Saturday, February 28, 2009

Berdakwah disertai penguasaan ilmu lebih berkesan

Oleh Mohd Ali Muhamad Don



PENDAKWAH kini berdepan dengan cabaran yang memerlukan persiapan diri dengan pelbagai disiplin ilmu.


Penceramah miliki pengetahuan, berakhlak mulia contoh terbaik dalam mendidik anggota masyarakat

SEMPENA Bulan Dakwah Kebangsaan yang dilancarkan baru-baru ini, golongan pendakwah diseru mengambil kesempatan untuk mempergiat aktiviti penyampaian dakwah kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan tema mewujudkan khaira ummah iaitu ummah terbaik.

Usaha mencapai matlamat itu, pendakwah hendaklah memantapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu termasuk memiliki kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai medium penyampaian dakwah yang berkesan.

Langkah itu dilihat berbaloi apabila jumlah pengguna internet di Malaysia dilaporkan mencecah 500,000 orang. Begitu pula dalam era globalisasi maklumat tanpa sempadan, kemahiran itu boleh digunakan sebagai mekanisme untuk menjawab segala tohmahan dan kritikan tidak berasas terhadap peribadi Nabi Muhammad SAW dan syariat Islam yang banyak disebarkan menerusi laman web serta blog.

Golongan pendakwah juga harus sentiasa mengamalkan prinsip cakap serupa bikin kerana mereka memikul amanah Allah. Justeru, mereka perlu melaksanakan ajaran agama dalam kehidupan sebelum menyuruh orang lain melakukannya.

Kealpaan pendakwah mempraktikkan prinsip itu bukan saja menyebabkan objektif dakwah tidak tercapai, malah bakal mengundang kemurkaan.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah (apabila) kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan." (Surah al-Saf, ayat 2-3)

Situasi masa kini di mana berlaku kepincangan akhlak dan moral masyarakat Islam, dakwah menerusi personaliti mulia (dakwah bilhal) lebih elok dipraktikkan berbanding dakwah melalui mulut yang belum tentu mencapai hasil diharapkan. Pendakwah hendaklah mempersiapkan diri dengan akhlak mulia, penyabar dan tidak cepat melenting apabila ditegur.

Sikap terbuka dan tidak memandang rendah kepada kewibawaan orang lain adalah resipi kejayaan dakwah. Setiap individu harus menerima hakikat manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Adalah mulia jika segala kelebihan itu dikongsi bersama bagi memantapkan misi dakwah, sementara kekurangan diperbaiki untuk faedah bersama.

Kaedah dan cara berdakwah pula perlu seiring dengan situasi semasa supaya dakwah tidak hanya tertumpu kepada segelintir masyarakat saja. Pendekatan dakwah secara bijaksana penting supaya segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti dakwah yang dijalankan.

Golongan muda dan remaja Islam yang seperti hilang arah hidup sepatutnya menjadi tumpuan pendakwah kerana mereka bakal menjadi pewaris negara pada masa depan. Pendekatan dakwah yang sesuai untuk golongan ini perlu difikirkan bersama oleh semua pihak bagi menarik lebih ramai golongan muda mempraktikkan perintah agama seperti solat yang kemudiannya mampu mendidik sahsiah serta peribadi mereka.

Lebih daripada itu, pendakwah hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyak melakukan ibadah dan bermunajat kepada-Nya. Pendekatan ini adalah persediaan spiritual yang mampu menahan segala ujian dan cabaran dakwah yang bermacam ragam, kerana bukan mudah untuk membentuk akhlak serta peribadi manusia.

Ada yang menyokong dan tidak kurang pula membantah dengan melakukan tindakan di luar batasan. Kekuatan dalaman dan pergantungan mutlak kepada Allah diperlukan untuk menghadapi situasi getir itu.

Nabi dan rasul utusan Allah adalah golongan yang banyak menerima cabaran berat ketika berdakwah kepada kaumnya. Ada kalangan mereka yang bergelar Ulul Azmi, kerana hebatnya tribulasi dakwah terpaksa dihadapi.

Nabi Ibrahim pernah dibakar kaumnya namun dipelihara oleh Allah daripada musibah itu. Nabi Muhammad SAW juga menerima pelbagai ujian berat dalam usaha mengajak manusia supaya mengesakan Allah sehingga kemuncak daripada ujian itu Baginda SAW diracun lalu membawa kepada kewafatannya menurut pendapatan sebahagian ulama sirah.

Sifat buruk seperti keras hati, gemar berdebat, menyangka diri yang terbaik, sombong dan mata duitan adalah sifat yang merosakkan peribadi pendakwah di mata masyarakat. Amalan buruk itu bakal mengundang malapetaka dan merosakkan matlamat dakwah yang dicita-citakan. Pendakwah perlu menghindari sifat buruk ini jika mahu diterima masyarakat.

Pelbagai gerakan dakwah yang wujud di negara ini perlu bersatu hati bagi mencapai tujuan dan matlamat dakwah yang sama. Jangan asyik menuding jari menyalahkan orang lain sebaliknya sama-sama mencari jalan keluar kepada permasalahan yang berlaku. Pepatah ada menyebutkan, bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Masyarakat Islam juga diseru supaya turut sama dalam aktiviti dakwah menyeru kepada yang baik dan mencegah perkara mungkar, tidak hanya berharap kepada golongan agama bagi memikul tanggungjawab itu.

Kesedaran semua anggota masyarakat dalam melaksanakan gerak kerja dakwah amat diharapkan. Malah, cabang dakwah yang luas memberi peluang kepada semua pihak untuk sama-sama bertugas sebagai ejen penyampai dakwah.

Guru berdakwah dengan menyampaikan ilmu kepada murid, peruncit berdakwah melalui sifat amanah dan jujur dalam perniagaan, setiap individu Muslim berdakwah melalui akhlak serta peribadi mulia sehingga mampu memperlihatkan kecantikan Islam di mata masyarakat lain.

Selain pendakwah, setiap individu Muslim wajib memikul amanah memelihara diri dan keluarga daripada kesesatan. Perbuatan sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan perlakuan buruk anak adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal merosakkan masa depan mereka sebagai pemuda harapan bangsa dan agama. Bahkan ibu bapa akan dipertanggungjawabkan dengan persoalan itu di hadapan Allah di akhirat kelak.

Pendakwah semestinya memahami tugas dakwah adalah tugas yang berat dan memakan masa panjang. Pendakwah tidak boleh berputus asa kerana yang berhak dan berkuasa memberi petunjuk hanyalah Allah

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jugalah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." (Surah al-Qasas, ayat 56)

Oleh itu, usaha dakwah tidak hanya meriah pada bulan dakwah saja. Dakwah sepanjang masa diperlukan bagi menarik lebih ramai orang Islam mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian.

Sekali gus, menyumbang kepada minat masyarakat lain untuk mengenali dan mendalami Islam. Usaha ini juga mampu menangkis tanggapan buruk yang dilontarkan kepada Islam dan penganutnya.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Ikhlas sifat penting menuntut ilmu

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Setiap Muslim wajar tambah pengetahuan bagi capai kemuliaan diri

ISLAM mewajibkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan kerana kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa itu diukur berdasarkan ketinggian ilmu pengetahuan mereka. Tanpa ilmu, kehidupan akan berada dalam kegelapan, kejahilan dan kemunduran.

Perlu disedari ilmu yang dianugerahkan Allah kepada kita hanya sedikit. Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat Tuhanku, maka habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)." (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Berdasarkan ayat itu, jelas menunjukkan ilmu perlu diterokai dan dicari. Cara terbaik dan berkesan untuk meluaskan ilmu pengetahuan ialah dengan mengkaji, mencari, mempelajari dan membaca buku bermanfaat serta mengandungi nilai terpuji yang boleh memperkembangkan tahap pemikiran.

Dalam menuntut ilmu hendaklah menanamkan sifat ikhlas, sekali gus menjauhi sifat jemu dan malas. Perkara lebih penting ialah kita hendaklah mengamalkan segala ilmu dipelajari bagi mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah.

Sesungguhnya orang berilmu itu dipandang tinggi masyarakat, berbanding yang tidak berilmu. Oleh itu, setiap Muslim mestilah mementingkan ilmu pengetahuan dan menambahkannya dengan seberapa banyak yang mampu bagi mencapai kemuliaan dirinya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar, ayat 9)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta memimpin ke jalan Allah yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji." (Surah Saba', ayat 6)

Memiliki ilmu pengetahuan menjadikan seseorang itu maju dan membangun, bukan saja untuk dirinya tetapi untuk masyarakat dan negara.

Di samping itu, mereka akan dapat mencapai kedudukan atau darjat yang baik di dunia mahupun di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka ia dianggap sebagai orang yang berjihad fisabilillah (di jalan Allah) sehingga ia kembali." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Allah juga memberikan pengiktirafan tertinggi kepada ilmuwan dan merendahkan orang jahil atau yang hanya mengikut tanpa berfikir berlandaskan ilmu pengetahuan.

Menurut Ibn 'Abbas, perbezaan kedudukan antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu adalah sebanyak 700 darjat. Jarak di antara setiap darjat pula ialah selama 500 tahun perjalanan.

Sesungguhnya Allah menganugerahkan akal kepada manusia adalah untuk membezakan mereka dengan haiwan. Selain itu, dengan akal manusia boleh berfikir dan membezakan antara perkara yang hak dengan batil.

Akal akan lebih berkembang jika diberi ilmu pengetahuan. Ini kerana berbekalkan ilmu pengetahuan perjalanan hidup dapat diurus dengan betul dan sentiasa berjalan di atas kebenaran mengikut petunjuk Allah.

Semua orang menyedari bahawa sekarang adalah zaman kemajuan sains dan teknologi yang memerlukan kepada ilmu pengetahuan tinggi dan luas. Islam tidak menghalang umatnya menuntut apa juga bidang ilmu pengetahuan, baik perubatan, pertanian, pertukangan dan bidang lain diperlukan, seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ilmu dalam bidang ini sewajarnya dikuasai umat Islam. Hal ini semata-mata untuk memajukan umat Islam, sekali gus membolehkan kita menyekat dakyah palsu yang sering menyerang dan merosakkan pemikiran umat Islam. Penguasaan ilmu ICT juga dapat menyebarluaskan ajaran Islam yang suci ke seluruh dunia.

Perlu diingat, dalam kesibukan menuntut ilmu, janganlah sekali-kali meninggalkan tuntutan ilmu agama merangkumi akidah, ibadat dan akhlak supaya mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Friday, February 27, 2009

Dadah pemusnah generasi, runtuhkan peradaban manusia

Oleh Aminudin Mansor

MASALAH penyalahgunaan dadah adalah masalah ummah. Masalah dadah tidak mengenal batasan politik, agama, bangsa, sosial dan budaya. Perjuangan memerangi dadah memerlukan pembabitan semua pihak.

Islam melihat kesan dadah memusnahkan ummah kerana bermula daripada penagih, ia merebak kepada keluarga, masyarakat dan negara. Jika tidak dibendung segera, masalah itu mengakibatkan keruntuhan ummah.

Penagih dadah juga semakin jauh daripada ajaran agama kerana apabila minda dan tubuh sudah dikuasai dadah mereka berpaling daripada tanggungjawab sebagai hamba kepada Penciptanya.

Hukum dan larangan pengambilan dadah jelas haram berdasarkan dalil yang diqiaskan daripada arak. Al-Quran banyak menyebut pengharaman arak dan dalil itu berdasarkan keterangan nas al-Quran serta hadis iaitu dadah membawa kebinasaan.

Firman Allah bermaksud: “Dan jangan kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah ayat 195)

Berkaitan benda yang memabukkan seperti dadah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam mengharamkan dadah kerana ia boleh menghancurkan rumah tangga. Ketua rumah tangga yang menagih dadah menimbulkan pelbagai kesulitan dan masalah antaranya tidak dapat menyediakan nafkah keluarga.

Sebagai ketua keluarga, Islam menitikberatkan kehidupan anggota keluarga dipelihara dengan baik. Firman Allah bermaksud: “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah at-Tahrim, ayat 6) Fatwa dikeluarkan bekas Mufti Mesir, Al Syeikh Hasanin Makhluf dalam kitabnya, Fatwa al-Syariiyah menyatakan dadah adalah haram dari segi penggunaan, pemberian dan membuat jualan perniagaan.

Pengharaman dadah meliputi semua kegiatan yang berkaitan dengannya seperti diriwayatkan at-Tirmizi dan Ibnu Majah, bahawa Rasulullah SAW melaknat 10 golongan berkaitan khamar iaitu pembuatnya, pengedar, peminum, pembawa, pengirim, penuang, penjual, pemakan wang hasilnya, pembeli dan pemesan arak.

Penyalahgunaan dadah meruntuhkan institusi keluarga dan kekuatan ummah. Mereka terbabit dengan dadah akan berubah dari segi tabiat, keyakinan, sikap, nilai hidup, maruah diri, malah merosakkan keharmonian dalam rumah tangga dan masyarakat.

Gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah dapat dibanteras dari awal jika ibu bapa memantau serta mendidik anak dengan kasih sayang selain mengawasi rakan mereka supaya tidak dipengaruhi melakukan perkara menyalahi udang-undang. Masyarakat dan kerajaan juga tidak boleh berputus asa memerangi dadah serta sentiasa memberi sokongan terhadap usaha membanterasnya terutama di kalangan generasi muda.

Surat layang, fitnah internet jejas keharmonian

SALAH satu sifat keji di sisi Islam adalah berprasangka buruk kepada orang lain. Perasan itu timbul daripada rasa dengki dan tidak puas hati atas apa yang diperoleh orang lain yang kemudian berakar sehingga menjalar kepada perasaan khianat dan dendam.

Tuduhan demi tuduhan kemudian tersebar melalui lidah fitnah. Surat layang dan internet dimanfaatkan sebagai saluran bagi membangkitkan gelora benci serta iri hati yang tiada had tanpa mengambil kira risiko terhadap keamanan dan keharmonian.

Sebenarnya penyakit inilah yang dibimbangi kerana boleh merosakkan keperibadian Islam yang dibina atas paksi keimanan. Bahkan perbuatan memburukkan orang lain lebih didorong oleh hasutan ingin melihat pertelingkahan sesama saudara seagama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu marah, jangan kamu berhasad dengki dan jangan kamu bermasam muka, sebaliknya jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelakuan buruk ini amat disukai syaitan dan penyebaran berita buruk serta fitnah cepat merebak, tambahan daripada mulut mereka yang berpengaruh.

Tanpa dipersoalkan kebenaran berita dibawa, mereka yang berminat menyebarkannya secara tidak terbatas melalui rangkaian dan jaringan mulut manusia yang sukar disekat.

Allah mengingatkan dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhi kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Islam menekan soal menjaga maruah dan peribadi Muslim. Bahkan, Islam menuntut disembunyikan keaiban orang lain walaupun mengetahuinya. Begitulah nilai dan berharganya Islam dalam mempertahankan maruah penganutnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berhati-hati kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Hadis riwayat Muslim)

Sikap buruk sangka ini membawa padah lebih buruk jika berlaku dalam komuniti setempat. Suasana aman dan harmoni akan menuju kehancuran. Penyakit hati seperti saling membenci, mencaci dan tuduh-menuduh yang berterusan menjurus kepada perbalahan berpanjangan yang sukar dibendung.

Bayangkan jika ia berlaku dalam negara yang penghuninya menjadikan fitnah dan prasangka sebagai budaya hidup. Senjata inilah yang membunuh keamanan dan keharmonian menjadi impian manusia.

Islam melarang keras fitnah serta menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah balasan azab yang pedih.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu semua bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)

Rasulullah SAW mengingatkan kita sentiasa menjauhi perbuatan keji kerana kesannya membawa budaya tunjuk perasaan, fitnah memfitnah dan serang menyerang yang langsung tidak mempedulikan keamanan serta keharmonian.

Perbuatan sangka buruk terhadap orang lain timbul daripada perasaan tidak berpuas hati dan dengki. Perbuatan itu melambangkan rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan akal dianugerahkan Allah.

Oleh itu, jangan dibenarkan nafsu menguasai akal dan adakan pertimbangan akal serta iman. Setiap pertuduhan perlu bukti kukuh. Serangan secara membabi buta bukan cara yang dituntut Islam. Cerita disebarkan dari mulut ke mulut tidak boleh dijadikan bukti untuk membenarkan segala dakwaan. Jika sesuatu tidak sahih dan sumber rujukan belum tentu benar, maka periksa dulu.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, maka periksa dengan teliti kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesal perbuatan kamu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Semua pihak mesti memainkan peranan menjaga keamanan dan keharmonian yang sekian lama dikecapi ini. Nikmat Allah yang berharga ini hendaklah disyukuri sentiasa. Allah berfirman bermaksud: “Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahnya semata-mata.” (Surah an-Nahl, ayat 114)

Tidak dinafikan keamanan dan kestabilan yang dinikmati berkat muafakat serta kesepaduan hidup bermasyarakat, tanpa mengira agama, budaya dan bangsa. Di sinilah keistimewaan agama Islam yang mengajar umatnya berbuat baik dan menunaikan tanggungjawab di samping menghargai nikmat dikurniakan Allah.

Bukankah Allah menerangkan kepada umat Islam bahawa kunci keberkatan dan keamanan berkekalan adalah melalui rasa syukur kepadanya.

Firman-Nya bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Adapun nikmat keamanan dan keharmonian hanya sebahagian daripada kurniaan Allah sedangkan banyak lagi nikmat yang diberikan. Justeru, bagi mempertahankan keharmonian dan keamanan, jauhi sifat dengki dan khianat.


Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Kes Ayah Pin cabaran selesaikan jenayah akidah

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

KENAPA pemantauan terhadap kegiatan kumpulan ajaran sesat Ayah Pin dilakukan terlalu lama hingga ‘teko sudah besar’ baru hendak bertindak dan siapakah yang mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah akidah.

Itu antara isu dibangkitkan peserta pada majlis Diskusi Syariah Isu dan Cabaran dalam Menangani Kes Jenayah Akidah anjuran Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Menjelaskan perkara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar yang juga panel jemputan majlis diskusi itu berkata, setiap tindakan membabitkan jenayah akidah memerlukan kerjasama semua pihak.

Beliau berkata, tidak dinafikan kes Ayah Pin berlarutan terlalu lama kerana tiada tindakan segera diambil dan apabila ada pendakwaan tidak mendapat kerjasama pihak sepatutnya hingga menimbulkan tanda tanya kepada masyarakat.

“Ini akan berbalik kepada isu pelaksanaan membabitkan semua agensi berkaitan kerana ada yang berkata Jabatan Agama Negeri bertanggungjawab sementara tindakan menangkap di bawah bidang kuasa polis.

“Disebabkan ketiadaan kesepakatan yang tidak dinafikan berpunca daripada alasan perundangan serta bidang kuasa, maka kes jenayah akidah sukar hendak diselesaikan. Sedangkan, bidang kuasa Mahkamah Syariah luas untuk membicarakan kes membabitkan jenayah akidah,” katanya.

Katanya, jadual kesembilan senarai Persekutuan artikel 74 jelas menunjukkan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang luas untuk kesalahan melanggar hukum syarak dan tidak terhad kepada Rukun Islam yang lima saja.

Ini bermakna banyak perkara boleh menjadi kesalahan yang dikenali sebagai kesalahan mengikut hukum syarak dan dibicarakan di mahkamah seperti kesalahan mabuk, berzina, langgar perintah mufti serta pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam termasuk ajaran sesat.

Menjurus kepada kesalahan berkaitan jenayah akidah, Zainul Rijal berkata, ia terbahagi kepada empat iaitu Bahagian II Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Bahagian III Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam dan Kanun Keseksaan.

Bahagian II Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 membabitkan pemujaan salah, mendakwa bukan Islam untuk mengelak tindakan, takfir, doktrin palsu dan dakwaan palsu sementara bahagian III enakmen sama berkaitan kesalahan berhubung kesucian agama Islam dan institusinya.

Ia termasuk mempersenda ayat al-Quran atau hadis, menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, memusnahkan atau mencemar tempat ibadat, menghina pihak berkuasa agama, pendapat bertentangan fatwa, mengajar tanpa tauliah dan penerbitan agama yang bertentangan hukum syarak.

Kesalahan jenayah akidah mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam antaranya memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang Islam mengubah kepercayaan.

Kanun Keseksaan ialah menyebabkan di atas alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat yang memudaratkan keharmonian serta perpaduan.

Zainul Rijal berkata, Akta Mahkamah Syariah 1998 memperuntukkan hukuman kesalahan syariah ialah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan adalah satu lagi cabaran kerana kesan terlalu ringan itu menghalang pengembangan Mahkamah Syariah serta enakmen tertentu.

Ini ditambah dengan kelemahan pegawai penyiasat yang kurang pengetahuan serta pengalaman melaksanakan tugas penyiasatan selain risiko terpaksa dihadapi apabila terpaksa melakukan penyamaran.

Katanya, pegawai penyiasat syariah juga tidak mempunyai kuasa memohon penahanan reman seperti polis menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan maklumat tambahan yang akhirnya menyebabkan kertas siasatan terlalu lemah.

“Itu adalah cabaran dihadapi menyebabkan kes jenayah akidah sukar untuk ditangani dengan berkesan. Pegawai penyiasat syariah tiada kuasa reman, jadi selepas mengambil kenyataan, pesalah dibebaskan.

“Selain itu, kebanyakan pegawai penyiasat tidak dilatih melakukan kerja penyamaran seperti polis dan ini mendedahkan mereka kepada risiko. Apatah lagi jika saksi enggan memberi kerjasama, maka mereka terpaksa juga melakukan siasatan,” katanya.

Sebagai cadangan, katanya, akta membabitkan hukuman kesalahan syariah perlu dipinda untuk meningkatkan kesedaran masyarakat sementara pegawai penyiasat serta pendakwa syarie perlu diberi latihan berterusan dan sistematik.

Beliau turut menyokong cadangan dikemukakan Tan Sri Ahmad Sarji supaya diwujudkan Peguam Syarie Negara untuk melihat serta meningkatkan keperluan bagi memastikan pendakwaan jenayah syariah dilakukan dengan berkesan.

Zainul berkata, dalam kes membabitkan jenayah akidah, peguam syarie turut berhadapan konflik apabila diminta mewakili pihak yang ingin keluar Islam atau terbabit dengan ajaran sesat disebabkan timbul rasa was-was mengenai khidmat itu.

“Peguam syarie jadi gusar kerana adakah mereka dikira bersekongkol dengan pihak yang didakwa atas kesalahan jenayah akidah. Pada masa ini mereka cuba memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga mahkamah membuktikan dia bersalah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) mengakui kurang kakitangan berpengalaman dan berkemahiran ditempatkan secara tetap di Bahagian Penguatkuasaan menyebabkan penguatkuasaan kes jenayah akidah amat lemah.

Katanya, sudah tiba masanya langkah drastik dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap kecekapan dan agensi penguatkuasaan agama supaya kewujudan mereka di Jabatan Agama Islam Negeri tidak seperti kata pepatah, hidup segan mati tak mahu.

Begitu juga dengan kakitangan tidak berkemahiran yang diambil di kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ditempatkan di Bahagian Penguatkuasaan, hanya menimbulkan lebih banyak masalah yang boleh mencemar kewibawaan bahagian itu.

“Mereka baru tamat SPM yang tidak ada maklumat langsung mengenai undang undang terus ditawarkan bekerja di pejabat agama dan ditempatkan di Bahagian Penguatkuasaan. Bagaimana mereka hendak menyiasat kes akidah yang ternyata rumit dan memerlukan kepakaran?

“Akibatnya, mereka bekerja mengikut amalan yang ternyata salah di segi undang-undang. Akhirnya kertas siasatan tidak lengkap serta berterabur menyebabkan kes tidak boleh didaftarkan apa lagi untuk dibicarakan.” katanya.

Beliau berkata, amalan sekarang di mana skim perjawatan PPA adalah skim hal ehwal Islam dan boleh diarahkan bekerja di mana-mana bahagian, menjadikan usaha melahirkan PPA berpengetahuan dan berpengalaman sukar dicapai.

Justeru katanya, adalah perlu satu skim yang tertutup diwujudkan untuk agensi penguatkuasaan agama sama seperti polis serta agensi penguatkuasaan lain yang ditukarkan ke bahagian dalam lingkungan tugas mereka supaya menjadi lebih mahir serta pakar mengendalikan kes jenayah syariah.

Thursday, February 26, 2009

Berbalah tamakkan kuasa roboh perpaduan

Nik Salida Suhaila Nik Saleh


TANGGUNGJAWAB mempertahankan negara dengan apa juga cara pun besar ganjarannya di sisi Allah, apatah lagi yang sanggup mengorbankan nyawa kerana tanah air tercinta. - Foto hiasan


Semangat jihad tinggi, kekentalan rohani mampu pertahan tanah air daripada dijajah

PELBAGAI cara boleh digunakan untuk mempertahankan negara dan tanah air tercinta daripada gangguan serta pencerobohan luar yang tamak kuasa untuk menguasai segala-galanya di sesebuah negara.

Sejak awal pembinaan tamadun lagi sejarah membuktikan bahawa bangsa asing akan meninjau sesebuah penempatan sebelum mula menapak untuk membina empayar keluarga, ekonomi, politik malah hubungan antarabangsa sehingga akhirnya mereka menuntut hak sama dengan warga asal sesuatu penempatan diteroka.

Hal ini bukanlah luar biasa, cuma senario hari ini tidak sama dengan apa yang dibuktikan sejarah. Tiada lagi kapal layar berlabuh meletak sauh atau rempah ratus yang menjadi boneka dagangan, yang ada ialah pencerobohan minda mengkhayalkan sehingga kita lupa asal usul dan kepayahan menuntut kebebasan daripada penjajahan.

Kadangkala kita lupa menyelak latar belakang dan asal kejadian kerana lali dengan kuasa serta kemewahan sehingga sanggup berperang sesama saudara, akhirnya orang lain yang menang.

Tugas mempertahankan negara dengan apa juga cara pun besar ganjarannya di sisi Allah, apatah lagi yang sanggup mengorbankan nyawa kerana tanah air tercinta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa berperang di jalan Allah walaupun sekejap, iaitu sekadar tempoh orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barang siapa memohon kepada Allah dengan sungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia meninggal dunia atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya adalah balasan syahid.

"Dan barang siapa terluka atau ditimpa kemalangan di jalan Allah, maka ia datang pada hari kiamat sederas darah yang mengalir ketika ia luka, warnanya seperti za'faran dan baunya bagaikan wangian kasturi." (Hadis riwayat Imam Abi Daud daripada Muaz)

Justeru, tidak hairanlah apabila kita membaca kisah para sahabat Rasulullah SAW yang syahid di medan perang, darahnya merah segar mengalir deras tanpa henti dan baunya sewangi kasturi yang boleh dihidu berbatu jauhnya.

Bahkan syuhada di Gaza juga sudah ditunjukkan Allah akan kekuasaan-Nya, di mana mereka yang terbunuh bagaikan tidak sabar menghuni syurga diwajibkan bagi mereka. Yang hidup pula bagaikan tidak sabar mengikut jejak mereka yang terpilih oleh Allah dan sentiasa berdoa supaya masanya tiba buat mereka turut syahid kerana mempertahankan negara demi agama.

Untuk mempertahankan negara, kita bukan saja dibentuk oleh agama supaya mempunyai semangat juang yang tinggi malah juga kekentalan rohani. Keampuhan jiwa inilah menjadikan seseorang itu pejuang sebenar di jalan Allah.

Mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan sebagai balasan mempertaruhkan tanah air kepada kuasa luar. Tentera Islam dulu kala juga kuat dan teguh kerana ketaatan kepada Allah yang ditonjolkan dengan mentaati pemimpin.

Menjadi kewajipan orang yang dipimpin mentaati ketua selagi perkara yang diarahkan tidak melanggar hukum Islam. Inilah yang dapat membentuk angkatan tentera benar-benar bertanggungjawab dan rela berkorban demi negara.

Bayangkan jika mereka berbalah sesama sendiri kerana tamakkan kuasa, sudah tentu ia boleh memecah-belahkan perpaduan dan persefahaman serta merobohkan benteng serta kekuatan yang dibina dengan susah payah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah dengan banyakkan berdoa, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan." (Surah al-Anfaal, ayat 45)

Ia dibuktikan dalam Peperangan Uhud, apabila tentera pemanah keluar dan turun dari tempat pertahanan mereka dan melanggar perintah Rasulullah SAW supaya bertahan di lereng bukit Uhud walaupun apa terjadi dengan mendakwa mereka tahu apa yang perlu dibuat dan akhirnya pasukan tentera Islam berpecah belah kerana keliru antara perintah ketua serta dorongan perasaan.

Mujur semangat jihad tinggi yang tidak ada pada tentera musuh menyebabkan mereka masih dapat bertahan menghadapi serangan walaupun akhirnya ramai yang syahid. Islam tidak mengajar umatnya menceroboh atau memerangi sesiapa saja yang menolak agama Allah tetapi umat Islam dituntut mempertahankan negara kerana agama.

Allah meminta kita berlaku adil kepada setiap warga negara meskipun berlainan agama dengan mengamalkan cara hidup yang damai dan makmur selagi mana umat Islam tidak dimusuhi kerana agama mereka dan selagi tidak diusir dari tanah air mereka.

Tetapi Allah melarang orang Islam berbaik dengan orang yang memusuhi mereka kerana mereka beragama Islam apatah lagi yang menolak hukum Allah ke atas umat Islam sendiri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8 dan 9)

Bukan mudah mempertahankan negara, bahkan ia menuntut komitmen semua pihak daripada setiap lapisan masyarakat. Jika angkatan bersenjata menggunakan semua kelengkapan pertahanan yang ada untuk menghalang segala ancaman dan pencerobohan musuh yang menggugat keamanan dan kedaulatan negara, bagaimana pula dengan yang lainnya?

Kepada seorang pendekar, negara dibela dengan mata pedangnya, pemimpin dengan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat penuh wibawa dan kesungguhan, pendidik dengan suluhan ilmu menjadi perisai kepada setiap yang berfikir supaya membuat pertimbangan waras apabila menghadapi kemelut dan konflik.

Imam dan cerdik pandai agama dengan mengentalkan jiwa dan rohani setiap warga tanah air supaya sentiasa waja mempertahankan negara daripada penjajahan minda serta budaya yang boleh menggadaikan agama.

Sementara setiap individu pula perlu menanam rasa kasih dan cinta kepada tempat tumpah darahnya, jangan sampai tergadai kerana diulit mimpi yang indah-indah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Amar makruf nahi mungkar teras kesatuan ummah

Oleh Ruzain Syukur Mansor

Konsep wahdah harus dihayati Muslim dalam cabaran mendepani maruah, martabat Islam

PERUBAHAN zaman dan keadaan sosial yang mencabar sememangnya menuntut daya ketabahan iman yang jitu. Malah, dalam mendepani maruah umat Islam dicabar dan menghadapi 'imperialisme alaf baru' di Palestin misalnya, istilah kesatuan ummah wajar diberi perhatian.

Bukan mudah mengangkat martabat agama Islam seandainya umatnya sendiri belum menghayati apa erti kesatuan ummah. Malah usaha untuk menjadi umat terbaik atau khaira ummah pasti menjadi omong kosong.

Wahdah merujuk kepada kesatuan atau bersatu padu. Kesatuan dilihat daripada sudut kesatuan hati dan fikrah terhadap sesuatu perkara. Kesatuan hati melahirkan kesepaduan fikrah. Kesatuan fikrah pula memungkinkan kesepaduan minda. Kesepaduan minda akhirnya memantapkan kesatuan hujah. Kesatuan hujah menghasilkan kesepaduan tindakan.

Semangat bersatu padu atau konsep wahdah ini harus dihayati setiap Muslim yang mengaku berada dalam sebuah jemaah yang berpaksikan iman dan Islam. Bayangkan sepasukan bala tentera yang tidak sepakat dalam mengatur strategi peperangan? Apakah kemenangan akan menjadi milik mereka?

Bagaimana pula seandainya pasukan pengendali kapal tidak sehaluan mengendalikan haluan perjalanannya? Mungkinkah mereka selamat sampai ke perhentian? Begitulah jika konsep kesatuan itu tidak menjadi teras.

Umat Islam masa kini diasak pelbagai isu yang menghimpit jiwa. Isu Muslim di Gaza yang dihimpit serangan dan kekalutan hidup angkara Zionis seolah-olah barah semakin merebak. Kesukaran penyaluran bantuan kerana penutupan sempadan pula semakin menyukarkan misi membantu.

Tidak kurang hebatnya Muslim dituduh sebagai pengganas dan mengancam keamanan. Semua isu itu memerlukan pembelaan daripada umat Islam sendiri tetapi mana mungkin ia diatasi tanpa wujudnya wahdatul ummah atau kesatuan ummah.

Tiadanya kesatuan fikrah memungkinkan tiadanya kesatuan dalam tindakan. Isu Palestin masih belum dijuarai umat Islam jika masih wujud prasangka sesama sendiri. Malah sikap saling menyalahkan dan mengharapkan orang lain terlebih dulu bertindak lebih memburukkan keadaan.

Jelaslah, dalam mendepani isu global umat Islam, kesatuan umat adalah objektif utama perlu disepakati dengan nada sekata. Ummah terbaik pastinya didasari iman dan takwa yang jitu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan jika ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (seperti mana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik." (Surah ali-'Imran, ayat 110)

Yang pasti konsep amar makruf nahi mungkar itu menjadi teras ke arah melahirkan khaira ummah kerana insan berkualiti bukan saja baik hati budinya tetapi peka terhadap keperluan ummah. Malah, sentiasa ke hadapan dalam misi dakwah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Muhammad Al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program lengkap, yang semua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup, bagi menyingkap jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.

Dunia dakwah adalah cabang ilmu yang cukup luas dan praktikal . Pelaksanaannya tidak lagi terhad kepada pegawai penguatkuasa jabatan agama dan pencegah maksiat, tetapi dikongsi semua daripada penulis, pendidik, penggubal dasar ekonomi dan undang-undang, penjawat awam, sehinggalah golongan pengendali latihan motivasi, semuanya tidak lagi terlepas daripada memikul tanggungjawab dakwah.

Kesedaran seluruh anggota masyarakat mewakili golongan pendakwah, pendidik, ibu bapa, ahli pasukan keselamatan beruniform, pentadbir masjid, NGO Islam, warga industri, pakar motivasi serta penulis perlu dijana untuk melahirkan ummah terbaik.

Program Forum Perdana Perpaduan Ummah, Seminar Penghayatan, Ceramah Keibubapaan, Kempen Cintai Masjid, Kem Cintai Rasul, Muzakarah Pendakwah serta lain-lain program dakwah pasti memberikan impak kesedaran yang tinggi.

Usaha memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan ummah wajar diberi perhatian dan semoga pelaksanaan Bulan Dakwah 2009 memberi manfaat kepada semua lantas menyemarakkan semangat kesatuan ummah. Semoga khaira ummah yang dicita-citakan menjadi realiti.

Hak Muslim: Bapa tak boleh lepas tangan sara nafkah anak

http://www.peguamsyarie.org

Soalan:

SELEPAS bercerai dengan suami, tiga anak dijaga oleh saya. Selepas perceraian, suami lepas tangan. Saya menyara anak dengan kudrat yang ada. Saya sudah memfailkan tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah tetapi bekas suami memberikan pelbagai alasan dan berdolak dalih, sehingga kes itu berpanjangan serta tertangguh. Bekas suami masih lepas tangan dan berkata dia tidak akan bayar nafkah anak selagi tidak ada perintah mahkamah. Bolehkah saya memohon supaya suami diperintahkan membayar dulu sebahagian nafkah anak sehingga mahkamah memutuskan jumlah nafkah sebenar yang perlu ditanggungnya?

Ibu penyayang,
Selayang.

Jawapan:

Boleh untuk puan memohon supaya bekas suami membayar nafkah sementara untuk anak kerana menurut hukum syarak, bapa berkewajipan menyara nafkah anak.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: "Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya."

Bapa wajib membiayai nafkah anaknya dengan sebab anak itu dinasabkan kepadanya melalui akad nikah yang sah. Ia juga berdasarkan firman Allah dalam surah al-Talaq yang bermaksud: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya."

Al-Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbani dalam kitab Mughni al-Muhtaj menghuraikan pengertian ayat di atas sebagai, "bahawa membayar upah bagi menyusukan anak itu termasuk juga sebagai kewajipan memberi nafkah kepada anaknya."

Subseksyen 73 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan: "Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran seperti mana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya."

Sama ada anak itu di bawah jagaan ibu atau orang lain, bapa tetap bertanggungjawab menanggung nafkah anaknya termasuk tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran. Bagi menentukannya jumlah atau kadar nafkah, mahkamah akan melihat kepada keperluan anak serta kemam-puan bapanya.

Subseksyen 73 (1) (a) hingga (e) enakmen yang sama memperuntukkan bahawa pada bila-bila masa, mahkamah boleh memerintahkan bapa membayar nafkah untuk faedah anaknya jika si bapa enggan atau mengabai memberikan nafkah munasabah kepada anaknya itu, atau jika si bapa telah meninggalkan langsung anaknya itu dalam jagaan isterinya, atau jika dalam menanti keputusan perbicaraan suami isteri, atau apabila mahkamah memerintahkan anak itu diletakkan di bawah jagaan seseorang, atau apabila mahkamah memberi kebenaran kepada si bapa untuk berpoligami.

Bagi mendapatkan perintah sementara (interim) nafkah anak, subseksyen 72(1) dan subseksyen 73 (1) yang dinyatakan di atas perlu dibaca bersama dengan seksyen 202 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003, yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memerintah si bapa membayar nafkah sementara anak, dan perintah sementara itu akan berkuatkuasa sehingga perintah nafkah anak kekal dikeluarkan mahkamah.

Permohonan hendaklah dibuat melalui permohonan interim dan afidavit yang perlu diikrarkan oleh puan, menyatakan butir-butir nafkah sementara yang dipohon, perbelanjaan bulanan anak merangkumi tempat tinggal, makan minum, pakaian, perubatan, persekolahan dan kebajikan mereka. Setiap butiran perlu disokong dengan bukti dokumen bagi menguatkan permohonan di mahkamah.

Mahkamah akan mempertimbangkan berapakah kadar nafkah sementara yang wajar dengan melihat adat kebiasaan dan kemampuan pemberi nafkah (bapa).

Firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberikan nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya." (Surah al-Talaq, ayat 7)

Hindun binti Uthbah datang mengadu kepada Rasulullah SAW dan berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut. Dia tidak memberi perbelanjaan kepadaku dan anakku kecuali setakat apa yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya. Sabda Rasulullah SAW kepada Hindun: Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Sayyid al-Bakri dalam kitab I'anah al-Taalibin menghuraikan maksud hadis sebagai, "wajib memberi makan kepada anak sekadar yang cukup kenyang bagi kesempurnaan hidup dan tidak wajib berlebih sangat atau sampai kepada kemewahan berlebihan. Selain makan minum dan pakaian termasuk juga perubatan, persekolahan dan sebagainya."

Jika berkemampuan, saya nasihatkan puan dapatkan khidmat peguam syarie bertauliah untuk mewakili puan dalam tuntutan ini.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Wednesday, February 25, 2009

Peguam Syarie Menulis: Penggubalan undang-undang keluarga wajar dipercepat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
www.peguamsyarie.org


MAHKAMAH Syariah perlu diberi nafas baru supaya lebih �mesra pelanggan� serta hakim dan peguam syarie diberi garis panduan khusus mengenai beberapa isu penting.


Cadangan pindaan beberapa isu perlu diperhalusi, pelaksanaan diseragamkan setiap negeri

PERJUANGAN ke arah kesamarataan antara lelaki dan wanita berkumandang lagi baru-baru ini.

Masih belum luput daripada fikiran kita beberapa tahun lalu kekeliruan dibangkitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita apabila Rang Undang-Undang Keluarga Islam Pindaan 2006 diluluskan oleh Parlimen.

Dikatakan undang-undang itu menindas wanita. Lantaran desakan NGO wanita itu maka kerajaan mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan undang-undang dibentangkan dan diluluskan Parlimen.

Keputusan itu mendapat bantahan ramai termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). PGSM berpandangan kerajaan hendaklah melaksanakan undang-undang diluluskan itu dan kemudian boleh dikaji semula atau dipinda jika perlu. Jika ditangguhkan akan ada suatu tempoh yang lama bagi pindaan berikutnya.

Sanggahan PGSM terbukti benar kerana sehingga kini undang-undang berkenaan masih belum dimuktamadkan lagi walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah berjanji untuk mengkaji semula dan melantik pakar bagi penambahbaikan undang-undang itu.

Kajian itu diselia Peguam Negara sendiri. Perdana Menteri mengarahkan perkara itu hendaklah diselesaikan segera. Difahamkan beberapa mesyuarat diadakan dan cadangan menyeluruh sudah digarap bagi penambahbaikan berkenaan.

Semua cadangan penambahbaikan sudah disiapkan jawatankuasa itu. Banyak cadangan baik diutarakan dan disepakati. Hal demikian sudah selesai beberapa tahun lalu, tetapi sehingga kini hasil perbincangan panjang lebar itu masih belum direalisasikan.

Sehingga hari ini selepas hampir tiga tahun berlalu, Rang Undang-Undang Keluarga yang dipinda masih belum dibawa ke Parlimen walaupun jawatankuasa pakar sudah menyiapkannya lebih setahun lalu. Di mana silapnya? Adakah kajian dilakukan masih belum lengkap lagi?

Nampaknya kerajaan tidak menyedari pentingnya undang-undang itu. Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.

Sebenarnya rang undang-undang pindaan yang dibentangkan pada tahun 2006 itu adalah undang-undang seragam yang sudah dipersetujui Majlis Raja-Raja pada mesyuarat Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu.

Malangnya, Wilayah Persekutuan yang mencadangkan rang undang-undang itu terkebelakang dalam melaksanakannya. Negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Selangor sudah pun meluluskan undang-undang itu sejak 2002.

Pada masa ini kebanyakan negeri sudah melulus dan melaksanakan undang-undang keluarga ini. Itulah sebabnya sejak kebelakangan ini kita dapati kurang rasa tidak puas hati berkaitan perbezaan undang-undang keluarga Islam antara negeri di Malaysia.

Rang undang-undang itu sudah dikaji jawatankuasa pakar undang-undang Islam iaitu Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Hukum Syarak yang ditubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jawatankuasa itu terdiri daripada pakar undang-undang dan syariah termasuk wakil NGO wanita.

PGSM mendesak supaya undang-undang yang sudah ditambah baik itu segera dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan secepat mungkin. Oleh kerana menurut Perlembagaan Persekutuan agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, Dewan Undangan Negeri juga perlu meluluskan undang-undang sama supaya segala pindaan dapat diseragamkan dan tiada lagi keresahan undang-undang berbeza antara negeri.

Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita.

Walaupun hakikat sebenarnya undang-undang Islam tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan, akibat ketidakfahaman falsafah undang-undang dan perundangan Islam, tanggapan negatif terhadap undang-undang Islam sudah berputik.

Ada pelbagai hak diberikan kepada golongan wanita dalam rang undang-undang itu, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hak wanita jauh lebih banyak diperincikan dalam undang-undang berkenaan berbanding hak lelaki.

Melihat perkembangan semasa, beberapa isu baru juga perlu diberi perhatian. Undang-undang substantif yang baik saja tidak mencukupi kerana di mahkamah, pihak terikat dengan tatacara dan kaedah pembuktian.

Dalam hal demikian, undang-undang tatacara Mahkamah Syariah juga perlu diberi nafas baru supaya lebih 'mesra pelanggan', tidak terlalu formal dan membebankan serta dapat menghasilkan keadilan dengan kadar lebih segera.

Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak.

Beberapa isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya boleh dimasukkan dalam undang-undang keterangan bagi memastikan ia boleh diterima di Mahkamah Syariah.

Ketiadaan peruntukan berkaitan menyukarkan pembuktian di Mahkamah Syariah pada masa ini. Malah tiada garis panduan khusus berhubung perkara itu bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie.

Ada banyak lagi perkara perlu diberi penekanan bagi memastikan pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mendapat keadilan dengan kadar segera. Apa menyedihkan ialah apabila Mahkamah Syariah dikatakan lewat atau gagal menjalankan perbicaraan adil, keseluruhan kesalahan itu dibebankan kepada Mahkamah Syariah.

Tanpa menyelidiki latar belakang dan fakta sebenar, sering kali Mahkamah Syariah dijadikan bahan cemuhan pelbagai pihak. Mahkamah Syariah hanyalah pelaksana. Apa dilaksanakan adalah apa yang sudah diperuntukkan oleh undang-undang. Jika undang-undang tidak memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah, maka tiadalah kuasa itu.

Jika pun diberi kuasa, beberapa kekangan dihadapi Mahkamah Syariah seperti kekurangan kakitangan, peruntukan dan bangunan masih lagi menghambat Mahkamah Syariah daripada melaksanakan keadilan.

Namun, dalam kekangan itu, Mahkamah Syariah dapat mengekalkan wibawa mereka dengan cemerlang.

Berbalik kepada undang-undang pindaan di atas, sekali lagi PGSM mendesak kerajaan supaya mempercepatkan penggubalan Rang Undang-Undang Keluarga Islam itu. Sudah terlalu lama undang-undang itu dibincangkan dan sepatutnya ia sudah dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

Dewan Undangan Negeri di beberapa negeri juga perlu meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing bagi menyeragamkannya dengan pindaan terbaru ini.

Selepas daripada itu beberapa undang-undang lain pula perlu juga dipinda seperti Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Dengan cara ini mahkamah syariah akan dapat menghasilkan keputusan yang adil dalam kadar segera.

Moga segala cemuhan terhadap Mahkamah Syariah akan menjadi sejarah. PGSM mendesak agar Perdana Menteri dapat memastikan Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang sudah ditambah baik ini dapat dibentang di Parlimen sebelum beliau mengundur diri sebagaimana dijanjikan.

Dalam menjadikan syariah asas keadilan dan meletakkan hak kepada yang berhak, langkah segera perlulah diambil bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang bertikai di mahkamah syariah tanpa mengira gender, ras dan bangsa.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari laman web www.peguamsyarie.org

Intipati

# Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.

# Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita.

# Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak.

# Tiada garis panduan khusus berhubung isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie.

# Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah perlu dipinda supaya menghasilkan keputusan lebih adil.

Bersama YaPEIM: Sistem kewangan Islam terbukti berdaya tahan

Pungutan zakat contoh terbaik mampu basmi kemiskinan, perkukuh ekonomi Islam

ADA dua kategori utama pemindahan pendapatan atau kekayaan dengan kesan pengagihannya khusus bagi faedah umat Islam yang berpendapatan rendah iaitu pemindahan mandatori yang juga alat dasar fiskal seperti zakat (cukai kekayaan), ushr (cukai terhadap hasil pertanian) dan zakat al-fitr (levi terhadap individu yang akan diagih-agihkan pada akhir Ramadan).

Keduanya ialah pemindahan sukarela untuk tujuan kebajikan atau sebagai kaedah pewarisan seperti sedekah, derma, hibah (hadiah atau peruntukan kekayaan ketika pemilik harta masih hidup), wasiyah (hadiah atau pengagihan kekayaan setelah pemilik harta meninggal dunia) dan wakaf (kurniaan atau pemegang amanah yang dijalankan untuk menjana pendapatan mengikut tujuan yang ditetapkan oleh pemilik harta).

Jika dilaksanakan dengan betul, pengagihan wang zakat kepada lapan asnaf iaitu kategori yang mendapat manfaat daripada zakat, akan membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat terutama golongan miskin atau sekurang-kurangnya dapat memecahkan lingkaran kemiskinan.

Apa yang kita perlukan sekarang ialah kajian empirikal merentas negara mengenai kesan pungutan dan pengagihan zakat ke atas pembasmian kemiskinan dan pemilikan kekayaan umat Islam.

Pada dasarnya, sesuatu sistem kewangan Islam atau konvensional, berfungsi sebagai medium memindahkan dana daripada unit ekonomi yang mempunyai lebihan tabungan yang kemudian disalurkan semula ke unit ekonomi mempunyai defisit tabungan.

Selain pemindahan sumber kewangan, penting ditekankan di sini peranan dimainkan sistem kewangan Islam sebagai pembuluh dalam pembentukan, pengumpulan, pemeliharaan dan pengagihan kekayaan.

Secara intuitif, berdasarkan pertambahan dalam peratusan pemilikan ekuiti umat Islam secara konsisten melebihi 16 peratus hanya selepas 1985, iaitu dua tahun setelah penubuhan bank Islam pertama di Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad.

Meskipun Industri Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSI) tidak sepenuhnya kebal daripada kesan kemerosotan ekonomi atau krisis kewangan memandangkan hubungannya secara langsung dengan aktiviti ekonomi sebenar, ia jelas terbukti lebih berdaya tahan ketika krisis.

Malah, kewangan Islam yang mengikut peraturan dan prinsip syariah, diperkukuh dengan penstabil intrinsik dan mekanisme penyerap kejutan terbina dalaman yang membantu meningkatkan kekukuhan dan kestabilan sistem kewangan secara keseluruhan.

Di samping itu, ia melindungi sistem kewangan daripada pendedahan berlebihan terhadap risiko, melalui nilai boleh dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu rakan kongsi, etika, hubungan terus dengan ekonomi sebenar dan tadbir urus.

Memandangkan IFSI menjadi semakin penting dalam sistem kewangan dan ekonomi Malaysia secara amnya, sudah tentu IFSI akan memainkan peranan utama dalam menampan badai kegawatan kewangan dan ekonomi global sekarang terhadap sektor kewangan serta ekonomi domestik secara keseluruhan.

Mempunyai sistem kewangan yang teguh dan berdaya tahan secara konsisten seperti IFSI akan memastikan pemeliharaan kekayaan, sementara pertumbuhan pesat produk kewangan Islam yang inovatif khususnya bagi tujuan pelaburan akan membantu memperluaskan skop pilihan bagi pengumpulan kekayaan di kalangan rakyat Malaysia, umat Islam dan bukan Islam.

Bagi membolehkan rakyat Malaysia khususnya umat Islam menjana dan mengumpul kekayaan, ialah memastikan mereka mempunyai apa yang diperlukan untuk hidup dengan selesa terlebih dulu atau mendapatkan pendapatan mencukupi bagi memenuhi keperluan asas yang minimum.

Bagi tujuan menarik minat dan mengekalkan bakat terbaik di sesebuah organisasi, di samping memastikan pendapatan isi rumah minimum yang dapat menjamin tahap penggunaan minimum, adalah penting untuk mengkaji semula struktur gaji dan memastikan pengagihan kemakmuran ekonomi negara yang lebih adil.

Sejajar hasrat kerajaan memperkenalkan dasar upah minimum berperingkat-peringkat secara sektoral, diharap institusi kewangan Islam di Malaysia menjadi pelopor ke arah itu dengan menjalankan kajian teliti bagi mendapatkan formula sesuai untuk pendapatan minimum.

Apabila diperkenalkan kelak, upah minimum untuk IFSI ini tidak akan kekal di tahap itu, malah akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa, contohnya setiap tiga hingga lima tahun dengan mengambil kira kos hidup semasa secara keseluruhan bagi kebanyakan isi rumah, tahap inflasi, garis kemiskinan pendapatan negara dan faktor lain berkaitan kuasa pasaran, khususnya skim saraan industri.

Memandangkan aliran peningkatan kos hidup yang pesat beberapa tahun kebelakangan ini, dasar upah minimum diharap bermula daripada IFSI, akan berjaya memastikan pekerja menuju ke arah kehidupan memuaskan dan mencapai taraf hidup asas supaya tidak terjerumus dalam kemiskinan.

Ini akan menjadi satu insentif berkesan untuk mendorong rakyat Malaysia, khususnya umat Islam bekerja dengan lebih rajin bagi mendapatkan 'upah kehidupan'.

Memandangkan pengumpulan kekayaan yang mapan adalah salah satu pemacu utama ke arah memperkasa ummah, kita harus terus mengingatkan diri dan menyingkap sejarah betapa kekayaan melimpah ruah menghancurkan banyak tamadun atau peradaban besar.

(Sambungan kertas kerja Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Datuk Zukri Samat pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)

Iqra: Cara mempelajari, kuasai bahasa Arab lebih mudah

Judul: Bahasa Arab Mudah
Penulis: Noorli Mohd Noor
Penerbit: AE Books Enterprise (09-7479457)
Harga: RM19.90 setiap satu.

MEMPELAJARI bahasa Arab dengan mudah menjadi hasrat semua memandangkan banyak kelebihan diperoleh apabila dapat menguasai bahasa al-Quran itu kerana selain boleh bertutur, dapat memahami isi kitab suci serta menghayati maknanya dengan berkesan.

Sebagai alternatif mempelajari bahasa Arab dengan mudah, Pengarah Urusan AE Books Enterprise yang juga penulis buku, Noorli Mohd Noor, menghasilkan buku mengajar bahasa Arab melalui sistem yang dikembangkan sendiri sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai asas bahasa Arab.

Buku satu dan dua daripada enam buku yang dihasilkan memperkenalkan pembaca kepada kata nama dalam bahasa Arab yang berbeza kerana dibahagikan kepada kata nama untuk lelaki serta kata nama untuk perempuan.

Buku tiga dan seterusnya mendedahkan pembaca cara membuat ayat dalam bahasa Arab menggunakan kaedah asas yang mudah. Penekanan diberi kepada cara membuat ayat bagi membolehkan pembaca untuk berinteraksi dengan cepat.

Noorli berkata, Buku Bahasa Arab Mudah tidak menumpukan kepada tata bahasa terus sebaliknya pendekatan yang digunakan membolehkan pembaca memahami sifat kata nama sama ada sifat nama muzzakar (lelaki) atau muannaz (perempuan) yang ditunjukkan melalui perkataan atau objek.

Katanya, buku yang dihasilkan daripada kajian, pemerhatian dan pengalaman itu juga bertujuan melenyapkan persepsi bahawa bahasa Arab susah untuk dipelajari kerana hakikatnya adalah sebaliknya jika tahu pendekatan yang tepat.

"Saya sedih dan terkilan dengan tahap kefahaman pelajar sekolah rendah serta menengah yang mempelajari bahasa Arab bertahun-tahun lamanya tetapi masih tidak dapat membuat ayat mudah dan lengkap dalam bahasa Arab.

"Berdasarkan kajian, saya cuba menghasilkan koleksi buku Bahasa Arab Mudah bagi membantu pelajar mempelajari bahasa Arab dengan kaedah betul, mudah dan boleh melakukan ulangkaji bagi menguji tahap pemahaman mereka," katanya.

Beliau berkata, mereka yang menguasai bahasa Arab akan merasai nikmatnya terutama dalam memahami makna ayat al-Quran selain membolehkan membaca buku ditulis dalam bahasa Arab walaupun tanpa baris.

Koleksi enam buku Bahasa Arab Mudah yang dijual pada harga RM19.90 setiap satu itu dilengkapi gambar berwarna yang disertai bersama perbendaharaan kata untuk mudah diingat tanpa perlu menghafal.

Ayat dalam buku ini ditulis dengan tiga warna yang mengasingkan pembelajaran muzzakar dan muannaz serta disediakan latihan selepas setiap pelajaran untuk ulang kaji bersama jawapan lengkap yang sangat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang berkesan.

Buku Bahasa Arab Mudah juga didatangkan bersama Kamus Bergambar Bahasa Arab mempunyai 248 perkataan yang berbeza dengan kamus biasa lain kerana menampilkan contoh ayat daripada kebanyakan perbendaharaan kata buku bersiri Bahasa Arab Mudah.

Noorli berkata, berbekalkan buku yang dihasilkan itu beliau turut menerima jemputan untuk ceramah dan seminar kepada guru bahasa Arab j-Qaf dan KAFA di beberapa negeri oleh Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Tuesday, February 24, 2009

Ubah sikap, jaga tutur kata elak sengketa ummah

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Perkataan baik, lemah lembut mampu memikat pendengar mendekati kebenaran Islam

ISLAM agama yang menitikberatkan pelbagai aspek kehidupan manusia, daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Setiap perkara menyentuh kehidupan manusia sama ada berkaitan kehidupan di dunia mahupun alam akhirat diperincikan Allah dalam al-Quran.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Oleh itu, maka wajarlah setiap inci perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perbuatan yang sukar untuk dikawal oleh manusia. Manusia dengan anugerah yang dikurniakan Allah berupaya untuk menuturkan apa saja kata-kata berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka.

Sebagai manusia yang sentiasa sedar akan tujuan penciptaannya di muka bumi ini, kita harus ingat setiap apa yang dikatakan, sesungguhnya ia tidak terlepas daripada catatan malaikat yang memerhatikan setiap gerak-geri serta tingkah-laku.

Hal ini bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah dan akan diberi balasan selayaknya. Firman Allah yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaaf, ayat 18)

Hakikatnya, penuturan kata-kata baik dapat memberi kesan mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata baik dan benar, secara mudah orang di luar sana akan terpikat dengan keindahan serta kebenaran Islam.

Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menemui Fir’aun sebagai satu cara menyeru ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata lembut, bukan dengan angkuh dan bermegah-megah.

Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Toha, ayat 43-44)

Begitulah pentingnya kata-kata yang baik, benar dan lemah lembut dalam proses dakwah sebenar. Keadaan ini bukan saja mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu, mencerminkan keindahan Islam sebagai agama bersifat toleransi serta mulia.

Selain itu, dalam al-Quran dengan jelas Allah menyatakan bahawa antara ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu mendapat gelaran (‘ibad ar-Rahman) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata baik dan indah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

Justeru, adalah menyedihkan jika dilihat orang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan lebih teruk lagi merasakan dirinya sahajalah yang betul dan baik jika dibandingkan dengan yang lain.

Sebaliknya, sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita seharusnya merasa rendah diri dan memilih kata-kata terbaik apabila berhadapan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya.

Menyedari hakikat itu, marilah sama-sama kita mengubah diri dengan menjaga tutur kata supaya tidak menyumbang kepada tercetusnya pelbagai bentuk masalah ummah. Perlu diingat, kata yang baik, bukan sekadar susunan perkataan indah dan memuji, lebih penting ialah bersifat benar serta jauh daripada segala bentuk tipu daya.

Kebenaran adalah ciri utama yang memainkan peranan penting dalam penuturan kata indah dan mulia. Kata-kata baik yang memiliki kebenaran juga menjamin kesan mendalam dalam diri mereka yang mendengar dan mengamatinya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70)

Sama-samalah kita menyedari peranan utama kita diciptakan iaitu untuk mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Allah yang mencipta sekalian alam. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak.

Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah daripada terus menuturkan kata-kata tidak berfaedah dan menyakiti hati serta perasaan orang lain.

Sebaliknya, basahilah lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, supaya ketenangan sejati menyuburi hati kita.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Marilah bersama mengubah sikap menjadi orang yang sentiasa berjaga-jaga terhadap setiap tingkah-laku seharian kita. Menjadi hamba yang sentiasa mensyukuri segala nikmat diperoleh dan sentiasa membahagiakan orang lain dengan pengucapan kata-kata yang baik, indah dan benar.

Pada akhirnya, dengan izin Allah kehidupan kita akan bertambah baik dan dihiasi akhlak unggul, menepati tujuan diutuskan Nabi Muhammad SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak umat manusia.

Berjudi boleh menyebabkan insan hidup miskin, papa kedana

Oleh Lokman Ismail

JUDI adalah antara amalan termasuk dalam dosa besar kerana ia dikaitkan dengan amalan syaitan. Tegahan berjudi kerana perbuatan itu mendatangkan banyak keburukan bukan saja kepada orang yang suka berjudi, juga mereka yang rapat dengannya.

Pengharaman judi jelas dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah kepada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Gila judi juga mendorong seseorang melakukan perbuatan menyalahi syariat agama dan lebih teruk lagi, akibat judi menyebabkan seseorang itu berpaling daripada Allah seterusnya melupakan tanggungjawab kepada penciptanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukannya).” (Surah al-Maidah, ayat 91)

Permusuhan mudah tercetus di kalangan kaki judi. Pihak yang menanggung kerugian sering memandang serong kepada pihak yang menang. Banyak kemenangan biasanya diperoleh secara penipuan dan mengambil kesempatan di atas kelemahan pihak lawan.

Biarpun ada pihak mendakwa perjudian dikendalikan syarikat berlesen adil dan terhindar daripada penipuan, hakikatnya keburukan sebenar perjudian masih ada. Islam mengharamkan semua bentuk judi tidak kira memiliki lesen perniagaan atau diadakan secara haram.

Sebenarnya tidak ada syarikat pengendalian perjudian menanggung kerugian sebaliknya, pelanggan atau kaki judi yang berterus-terusan menanggung kerugian. Bilangan mereka mendapat keuntungan daripada perjudian amat sedikit dan tidak memadai jumlah yang dihabiskan selama ini.

Wang hasil perjudian adalah haram dan tiada keberkatan. Sesiapa memiliki wang judi tidak kekal lama. Masyarakat menyebutnya ‘wang panas’ yang tidak dapat disimpan lama. Orang menang judi bersikap boros, menghadapi malapetaka dan kesusahan menyebabkan wang itu habis dibelanjakan.

Malah, ada menjadi gila atau hilang ingatan selepas menang besar dalam perjudian. Semua itu adalah pembalasan Allah kepada kaki judi di dunia ini lagi. Orang suka berjudi tidak akan melihat perkara lain lebih penting dalam hidup mereka selain berjudi.

Mereka sanggup mengalami keretakan rumah tangga dan membiarkan orang disayangi menderita kerananya. Malah, orang berjudi ramai terbabit dengan amalan syirik apabila mempercayai bomoh ekor, bertapa dan memuja keramat. Oleh itu, aktiviti perjudian bukan saja merugikan dalam bentuk kewangan, juga melahirkan masyarakat malas dan kuat berangan-angan. Pakar psikologi dan sosiologi bukan Islam turut sepakat mengatakan judi banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Mereka ketagih judi merasakan dirinya mendapat keuntungan, sedangkan hal sebaliknya dialami. Sebab itu Islam mengharamkan segala bentuk permainan yang mempunyai unsur judi biarpun dalam bentuk mana ia diadakan.

Sesuatu yang mendatangkan keburukan adalah ditegah sama sekali dilakukan oleh umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jangan kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Usahlah menyimpan harapan mendapat kekayaan daripada hasil judi. Perbuatan yang didorong hasutan syaitan tidak akan menjanjikan sebarang kebaikan. Berjudi yang menjadi amalan syaitan akan mengakibatkan kepapaan.

Perspektif Ikim: Pemerintah agung utama pembangunan rohani

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Tinggalan seni bina hebat bukan ukuran kejayaan jika memerintah penuh kezaliman

MAJALAH National Geographic, Disember lalu antara lain memaparkan penemuan makam Raja Herod yang juga dikenali sebagai Herod I atau Herod yang agung (73 SM - 4 SM), pemerintah Judaea.

Makamnya dikatakan berada di cerun atas Herodium, antara binaan terhebat dihasilkan Raja Herod yang dikelilingi istana indah, kolam berdebur airnya dan taman bertingkat. Penemuan makamnya itu pada April 2007 mengakhiri pencarian sekumpulan ahli arkeologi yang diketuai Ehud Netzer sejak separuh kurun lalu mengenai diri Raja Herod.

Ia juga merakamkan pencapaian hebat yang kononnya dicatat pemerintah yang menggabungkan unsur kreativiti dengan kezaliman dan ketenangan serta keadaan huru-hara dalam pemerintahannya 34 tahun. Raja Herod terkenal dengan pencapaiannya dalam seni bina seperti Second Temple (Herod’s Temple), Temple Mount, istana tiga tingkat, kota perkubuan seperti Masada dan Herodium, kota pelabuhan iaitu Caesaria dan pembangunan sumber bekalan air untuk kota Jerusalem.

Gambaran sebenar Raja Herod yang cuba ditonjolkan Ehud Netzer dan pasukannya hanya sebagai jurubina yang mahir dan memiliki daya kreativiti luar biasa seperti dapat dilihat pada peninggalan monumen yang ditemui dalam usaha penggalian mereka.

Barangkali ia juga usaha mengetepikan pandangan buruk terhadap pemerintah yang dikatakan mati akibat penyakit buah pinggang teruk, siflis, kencing manis, kudis buta selain kemurungan dan paranoia yang dideritainya untuk tempoh agak lama.

Namun, hakikatnya tiada siapa dapat menafikan Raja Herod pemerintah kejam kerana membunuh putera, isteri dan ibu mentua selain ramai anggota istana. Apalah makna keagungan yang cuba ditampilkan melalui binaan hebat oleh Raja Herod jika jiwa dan rohaninya gagal dibangunkan? Jika binaan ciptaan Raja Herod dianggap menakjubkan pandangan mata, ia tidak begitu menghairankan kerana Thamud iaitu kaum Nabi Salih juga memiliki kehebatan seni bina dan pertukangan selain dikurnia peradaban, kemakmuran, kekuatan serta ketangkasan.

Mereka membina tempat tinggal di tanah datar dan membangunkan istana serta rumah bertingkat. Dengan kebijaksanaan akal dikurniakan Allah, kaum Thamud berupaya membina bangunan dengan teknik yang baik serta pertukangan teliti.

Allah juga mengilhamkan teknik membuat lubang di gunung untuk mereka membina rumah dan memberikan kekuatan serta ketabahan dalam melaksanakan usaha itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum Nabi Salleh tinggal di pergunungan pada musim dingin kerana rumah hasil pahatan mereka cukup teguh sehingga tidak terjejas oleh hujan serta angin. Mereka tinggal di tanah yang datar pada musim selainnya untuk bercucuk tanam dan bekerja. Namun segala keagungan, kekuatan dan kegemilangan yang dicapai kaum Thamud tidak bermakna kerana mereka kufur dan derhaka kepada Allah lalu akhirnya Allah membinasakan serta melenyapkan mereka dari muka bumi.” (Surah al-A’raaf, ayat 74-78)

Hakikatnya, pembangunan dan kemajuan sebenar pada pandangan Islam bukan pembangunan segi jasmaniah semata-mata, misalnya melalui peradaban dan ketamadunan tinggi, tanpa memiliki roh atau asasnya yang teguh.

Lebih diutamakan dan bermakna pada pandangan agama Islam ialah pembangunan rohani dan diri. Dengan kata lain, pembangunan jiwa, akal dan diri harus diutamakan kerana hanya mereka yang dibimbing iman serta dibangunkan jiwa dan dibentuk akalnya dengan sempurna dapat melaksanakan pembangunan dari segenap sudut. Pembangunan sudut lain pula pasti menurut garis panduan ditetapkan Islam.

Antaranya berasaskan akidah suci kepada Allah, syariah yang berperanan sebagai panduan serta peraturan hidup dan akhlak mulia. Inilah asas yang mendasari tamadun Islam dan menjadikannya berbeza dengan tamadun lain di dunia.

Memetik pandangan Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Risalah untuk Kaum Muslimin (ISTAC, 2001): “Usaha menuju kepada dasar Islam yang tulen sebenarnya pembangunan dan pembangunan sedemikian sahajalah yang dapat dinamakan sebagai kemajuan.

“Kemajuan bukan usaha yang dirancang untuk dicapai dalam tempoh atau jangka masa pendek bahkan ia adalah usaha untuk mencapai tujuan yang tetap dan jelas dalam tempoh atau jangka masa sepanjang kehidupan seseorang.”

Selain itu, disebabkan kemajuan masyarakat bergantung pada kemajuan individu, segala usaha mencapai kemajuan harus bermula dengan individu.

Ini bermakna, segala usaha harus ditumpukan untuk meneguhkan dan membina jiwa, akal serta rohani individu dulu. Hakikat itu menyerlahkan amanah dan tanggungjawab besar yang digalas setiap pemimpin.

Mereka juga harus sedar jiwa dan rohani perlu dibangunkan dulu supaya berkemampuan membimbing setiap rakyatnya untuk berbuat demikian. Jika perkara penting ini diabaikan tidak mustahil pemimpin itu hanya akan mengulangi kesilapan sama yang pernah dilakukan pemimpin terdahulu dan generasi kemudian tidak dapat mempelajari suatu apa pun yang berguna daripada dirinya.

Namun, yang mungkin hanya disebut cuma sisa peninggalan bangunan bersejarah yang dibina atau didirikan sebagai bukti kewujudan tamadun bangsanya, tidak lebih dan tiada yang lebih bermakna daripada itu.

Penulis ialah pegawai penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Majlis khatam raikan 339 hafiz Darul Quran

Oleh Hasliza Hassan

SERAMAI 339 pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diraikan pada Majlis Khatam Hafazan al-Quran 2009 di kampusnya di Kuala Kubu Baharu, Selangor, baru-baru ini. Majlis setahun sekali itu meraikan pelajar semester enam peringkat diploma dan pelajar semester tiga pensijilan yang menghafaz al-Quran sehingga tamat 30 juzuk.

Tahun ini 219 pelajar diploma dan 120 pelajar peringkat sijil menerima sijil yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jakim, Othman Mustapha.

Othman dalam ucapan perasmiannya berkata, pelajar perlu meningkatkan kualiti hafazan kerana hafiz mereka mendapat kepercayaan masyarakat.

“Kualiti hafazan boleh ditingkatkan melalui pengulangan yang kerap. Pelajar pasti tidak berhenti setakat ini kerana untuk menguasai ilmu al-Quran kita perlu sentiasa berdampingan dan membaca al-Quran.

“Saya juga bangga dengan sokongan ibu bapa yang memberi semangat kepada anak untuk menghafaz al-Quran seterusnya menguasai ilmu itu untuk kepentingan diri serta masyarakat,” katanya.

Katanya, pelajar juga perlu bersedia menghadapi cabaran hafiz dengan menginsafi kelebihan dimiliki terutama peluang menimba ilmu dalam al-Quran. Penghargaan turut diberi kepada pensyarah tasmik yang bertanggungjawab terhadap pelajar khatam al-Quran.

Penubuhan Darul Quran pada 1966 cetusan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman yang berhasrat mewujudkan Institut Pengajian al-Quran di Malaysia.

Dikenali sebagai Maahad Tahfiz awalnya, ia dinaik taraf menjadi bahagian di Jakim dan diberi nama Darul Quran pada 1 November 1998 dengan kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Matlamat Darul Quran ialah mensepadukan ilmu duniawi dan ukhrawi untuk melahirkan profesional yang hafiz, mahir lagi berketrampilan selaras keperluan ummah dan negara selain menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan cendikiawan berkemampuan mengembalikan tradisi kegemilangan keilmuan Islam.

Darul Quran turut mengadakan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk merealisasikan program Persijilan Tahfiz al-Quran.

Program itu ditawarkan kepada pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melalui tempoh pengajian 18 bulan di Darul Quran. Pelajar itu. Tamat pengajian mereka ditempatkan di Pusat Asasi UIAM dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, seni bina, ekonomi dan sains pengurusan.

Darul Quran turut memperkenalkan Program Persijilan Tinggi Tarannum al-Quran yang dirangka khusus untuk melahirkan generasi al-Quran yang dapat mengembalikan tradisi kegemilangan ilmuwan Islam dalam usaha memartabatkan agama, bangsa dan negara di mata dunia.

Program berkenaan turut melahirkan qari dan qariah sekali gus mampu memikul cabaran diamanahkan negara. Program itu dikhususkan kepada semua masyarakat Islam terutama kepada mereka yang mempunyai pengalaman mewakili daerah dan negeri dalam ujian tilawah al-Quran.

Monday, February 23, 2009

Teman berakhlak dorong arah kebaikan

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


PEMILIHAN teman berakhlak dan salih jadi benteng kepada seseorang daripada terpengaruh gejala sosial. - Gambar hiasan


Islam letak garis panduan memilih rakan elak terpengaruh gejala sosial

MANUSIA tidak boleh hidup bersendirian dan sentiasa mengharapkan orang lain. Oleh itu, manusia memerlukan teman untuk mengharungi kehidupan serta menghadapi cabaran suka duka di dunia ini.

Itulah antara hikmah di sebalik penciptaan manusia pelbagai bangsa, agama serta latar belakang.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Islam sebagai agama yang syumul lagi lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia tidak ketinggalan menyentuh persoalan teman atau sahabat yang sewajarnya menjadi pilihan umat Islam.

Apatah lagi pakar psikologi dan ulama tasauf sering menekankan teman mampu mempengaruhi perwatakan dan pembawaan diri temannya yang lain.

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umatnya supaya berhati-hati memilih teman. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Seseorang itu menurut agama sahabatnya, oleh itu seseorang Muslim itu hendaklah berhati-hati dengan siapakah yang harus dia pilih sebagai sahabat." (Hadis riwayat Ahmad)

Jelas daripada mafhum hadis itu, jika temannya itu orang yang baik dan salih, maka dia akan membantunya menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim di samping memelihara hak serta kewajipan dalam konteks persahabatan.

Sebaliknya, jika temannya itu teman yang jahat, maka akibatnya sudah pasti dia berada dalam kancah kejahatan. Akhirnya, dia akan menyesal seperti kisah yang dirakamkan Allah mengenai orang yang tersilap memilih teman ketika di dunia.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata: Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama Rasul! Kecelakaan besarlah bagiku semoga (dulu) tidaklah aku menjadikan si polan itu teman akrabku. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku daripada al-Quran ketika al-Quran ini datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia." (Surah al-Furqan, ayat 28 - 29)

Sehubungan itu, Islam meletakkan garis panduan untuk kita memilih teman yang salih dan sejati. Rasulullah SAW mengajar supaya memilih sahabat yang mendorong ke arah kebajikan dan amal salih. Ini kerana setiap kita mudah terpengaruh dengan sifat, agama dan peribadi temannya itu.

Teman yang baik budi pekerti dan salih penting untuk merangsang kita berakhlak mulia sepertinya. Begitulah sebaliknya, teman yang jahat hanya akan mendorong ke arah kejahatan dan kemaksiatan yang dimurkai Allah.

Ditinjau situasi masyarakat dewasa ini, dapat diperhatikan betapa anak muda tidak begitu mengambil endah akan hal memilih teman yang baik. Maka tidak hairanlah, ramai daripada kalangan muda mudi begitu mudah terjebak dalam kancah gejala sosial dan jenayah yang dilarang.

Menurut kajian dijalankan, antara punca utama menyebabkan mereka mudah terjerumus ke kancah itu ialah pengaruh sahabat dan teman sebaya. Mereka dengan tidak segan silu bergurukan teman rapat berbanding ibu bapa.

Akibatnya, berlakulah kes derhaka kepada kedua ibu bapa, rumah tangga bercerai-berai dan lari dari rumah. Sekarang tiada guna menuding jari meletakkan kesalahan kepada sesiapa kerana ia sudah pun berlaku dan paling penting ialah berusaha mengatasi kemelut yang meruncing daripada mengakari serta melarat dalam masyarakat.

Islam menekankan pemantapan akhlak terpuji dan pengisian rohani dengan keimanan tulus kepada Allah dalam diri Muslim. Institusi keluarga adalah benteng pertama dan juga unit terpenting dalam satu-satu masyarakat yang melahirkan generasi terbilang untuk kepemimpinan Islam akan datang.

Justeru, tanggungjawab sebenarnya digalas setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh anak sebagai insan yang salih dan bertakwa kepada Allah. Apalah gunanya kekayaan dan harta benda bertimbun sedangkan anaknya terbabit dalam gejala sosial yang hanya akan mendatangkan masalah serta ancaman kepada masyarakat dan negara.

Selain itu, masyarakat juga sewajarnya peka dan prihatin terhadap anggota masyarakatnya terutama muda-mudi yang masih mentah dengan rentak kehidupan ini. Untuk itu, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan memantau segala gerak geri muda- mudi dengan menggalakkan amalan bermanfaat serta mencegah amalan dilarang Allah.

Ini adalah ciri masyarakat Islam yang baik seperti terungkap dalam firman Allah yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Teman sejati dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Ibarat teman yang baik itu adalah seumpama seorang yang membawa haruman kasturi. Walaupun kamu tidak dapat memilikinya, namun kamu dapat juga menghidu bau harumnya dan bandingan teman yang jahat itu seperti seorang (tukang besi) yang menggunakan alat hembusannya. Biarpun kamu tidak terkena habuknya yang hitam, akan tetapi kamu terkena juga asapnya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Persahabatan dengan teman yang salih lagi bertakwa akan menjulang temannya itu ke mercu kemuliaan dan kesejahteraan, manakala persahabatan dengan teman yang jahat pula hanya membawanya ke lubuk kehinaan dan kecelakaan yang tiada penghujungnya.

Sebagai renungan bersama, seorang ahli hikmah pernah menyatakan: "Sesiapa yang ingin bersahabat dengan lapan jenis manusia, maka akan bertambah lapan pula akibatnya. Pertama, sesiapa yang berkawan dengan orang kaya, maka akan bertambahlah cintanya kepada dunia.

Kedua, sesiapa yang bersahabat dengan orang fakir miskin, maka akan bertambahlah rasa syukur dan reda dengan rezeki diperolehnya. Ketiga, sesiapa yang bertemankan pemimpin, maka akan bertambahlah kecongakan dan kesombongannya.

Keempat, sesiapa yang bersahabat dengan wanita, maka akan bertambahlah kebodohan dan nafsu syahwatnya. Kelima, sesiapa yang bergaul dengan anak-anak atau kanak-kanak, maka akan bertambahlah sifat suka bermainnya dan membuang masa.

Keenam, sesiapa yang bersahabat pula dengan orang fasik, maka akan bertambahlah keberaniannya untuk berbuat dosa dan menangguhkan taubat kepada Allah. Ketujuh, sesiapa yang suka bergaul dengan orang salih, maka akan bertambahlah keinginannya untuk taat kepada Allah. Akhirnya, sesiapa yang suka berkawan dengan ulama, maka akan bertambahlah ilmu dan sifat waraknya."

Kematian menyeksakan bagi orang tak beriman

DARIPADA Abu Hurairah katanya: "Apabila roh orang mukmin keluar daripada tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit. Kata Hammad: Kerana baunya harum seperti kasturi.

Kata penduduk langit: Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam. Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla.

Kemudian Allah berfirman: “Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”

Kata Abu Hurairah selanjutnya: “Apabila roh orang kafir keluar dari tubuhnya, kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian, maka berkata penduduk langit:

Roh jahat datang dari bumi. Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Kematian sesungguhnya amat menyeksakan. Kematian orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang beriman.

Tanda-tandanya bukan saja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dapat melihat malaikat mencabut nyawa orang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata: Rasakanlah olehmu seksa neraka yang membakar. (Nescaya kamu akan merasa sangat ngeri).” (Surah al-Anfal, ayat 50)

Rasulullah SAW sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakaratul maut. Itupun Baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat.

Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi itu.

Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada supaya tidak tergolong di kalangan orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan dalam penjara sehingga hari kiamat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Islam sebagai addin jadikan ibadah lebih nikmat

Oleh Hasliza Hassan

Muhasabah diri agar pengakuan sebagai Muslim diterjemahkan dalam setiap perbuatan

HUBUNGAN sesama manusia termasuk aspek kekeluargaan, pekerjaan dan kemasyarakatan yang berpandukan Islam sebagai cara hidup boleh memantapkan lagi hubungan mereka dengan Allah.

Ketua Penolong Pengarah (Pentadbiran) Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rokiah Ibrahim, berkata sayangnya umat Islam tidak memahami perkara itu yang terkandung dalam Islam sebagai cara hidup.

Katanya, apa yang dilakukan kebanyakan umat Islam hari ini tidak menepati ajaran Islam menyebabkan mereka gagal merasai nikmat beribadat kepada Allah.

"Apa yang kita lakukan perlu sepadan dengan ajaran Islam dan ini diperoleh melalui hubungan yang sebati antara manusia dengan Allah serta sesama manusia.

"Caranya ialah menekankan Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan dan ada malaikat di kiri kanan kita.

"Apabila kita sentiasa memikirkan Allah melihat dan malaikat merekodkan, hubungan dengan Allah dan sesama manusia akan sebati. Tidak dinafikan syaitan sentiasa menggoda tetapi ada cara mengatasinya dan antaranya membaca al-Quran," katanya menjelaskan keindahan Islam sebagai cara hidup yang perlu diterjemahkan dalam kegiatan harian pada majlis ceramah bulanan untuk muslimah anjuran Jabatan Agama The New Straits Times Press (NSTP), Jumaat lalu.

Rokiah berkata, Islam datang bukan untuk mendera, sebaliknya agama sebagai peraturan bertujuan menceriakan serta menjadikan hidup lebih bermakna dan yang penting ialah umat Islam merasai nikmat kehidupan itu.

Katanya, nikmat itu diperoleh apabila mereka menyedari setiap yang dilakukan dengan niat betul mengikut syarat ditetapkan adalah ibadat dan bakal mendapat ganjaran daripada Allah.

Pada masa sama ibadat disertai kesedaran Allah melihat apa yang kita lakukan memberi kekuatan ketika menghadapi cabaran menjalinkan hubungan dengan manusia dalam setiap aspek kehidupan.

"Bangun pagi kita menunaikan solat dan selepas itu takkan tiba-tiba nak marah apabila anak buat hal. Tindakan ini tidak sepadan dengan amalan baik yang sudah dibuat. Apabila menyedari hakikat ini, kita sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

"Dalam apa perkara jika niat kita betul, menyedari setiap minit ibadat dan bersaksikan Allah sentiasa melihat, maka ia dapat menghindar perkara tidak sepatutnya. Maknanya jika kita kerja, buat dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau berkata, umat Islam hari ini boleh dikategorikan kepada empat jenis dan pertama ialah mereka mengaku Islam tetapi tidak melakukan perkara yang menunjukkan diri mereka seorang Islam.

Kedua, seseorang yang mengaku Islam, menunaikan suruhan agama seperti solat dan berpuasa tetapi hanya melakukan amalan itu apabila orang melihat atau terikut kerana orang lain melakukannya.

Ketiga ialah yang mengaku Islam dan melakukan perkara diwajibkan agama serta merasai sedikit nikmatnya tetapi dalam sesetengah perkara yang tidak menepati kehendak akan diabaikan sebaliknya menurut kata hati.

Kategori terakhir ialah mereka yang mengaku Islam, memahami ajaran Islam serta merasai nikmat dalam hidup dan yang penting ingin orang lain turut melakukan perkara sama seterusnya merasai nikmatnya.

"Kita perlu bermuhasabah diri dan melihat di manakah kedudukan kita. Walau di manapun kedudukan kita hari ini, perlu ada tekad untuk menggerakkan supaya termasuk dalam kategori yang keempat dan menikmati hidup dengan menjadikan Islam cara hidup.

"Contoh mudah, seorang wanita memakai pakaian ketat dan tidak bertudung berhenti di surau menunaikan solat. Selepas selesai, dia berjalan keluar dengan pakaian ketatnya itu. Dua perkara yang tidak sepadan dan ini menyebabkan dia tidak merasai nikmat ibadat itu," katanya.

Rokiah berkata, semua itu memerlukan tekad yang kuat kerana tidak dinafikan untuk melakukan kebaikan bukan mudah tambahan apabila berhadapan dengan hasutan syaitan yang sentiasa memujuk manusia melakukan kemungkaran.

Katanya, usaha untuk merasai nikmat hidup boleh dirasai jika umat Islam berbalik kepada Allah apabila berhadapan masalah, istiqamah melakukan kebaikan tanpa rasa jemu dan sentiasa bermuhasabah diri.

Menilai diri tidak perlu menunggu hingga setahun kerana ia boleh dilakukan setiap hari bermula daripada bangun tidur hingga masuk waktu solat Zuhur iaitu waktu berhenti rehat bagi semua sama ada yang bekerja atau tidak kerana menunaikan tanggungjawab kepada Allah.

"Bangun pagi hingga waktu Zuhur kita semak kembali apa yang sudah dilakukan, jika ada kesalahan dibuat, minta ampun daripada Allah. Semua ini perlu dilakukan setiap hati, jangan tunggu setahun atau 70 tahun baru nak muhasabah diri," katanya.

Beliau berkata, terlalu banyak mencari atau memberikan alasan menyebabkan perkara mudah dilihat menyusahkan sedangkan ia boleh diatasi dengan mematuhi syarat ditetapkan.

Pelbagai persoalan yang dikemukakan kepadanya menunjukkan sesetengah orang tidak mahu mengambil langkah perlu sebaliknya menjadikan masalah dihadapi sebagai cabaran untuk melaksanakan kebaikan.

"Ada memberitahu saya susah untuk khusyuk dalam solat kerana kain telekung asyik ke bawah apabila rukuk atau kaki ternampak apabila sujud.

"Alasan ini sukar diterima kerana sepatutnya sebelum solat, pastikan kain diikat kuat, pakai kain yang panjang atau stokin.

"Islam sebenarnya agama memudahkan. Jika umat Islam bersungguh menjadikan Islam cara hidup, menepati syariat ditetapkan, mereka dapat membuktikan keindahan Islam seterusnya merasai nikmatnya kerana setiap minit dalam hidup adalah ibadat," katanya.

Persamaan akidah perkukuh ukhuwah ummah

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

FITRAH manusia inginkan hidup yang selamat dan terjamin. Oleh itu, bagi mencapai maksud murni itu, sejarah hidup Rasulullah SAW wajar menjadi panduan dan ikutan kerana itulah suruhan Allah kepada hambanya.

Firman Allah bermaksud; “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap rahmat dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sesungguhnya masyarakat yang diasuh dan terbina dengan acuan Rasulullah SAW di Madinah memang harmoni, disirami cahaya kedamaian dan wujud persefahaman menakjubkan, padahal masyarakat Madinah ketika itu ada pelbagai bangsa, kaum, suku dan tradisi.

Sebelum itu mereka terbiasa hidup dalam suasana huru-hara, berpecah-belah, saling berbangga dengan keturunan, bergaduh sehingga berlaku pertumpahan darah beratus tahun lamanya.

Rasulullah SAW berjaya mencambahkan pada setiap hati masyarakat bibit akidah yang suci daripada ajaran murni diwahyukan. Mereka berpegang kepada akidah itu dengan bersungguh-sungguh sehingga tidak mampu digoyangkan sebarang godaan atau janji manis.

Rasulullah SAW menyedarkan umatnya mengenai asal kejadian manusia daripada satu jiwa iaitu Adam seperti termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai segenap manusia, bertakwalah kepada Tuhan yang menciptakan kalian daripada seorang (Adam) dan daripada dia jugalah Allah menciptakan isterinya: kemudian daripada kedua-duanya Allah mengembang biak lelaki dan perempuan yang banyak. Dan Hendaknya kalian bertakwa kepada Allah yang dengan nama-Nya kalian selalu meminta. Hendaknya kalian memelihara hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kalian.” (Surah an-Nisa, ayat 1)

Apabila kefahaman ini meresap ke seluruh jiwa setiap mukmin, tentu tidak timbul perbezaan tradisi, ras, bangsa, warna kulit atau bahasa kerana semua dikira bersaudara yang membentuk perpaduan dalam keluarga besar.

Islam menegaskan semua mukmin adalah satu kelompok yang tidak berpecah-pecah seperti firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Ukhuwah mendorong mukmin hidup berkasih sayang yang dirahmati Allah. Keperibadian masyarakat yang dihiasi kasih sayang dan saling melengkapi menghasilkan masyarakat yang kuat.

Akidah Islam tidak membenarkan umat Islam saling membenci dan merendahkan orang lain dengan penuh kesombongan. Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu daripada lelaki dan wanita, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling mengenal (antara satu sama) lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa daripada kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Abdul Al-Salim Makram dalam bukunya Aqidah Membina Peribadi Mukmin Sebenar menyatakan alat untuk menyatukan umat hanya menyatukan akidah mereka. Jika akidah mereka sama, maka jiwa dan perasaan mereka senada dan seirama; jika berlaku krisis dan pertentangan sesama sendiri, maka mudah menyatukan semula sekali gus melenyapkan musuh dan permusuhan.

Sesungguhnya perpecahan hanya meruntuhkan kekuatan umat Islam dan membuka peluang musuh melakukan penindasan dan penaklukan. Rasulullah SAW mengingatkan: “Kerana sesungguhnya perpecahan itu adalah pisau yang tajam (akan menghancurkan umat seluruhnya).” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi)