Friday, February 27, 2009

Kes Ayah Pin cabaran selesaikan jenayah akidah

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

KENAPA pemantauan terhadap kegiatan kumpulan ajaran sesat Ayah Pin dilakukan terlalu lama hingga ‘teko sudah besar’ baru hendak bertindak dan siapakah yang mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah akidah.

Itu antara isu dibangkitkan peserta pada majlis Diskusi Syariah Isu dan Cabaran dalam Menangani Kes Jenayah Akidah anjuran Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Menjelaskan perkara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar yang juga panel jemputan majlis diskusi itu berkata, setiap tindakan membabitkan jenayah akidah memerlukan kerjasama semua pihak.

Beliau berkata, tidak dinafikan kes Ayah Pin berlarutan terlalu lama kerana tiada tindakan segera diambil dan apabila ada pendakwaan tidak mendapat kerjasama pihak sepatutnya hingga menimbulkan tanda tanya kepada masyarakat.

“Ini akan berbalik kepada isu pelaksanaan membabitkan semua agensi berkaitan kerana ada yang berkata Jabatan Agama Negeri bertanggungjawab sementara tindakan menangkap di bawah bidang kuasa polis.

“Disebabkan ketiadaan kesepakatan yang tidak dinafikan berpunca daripada alasan perundangan serta bidang kuasa, maka kes jenayah akidah sukar hendak diselesaikan. Sedangkan, bidang kuasa Mahkamah Syariah luas untuk membicarakan kes membabitkan jenayah akidah,” katanya.

Katanya, jadual kesembilan senarai Persekutuan artikel 74 jelas menunjukkan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang luas untuk kesalahan melanggar hukum syarak dan tidak terhad kepada Rukun Islam yang lima saja.

Ini bermakna banyak perkara boleh menjadi kesalahan yang dikenali sebagai kesalahan mengikut hukum syarak dan dibicarakan di mahkamah seperti kesalahan mabuk, berzina, langgar perintah mufti serta pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam termasuk ajaran sesat.

Menjurus kepada kesalahan berkaitan jenayah akidah, Zainul Rijal berkata, ia terbahagi kepada empat iaitu Bahagian II Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Bahagian III Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam dan Kanun Keseksaan.

Bahagian II Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 membabitkan pemujaan salah, mendakwa bukan Islam untuk mengelak tindakan, takfir, doktrin palsu dan dakwaan palsu sementara bahagian III enakmen sama berkaitan kesalahan berhubung kesucian agama Islam dan institusinya.

Ia termasuk mempersenda ayat al-Quran atau hadis, menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, memusnahkan atau mencemar tempat ibadat, menghina pihak berkuasa agama, pendapat bertentangan fatwa, mengajar tanpa tauliah dan penerbitan agama yang bertentangan hukum syarak.

Kesalahan jenayah akidah mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam antaranya memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang Islam mengubah kepercayaan.

Kanun Keseksaan ialah menyebabkan di atas alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat yang memudaratkan keharmonian serta perpaduan.

Zainul Rijal berkata, Akta Mahkamah Syariah 1998 memperuntukkan hukuman kesalahan syariah ialah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan adalah satu lagi cabaran kerana kesan terlalu ringan itu menghalang pengembangan Mahkamah Syariah serta enakmen tertentu.

Ini ditambah dengan kelemahan pegawai penyiasat yang kurang pengetahuan serta pengalaman melaksanakan tugas penyiasatan selain risiko terpaksa dihadapi apabila terpaksa melakukan penyamaran.

Katanya, pegawai penyiasat syariah juga tidak mempunyai kuasa memohon penahanan reman seperti polis menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan maklumat tambahan yang akhirnya menyebabkan kertas siasatan terlalu lemah.

“Itu adalah cabaran dihadapi menyebabkan kes jenayah akidah sukar untuk ditangani dengan berkesan. Pegawai penyiasat syariah tiada kuasa reman, jadi selepas mengambil kenyataan, pesalah dibebaskan.

“Selain itu, kebanyakan pegawai penyiasat tidak dilatih melakukan kerja penyamaran seperti polis dan ini mendedahkan mereka kepada risiko. Apatah lagi jika saksi enggan memberi kerjasama, maka mereka terpaksa juga melakukan siasatan,” katanya.

Sebagai cadangan, katanya, akta membabitkan hukuman kesalahan syariah perlu dipinda untuk meningkatkan kesedaran masyarakat sementara pegawai penyiasat serta pendakwa syarie perlu diberi latihan berterusan dan sistematik.

Beliau turut menyokong cadangan dikemukakan Tan Sri Ahmad Sarji supaya diwujudkan Peguam Syarie Negara untuk melihat serta meningkatkan keperluan bagi memastikan pendakwaan jenayah syariah dilakukan dengan berkesan.

Zainul berkata, dalam kes membabitkan jenayah akidah, peguam syarie turut berhadapan konflik apabila diminta mewakili pihak yang ingin keluar Islam atau terbabit dengan ajaran sesat disebabkan timbul rasa was-was mengenai khidmat itu.

“Peguam syarie jadi gusar kerana adakah mereka dikira bersekongkol dengan pihak yang didakwa atas kesalahan jenayah akidah. Pada masa ini mereka cuba memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga mahkamah membuktikan dia bersalah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) mengakui kurang kakitangan berpengalaman dan berkemahiran ditempatkan secara tetap di Bahagian Penguatkuasaan menyebabkan penguatkuasaan kes jenayah akidah amat lemah.

Katanya, sudah tiba masanya langkah drastik dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap kecekapan dan agensi penguatkuasaan agama supaya kewujudan mereka di Jabatan Agama Islam Negeri tidak seperti kata pepatah, hidup segan mati tak mahu.

Begitu juga dengan kakitangan tidak berkemahiran yang diambil di kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ditempatkan di Bahagian Penguatkuasaan, hanya menimbulkan lebih banyak masalah yang boleh mencemar kewibawaan bahagian itu.

“Mereka baru tamat SPM yang tidak ada maklumat langsung mengenai undang undang terus ditawarkan bekerja di pejabat agama dan ditempatkan di Bahagian Penguatkuasaan. Bagaimana mereka hendak menyiasat kes akidah yang ternyata rumit dan memerlukan kepakaran?

“Akibatnya, mereka bekerja mengikut amalan yang ternyata salah di segi undang-undang. Akhirnya kertas siasatan tidak lengkap serta berterabur menyebabkan kes tidak boleh didaftarkan apa lagi untuk dibicarakan.” katanya.

Beliau berkata, amalan sekarang di mana skim perjawatan PPA adalah skim hal ehwal Islam dan boleh diarahkan bekerja di mana-mana bahagian, menjadikan usaha melahirkan PPA berpengetahuan dan berpengalaman sukar dicapai.

Justeru katanya, adalah perlu satu skim yang tertutup diwujudkan untuk agensi penguatkuasaan agama sama seperti polis serta agensi penguatkuasaan lain yang ditukarkan ke bahagian dalam lingkungan tugas mereka supaya menjadi lebih mahir serta pakar mengendalikan kes jenayah syariah.

No comments: