Oleh Wan Roslili Abd Majid
SERANGAN Israel ke atas Gaza nampaknya berterusan walaupun rundingan damai masih berlangsung. Menyaksikan kekejaman, penindasan dan pembunuhan tentera Zionis terhadap penduduk Gaza tidak berdaya dihentikan oleh umat Islam yang hanya dapat berbangga dengan jumlah keseluruhan hampir 1.5 bilion orang berbanding Yahudi sekitar 14 juta.
Jumlah kecil tetapi kehebatan dan penguasaannya yang begitu besar dalam segenap sudut, bidang serta lapangan. Bahkan penguasaannya terhadap masyarakat dunia begitu ketara, khususnya dengan merujuk segala tindakan ganas, kejam dan di luar batasan kemanusiaannya yang tidak mampu untuk disekat apatah lagi untuk dihukum dan diheret ke muka pengadilan.
Apa yang terdaya dilakukan oleh kita hanya meratap, menangisi, mencemuh dan mencerca serta menyatakan bantahan serta kebencian melalui pelbagai cara, sekurang-kurangnya bagi membuktikan semangat persaudaraan yang masih bersisa dan perikemanusiaan antara sesama manusia.
Dalam kesungguhan menghulurkan bantuan dan sokongan terhadap rakyat Palestin, kita harus bermuhasabah atas segala dosa serta kegagalan yang sebenarnya juga menyumbang kepada penderitaan dialami rakyat itu.
Apa yang perlu dipelajari, perbalahan dan perpecahan umat Islam seperti yang sering ditegaskan, terbelenggu dengan pelbagai masalah dan kemelut besar yang lain. Kemiskinan, ketiadaan peluang pendidikan dan buta huruf, perang saudara, bencana alam dan sebagainya memburukkan lagi hidup umat Islam.
Merujuk Laporan Pembangunan Manusia (Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pada 2007 dan 2008, daripada keseluruhan 70 negara, hanya 11 negara Islam diletakkan di bawah kumpulan negara Pembangunan Kemanusiaan Peringkat Tertinggi. Keseluruhan 22 negara yang diletakkan di bahawa kumpulan negara Pembangunan Kemanusiaan Peringkat Terendah, 12 daripadanya adalah negara yang sebahagian besar penduduknya ialah umat Islam termasuk Nigeria, Uganda, Togo, Gambia, Benin, Mali, Chad, Guinea-Bissau, Burkina Faso, Niger, Mozambique dan Sierra Leone yang menduduki tempat terbawah (ke-179).
Umat Islam perlu bermuhasabah dan mengakui punca segala kelemahan dan musibah yang menimpa diri adalah akibat tindakan serta perlakuan sendiri. Tindakan menyalahkan pihak lain termasuk Yahudi tidak dapat menyelesaikan masalah dan memperbaiki kepincangan diri.
Yahudi terkenal sebagai bangsa yang sering diusir oleh pemerintah dunia termasuk Nabi SAW disebabkan sikap jelek mereka seperti suka mengkhianati dan oleh Raja Nebuchadnezzar II (630-562 SM).
Selain disebut al-Quran sebagai bangsa suka membunuh, menderhaka, menceroboh, menindas, menzalimi dan membunuh manusia, khususnya umat Islam demi mencapai cita-cita.
Jalan terbaik menghadapi keadaan itu adalah meneguhkan perpaduan umat Islam yang hanya dapat dicapai melalui penyatuan atas nama agama dan bukan atas nama kabilah, bangsa. Inilah yang dilakukan Nabi SAW yang mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj yang dikatakan mempunyai sejarah perbalahan lebih kurang 120 tahun. Penyatuan itu juga yang melenyapkan sifat taksub terhadap kabilah tidak berasas dapat menghalang perpaduan umat Islam.
Dalam kemelut di Gaza misalnya, Turki berusaha menemui pemimpin Syria, Mesir dan juga Arab Saudi bagi membincangkan langkah berkesan diambil untuk menghadapi keganasan dan kekejaman tentera Zionis. Namun usaha Turki dipandang sepi, khususnya Mesir yang mengatakan Turki tidak layak duduk berbincang dengan pemimpin Arab kerana bangsa Turki tidak bertutur bahasa Arab.
Selain sifat taksub melulu, umat Islam jelas sering mengkhianati dan menzalimi sesama mereka. Ciri masyarakat beriman seperti ditunjukkan Nabi SAW ditegaskan al-Quran, iaitu yang berkasih sayang sesama mereka dan bersikap tegas terhadap golongan tidak beriman tidak menjadi amalan.
Lihat di sekeliling kita bagaimana umat Islam yang semakin terhakis keimanannya tenggelam dalam arus melekakan yang akhirnya menimbulkan rasa cinta terhadap dunia dan menjadi punca bagi dosa dan kesilapan mereka. Ketahuilah apabila perasaan sukakan dunia memenuhi jiwa, pada saat dan ketika itulah umat Islam akan hancur di tangan musuh.
Ini dinyatakan Nabi SAW, "Akan tiba masanya umat lain akan mengajak antara satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam) seperti orang mempelawa antara satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan)."
Seorang sahabat bertanya, "Apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Bahkan bilangan kamu pada waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan mencabut ketakutan daripada dada musuh dan Dia akan mencampakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn." Seorang sahabat bertanya, " Wahai Rasulullah, apakah dia al-wahn itu?" Rasulullah SAW menjawab, "Cinta akan dunia dan takut akan mati." (Riwayat Abu Daud).
Penulis ialah Pegawai Penyelidik Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM)
Tuesday, February 17, 2009
Musibah menimpa akibat kealpaan umat Islam sendiri
Labels:
(A) Wan Roslili Abd Majid,
Bani Israel,
Musibah,
Palestin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment