itu sebenarnya mulia di sisi agama.

Berbalik kepada penjualan minuman memabukkan, sudah sampai masanya bagi pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya untuk mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberi pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat, memberi peluang pekerja Islam menunaikan solat tanpa didenda atau sebagainya dan tidak dipaksa memegang benda diharamkan.

Sebenarnya ini kebebasan mengamalkan agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

PGSM juga meminta pihak berkuasa agama di negeri yang menguatkuasakan seksyen 18 itu dengan ketat. Ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kesalahan seperti dinyatakan di atas.

Mungkin ramai di kalangan umat Islam termasuk pihak penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan sendiri yang tidak menyedari kewujudan peruntukan itu. Sudah tiba masanya untuk bergerak melaksanakan peruntukan yang sudah lama wujud ini.

Masyarakat Islam perlu tahu hak dan tanggungjawab sebagai orang Islam. Bukanlah tujuan kita untuk memporak perandakan masyarakat tetapi hanyalah sekadar menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang mengabsahkan kedudukan tinggi undang-undang dan agama Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari lama web www.peguamsyarie.org

Pemuda berakhlak pewaris bangsa tonggak kemakmuran negara

Oleh Penulis Khas YaPEIM

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah, orang yang jika mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang yang mereka khuatir terhadap kesejahteraannya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan supaya mereka berbicara dengan perkataan yang benar.” (Surah an-Nisa’, ayat 9)

Ayat ini mengajar kita sentiasa mempersiapkan pewaris bangsa atau generasi pemuda yang berkeperibadian tinggi, berakhlak mulia dan sihat.

Apakah ciri yang harus dimiliki generasi muda supaya tidak termasuk golongan lemah. Kriteria pemuda berkeperibadian mulia seperti digambarkan dalam lapan perkara diwasiatkan Lukman kepada anaknya diceritakan al-Quran.

Lapan perkara itu ialah larangan mempersekutukan Allah yakni keimanan yang teguh kepada Allah; berbuat baik kepada kedua orang tua; memperbanyakkan amal kebajikan walau kecil sekalipun; mendirikan solat; menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar; bersabar; tidak sombong dan angkuh serta bersikap sederhana dan lemah lembut dalam tutur kata.

Mempersekutukan Allah adalah dosa besar atau juga disebut sifat zalim yang maha besar. Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni dosa selain itu bagi siapa yang Dia kehendaki.

Pada era ini, pelajar atau mahasiswa sebagai generasi pemuda yang bakal memimpin negara perlu berwaspada terhadap penyusupan unsur pengaburan akidah melalui pelbagai pendekatan.

Paling tidak generasi yang lemah atau dangkal tafsirannya mudah terlena dengan buaian serta umpanan nafsu.

Serangan itu bukan saja melemahkan, malah menjadikan generasi muda meninggalkan kegiatan yang jelas makruf seperti solat, belajar dan perkara positif lain sebaliknya mengutamakan perkara melalaikan serta merosakkan pemikiran. Allah melarang kita tunduk kepada hawa nafsu kerana boleh membawa kepada perbuatan syirik yang akhirnya tertutup daripada hidayah Allah.

Umpan ditabur bukan hanya bertujuan memesongkan akidah dan pemikiran, malah kandangkala memberikan sedikit kekeliruan yang boleh membuatkan generasi muda mulai mempertikaikan nilai Islam, sunnah Rasulullah SAW dan hukum agama yang jelas termaktub dalam al-Quran.

Jangan kerana terpana dengan teori diperkenalkan atas nama Barat dan moden, kita tersesat secara sedar atau tidak. Paling membimbangkan ialah ini boleh menjerumuskan kita kepada syirik yang akhirnya tidak akan mendapat pengampunan Allah.

Satu perbuatan jelas makruf yang diperintahkan Allah adalah berbuat baik kepada kedua orang tua kerana pengorbanan mereka mendidik dan membesarkan kita tidak ternilai harganya.

Setinggi mana pun pencapaian serta kedudukan, kita tentu tidak terlepas daripada sokongan dan dukungan orang tua. Oleh itu, hendaklah berbuat baik, mematuhi nasihat, membahagiakan serta mendoakan ibu bapa walaupun mereka sudah tiada.

Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu memerintah supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan jangan engkau menengking mereka tetapi ucapkan kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Memperbanyakkan amal kebajikan sangat luas maknanya. Bagi remaja, amal paling pokok adalah menuntut ilmu di samping ibadah yang menjadi kewajipan semua seperti solat dan puasa.

Bagi mereka yang mampu, wajib mengeluarkan zakat dan menunaikan haji ke Baitullah. Berdasarkan keilmuan, keimanan dan ketakwaan yang kukuh dan mantap, maka baru generasi muda menjadi pewaris bermanfaat kepada masyarakat. Ditambah apabila kita berbuat sesuatu semata-mata kerana Allah bukan kerana ujub, riak dan takbur, pasti Allah mengangkat darjat seseorang beriman lagi berilmu pengetahuan beberapa darjat lebih tinggi daripada lain.

Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya kepada masjid antara golongan yang mendapat perlindungan Allah di hari kiamat kelak, pada hari itu tidak ada perlindungan kecuali perlindungan Allah. Kenapa Allah masukkan pemuda ini ke dalam golongan istimewa?

Sudah tentu apabila menjadi ahli masjid, mereka akan menjadi jemaah solat lima serta amalan lain seperti belajar agama, al-Quran dan iktikaf. Apabila mereka istiqamah dalam solat, ia mempengaruhi perilaku sekali gus mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Oleh itu, antara pendekatan berkesan membentuk keperibadian baik di kalangan pemuda adalah menjadikan mereka Muslimin dan Muslimat yang istiqamah.

Usaha paling efektif untuk mengubah akhlak pemuda tentu datang di kalangan generasi itu sendiri. Pemuda cemerlang mampu menyampaikan dakwah amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebajikan dan mencegah mungkar) dalam kelompok mereka sendiri.

Menerusi dakwah dan mengingatkan orang lain ke jalan lurus, pendakwah termasuk pemuda memberikan manfaat kepada orang lain. Apabila ini diamalkan, pemuda tergolong sebaik-baik manusia kerana selalu bermanfaat kepada manusia lain.

Generasi pemuda cemerlang juga memerlukan gandingan amalan yang dilaksanakan secara berkelompok atau berjemaah. Gerakan secara berjemaah mewujudkan kesatuan fikiran yang mampu mencorakkan perjalanan generasi muda atas nama iman dan amal.

Kesatuan fikiran bukan saja melahirkan watak dan imej, malah mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi apa juga cabaran. Allah sentiasa menguji keimanan dan ketakwaan seseorang dengan rasa takut, kelaparan dan kekurangan harta. Mereka yang sabar memperoleh rahmat, pengampunan dan petunjuk dari Allah.

Pemuda yang mengamalkan seluruh nasihat Lukman di atas, pasti menjadi tulang belakang pembangunan negara pada masa depan. Semakin banyak pemuda berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, semakin cepat negara menjadi makmur dan sentiasa dalam pengampunan serta reda Allah, insya-Allah.

Kurniaan rahmat, nikmat tidak boleh dihitung

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Syukuri setiap kelebihan dengan peningkatan amalan, membantu sesama manusia

UMUMNYA, nikmat kurniaan Allah dapat dibahagikan kepada bersifat fitri atau asasi iaitu nikmat yang diterima manusia sejak dilahirkan dan nikmat mendatang yang diterima mengikut keadaan dan waktu.

Nikmat fitri digambarkan Allah dalam firman bermaksud: "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (Surah al-Nahl, ayat 78)

Manusia dilahirkan dalam bertelanjang bulat tetapi mereka dilengkapi alat yang diperlukan untuk perjuangan hidup iaitu telinga, mata dan akal. Nikmat mendatang ialah kenikmatan, kelazatan atau kebahagiaan yang diterima manusia dalam perjalanan hidupnya. Segala dunia ini bermula daripada tanaman hingga ternakan dan hasil bumi disediakan untuk manfaat manusia.

Keadaan ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: "Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan Kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan dia serta Kami keluarkan daripadanya bijiran, maka daripada bijiran itu mereka makan. Dan Kami jadikan di bumi itu kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air. Ini supaya mereka makan daripada buah-buahannya dan dari sesuatu yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur." (Surah Yasin, ayat 33-35) Sedar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak terlepas daripada nikmat dan rahmat Allah yang tidak terhitung banyak. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang sesiapa pun.

Ini dinyatakan menerusi firman Allah bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiada akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nahl, ayat 18)

Lazimnya, seseorang hanya menyedari berharganya kurniaan Allah apabila nikmat itu hilang daripadanya (diambil kembali oleh Allah). Contohnya mata menjadi rabun, telinga menjadi pekak, kaki patah dan tangan putus. Nikmat kesihatan amat dirasai apabila sakit. Seseorang berkuasa atau berpangkat rasa kehilangan nikmat itu apabila dipecat.

Hartawan apabila miskin dan melarat akan terasa besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya. Oleh itu, pelihara setiap nikmat yang diperoleh dengan tindakan dianjurkan Islam.

Bersyukur kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu dikekalkan-Nya. Syukur dapat diertikan sebagai mengerti semua nikmat pada diri seseorang hamba, lahir atau batin adalah kurniaan Allah. Tanda bersyukur ialah apabila seseorang menggunakan nikmat Allah untuk melakukan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya dan sentiasa memperbanyakkan ucapan syukur. Mereka mengerjakan ketaatan kepada Allah dan membesarkan nikmat yang kecil sekalipun.

Sikap syukur semata-mata untuk keuntungan manusia, Allah tidak mendapat sedikit pun keuntungan dengan perbuatan syukur hamba-Nya. Allah juga tidak rugi sedikit pun dengan sikap kufur dan ingkar ditunjukkan manusia.

Firman Allah bermaksud: "Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukur itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah." (Surah al-An'am, ayat 40)

Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih. Dia bertambah dekat kepada Allah dan semakin sedar nikmat adalah kurniaan Ilahi yang perlu digunakan untuk kebaikan sesama manusia.

Seseorang yang memperoleh kekayaan perlu menggunakan kurniaan itu untuk menolong fakir miskin. Orang berpangkat pula perlu melakukan kebaikan kepada orang bawahannya atau masyarakat umum.

Sesungguhnya bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehnya semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Menyedari pentingnya sikap ini, maka syukuri segala nikmat kurniaan Allah besar atau kecil. Mudah-mudahan, nikmat itu kekal dan hidup diredai Allah di dunia serta akhirat. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Firman Allah bermaksud: "Oleh itu, makan (wahai orang beriman) dari sesuatu yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya." (Surah al-Nahl, ayat 114)

Iqra: Menyingkap sejarah tilawah al-Quran

Judul: 50 Tahun Tilawah Al-Qur'an Malaysia
Penerbit: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM75

TRADISI tilawah al-Quran atau dulunya dikenali sebagai Pertandingan Membaca al-Quran di negara ini bermula di Kedah apabila Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, mencetuskan idea untuk menganjurkan pertandingan itu pada 1951.

Bertitik-tolak daripada kejayaan itu, Tunku membawa dan memperkenalkan majlis tilawah ke mana saja beliau pergi.

Ketika menjadi Presiden Umno, Tunku mengambil daya usaha menganjurkan Musabaqah Membaca al-Quran di antara negeri Johor dan Kedah pada Ramadan 1378 bersamaan 1959. Beliau kemudian mengembangkan pertandingan dengan menganjurkan Musabaqah Membaca al-Quran peringkat kebangsaan yang membabitkan penyertaan setiap negeri di Persekutuan Tanah Melayu.

Penganjuran Tilawah al-Quran yang menempa sejarah buat negara dibukukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui penerbitan buku 50 Tahun Tilawah Al-Qur'an Malaysia sempena meraikan 50 tahun kemerdekaan negara tahun lalu.

Buku yang diterbitkan dalam dua versi, bahasa Malaysia dan Inggeris, menyingkap sejarah permulaan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa yang berjaya menyerlahkan nama Malaysia di persada dunia.

Kejayaan penganjuran hingga ke hari ini juga membuktikan komitmen negara menarik minat masyarakat Islam seluruh dunia untuk bersama memartabatkan ayat suci al-Quran serta berkongsi ilmu membaca al-Quran dengan tajwid betul dan secara berlagu.

Penganjuran majlis tilawah itu berjaya melahirkan barisan qari serta qariah tersohor seperti Ismail Hashim, Abdul Hamid Desa, Saidin Abdul Rahman dan Abdul Ghani Abdullah.

tidak asing kepada mereka yang mengikuti tilawah al-Quran.

Nama hebat lain yang terus terpahat termasuk Datuk Rogayah Sulong, Faridah Mat Saman, Rahmas Abdullah, Sepinah Mamat dan Pasiah Hasim.

Buku 50 Tahun Tilawah Al-Qur'an Malaysia turut memuatkan gambar qari dan qariah yang pernah dinobatkan sebagai johan di samping senarai penuh peserta yang pernah mewakili negeri serta negara untuk dikenang generasi hari ini.

Begitu juga gambar reka bentuk astaka yang menjadi pentas qari dan qariah memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran yang menunjukkan perubahan dari tahun ke tahun berdasarkan tema dipilih.

Sejak awal penganjurannya hingga kini, tilawah al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, melalui perubahan positif dengan menampilkan banyak pembaharuan demi manfaat peserta yang bertanding.

Perkembangan serta pembaharuan dilakukan Jakim selaku penganjur untuk memastikan majlis tilawah bertaraf antarabangsa berjalan lancar dan memberi manfaat kepada peserta sewajarnya membuka mata masyarakat untuk terus mendekati al-Quran.

Hakikatnya, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa bukan sekadar pentas mencari yang terbaik, ia juga perhimpunan untuk mengeratkan ukhuwah Islamiah dan

mengembalikan kegemilangan penyatuan umat Islam melalui pencarian ilmu berteraskan pembacaan ayat al-Quran.

Bagi yang berminat boleh membelinya di kedai buku Jakim di Parcel D, Putrajaya atau di kedai buku yang mengedarkan buku terbitan Jakim di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Jakim di talian 03-88864575.