Thursday, July 31, 2008

Malu didik berpekerti mulia diri

Bersama Nik Salida Suhaila Nik Saleh
SalidaSuhaila99@yahoo.com

KEJI: Tanpa sifat malu seseorang boleh melakukan apa saja tanpa memikirkan kesan kepada diri sendiri, masyarakat, negara, bangsa dan agama. -


Manusia terjebak perbuatan maksiat akibat hilang rasa silu terhadap Tuhan

MENITIPKAN tajuk malu pada minggu ini sedikit sebanyak ada kaitannya dengan akhlak yang dapat menghindarkan seseorang daripada melakukan perbuatan tercela. Pertandingan ratu cantik di kalangan mak nyah yang berlaku di negeri Serambi Makkah contohnya adalah satu perbuatan sungguh memalukan, apatah lagi turut disertai seorang guru yang tugasnya melahirkan modal insan berkualiti sebagai jaminan kesinambungan umat Islam cemerlang.

Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin 'Amir: "Sesungguhnya antara apa yang didapati manusia daripada ucapan nabi terdahulu adalah 'apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu'." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan bahawa tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja tanpa dibatasi rasa takutkan seksaan Allah dan segan dipandang orang, sebaliknya berbuat apa saja tanpa memikirkan kesan perbuatan kepada diri sendiri, masyarakat, negara, bangsa atau agama.

Ada dua jenis sifat malu yang ada pada diri manusia iaitu malu berasal daripada tabiat dasar seseorang. Ada sebahagian orang Allah anugerahkan sifat malu iaitu yang kita perhatikan memang pemalu sejak kecil, tidak berbicara kecuali yang penting dan tidak melakukan sesuatu perbuatan kecuali ketika ada kepentingan. Sikap ini tentunya diwarisi daripada ibu bapa atau ahli keluarga lain.

Kedua, malu yang diupayakan daripada latihan, bukan pembawaan. Contohnya, seseorang itu bukan asalnya seorang pemalu tetapi kerana pergaulannya dengan orang bersifat pemalu, akhirnya dia memperoleh sikap itu. Malu bersifat pembawaan adalah lebih utama daripada malu disebabkan latihan atau 'jangkitan'.

Sabda Rasulullah SAW yang disampaikan 'Imran bin Hushain yang bermaksud: "Malu itu tidaklah datang kecuali dengan membawa kebaikan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Abdullah bin 'Umar pernah mengatakan: "Malu dan iman itu sentiasa ada bersama-sama. Bila hilang salah satu daripada keduanya, hilang pula yang lainnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW sendiri adalah seorang yang memiliki sifat pemalu. Digambarkan oleh Abu Sa'id Al-Khudri bahawa sifat malu Baginda lebih pemalu daripada seorang gadis pingitan, bahkan apabila tidak menyukai sesuatu, para sahabat boleh mengetahuinya daripada wajah Baginda.

Jika Rasulullah dihormati dan dikagumi masih luhur dengan sikap malu, dan itulah juga yang menyenangkan Allah akhirnya juga disanjungi oleh umat Islam seluruhnya, jelaslah kepada kita bahawa sifat malu adalah sifat terpuji dan membuatkan kita disenangi.

Malu adalah sifat terpuji, kecuali apabila seseorang itu malu untuk melakukan perbuatan yang wajib ke atasnya atas nama agama. Jika rasa malu pada diri seseorang menghalangnya melakukan kebaikan, mendorong berbuat kemaksiatan, menghalang menyampaikan kebenaran kepada seseorang dihormati atau dicintai, maka pada hakikatnya itu bukanlah malu, melainkan sikap lemah. Inilah yang membezakan antara sikap malu dan sifat lemah.

Sifat lemah yang turut dibandingkan juga merujuk kepada keadaan tidak positif, kurang agresif dan tiada iltizam untuk mencapai sesuatu disebabkan tiada keyakinan, kekuatan fizikal atau takut kemungkinan gagal.

Ibnu Rajab al-Hambali ketika menjelaskan hadis Imran bin Husain mengenai malu, mengatakan bahawa malu yang dipuji dalam ucapan Rasulullah SAW adalah akhlak yang boleh mendorong seseorang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Sedangkan rasa lemah ialah yang menyebabkan seseorang mengurangi hak Allah ataupun hak hamba-Nya.

Jangan pula kita jadikan sikap malu sebagai penyebab kelemahan umat Islam hari ini. Dalam urusan ilmu, pentadbiran atau kepentingan umat, jika malu bermuzakarah, bermusyawarah, berhiwar atau bersyura disebabkan ia boleh meninggalkan tanggapan bahawa pihak yang mengundang pertemuan lebih dipandang mulia, maka jauhilah hakikat itu kerana yang benar tetap Allah tunjukkan kebenaran.

Malu bertoleransi dalam urusan agama untuk menjulang kebenaran sebenarnya menunjukkan kelemahan yang sangat nyata. Begitu juga jangan malu mengaku salah jika kita akur pada hakikat bahawa kelak Allah akan buka seluruh keaiban pada perhitungan di Padang Mahsyar (melainkan kita tidak membuka keaiban orang lain).

Oleh itu, akuilah kesalahan moga-moga ia menjadikan kita manusia yang dihargai. Tetapi jika terus-terusan menegakkan benang yang basah kerana malu, ketahuilah kita akan menjadi manusia paling lemah akhirnya.

Betapa jauh amalan kita dengan sahabat Rasulullah SAW. Mereka berhias dengan rasa malu hakiki, kerana agama yang sejati, menahan diri daripada perbuatan keji, bukan supaya disanjung tinggi tetapi kerana takutkan Rabbul Izzati.

Jika benar dikatakan dengan lafaz dan hati, jika salah tidak sukar diakui, akhirnya setiap satu hidup dalam rukun dan saling mengerti, kerana mereka tahu dunia yang sepincing ini bukanlah milik mereka yang pasti.

Contohi Rasulullah hamba Tuhan sangat pemalu

DARIPADA Abu Said al-Khudri katanya: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu daripada gadis pingitan. Apabila Baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya dari wajah Baginda." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan "Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah" dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang daripada iman." (Hadis riwayat al- Baihaqi)

Perjalanan manusia sebagai hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, rasa malu adalah tangga yang pertama. Maka, masih sangat jauh sebenarnya kita daripada kewujudan rasa cinta kepada Allah.

Rasulullah SAW sekalipun mempunyai rasa malu terhadap Allah. Ia terserlah dalam kisah mikraj iaitu di saat Rasulullah SAW menerima perintah secara langsung supaya umatnya mengerjakan solat.

Pada peringkat awalnya, Allah memerintahkan solat sebanyak 50 waktu sehari. Baginda SAW menyanggupi namun nabi dan Rasul lain yang ditemui dalam perjalanan mikraj menasihati bahawa tugas itu terlalu berat bagi umat Muhammad.

Lantas Baginda SAW meminta keringanan sehingga bilangan solat dikurangkan kepada lima waktu sehari. Saat itu, Baginda diingatkan sekali lagi bahawa solat lima kali sehari pun masih terlampau berat. Namun, Baginda berasa amat malu untuk kembali meminta keringanan daripada Allah.

Inilah contoh sifat malu yang ada pada diri Baginda. Malu untuk mengurangi nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya. Namun kita selaku umatnya tidak pula mempunyai rasa malu mengabaikan perintah solat dan juga ibadah lain.

Begitulah manusia, lazimnya hanya merasa malu untuk urusan duniawi di hadapan manusia, bukan urusan akhirat di hadapan Tuhan. Kita tidak berasa malu dengan dosa berbukit yang pernah kita lakukan. Malah mungkin tidak pernah terdetik rasa enggan untuk bertemu Allah lantaran merasa malu atas segala kejahatan dilakukan yang tidak pernah luput daripada penglihatan-Nya.

Sesungguhnya kita benar-benar tidak tahu malu. Abdullah Ibn Mas'ud meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang malu kepada Allah dengan sepenuh malu adalah orang yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya daripada segala rezeki tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang melakukan semua itu, maka ia malu kepada Allah dengan sepenuh malu."

Hak Muslim: Keluarga berhak tahu keputusan peluk Islam

Mualaf kena bijak pilih masa, pendekatan terbaik maklumkan pertukaran agama

Soalan:

Saya adalah seorang India beragama Hindu. Sejak kecil saya bergaul dengan orang Islam dan terarik dengan agama Islam walaupun keluarga saya penganut Hindu. Saya berhasrat memeluk Islam tetapi khuatir keluarga saya akan menentangnya. Saya tidak mahu kehilangan keluarga saya apabila memberitahu mereka. Saya dengar pada masa ini orang yang mahu masuk Islam perlu beritahu keluarga masing-masing.

Saya seorang eksekutif, masih belum berkahwin dan sebenarnya sudah pun mengamalkan ajaran Islam seperti sembahyang dan puasa secara sembunyi-sembunyi. Saya tidak mahu keluarga saya membenci saya. Sekiranya saya memberitahu keluarga, tentulah keluarga saya akan menghalang hasrat ini dan memujuk saya kembali ke agama asal.

Selvarajah
Kuala Lumpur

Jawapan:

Alhamdulillah, Allah memberikan nur hidayah kepada saudara. Saya mendoakan Allah memberi kekuatan kepada saudara di dalam kehidupan beragama saudara. Islam adalah satu cara kehidupan yang melampaui batasan etnik, kaum dan juga bangsa. Orang Islam adalah bersaudara walaupun dari kalangan bangsa yang berlainan.

Kerajaan Persekutuan dilaporkan berhasrat memperkenalkan peraturan baru mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk agama Islam supaya memaklumkan kepada keluarga masing-masing berhubung dengan keputusan mereka. Hasrat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan perlu bagi mengelak berbangkit masalah berhubung dengan taraf dan hak anak individu yang berkenaan serta kesulitan lain selepas mereka meninggal dunia.

Hasrat Kerajaan Persekutuan ini mendapat reaksi bercampur dari kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, ahli agama dan juga ahli politik. Sebahagian menyokong dan sebahagian yang lain pula tidak bersetuju dengan cadangan tesebut. NGO Islam arus perdana membantah peraturan baru ini jika dilaksanakan begitu juga beberapa orang Mufti seperti Datuk Seri Harussani Zakaria (Mufti Perak) dan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Mufti Perlis).

Secara idealnya, adalah suatu yang baik memaklumkan keputusan memeluk Islam kerana ia merupakan anjakan pradigma yang memberi kesan kepada kehidupan seharian mualaf itu. Namun begitu jika dikaji dari aspek praktikal dan keselamatan sama ada perkara sedemikian wajar dikenakan ke atas saudara baru ini.

Sebagai seorang mualaf yang baru berjinak dengan agama Islam, pegangan agama kebanyakan mereka tentulah masih belum utuh atau mantap lagi. Ia masih mudah digoyah oleh pelbagai faktor. Umpamanya keluarga dan rakan. Memang kita sering mendengar daripada saudara baru ini, apabila keluarga mengetahui mereka memeluk Islam, mereka akan memujuk kembali ke agama asal. Ada juga dilaporkan keluarga ini mengancam untuk membunuh diri sekiranya mereka meneruskan hasrat memasuki persaudaraan Islam ini. Ini menimbulkan dilema di kalangan saudara baru.

Saya memang bersetuju pemelukan Islam seseorang saudara baru adalah suatu perkara besar dan membawa kesan yang berkekalan. Oleh yang demikian memang perlu seseorang yang memeluk Islam itu memaklumkan kepada keluarga mereka yang masih belum Islam, tetapi biarlah mualaf itu sendiri yang memilih cara dan masa bila mereka perlu berbuat sedemikian kerana merekalah yang benar-benar tahu isi hati dan reaksi keluarga mereka. Undang-undang tidak harus mencampuri hal berkenaan apatah lagi sekiranya pemakluman berkenaan menjadi prasyarat untuk memeluk Islam. Sudah tentu dalam keadaan ini dakwah Islam menjadi terlalu sukar untuk dilaksanakan.

Berbalik kepada soalan saudara tadi, buat masa ini syarat itu masih lagi belum dilaksanakan kerana mendapat bantahan daripada NGO Islam arus perdana. Oleh yang demikian, saudara tidak wajib memaklumkan pemelukan Islam saudara kepada keluarga.

Walaupun saudara memeluk agama Islam hubungan kekeluargaan dengan keluarga saudara tidak putus malah mereka masih mempunyai hak tertentu terhadap saudara walaupun berlainan agama. Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan atas dasar berlainan agama. Tanggungjawab saudara terhadap keluarga khususnya ibu bapa masih wajib diteruskan.

Kajilah Islam daripada kitab yang muktabar dan dibimbing oleh guru yang mursyid.

Apabila saudara fikirkan masanya sesuai bagi memberitahu pemelukan Islam saudara, maka maklumkanlah kepada mereka dengan cara yang paling berhemah.

l Jawapan ini disediakan oleh Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

erdoalah agar kelurga saudara juga akan diberikan nur hidayah oleh Allah s.w.t. pada suatu hari nanti.

Saudara juga boleh mendapat bimbingan daripada NGO Islam yang memfokuskan khidmat kepada mualaf seperti Perkim, Persatuan India Muslim, Persatuan Cina Muslim (MACMA), Persatuan Al Hidayah dan beberapa NGO lagi yang boleh membantu saudara di dalam mendalami agama Islam serta menasihati saudara bagaimana menangani masalah keluarga saudara dengan cara yang terbaik.

Saya mendoakan saudara tetap di dalam Islam dan Iman. Islam adalah satu cara hidup yang terbaik yang telah digariskan oleh Allah s.w.t.

Israk Mikraj ubat duka Rasulullah

Oleh Ibrahim Abdullah

PERISTIWA Israk dan Mikraj adalah mukzijat besar Nabi Muhammad SAW. Menurut jumhur ulama, ia berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab tahun ke-11 kenabian bersamaan 622 Masihi dalam usia Baginda antara 51 atau 52 tahun.

Sebelum berlakunya peristiwa itu, Rasulullah SAW berhadapan dengan tahun kesedihan apabila isteri serta bapa saudara Baginda wafat sementara tentangan serta pemulauan oleh kaum Musyrikin semakin hebat.

Israk dan Mikraj adalah kurniaan Allah untuk mengubat duka Rasulullah SAW yang mana sebelum itu Baginda didatangi Jibril bersama Mikail. Dada Nabi dibedah dan dicuci dengan air zamzam serta dimasukkan hikmah (bijaksana), iman, sabar, berani, ilmu, Islam (kepatuhan) dan dicap di belakangnya tanda kenabian dan dijahit semula tanpa sebarang bekas.

Israk ialah perjalanan Nabi SAW pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis dengan Buraq. Ketika mikraj Nabi SAW ke langit, pelbagai peristiwa dilalui Baginda termasuk pertemuan dengan Nabi Adam, Isa, Yahya, Yusuf, Idris, Harun dan Musa.

Israk dan Mikraj adalah teropong analisis yang dianugerahkan Allah kepada Rasulullah SAW untuk melihat gambaran seterusnya menganalisa banyak hal. Tetapi pokok persoalannya ialah manusia dan alam sebagai sasarannya.

Hal ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Untuk memperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan dan kebesaran Kami." (Surah al-Isra', ayat 1). Semua itu sebagai iktibar dan pengajaran kepada manusia dan alam sekali gus.

Antara peristiwa yang diperlihatkan ialah petani yang bercucuk tanam segera memungut hasilnya tidak henti-henti (gambaran pahala bagi orang yang berjuang dan bersedekah di jalan Allah) dan bau wangi kubur Masyitah serta anaknya yang berani mati mempertahankan keimanan di hadapan pemerintah zalim.

Manusia yang memecahkan kepalanya sendiri dengan batu iaitu gambaran orang yang kepalanya berat untuk sujud bersembahyang selain manusia bercawat makan rumput dan buah berduri serta bara api kerana tidak mahu mengeluarkan zaka.

Peristiwa lain ialah nanusia berenang dalam lautan darah, dan dilempar dengan batu gambaran orang makan riba atau bunga dan manusia yang menggunting lidahnya sendiri dengan gunting api iaitu gambaran orang pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, kemudian Kami kembalikannya serendah-rendahnya (iaitu balasan neraka)." (Surah at-Tin, ayat 4-5)

Melalui peristiwa Israk dan Mikraj, kita dapat melihat beberapa macam kecenderungan manusia ke arah kebajikan dan kejahatan hasil daripada perjalanan hidup mereka di dunia.

Bagi Rasulullah SAW, Israk dan Mikraj semacam lawatan yang sasaran serta pelan tugas sudah ditentukan secara pasti oleh Allah dengan gambaran, dan analisis untuk panduan umat manusia sejagat.

Wednesday, July 30, 2008

Peguam Syarie Menulis: Perpaduan Islam wajar teras muzakarah

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

CAPAI KESEPAKATAN: Perbincangan secara baik untuk mencari penyelesaian mengenai sesuatu amat dituntut Islam. - Gambar hiasan


Pertemuan Pas-Umno perlu kesatuan akidah disertai keikhlasan hati

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) gembira apabila pelbagai pihak mula membincangkan mengenai muzakarah antara Pas dengan Umno. Ia bermakna sesi percambahan fikiran sedang diadakan.

Kebaikan dan keburukan perkara ini diperhalusi semua pihak yang akhirnya akan membuahkan suatu keputusan jitu lagi padu pada kedua-dua belah pihak. Selepas semua perbincangan diadakan, terserahlah kepada Pas dan Umno membuat keputusan berhubung isu ini selepas mengambil kira semua pertimbangan serta faktor semasa.

Cakap-cakap politik mengenai perkara ini terus rancak berhubung pertemuan Pas dengan Umno dalam rangka kerjasama demi menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Perkara ini terus diperkatakan pada peringkat pimpinan Pas dan Umno. Malah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), MCA dan DAP turut memberi ulasan masing-masing.

Menangani isu politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa kedudukan parti politik di Parlimen ketika ini ialah tiada satu pun parti politik yang mempunyai kelebihan majoriti. Daripada 222 kerusi di Parlimen, pembahagian kedudukan kerusi ialah Umno (79), PKR (31), DAP (28), Pas (22), MCA (15), MIC (tiga) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) memiliki 14 kerusi.

Jika diteliti sebaiknya, kedudukan kerusi itu memang wajar mendesak kedua-dua pihak, iaitu Pas dan Umno untuk bersemuka bagi membincangkan kepentingan agama serta bangsa. Walau apa pun nama yang diberikan sama ada muzakarah (ingat mengingati), muqabalah (pertemuan), hiwar, musyawarah (bermesyuarat) atau muhadasah (perbincangan), tujuan utamanya adalah bagi membincangkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.

Sudah tentu pemimpin pelbagai peringkat kedua-dua parti akan berasa tidak selesa dan sedikit canggung dengan perkembangan terbaru ini kerana sejarah membuktikan bahawa renggangnya hubungan antara dua parti ini.

Kita sering melihat kedua parti ini saling bercakaran antara satu sama lain, bahkan kadang-kadang sampai ke tahap membimbangkan. Sering pula sesuatu strategi politik digarap bagi menjatuhkan parti satu lagi dan membiarkan parti lain tidak berteraskan Islam dan bangsa Melayu mempunyai ruang cukup untuk mengatur percaturan politik mereka. Natijahnya orang Islam tidak bersatu dan saling bercakaran antara satu sama lain.

Seperti diketahui umum, kerajaan Persekutuan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen. Jika Pas menyokong usul kerajaan, maka kerajaan mempunyai kuasa lebih besar.

Begitu juga pada pihak Pakatan Rakyat. Jika terjadi tindakan melompat parti seperti dikatakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi sekiranya Pas tidak menyertainya, maka kerajaan Pakatan Rakyat mungkin tidak akan dapat dibentuk.

Itulah senario kedudukan Pas sekarang. Walau apa pun kelebihan atau kekurangan, sepatutnya itu bukanlah faktor utama yang perlu diambil kira. Apa yang lebih penting ialah berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagaimana dapat meletakkan Islam di tempat yang sebenar.

Reaksi diterima pada kedua-dua belah pihak adalah bercampur-campur. Ia dapatlah difahami kerana sejarah pertelingkahan antara kedua-dua pihak sukar dilupakan pihak pimpinan mahu pun ahli kedua-belah parti. Ketidakpuasan hati ini mungkin tidak dapat dipadamkan daripada memori pemikiran mereka.

Sebenarnya kerjasama sebegini hendaklah diteraskan kepada semangat Islam. Jika teras Islam itu diterima kedua belah pihak, maka akan lebih mudahlah ia mendatangkan keadilan kepada semua pihak.

Berbalik kepada muzakarah antara Pas dengan Umno, penulis berpendapat jika kedua-dua pihak ikhlas mahu mempertahankan Islam, maka ada baiknya setiap ruang dilihat bagi menilai sejauh mana kerjasama dapat dilakukan.

Walaupun kerajaan campuran tidak dibentuk, sekurang-kurang suatu tahap pemahaman dapat ditingkatkan antara kedua parti ini agar apa pun tindakan selepas ini, ia semestinya berteraskan kepada Islam.

Pertelingkahan yang terlalu lama antara Pas dan Umno tidak mudah dipadamkan dalam sekelip mata atau menerusi beberapa siri pertemuan. Tetapi langkah pertama itu sudah pun diambil bagi menuju ke arah ini.

Oleh itu, kedua-dua pihak mesti lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat sebarang tindakan supaya selaras dengan hasrat menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia. Tanpa kesatuan aqidah disertai dengan keikhlasan hati, tidak mungkin sebarang kerjasama dapat diadakan.

Jika Pas dan Umno menoleh ke belakang, sudah tentu tidak akan dapat dicapai kata sepakat. Tetapi lihatlah ke depan. Namun kedua-dua belah pihak berhak berhati-hati dan berwaspada dalam semua tindakan kerana mungkin ada pelbagai helah yang akan memakan diri sendiri dari sudut politik.

Sudah sampai masanya orang Islam melihat sesuatu menjangkaui batasan siasah kepartian dan berusaha memastikan Islam itu terus dipertahankan.

Sebenarnya terlalu banyak perlu dilakukan untuk Islam, sama ada di Malaysia atau pada peringkat global. Orang Islam perlu mengorak langkah ke hadapan dan menjadi model kepada orang lain, bukan menjadi bahan cemuhan atau diperlekehkan.

Jika muzakarah ini tidak berjaya menghasilkan sesuatu dalam masa terdekat, kita semua tidak boleh berputus asa. Apa yang lebih penting ialah kesedaran mengenai perpaduan umat Islam dapat disemai pada kedua-dua belah pihak.

Mungkin masa belum sesuai lagi bagi merealisasikan impian, tetapi usaha ke arah itu hendaklah dimulakan sekarang. Selaku sebuah badan Islam, PGSM menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah menjayakan muzakarah ini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Hati bersih mampu lihat kebesaran Israk dan Mikraj

Oleh Hafiz Firdaus Abdullah

Usaha pendidikan, kesedaran, penerapan serta pembetulan mampu menzahirkan kesucian

"ATAP rumahku dibuka, saat itu aku berada di Makkah. (Malaikat) Jibrail turun dan membedah dadaku, kemudian mencucinya dengan air zamzam. Kemudian didatangkan sebuah bekas dibuat daripada emas yang berisi hikmah dan iman, lalu dituang ke dalam dadaku. Kemudian dadaku ditutup."

Demikianlah diterangkan Rasulullah SAW seperti diriwayatkan al-Imam al-Bukhari. Peristiwa itu berlaku pada malam Israk dan Mikraj, seketika sebelum Baginda menaiki buraq untuk meluncur sekelip mata dari Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

Timbul persoalan, mengapakah perlu dicuci hati Rasulullah SAW sebelum perjalanan itu? Ia adalah satu daripada beberapa rahsia yang boleh disingkap daripada peristiwa Israk dan Mikraj iaitu kelayakan perlu dimiliki hati sebelum dapat meraih keistimewaan bakal Allah berikan kepada tuannya.

Hanya hati yang bersih layak untuk diperlihatkan tanda kebesaran Allah ketika Israk dan Mikraj, manakala hati yang kotor, dicemari kuman kedengkian, buruk sangka, dendam, angkuh, ujub, riak dan sebagainya tidak layak untuk semua keistimewaan itu.

Maka, sesiapa yang menginginkan keistimewaan daripada Allah, hendaklah dia terlebih dulu memerhatikan keadaan hatinya. Peristiwa pencucian hati Rasulullah SAW menerusi pembukaan dada oleh Malaikat Jibrail adalah mukjizat khusus kepada Baginda SAW.

Adapun kita tidak boleh ada satu bentuk pencucian seumpama itu. Pakej pencucian hati 'sekali cuci bersih selamanya' yang ditawarkan individu atau pihak tertentu adalah palsu belaka. Sebaliknya yang boleh dilakukan ialah usaha pendidikan, kesedaran, penerapan dan pembetulan yang dilakukan secara berulang serta berterusan.

Setibanya di Masjid al-Aqsa, Rasulullah SAW mendapati nabi dan rasul sebelum Baginda sedang bersolat di sana, lantas Baginda turut bersolat menjadi imam bagi nabi dan rasul di situ.

Rahsia di sebalik itu disingkap Syaikh Abu al-Hasan 'Ali al-Nadwi: "Nabi solat di belakangnya (Muhammad). Hal ini, pemberitahuan mengenai ciri kesejagatan risalah Baginda, keabadian kepemimpinannya, kepiawaian ajarannya serta kesesuaiannya dalam pelbagai ruang dan masa.

Selepas menjadi imam, Rasulullah SAW Mikraj dari Masjid al-Aqsa ke lapisan langit. Rahsia pertama dapat ditangkap ialah bagi membuktikan kemuliaan Masjid al-Aqsa bagi umat Islam. Rahsia kedua, iaitu sebagai sindiran kepada kaum sebelum itu yang titik paksi mereka ialah Masjid al-Aqsa.

Bumi Palestin ialah tempat diutus beberapa rasul dan nabi sebelum Rasulullah SAW akan tetapi umat setempat menentang ajaran dibawa rasul dan nabi itu. Sudah menjadi ketetapan Allah sesiapa yang menentang ajaran-Nya dan ajaran rasul-Nya, akan dibalas dengan kehinaan. Maka dengan itulah mereka disindir dan dihina, di mana peristiwa Israk dan Mikraj menjadi kebanggaan umat Muhammad dan bukan diri mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang menentang Allah dan rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang terdahulu daripada mereka ditimpa kehinaan." (Surah al-Mujadalah, ayat 5)

Dalam hadis sahih diterangkan setiap kali Rasulullah SAW menaiki lapisan langit yang baru, Baginda bertemu dengan seorang atau lebih nabi. Perkataan pertama diucapkan ialah 'Assalamualaikum."

Oleh itu, ia sepatutnya menjadi ucapan kita sesama umat Islam apatah lagi jika kita ingin melayakkan diri memasuki syurga, kerana Rasulullah SAW mengingatkan: "Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan mengucap Assalamualaikum), nescaya kalian akan mewarisi syurga."

Ketika Mikraj ke langit, Rasulullah SAW menerima perintah pelaksanaan solat fardu. Jika dibandingkan dengan ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji, semuanya diperintahkan menerusi wahyu ketika Baginda berada di bumi.

Hanya ibadah solat diperintahkan ketika Baginda berada di langit. Ia sekali gus, menunjukkan bahawa istimewa lagi penting ibadah solat fardu berbanding ibadah lain. Bagaimanapun, atas nasihat Nabi Musa, Rasulullah SAW kembali mengadap Allah untuk meminta pengurangan 50 kali solat sehari hingga akhirnya menjadi lima.

Satu rahsia berharga untuk disingkap, iaitu kesediaan Rasulullah SAW mendengar nasihat Nabi Musa padahal tidak sampai beberapa jam sebelum itu, Baginda menjadi imam kepada Nabi Musa ketika mereka solat di Masjid al-Aqsa.

Seandainya Baginda SAW bersikap angkuh sehingga enggan mendengar nasihat Nabi Musa, nescaya umat Islam dibebani dengan ibadah solat fardu sebanyak 50 kali sehari. Kesediaan dan sifat rendah diri mendengarnya dan kelapangan jiwa melaksanakannya adalah ciri pemimpin berjaya.

Sikap itu membawa manfaat besar kepada dirinya dan orang di bawah pimpinannya. Sebaliknya, sikap angkuh, tinggi diri dan kesempitan jiwa hanya akan membawa mudarat kepada dirinya dan orang di bawah pimpinannya.

Rasulullah SAW juga berjumpa dengan satu kaum yang mencakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku diperbuat daripada tembaga semasa Mikraj. Rasulullah SAW bertanya: "Siapakah mereka itu wahai Jibrail? Beliau menjawab: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan maruah mereka (ketika di dunia dulu)."

Apabila diceritakan pengalaman beliau ketika Israk dan Mikraj, ramai kalangan orang kafir Makkah meragui dan mengingkarinya. Lalu seorang antara mereka yang pernah sampai ke Bait al-Maqdis dan melihat Masjid al-Aqsa ingin menguji sejauh mana kebenaran cerita Rasulullah SAW.

Dia bertanya secara terperinci ciri binaan Bait al-Maqdis. Oleh kerana peristiwa Israk dan Mikraj berlaku agak cepat, Baginda SAW mengalami kesukaran mengingati secara tepat, tetapi kesukaran itu segera dipermudahkan Allah.

Dalam rangka kita memperjuangkan agama Islam, sama ada menyebarkannya atau membelanya, kadangkala kita akan menemui cabaran dan kesukaran. Janganlah berputus asa, tetapkan keyakinan bahawa Allah akan membantu dengan cara tidak disangkakan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad, ayat 7)

Tentu saja janji itu dengan syarat kita melakukan segala usaha dan persiapan yang patut kerana Allah mensyaratkan: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'd, ayat 11)

Iqra: Himpunan doa pilihan jadi panduan seharian

Judul: Doa-Doa Pilihan Rasulullah
Penulis: Mufti Melaka, Datuk Rashid Redza Mohd Salleh
Penerbit: Knaz Studio
Pengulas: Jami'ah Shukri

SAIZNYA buku ini kecil, namun kandungannya cukup padat dengan koleksi doa yang begitu memberi manfaat untuk amalan seharian sejajar tuntutan agama bagi menggalakkan umatnya berdoa serta berzikir untuk mendapat keredaan dan rahmat daripada Allah.

Yang menariknya, ia adalah himpunan doa penting yang diamalkan Rasulullah berkisar dalam semua aspek daripada mengenai kebaikan diri, keluarga, harta benda, urusan dunia, agama dan akhirat.

Setiap perjalanan hidup manusia memang sudah ditentukan qada dan qadar oleh Allah, tetapi menerusi doa, sesuatu itu mampu menolak takdir. Bagaimanapun kita digalakkan supaya tidak cepat putus asa dan mengharapkan doa dikabulkan segera kerana Allah sudah menjanjikan sesuatu, walaupun pada saat itu kita sudah bongkok tiga.

Himpunan doa yang turut disertakan dengan makna itu dilakukan mengandungi lapan bab bagi memudahkan pembaca memilih mana-mana doa yang mereka fikirkan perlu untuk diamalkan dengan menegaskan bahawa doa adalah satu ibadat, dalam bab dua dan tiga dinyatakan doa bersumberkan al-Quran, hadis, adab makan dan minum (bab empat), adab musafir (bab lima), adab salam (bab enam), keutamaan berzikir (bab tujuh) dan Asmaul Husna (bab lapan).

Doa mempunyai adab tertentu, iaitu yang paling penting ialah umat Islam mesti ikhlas melakukannya. Berdoalah dalam keadaan suci, tidak mengharap doa cepat dikabulkan, berdoa menadah tangan dengan tapak tangan di atas, menghadap kiblat, mulai doa dengan diri sendiri, memohon keinginan dan niat yang kuat, mengulanginya tiga kali, meminta Asmaul Husna, mulai doa dengan pujian dan sanjungan, meminta kesihatan serta banyaklah meminta serta selawat ke atas Nabi Muhammad.

Waktu doa yang terkabul ialah sepertiga malam terakhir, berdoa ketika turun musibah atau cubaan, antara azan dan iqamat, azan dan jihad bertempur melawan musuh, ketika sujud solat, pada Jumaat dan ada kokokan ayam.

Sementara itu, doa yang dikabulkan adalah ketika dalam kesulitan dalam perjalanan, orang tua kepada anaknya, seorang mukmin untuk saudaranya tanpa pengetahuannya, ketika senang, orang yang banyak berzikir, dizalimi dan iman yang adil serta doa orang Muslim untuk orang kafir.

Bagaimanapun, doa akan terhalang (tidak dikabulkan), iaitu menyekutukan Allah, meminta mati atau keburukan diri sendiri, keburukan anak, pembantu dan harta kekayaan, mengharapkan peperangan dan bertemu dengan musuh, doa dengan dosa dan maksiat serta melampaui batasan berdoa.

Buku setebal 240 muka surat ini, mudah dibawa ke mana-mana sebagai panduan bagi memudah dan menggalakkan amalan beribadat, sekali gus mampu sebati dengan diri. Doa dan zikir adalah tuntutan Allah.

Tuesday, July 29, 2008

Tajdid Iman: Menilai mesej Israk ke Baitul Maqdis

Dr Juanda jaya



MARUAH UMMAH: Beribu-ribu umat Islam menunaikan solat Jumaat dekat Masjid Al Aqsa, Palestin.


Palestin lambang dakwah umat Muhammad, namun kini Yahudi bermaharajalela

KRONOLOGI peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW sentiasa menjadi bacaan wajib orang Islam yang memperingatinya setiap tahun. Tiada rasa jemu membaca kisah perjalanan agung yang hakikatnya umpama hadiah istimewa bagi Baginda SAW daripada Allah.

Tujuan membawa Rasulullah SAW menikmati tanda kebesaran Allah pada malam itu ialah supaya Baginda SAW mendapat kekuatan baru untuk menghadapi keperitan dalam mengharungi medan dakwah yang kejam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maha Suci Allah, yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya supaya kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." – (Surah al-Israk, ayat 1)

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada Baginda SAW adalah kehebatan perjalanan itu yang hanya menghabiskan masa semalaman menggunakan kenderaan buraq yang tidak pernah dikenal manusia.

Malah, Baginda SAW menjelajah dari Masjidil Haram hingga ke Palestin dan dimikrajkan ke hadapan Allah untuk menerima kewajipan sembahyang sebagai amanah bagi umatnya. Kehebatan perjalanan itu sukar diterima dengan akal semata-mata. Nyata satu lagi bukti kekuasaan Allah mencabar keimanan orang Islam yang belum kuat imannya untuk menerima dengan sebulat hati kebenaran peristiwa itu.

Malam itu, Rasulullah berjumpa nabi di Baitul Maqdis, melakukan sembahyang berjemaah kemudian naik ke langit pertama hingga ke tujuh lapisnya. Langit pertama, Baginda SAW berjumpa Nabi Adam, beliau mengalu-alukan kedatangan Rasulullah SAW.

Di situ diperlihatkan roh syuhada berada di sebelah kanan Nabi Adam dan di kirinya pula roh manusia malang. Di langit kedua bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris, langit kelima Baginda melihat Nabi Harun dan mengucap salam kepadanya.

Tiba di langit keenam berjumpa dengan Nabi Musa sehingga jatuhlah air mata Musa memandang Rasulullah SAW seraya berkata: "Aku menangis kerana orang muda yang diutuskan selepasku tetapi umatnya masuk syurga lebih ramai daripada umatku." Dan terakhir berada di langit ketujuh bersama Nabi Ibrahim.

Bagaimanakah rasanya berjumpa dengan nabi yang mempunyai misi sama dengan Baginda SAW? Bagaikan perhimpunan melepas kerinduan bersama insan pilihan Allah. Perjumpaan yang sungguh bermakna menyimpan satu misi kesatuan semangat dan perjuangan dakwah demi menegakkan tauhid di atas muka bumi ini.

Diharapkan Rasulullah SAW sentiasa mengingati sejarah dakwah nabi terdahulu supaya menjadi teladan dan contoh terbaik dalam kesabaran, kecekalan dan kesungguhan yang tiada habisnya.

Selagi mana Allah belum memutuskan untuk mengakhiri misi dakwah selagi itu tiada kata berhenti dan menyerah kalah. Adakah diterima atau ditentang, hal itu bukan suatu masalah kerana Rasulullah SAW hanya ditugaskan untuk menyampaikan, yang memastikan dakwah diterima dan berjaya adalah Allah.

Betapa semangat itu yang diperlukan Rasulullah SAW selepas menghadapi tentangan terlampau kejam kafir Quraisy selepas kematian Abu Talib dan isteri tercinta Ummul Mukminin Khadijah.

Selepas itu, Baginda SAW dinaikan ke Sidratul Muntaha, di situ diperlihatkan tanda kekuasaan Allah yang lain iaitu, Baitul Makmur tempat tawafnya Malaikat yang memenuhi langit dan bumi. Akhirnya sampailah ke kemuncak peristiwa terindah di sepanjang kehidupan Rasulullah SAW apabila dimikrajkan naik menghadap Allah.

Lalu hampirlah Baginda SAW dengan Allah seolah-olah hampirnya dua busur panah atau lebih hampir lagi. Tidak dapat dibayangkan keadaan seorang hamba yang berada dekat dengan Allah. Perasaan Rasulullah SAW itu turut dikongsi bersama umatnya melalui perjumpaan ketika mereka sujud menyembah Allah.

Betapa indahnya falsafah cuba diungkapkan melalui perhubungan suci antara hamba dan Tuhannya. Ketika kita solat hakikatnya kita menghadap raja segala raja dan puji-pujian menjadi alat komunikasi paling efektif untuk menagih cinta Yang Maha Agung.

Penentangan itu sampai pada batas melampau ketika mereka diceritakan peristiwa Rasulullah SAW mengembara ke Masjidil Aqsa dan naik ke langit berjumpa Tuhannya. Berkata Ibnu al-Qayyim: "Rasulullah SAW menceritakan kepada kaumnya apa yang diperlihatkan Allah kepadanya. Mendengar cerita itu mereka bertambah tidak percaya dan semakin menyakitinya.

Namun penentangan mereka tidak menyebabkan Rasulullah SAW gentar dan takut. Bahkan selepas menyaksikan gambaran syurga dan neraka serta tanda kebesaran yang diperlihatkan pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW bertambah yakin dan cekal menghadapi kekejaman kaumnya.

Jika kita amati surah al-Israk yang menceritakan perjalanan Nabi SAW itu hanya pada satu ayat dan ayat seterusnya ialah pendedahan kejahatan orang Yahudi. Penulis kitab sirah al-Rahiq al-Makhtum, al-Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri cuba menganalisis hal itu.

Beliau berkata: "Sesungguhnya Allah menggunakan pendekatan ini (surah al-Israk) untuk memberi kefahaman bahawa peristiwa Israk berlaku di Baitul Maqdis kerana orang Yahudi akan disingkirkan daripada memimpin umat manusia.

Allah akan memindahkan kepemimpinan kepada Rasulullah SAW, iaitu berpindah dari satu umat sejarahnya dipenuhi dengan pengkhianatan, dosa dan permusuhan kepada satu umat lain yang melahirkan kebaikan bersama Rasul mendapat wahyu menuju ke jalan lurus.

Mesej Israk ke Baitul Maqdis ialah ingatan bahawa Palestin adalah lambang kemunculan dakwah umat Muhammad SAW dan berakhirnya kejahatan Yahudi. Namun kini keadaan bertukar sebaliknya, Yahudi bermaharajalela di bumi Allah.

Palestin yang hilang sepatutnya kita tebus dengan perjuangan bersama seluruh dunia Islam. Tunjukkan solidariti untuk tanah air kita bersama, negeri Palestin, bumi yang melahirkan Nabi dan Rasul.

Lahirkan anak segagah Salahuddin al-Ayyubi, kerahkan kekuatan untuk menebus kembali tanah yang pernah dimerdekakan Umar al-Khattab. Setiap tahun kita menyambut Israk dan Mikraj, tetapi apakah semangat dakwah Rasulullah SAW sudah terpahat di hati kita?

Mendidik anak dengan kasih sayang adalah amanah

Oleh Aminudin Mansor

IBU bapa disaran supaya mendidik anak sejak dari dalam rahim, selepas lahir, remaja hingga dewasa. Proses pendidikan ini biarlah berjalan mengikut perkembangan dan berterusan dalam kehidupan seseorang.

Ada beberapa pendapat menjelaskan mengenai pendidikan anak antaranya, Hamka pernah berkata, “Anak yang tidak diberi didikan sederhana dan tidak dididik dengan sikap percaya kepada dirinya sendiri, tidak ubah bagaikan burung yang tidak tumbuh bulunya.”

Jelaslah pendidikan penting dilakukan sejak seseorang anak itu masih kecil, membesar dan remaja bagi mengelak mereka terjebak gejala negatif boleh merosakkan diri.

Ali bin Abi Thalib menegaskan, didiklah anakmu melebihi pendidikan yang pernah engkau lalui, kerana mereka akan hidup pada zaman yang tidak sama dengan zamanmu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Didiklah anak kamu atas tiga sifat iaitu: cintakan Nabi mereka, cintakan keluarga Nabi dan membaca al-Quran.”

Selain itu, didiklah juga anak dengan sifat pemurah, adil, benar, sabar, pemaaf, kasih sayang, cinta, kesopanan, zuhud dan tawaduk. Sifat ini adalah sifat nabi dan keluhuran hati Rasulullah SAW yang patut diteladani dalam menjalani kehidupan ini bagi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Selain itu, hati anak hendaklah dididik dengan sifat mahmudah seperti sabar dengan ujian, takut dan harap pada Allah, ikhlas serta selalu mengingati mati.

Anak juga mestilah dididik dengan adab kerana melalui pendidikan mereka akan sentiasa menjaga adab dan kesopanan serta maruah diri.

Tokoh Islam, Hamid Abd al-Khaliq Hamid pernah berkata, perhatikanlah anakmu supaya hatimu dipenuhi keimanan sebelum kamu mengasuhnya, sehingga dapat menumbuhkan kasih sayang dalam jiwanya.

Menurutnya lagi, tataaturan yang keras dalam keluarga membuat peribadi anak bersikap ragu-ragu dalam melakukan segala hal dan rasa takut serta salah selalu menghantui dirinya.

Tugas ibu bapa mendidik anak adalah suatu amanah dan ibadah. Didiklah anak dengan cinta, kasih sayang dan kesopanan dengan lembut dan berhemah. Pendidikan adalah suatu usaha yang bertujuan melayani, memelihara pertumbuhan jiwa, hati, perasaan dan budi pekerti.

Perspektif Ikim: Hubungan peniaga, pengguna perlu berlandaskan akhlak

Oleh Mastura Mohd Zain



TELITI TERMA: Pengguna perlu memahami segala syarat perjanjian sebelum menandatangani sebarang dokumen jual beli atau pinjaman.


Perjanjian mesti dalam persekitaran adil, saksama

MANUSIA pada amnya mengharapkan pelbagai perkara untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pada pandangan Islam, keperluan adalah semua yang perlu bagi menjaga lima asas kehidupan iaitu agama, nyawa, akal fikiran, zuriat dan harta kekayaan.

Lazimnya, manusia berusaha memenuhi keperluan yang paling asas sebelum memenuhi kehendak lain pada peringkat lebih tinggi. Bagi memenuhi tuntutan itu kita akan berurus niaga yang sudah tentu merancakkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, individu atau pengguna perlu sentiasa berhati-hati apabila memasuki sebarang perjanjian/akad yang mengikat mereka kerana kebanyakan perjanjian antara peniaga dan pengguna mengandungi syarat tidak adil.

Walaupun pengguna mungkin mengatakan dia tidak menyedari kewujudan syarat itu atau mungkin tidak membacanya, semua sudah terlewat apabila perjanjian ditandatangani.

Satu daripada perkembangan penting dalam perkara ini adalah kewujudan perjanjian bentuk seragam. Kemunculan perjanjian sebegini menghapuskan andaian bahawa ia hasil kerelaan bebas antara pihak terbabit.

Perjanjian bentuk seragam lazimnya banyak dicetak untuk diguna berulang kali bagi urusan sama. Ini biasanya digunakan oleh syarikat besar dalam urusan dengan pengguna. Penggunaan perjanjian ini begitu meluas sehingga hampir semua perjanjian pada hari ini adalah sebegitu rupa.

Amat sukar bagi pengguna meminda perjanjian bentuk seragam. Tiada rundingan antara kedua-dua pihak, mereka hanya mematuhinya. Perjanjian seperti ini jelas menafikan kebebasan pihak lain, yang selalunya lebih lemah untuk berunding syarat perjanjian.

Mungkin boleh disebut mengenai perjanjian pemberian biasiswa atau pinjaman pelajaran yang diberikan penaja kepada pelajar. Perjanjian sebegini bukan bertujuan berniaga serta mengaut keuntungan, namun jangan terperanjat jika perjanjian sebegini juga mengandungi syarat tidak adil serta bayaran tidak munasabah.

Sepatutnya perjanjian sebegini tidak menganiaya pelajar kerana ia diberi atas tujuan murni, iaitu untuk melanjutkan pelajaran, maka seharusnya niat murni itu juga terpancar pada perjanjian tanpa ada unsur penindasan mereka yang lemah.

Perjanjian bentuk seragam juga mengandungi syarat menghapus atau mengurangkan tanggungan pihak yang menyediakan perjanjian (fasal pengecualian). Contohnya apabila meletak kenderaan di suatu tempat berbayar, kita diberi tiket mengatakan syarikat tidak akan bertanggungjawab jika berlaku apa-apa pada kenderaan ketika berada di situ.

Kebanyakan perjanjian bentuk seragam juga menggunakan bahasa Inggeris. Bayangkan bagaimana seseorang yang tidak memahami bahasa Inggeris ketika menandatangani perjanjian yang mungkin mengandungi syarat yang memudaratkan itu.

Pengguna yang boleh berbahasa Inggeris pula, tetap menghadapi masalah memahami maksud syarat itu. Namun disebabkan tiada pilihan, ramai pengguna selalunya bersetuju dengan syarat itu tanpa memahami maksud sebenar.

Pengguna perlu dilindungi daripada syarat perjanjian yang berat sebelah dan tidak adil.

Undang-undang Inggeris mempunyai akta Akta Terma Tak Adil 1977 (Unfair Contract Terms Act 1977) yang akan mengawal syarat tidak adil dalam perjanjian bentuk seragam, termasuk fasal pengecualian.

Syarat yang didapati tidak adil, tidak boleh dilaksanakan. Malaysia masih belum mempunyai akta sebegini, jadi perlindungan kepada pengguna adalah mustahil. Kita masih dengan andaian bahawa individu itu bebas untuk membuat pilihan bijak, walaupun dalam perjanjian bentuk seragam, andaian itu tidak tepat sama sekali.

Islam menggalakkan usaha mewujudkan persekitaran yang adil dan saksama dalam sebarang perjanjian atau akad. Demi kemaslahatan bersama, pengguna dan peniaga sepatutnya bekerjasama dan berunding.

Pasaran terbuka menggalakkan persaingan, sepatutnya peniaga berminat memberi lebih maklumat dan kefahaman kepada pengguna sebelum mereka membuat keputusan. Kaedah begini lebih berkesan bagi jangka panjang daripada cara mengaut keuntungan segera dengan menindas pengguna.

Hubungan antara kedua-duanya mesti berlandaskan akhlak dan tingkah laku yang digalakkan Islam.

Undang-undang Islam memandang berat unsur penindasan dan penipuan dalam urus niaga.

Pengguna dan peniaga mesti sedar hubungan antara kedua-duanya akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak. Hukuman akibat menipu dan muslihat dalam muamalat kepenggunaan pasti berlaku.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Hasad dengki hancurkan perpaduan ummah

Oleh Hashim Ahmad

PERASAAN hasad dengki sukar dihapuskan dalam jiwa kerana ia lahir di hati kecil tanpa pengetahuan orang lain. Ia bermula daripada perasan cemburu hingga merebak dan berkembang menjadi perasaan tidak tenang.

Akibatnya, seseorang yang dihinggapi penyakit dengki berusaha sedaya upaya untuk memenuhi hasrat hati yang sedang menekan perasaan jiwanya.

Sesungguhnya masalah hasad dengki menjadi punca fitnah besar yang merosakkan perhubungan hidup bermasyarakat sejak manusia mula bertapak di bumi. Perasaan dengki bermula dari anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, hasil hasutan iblis.

Perasaan hasad dengki di kalangan umat manusia membawa kepada gejala buruk yang akan menghancurkan perpaduan dan kerana itu Islam benci mereka yang mempunyai hasad dengki dalam jiwa.

Sesungguhnya setiap kelebihan atau keistimewaan yang diperoleh seseorang adalah kurniaan Allah yang Maha Pemurah. Firman Allah yang bermaksud: "Apakah mereka mendendami manusia disebabkan suatu kelebihan yang Allah berikan kepada mereka?" – (Surah an-Nisa', ayat 54)

Apabila perasaan hasad dengki bercambah dan menyerap ke seluruh jiwa seseorang, dengan sendirinya keadaan hidup mereka menjadi tidak tenang.

Perasaan hati sering tergugat kerana melihat kebahagiaan orang lain. Maka hatinya mula timbul rasa resah dan benci lantas ia pun cuba membuat pelbagai fitnah untuk memburukkan orang dicemburui itu.

Hasad dengki membawa kehancuran perhubungan kasih mesra dalam masyarakat. Penyakit dengki susah diubati dan apabila seseorang itu diresapi dan ia dengan sendiri akan merosakkan sifat tolong menolong dalam masyarakat.

Hasad dengki paling kuat melanda kedudukan agama ialah daripada bukan Islam seperti berlaku pada zaman jahiliah.

Kedudukan Islam diancam pelbagai tipu daya dan fitnah untuk melemahkan keteguhan jiwa umat Islam. Namun mereka yang beriman, tetap teguh memperjuangkan Islam dengan menggadaikan harta dan nyawa demi agama.

Setiap perkara bertujuan baik akan musnah dan hancur jika timbul rasa dengki dan iri hati. Umat Islam yang mengamalkan sifat dengki boleh menyebabkan sinar keagamaan beransur pudar dan setiap gerak langkah mereka terkeluar daripada garis Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jauhkanlah diri kamu daripada dengki kerana dengki itu memakan segala amalan kebajikan sebagaimana api memakan kayu." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya dengki mendengki dan benci membenci sesama sendiri tidak sedikit pun memberi faedah atau keuntungan bahkan merugikan. Lagipun sifat hasad dengki bertentangan dengan dasar Islam dan boleh dianggap sebagai musuh paling ketat.

Untuk keteguhan hati dalam keimanan, kita mesti berpegang teguh kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu dengki mendengki. Jangan kamu putus memutus hubungan, janganlah kamu jauh menjauhi hati, janganlah kamu benci membenci; hendaklah kamu semua wahai hamba Allah hidup bersaudara dan haram bagi seorang Muslim itu menjadi saudaranya tidak bercakap selama tiga hari." (Hadis riwayat Bukhari, Ahmad dan Muslim)

Sunday, July 27, 2008

Ulul Albab: Cendekiawan bukan penghuru hara

Bersama Abdurrahman Haqqi

Ulama selebritis suka tampil dengan pesona, sensasi tapi abai ilmu, kejujuran

PELBAGAI persidangan termasuk seperti Persidangan Antarabangsa Agama Dalam Pencarian Keamanan dan Keadilan Sejagat yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Rabu lalu sudah menjadi trend masyarakat antarabangsa hari ini. Baru-baru ini kita juga mendengar persidangan dialog antara agama di Sepanyol, Islam dan tamadun di Jordan, pendekatan Islam dan Barat di Saudi dan lain-lain.

Persidangan seperti ini lebih diperlukan pada masa ini daripada membincangkan isu usang pemikiran Islam yang tidak akan pernah selesai kerana masing-masing mempertahankan pendirian sendiri sedangkan Islam bukanlah pendirian seseorang, golongan atau mazhab tapi ia adalah apa yang ada dalam al-Quran dan dijelaskan dan diamalkan dalam hadis. Apa pun pendapat selagi ia berdasarkan al-Quran dan hadis, maka ia adalah ajaran Islam sebenar walaupun tidak bermazhab. Sebaliknya apa pun pendapat selagi tidak berdasarkan kepada kedua-duanya maka ia bukan ajaran Islam sebenar walaupun ia bermazhab.

Persidangan semacam ini lebih perlu diutamakan kerana ia adalah salah satu cara menjelaskan ajaran agama Islam kepada umat manusia sejagat yang masih fobia dengan Islam. Oleh itu, sangatlah perlu direalisasikan empat langkah yang digariskan Perdana Menteri bagi memerangi tafsiran sempit ajaran Islam yang dilakukan golongan ekstremis sehingga menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan kesengsaraan kepada ummah.

Keempat-empat langkah itu adalah merombak kurikulum agama di sekolah supaya ia menekankan tafsiran agama bersifat sejagat; golongan cendekiawan Islam mendekati masyarakat bagi menerangkan ajaran Islam sebenar; media perlu memperjuangkan nilai sejagat Islam; dan melaksanakan nilai positif Islam dari peringkat kerajaan hingga keluarga.

Perbincangan ruangan ini hanya akan menyoroti langkah kedua di atas yakni golongan cendekiawan Islam mendekati masyarakat bagi menerangkan ajaran Islam sebenar. Dengan perkataan lain, tugas cendekiawan adalah menjelaskan ajaran Islam dan bukan menjejaskannya seperti sering terjadi kebelakangan ini.

Yang paling berperanan dalam menjelaskan Islam dalam hal ini ialah ulama kerana mereka adalah ahli waris nabi, waratsatul anbiya di mana tugas mereka sebenar adalah maksudnya: "Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa aumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka." (Surah Ibrahim: 4)

Antara contoh kisah cendekiawan termasuk ulama yang menjejaskan ajaran agama adalah kisah Samiri, salah seorang pengikut Nabi Musa. Al-Quran menceritakan maksudnya: "(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: "Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri." (Surah Taha: 85) Samiri adalah seorang cendekiawan yang munafik kerana ia pada zahirnya mengikut agama Nabi Musa tetapi pada batinnya masih berpegang kepada kepercayaan datuk neneknya, penyembah lembu.

Si Samiri ini telah membuat 'huru hara agama' pada masa Nabi Musa dengan menggunakan 'kesempitan akidah' yang sedang melanda umat Musa kerana sedang ditinggal Nabi Musa untuk menerima wahyu. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: "Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa." (Surah Taha: 88)

Malangnya, ia adalah sifat orang yang kesempitan sepanjang zaman, walaupun mereka tahu ia adalah patung tapi mereka tetap percaya juga. Lanjut al-Quran maksudnya: "Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?" (Surah Taha: 89)

Masih ada beberapa kisah dalam al-Quran yang menceritakan mengenai cendekiawan umat nabi yang menjejaskan ajaran nabi mereka.

Menurut seorang sahabat muda penulis, Dr Syamsuddin Arif yang memperoleh dua PhD, masing-masing dari UIAM dan Universiti Frakfurt, Jerman, cendekiawan yang dalam bahasa Inggeris disebut intellect mempunyai banyak pengertian antaranya teori intelektual Julien Benda (1867-1956). Menerusi bukunya La Trahison Des Clercs (1927), Benda memberi beberapa catatan mengenai intelektual. Di antaranya, seorang intelektual adalah pejuang kebenaran dan keadilan, tekun dan menikmati bidang yang diperjuangkannya, tidak ditunggangi kepentingan peribadi dan kepentingan sesaat, berani keluar daripada sarangnya untuk memprotes ketidakadilan dan menyua-rakan kebenaran, walau mahal risikonya. Oleh itu dia tidak takut penjara atau hidup susah.

Satu lagi teori intelektual adalah teori Régis Debray. Dia membahagikan kepada tiga generasi intelektual. Pertama, 1900-1930, terdiri daripada pengajar (teachers). Kedua, 1930-1960, diwakili oleh penulis (writers; novelist, essayist). Dan, ketiga, dari 1960-sekarang, mereka yang disebut sebagai "Cendekiawan Selebritis", yang suka tampil di media massa, yang punya pesona, sensasi dan ingin terkenal dan mengabaikan standard keilmuan dan kejujuran.

Dalam realitinya, cendekiawan di Barat mempunyai beberapa anggapan masyarakat terhadap mereka. Sebagai contoh, di Inggeris dan Amerika, istilah intelektual mempunyai konotasi negatif. Bagi masyarakat Inggeris, intelektual itu sebutan bagi orang yang tidak rasional, egois. Bahkan seorang Setiausaha Luar Negeri pada masa Perdana Menteri Margaret Thatcher, Sir Geoffrey Howe, menyifatkan Salman Rushdie (penulis buku "Ayat-ayat Setan") sebagai 'arrogant', 'a dangerous opportunist', dan 'a multiple renegade'. Lebih jauh lagi, Paul Johnson, dalam bukunya, Intellectuals (1988), mengutuk kalangan intelektual dengan menyatakan, "no wises as mentors, or worthier as exemplars, than the witch doctors or priest of old" atau 'tak layak jadi teladan. '

Intelektual dalam khazanah Islam mempunyai dua jenis, mengikut sejarah dan konteks keislaman, iaitu intelektual sejati; dan intelektual tiruan. Intelektual sejati adalah nabi dan waratsatul anbiya', ahli waris mereka. Merekalah pembela kebenaran, sebagai mana kebenaran yang terkandung dalam al-Quran. Sedangkan cendekiawan tiruan adalah iblis dan pengikutnya.

Jika kita perhatikan lebih jauh, karakter iblis sangat sesuai dengan ciri intelektual di Barat. Ia tidak mahu terikat dengan aturan Allah (non-committal, independent), tidak mahu menyerah (non-conformis), memberontak (rebellion), menentang arus (oppositional), dan lain-lain yang menyatu dalam kata "takbur", sombong, takbur, degil.

Contoh cendekiawan tiruan sangat banyak sekali dalam sejarah. Seperti Kan'an anak Nabi Noh yang menolak naik ke atas perahu, Haman sebagai the intellectual in the service of tyrant, Fir'aun, kaum kuffar dari ahlu kitab pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagai para pakar yang kafir dan sebagainya.

Sebaliknya, intelektual sejati dalam Islam cukup dikenali dengan tiga cirinya. Pertama, dia tidak ada rasa takut menyuarakan kebenaran (la khaufun alaihim wa la hum yahzanun). Kedua, tidak ditunggangi kepentingan peribadi, kelompok, parti dan lain-lain (la yas alukum alaihi ajran wahum muhtadun). Dia hanya ditunggangi kepentingan misi Tuhannya. Ketiga, dia adalah agent of change/agen perubahan, dan bukan subject of change/yang diubah oleh lingkungannya.

Cendekiawan sejati dan murni inilah yang akan menjelaskan ajaran Islam sebenar kepada masyarakat seluruh dunia tidak kira bangsa dan negara sehingga umat manusia sejagat akan merasai rahmatan lil'alamin yang dimiliki Islam sebagai agama yang diredai Allah SWT. Wallahu a'lam.

Persoalan Agama: Dilema gadis berdepan keluarga lemah iman

Bersama Jakim

SAYA pelajar berumur 16 tahun. Di sekolah, saya diajar mengenai pelbagai aspek agama Islam, termasuk ibadat khusus, hukum hakam dan budi pekerti. Malangnya, di rumah, suasana jauh berbeza kerana ibu bapa saya jarang sekali melakukan ibadat, terutama solat. Malah, mereka tidak mempunyai budi pekerti Islam.

Untuk pengetahuan, keluarga saya boleh dikatakan golongan berada. Bagaimana saya boleh menasihati mereka supaya mengamalkan cara hidup Islam. Saya khuatir akan dimarahi apatah lagi dilontar kata-kata seperti 'umur setahun jagung hendak mengajar orang tua'.

Munira Ghazlan,
Selangor.

Ibu bapa adalah dua insan yang wajib dihormati dan ditaati setiap anak, selagi mereka tidak menyuruh melakukan perkara bertentangan dengan syariat Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut: Ayat 8 yang bermaksud:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadahmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semua, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan".

Sebagai seorang anak, saudari perlu berlemah lembut dalam apa juga keadaan, sama ada ketika memberi cadangan, pendapat atau menolak sebarang kehendak mereka yang melanggar hukum agama. Oleh itu, langkah terbaik perlu saudari lakukan bagi menangani masalah dihadapi ialah melalui contoh teladan yang baik dengan melakukan amalan seperti solat, puasa dan membaca al-Quran.

Saudari juga boleh mengajak ibu bapa untuk solat bersama serta menasihati mereka dengan penuh hikmah dan bijaksana, supaya mereka tidak berasakan yang saudari ingin mengajar mereka. Selain itu, berdoalah kepada Allah agar hati ibu bapa terbuka untuk menerima hidayah Allah dan kembali kepada cara hidup Islam.

Ia berdasarkan kepada Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl: ayat 125 yang bermaksud:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."

Persoalan Agama: Perbezaan pendapat wajar pererat persaudaraan

Bersama Jakim

BAGAIMANA hendak membina dan mempereratkan lagi tali persaudaraan umat Islam yang semakin berpecah belah sejak akhir-akhir ini?

Ahmad Hasnan
Kluang, Johor.

Umat Islam adalah bersaudara tanpa mengira latar belakang, warna kulit, adat, bangsa, bahasa dan sebagainya. Ia bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujuraat: Ayat 10 yang bermaksud:

"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Firman Allah dalam Surah al-Imran: ayat 103 bermaksud:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka dengan nikmat Allah itu jadilah kamu sebagai orang Islam yang bersaudara yang mana kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya."

Dalam ayat ini, Allah SWT memberikan beberapa pengajaran kepada hamba-Nya untuk menyatukan perpecahan di kalangan umat Islam. Pertama Allah menyuruh umat Islam supaya menjadi pendamai kepada golongan yang berpecah belah.

Kedua, Allah menyuruh umat Islam supaya berpegang teguh kepada tali Allah, iaitu menyedari dan memahami bahawa umat Islam wajib beriman kepada Tuhan yang satu dan syariat yang satu. Ketiga, mensyukuri nikmat diberikan Allah dalam menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini dengan pelbagai keistimewaan tidak diberikan kepada makhluk lain.

Allah menganugerahkan rezeki kepada semua makhluk di bumi ini dan akan kembali ke tempat kekal abadi yang amalan dilakukan hambanya dihitung dan diberikan pembalasan sewajarnya. Keempat, kaum yang bermusuhan adalah kaum yang tidak mendapat petunjuk dari Allah.

Oleh itu, untuk apa kita berpecah belah kerana perkara yang kecil dan remeh temeh.

Setiap manusia, terutama umat Islam wajib memahami bahawa perbezaan pendapat bukan dicipta untuk mencetuskan permusuhan sesama sendiri, sebaliknya sebagai usaha untuk mencipta persefahaman dalam menyatukan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.

Cara untuk mengembalikan perpaduan dan penyatuan umat Islam ialah melalui program seperti ceramah, forum, dialog, diskusi atau wacana minda kepada seluruh lapisan masyarakat. Perbezaan pendapat dibenarkan Islam sebagai kemudahan kepada umatnya untuk merancang dan memilih keputusan terbaik bukan untuk berpecah belah. Umat Islam wajib bersatu aqidah, hati dan fikiran dalam mencari keredaan Allah SWT.

Disediakan oleh Panel Soal Jawab Agama, Bahagian Dakwah Jakim

Persoalan Agama: Amalan mengumpat tetap dilarang

Bersama Jakim

ADA rakan saya memberitahu bahawa bercerita mengenai orang lain bukan mengumpat dan dibenarkan jika perkara diperkatakan itu benar-benar berlaku. Sebagai contoh dua atau tiga orang bercerita mengenai seorang lelaki yang menggilai isteri orang hingga keluarganya berpecah belah.

Hasnah Darus,
Petaling Jaya, Selangor.

Islam melarang umatnya bercerita mengenai keburukan orang lain. Firman Allah. Dalam Surah al-Hujurat: Ayat 12) yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebilangan daripada kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang dinyatakan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

Apabila mendengar orang lain bercerita keburukan seseorang, ia bermakna kita turut bersubahat, apa lagi jika kita tidak berusaha untuk menghalang perbuatan itu. Pernah diceritakan bahawa pada suatu ketika, seorang ahli sufi juga ulama' abad ketiga Hijrah, Ibrahim ibn Adham terdengar sekumpulan orang mengumpat dan beliau tidak mempedulikan mereka tetapi tidak pula melarang mereka secara bersungguh-sungguh.

Maka dalam tidurnya pada malam itu, beliau bermimpi satu lembaga berkulit hitam menyuapkan sebuku daging khinzir ke mulutnya. Beliau menolak tetapi lembaga itu menyergah dan memaksanya mengunyah daging itu kerana pada hakikatnya, kata lembaga itu kamu memakan daging yang lebih buruk pada siang hari, iaitu daging bangkai saudaranya sendiri.

Saturday, July 26, 2008

Amin iktiraf tokoh dakwah menerusi media

Oleh Hasliza Hassan
bhagama@bharian.com.my

DIIKTIRAF: Ismail menerima anugerah daripada Zahid sambil diperhatikan Wan Mohamad pada majlis Anugerah Media Islam Negara kali kedua di Putrajaya, malam kelmarin.


Komunikasi medium integrasi pertingkat martabat Islam tepati perubahan

ANUGERAH Media Islam Negara (Amin) kali kedua anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berlangsung malam kelmarin bagi mengiktiraf sumbangan pengamal media cetak dan elektronik berjaya memberi persepsi baru dalam dunia dakwah masa kini.

Ibarat majlis penyampaian anugerah Grammy, penerima Anugerah Perdana Media Islam Negara, Datuk Dr Ismail Ibrahim, 71, berkata Amin adalah dakwah integrasi yang mampu meningkatkan martabat Islam melalui media sebagai medium penting.

"Kehadiran serta pembabitan ramai artis tanah air memungkinkan majlis ini setanding majlis anugerah lain dan peningkatan dalam usaha dakwah sentiasa dialu-alukan supaya mengikut atau menepati perubahan semasa," katanya.

Dalam ucapan ringkas selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam Negara kali kedua, Ismail sempat berkongsi perasaannya menerima pengiktirafan terhadap sumbangan yang semuanya hasil daripada cetusan pemikirannya

Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari (Hadhari) Universiti Kebangsaan Malaysia dan Tokoh Maal Hijrah 2002 itu berkata, sumbangan dalam penulisan atau pelaksanaan tugas diamanahkan lahir daripada sifat semula jadi.


TERBAIK: Dari kiri Eja, Razali dan Erma bersama anugerah diterima.

Di samping itu, beliau mengakui pencapaian diraih sekarang adalah berkat asuhan ibunya yang sentiasa berpesan setiap kali keluar untuk menuntut ilmu supaya pergi terus, jangan tengok ke belakang.

"Masa itu saya tidak tahu kenapa ibu saya berkata begitu tetapi sekarang saya faham maksud jangan paling belakang iaitu apabila pergi menuntut ilmu tumpu perhatian kepada apa yang diusahakan," katanya.

Anugerah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid. Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Anugerah Perdana Media Islam Negara diberikan kepada tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam media khususnya mengenai perkembangan dan dunia Islam. Penerima membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi, sijil penghargaan, tiket mengerjakan umrah untuk dua orang dan set kitab tafsir terjemahan Fi Zilal al-Quran.

Pada majlis itu juga akhbar Berita Harian sekali lagi dipilih penerima anugerah Penerbit Akhbar Terbaik untuk kali kedua. Kemenangan itu mengiktiraf sumbangan Berita Harian yang menyediakan dua halaman setiap hari bagi menyiarkan isu semasa mengenai Islam.

Berikutan pemilihan itu, Berita Harian menerima hadiah wang tunai RM2,000, trofi, sijil penghargaan dan set kitab tafsir terjemahan Fi Zilal al-Quran.

Anugerah Amin kali kedua menyediakan empat kategori utama iaitu Anugerah Penerbitan TV, Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Penerbitan Drama, Anugerah Laman Web serta Anugerah Perdana Media Islam Negara.

Sebanyak lima kategori diberikan kepada Anugerah Penerbitan TV iaitu Penerbitan Dokumentari Berunsur Islam TV Terbaik, Penerbitan Majalah Berunsur Islam TV Terbaik, Penerbitan Bicarawara Berunsur Islam TV Terbaik, Penyampai Rancangan Agama TV Lelaki Terbaik dan Penyampai Rancangan Agama TV Terbaik.

Anugerah Penerbitan Radio juga turut merangkumi lima kategori iaitu Penerbitan Dokumentari Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbitan Majalah Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbitan Bicarawara Berunsur Islam Radio Terbaik, Penyampai Rancangan Agama Radio Lelaki Terbaik dan Penyampai Rancangan Agama Wanita Radio Terbaik.

Anugerah Penerbitan Media Cetak pula, lima kategori yang disediakan ialah Penerbit Buku Terbaik, Penerbit Terbitan Berkala Terbaik, Penerbit Akhbar Terbaik, Penulis Buku Terbaik dan Penulis Rencana Terbaik.

Anugerah Penerbitan Drama menyediakan lapan kategori iaitu Penulis Skrip Drama Berunsur Islam Radio Terbaik, Penulis Skrip Drama Berunsur Islam TV Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam Radio Lelaki Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam Radio Wanita Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam TV Lelaki Terbaik, Pelakon Drama Berunsur Islam TV Wanita Terbaik, Penerbit Drama Berunsur Islam Radio Terbaik, Penerbit Drama Berunsur Islam TV Terbaik.

Majlis anugerah kali ini memperlihatkan kelainan apabila menampilkan gandingan pengacara, pelakon, penyanyi dan pelawak terdiri daripada Shamsul Ghau-Ghau, Fazley Yaacob, Fahrin Ahmad dan Wan Ashahilly.

Artis tanah air turut menyerikan Amin sebagai penyampai anugerah antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Aziz Singah, Datuk Yusuf Haslam, Datuk Sarimah Ahmad, Kartina Aziz dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang turut membuat persembahan. Penonton turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi Siti Fairuz, Aris Ariwatan, kumpulan nasyid Far East, Nasir Wahab dan Mohram.

Kemuncak acara malam itu ialah cabutan nombor bertuah untuk semua pengunjung yang menawarkan hadiah pakej umrah serta buku. Malam anugerah Amin disiarkan secara langsung melalui RTM1.

Kebersihan diri rangkumi jasmani, rohani

Oleh Hanafi Mohamed

Islam tuntut umatnya hindari makanan bukan halal, perbuatan syirik

ILMU kesihatan sebahagian daripada ilmu kedoktoran yang mengandungi hukum dan peraturan serta nasihat harus diikuti supaya kesihatan manusia terjaga. Orang yang tidak berpenyakit belum tentu sihat dalam erti kata sebenar.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dimaksudkan dengan sihat adalah suatu keadaan jasmaniah dan rohaniah serta sosial yang tidak mengalami gangguan penyakit atau cacat.

Amalan menjaga kesihatan dan kekuatan jasmani juga dituntut Islam. Mereka yang memiliki tubuh badan atau jasmani sihat akan dapat melaksanakan tugas dan kewajipan harian dengan baik. Begitu juga rohani dan jiwa sihat mampu menghadapi pelbagai ujian iman. Badan sihat dan iman mantap akan membina akhlak mulia.

Disebutkan dalam al-Quran, Allah menyukai orang yang menjaga kebersihan diri dan persekitaran di mana dia berada. Allah berfirman bermaksud: "Dan Allah mengasihi orang yang bersih." (Surah at-Taubah, ayat 108)

Konsep membersihkan diri meliputi zahir dan batin. Bersih diri secara zahir adalah membersihkan diri daripada perbuatan syirik, khurafat dan tahyul, manakala kebersihan dari segi batin pula ialah menjaga hati dari sifat dengki, riak, sombong serta takbur.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci." (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jagalah kebersihan dengan segala cara yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam di atas kebersihan dan tidaklah masuk syurga kecuali orang menjaga kebersihan." (Hadis riwayat Tabrani)

Islam mengajak umatnya sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan serta memeliharanya dengan memakan makanan dan minuman bersih, berzat dan halal. Setiap makanan dan minuman bersih, suci, berzat lagi halal dapat menguatkan ketahanan tubuh badan serta minda hingga dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Amalan makan berlebihan mengakibatkan penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan. Pakar perubatan dan pemakanan mengakui makanan terlalu banyak akan mendatangkan penyakit.

Allah berfirman bermaksud: "Dan makan dan minumlah kamu, jangan berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Amalan berpuasa cara terbaik menjaga kesihatan tubuh badan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Berpuasalah kamu nescaya kamu akan menjadi sihat." (Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Abu Naim)

Di samping itu, Islam mengajarkan umatnya berehat pada waktu malam selepas berpenat lelah bekerja dan berusaha mencari nafkah pada waktu siang. Kerehatan seperti tidur penting kerana dapat memberi keseimbangan keperluan tubuh badan mengekalkan tenaga dan tumpuan fikiran.

Menurut kajian dan catatan ahli perubatan, kanser zakar yang berlaku di dunia lebih banyak dialami lelaki bukan Islam kerana tidak membudayakan khitan. Khitan bagi kaum lelaki yang berkahwin dapat mencegah pemindahan virus kanser ke rahim wanita.

Seseorang itu belum dikatakan sihat jika hanya jasmaninya sihat, sedangkan rohaninya tidak. Walaupun keadaan jasmani nampak sihat, tetapi akhlak atau tingkah laku buruk maka belum tentu dikira sihat.

Begitu juga orang yang terlalu menggemari hiburan sia-sia lagi melalaikan sehingga lupa kepada Allah, maka jiwanya tidak dianggap sihat. Allah berfirman bermaksud: "Janganlah kamu turut orang yang Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami dan mengikut hawa nafsunya dan adalah termasuk perbuatan melampau." (Surah al-Kahf, ayat 28)

Dalam al-Quran banyak ayat penyembuh pelbagai penyakit, di samping cara menghindari segala larangan Allah dengan mengamalkan berzikir, bertasbih, berdoa dan berselawat serta membaca al-Quran atau berdoa.

Ketenangan hati dan jiwa mempunyai pengaruh besar terhadap kesihatan rohani dan jasmani. Firman Allah bermaksud: "Orang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ingatlah bahawa dengan mengingati tenteramlah segala hati." (Surah ar-Ra'd, ayat 29)

Menepati janji, berkata benar bukti kesempurnaan

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

MENGHORMATI, menepati dan melaksana janji dipandang sebagai kewajipan harus diutamakan kerana ia memberi kesan mendalam kepada jiwa, memberi kedamaian dan kesejahteraan. Ia juga jalan keluar untuk memecah segala kebuntuan. Namun, ada kalangan kita masih tidak menepati apa dikata.

Firman Allah bermaksud: "Hai orang beriman mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan. Besar benar dosanya di sisi Allah jika kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan itu." (Surah al-Munafiqun, ayat 1-2)

Allah memerintahkan supaya setiap janji dibuat itu dipenuhi dan ditepati seperti firman-Nya bermaksud: "Hai orang beriman, tepatilah janjimu." (Surah al-Maidah, ayat 1)

Menepati janji dan berkata benar bukti kesempurnaan dan keadilan seseorang. Pepatah Arab ada berkata: "Barang siapa yang bermuamalah dengan seorang lain dan tidak berlaku aniaya. Jika berbicara tidak mengatakan yang dusta dan jika berjanji tidak menyalahi maka jelaslah orang itu memiliki keperwiraan sempurna, nyata pula keadilannya dan haruslah dipereratkan persaudaraan dengannya."

Meremehkan janji atau sengaja untuk tidak menepati apa diucapkan adalah suatu dosa besar yang pasti menyebabkan kebencian dan kemarahan. Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah mengenai janji pernah dibuat sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Penuhilah janji itu, sebab janji itu akan ditanyakan." (Surah al-Isra', ayat 34)

Menepati janji sebahagian daripada iman dan balasannya adalah syurga. Firman Allah bermaksud: "Orang mukmin ialah yang menjaga amanat serta menepati janji, menjaga solat, maka mereka itu yang akan mewarisi syurga Firdaus dan kekal mereka di situ selama-lamanya." (Surah al-Mu'minum, ayat 11)

Namun, masih ada yang petah bercakap, manis di bibir menabur seribu janji. Ada yang tidak segan silu menabur dan menjaja pelbagai janji. Malah, ada sanggup bertopeng kejujuran dan menggadai amanat dengan menabur janji demi janji hanya untuk menjaga kepentingan.

Seorang mukmin tidak mungkin akan menyalahi janjinya dan mustahil pula mengkhianati amanah kerana perbuatan itu menyebabkan kurang dihargai, malah sukar untuk dipercayai.

Suatu ketika Luqmanul Hakim pernah ditanya: "Apakah sebab sehingga kamu dapat mencapai kedudukanmu itu? Beliau menjawab: "Dengan benar dalam berkata-kata, dan menunaikan amanat dan meninggalkan apa bukan kepentinganku."

Ulama tabiin pernah berkata: "Ketahuilah benar itu perhiasan wali dan dusta itu tanda orang yang celaka."

Friday, July 25, 2008

Jauhi amalan baca ramalan bintang

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

KARUT: Sesiapa yang mempercayai apa yang dikatakan tukang tilik boleh jejaskan akidah.

Kepercayaan kepada ahli nujum, tukang tilik bawa kepada kekufuran

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam," katanya.

Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari."

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12.

Program yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu.

Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan.

Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

"Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita hendak tahu ramalan.

"Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.

"Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini," katanya.

Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya.

Beliau berkata, Allah sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah.

Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah mereka.

"Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak," katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib.

Contohnya, isteri yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di langit.

Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.

Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.

"Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.

"Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

"Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan," katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan.

Perpaduan tali melestarikan tamadun umat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Masyarakat Islam jadi hebat, kuat, disegani dan mampu menggentarkan musuh

PERBEZAAN bangsa, warna kulit, tempat atau batasan geografi, kabilah, bahasa dan kebudayaan dalam Islam bukanlah ruang serta peluang untuk manusia berpecah-belah, bermusuh-musuhan dan mengasingkan diri.

Kelainan itu supaya wujud suasana saling berkenalan, kasih-mengasihi yang membawa kepada keharmonian hidup. Seperti disebut Sayid Sabiq: "...Islam menghimpunkan seluruh kaum Muslim dalam satu keyakinan, satu iktiqad, satu cara peribadatan, satu syariat, satu tujuan dan satu dalam segala-galanya". Inilah hasrat murni ajaran Islam sejak zaman lampau.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." – (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Gesaan supaya saling kenal-mengenal antara satu sama lain bertujuan mengeratkan ikatan silaturahim, saling lengkap-melengkapi, bertukar pendapat, berbincang dan memahami adat kebudayaan, berkongsi pengalaman atau pengetahuan sesuatu bangsa.

Perbezaan bukan untuk membanggakan keturunan dengan anggapan keturunan mereka paling mulai berbanding yang lain. Fahaman itu sudah jauh tersasul kerana di sisi Allah kemuliaan seseorang itu diukur daripada ketakwaan kepada Allah.

Persaudaraan terbentuk atas akidah dan kepercayaan yang satu kerana Allah, mencerminkan sebuah keikhlasan hati yang natijahnya terbinalah kekuatan umat Islam kaya dengan sifat kasih sayang.

Persaudaraan sesama Islam yang terjalin dengan penuh kasih sayang ini tidak mungkin akan berlaku kecuali apabila terbebas daripada kepentingan peribadi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dua sahabat berkasih-sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah demi kerana Allah." – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Lantaran itulah ada peristiwa dua sahabat nabi bertemu, mereka tidak berpisah kecuali selepas salah seorang dari kalangan mereka membaca surah al-'Asr kemudian mereka bersalam.

Ia bermakna mereka berjanji setia dengan udang-undang Islam, tetap teguh menggenggam keimanan dan beristiqamah dalam beramal salih, berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran, juga berjanji menjadi umat Muhammad yang sentiasa berjuang demi agama yang suci. Demikianlah yang pernah diungkapkan oleh Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Persaudaraan Islam.

Islam sangat menitikberatkan soal persaudaraan bagi membentuk persatuan dan kekuatan. Ini terbukti berdasarkan persaudaraan dijalinkan semasa hayat Baginda SAW sangat menakjubkan.

Walaupun kaum Aus dan Khazraj bermusuhan sudah beratus tahun, namun Baginda SAW dapat menyatupadukan mereka sebagai sahabat yang akrab dan satu keluarga harmoni di bawah bayangan Islam.

Begitulah persaudaraan sepanjang kehidupannya menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan penuh komitmen, yang diperjuang Rasulullah SAW. Inilah modal kekuatan yang sangat diperlukan untuk memartabatkan syiar Islam.

Dalam peperangan Badar umat Islam hanya 313 orang saja sementara pihak kafir Quraisy berjumlah lebih 1,000 orang. Kemenangan berpihak kepada Islam kerana persaudaraan yang jitu dan padu antara sesama umat Islam.

Mereka senasib sehingga menimbulkan suasana untuk saling bantu-membantu, kuat membantu yang lemah, sihat membantu yang sakit dan berharta membantu yang tidak bernasib baik.

Allah melarang berpecah-belah yang hanya melemahkan dan menghancurkan umat Islam. Firman-Nya yang bermaksud: "Jangan kamu bercerai-berai, sebab kamu akan lemah dan lenyaplah kekuatanmu." – (Surah al-Anfal, ayat 46)

Ibn Al-Qyyim Al-Jauziyah menyebut dalam Tahzib Madarij As-Salikin, tali Allah bermaksud jemaah Islam yang berpegang dengan al-Quran dan hadis serta sentiasa berusaha melakukan ketaatan kepada perintah Allah.

Umat yang berpegang teguh dengan tali Allah sudah tentu mendapat keredaannya. Allah berfirman yang bermaksud: "....barang siapa yang berpegang teguh kepada agama Allah, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus." – (Surah ali-Imran, ayat 101)

Apabila umat Islam bersatu padu dalam segala hal, saling berkasih sayang, bantu membantu dan tegur-menegur ke arah kenaikan, maka sesungguhnya akan lahirlah satu umat yang hebat, kuat, disegani sekali gus mampu menggentarkan jiwa musuh.

Akhirnya syiar Islam mampu tertegak dan tersebar ke segenap pelusuk bumi, tamadun Islam dapat dilestarikan dan seolah-olah itulah hakikat ajaran Islam yang sebenarnya apabila diperhatikan oleh orang bukan Islam.

23 kakitangan PMINT sertai kursus mantapkan kepemimpinan, kerohanian

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

KHUSYUK: Ahmad Shukri memimpin program memantapkan kepemimpinan dan kerohanian peserta.


PERBADANAN Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan kerjasama syarikat perunding Fitrah Power Resources mengadakan kursus Latihan Kepemimpinan Kerohanian di Cherating, Terengganu, baru-baru ini.

Kursus dua hari yang disertai 23 kakitangan PMINT itu untuk memberi peluang peserta menimba pengetahuan dalam memantapkan kepemimpinan diri dan organisasi supaya dapat mencapai matlamat ditetapkan.

Perunding Motivasi Fitrah Power Resources, Ahmad Shukri Yusoff, berkata kepemimpinan kerohanian adalah pendekatan baru yang menekankan aspek kerohanian digarap dengan aspek kepemimpinan bagi meningkatkan kecemerlangan diri, keluarga serta organisasi.

Katanya, melalui pendekatan itu, peserta dibimbing cara mencungkil potensi kepemimpinan diri dan organisasi, merungkai kelemahan dan mencari jalan penyelesaian dalam pengurusan kepemimpinan, selain meningkatkan nilai spiritual sebagai landasan hidup dan melahirkan pemimpin cemerlang di dunia dan akhirat.

"Karakter ialah sikap dan sifat dalam diri individu dan dizahirkan menerusi perbuatan dan tingkah laku. Kursus ini membolehkan mereka fokus karakter pemimpin yang ada dalam diri dengan jelas dan berkesan.

"Matlamat akhirnya nanti kita mahu mereka sedar bahawa pemimpin dan orang yang dipimpin mempunyai fungsi berbeza tetapi saling memerlukan dalam mencapai objektif syarikat melalui semangat kerjasama," katanya.

Katanya, proses pengurusan kepemimpinan kursus itu membabitkan enam fungsi utama iaitu muhasabah, merencana, menyusun, mengarah, melaksana dan memantau yang akhirnya nanti dapat membantu merungkai kelemahan serta menyelesaikan masalah.

Ahmad Shukri berkata, kursus Latihan Kepemimpinan Kerohanian juga menekankan dua aspek penting iaitu komunikasi berkesan dan menjaga hubungan baik antara pemimpin dengan orang yang dipimpin.

Beliau berkata, kepemimpinan berkesan ialah kepemimpinan yang mampu membawa dua elemen duniawi dan ukhrawi secara seimbang yang membabitkan penguasaan dalam bidang kepemimpinan tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai Muslim.

"Dalam kursus ini kita juga membantu membuka minda peserta dengan membawa mereka menilai kembali kualiti perlu ada dalam diri seorang pemimpin melalui contoh dan teladan ditonjolkan tokoh lalu dan pemimpin sekarang," katanya.

Antara penceramah jemputan yang menjayakan kursus itu ialah penceramah Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, Kadi daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin dan Abas Awang. Mereka menyampaikan ceramah mengenai elemen kepimpinan spiritual, kemahiran kepemimpinan dan tarbiah kepemimpinan.

Thursday, July 24, 2008

Kemurnian hati dorong amalan mulia

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

BANTU: Menolong orang lain dengan zakat menyebabkan hati menjadi lembut dan penyantun.

Niat baik daripada keikhlasan jiwa cerminkan kualiti ibadat, perbuatan insan

APABILA berbicara soal hati, Rasulullah SAW memaklumkan bahawa dalam diri manusia ada segumpal daging, yang jika baik daging itu maka baik pula manusia itu. Sebaliknya jika daging itu buruk dan busuk, maka kualiti orang itu sudah tentulah tersangat rendah dan itulah hati.

Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya. Dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.

Contohnya, kita bersedekah kepada seorang miskin. Kelihatannya itu adalah perbuatan mulia, tetapi jika niat kita untuk menyombongkan diri kepada orang lain bukan kerana belas kasihan kepada si miskin, maka perbuatan itu sebenarnya tidak mulia lagi.

Kedua-dua perkara ini sebetulnya mengajarkan hal yang sama, bahawa kualiti keagamaan kita sebagai Muslim boleh dilihat daripada hati yang dimiliki setiap individu.

Hati adalah 'cermin' kepada segala perbuatan kita. Setiap kita melakukan perbuatan, maka hati kita akan mencerminkan niat yang sebenarnya dari perbuatan itu. Jadi, hati lebih menggambarkan perbuatan kita sedangkan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.

Oleh sebab itu, Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Jika hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati kita agar menjadi baik. Seperti puasa, tujuannya untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa dalam terminologi Islam.

Takwa adalah contoh kualiti hati. Orang yang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang yang bertakwa juga akan bersedekah ketika tiada mata yang melihat dan berbuat baik ketika semua orang menjadi jahat.

Demikian juga solat. Tujuan utama solat adalah membuka kepekaan hati. Orang yang solatnya baik, memiliki kepekaan hati untuk membezakan yang baik, buruk, bermanfaat dan yang membawa mudarat. Sebab itulah solat yang baik boleh menyebabkan kita jauh dari hal yang keji dan mungkar.

Tujuan utama zakat adalah melatih hati kita untuk peduli kepada orang yang lemah dan tidak berdaya. Hidup harus saling menolong, supaya tidak terjadi kezaliman yang menyebabkan kejahatan. Malah, kebiasaan menolong orang lain dengan zakat akan menyebabkan hati kita menjadi lembut dan penyantun.

Seluruh aktiviti ibadah termasuk mengerjakan umrah bertujuan melembutkan hati. Apa perlunya hati yang lembut? Kerana hati yang lembut itulah yang akan menyelamatkan kita ketika hidup di akhirat nanti.

Hati yang lembut adalah hati yang terbuka dan peka terhadap sekitarnya. Sedangkan hati yang kasar dan keras adalah hati yang tertutup terhadap sekitarnya seperti firman Allah dalam ayat yang bermaksud: "Dan barangsiapa di dunia ini buta hatinya, maka di akbirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya." (Surah al Israa, ayat 72)

Ayat itu memberi gambaran yang sangat jelas bahawa hati menjadi sasaran utama peribadatan kita dan al Quran memberikan maklumat yang sangat banyak mengenai hati sehingga tidak kurang dari 188 kali informasi mengenai hati diulang-ulang.

Ada beberapa tingkat kualiti hati yang buruk dalam Islam iaitu yang pertama adalah hati yang berpenyakit. Orang yang di hatinya ada rasa iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati yang berpenyakit.

Firman Allah bermaksud: "Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta" (Surah al Baqarah, ayat 10)

Kedua ialah hati yang mengeras. Hati yang pada peringkat awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan menjadi mengeras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, pendendam, berdusta dan suka memaki hamun, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatannya kerana sering diulang-ulang dan menjadi biasa. Mereka menganggap bahawa apa yang mereka kerjakan adalah benar malahan normal.

Firman Allah yang bermaksud: "Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan". ( Surah al An'aam, ayat 43)

Tingkat ketiga adalah hati yang membatu. Hati yang keras kalau tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. Al Quran menyebutnya sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan." (Surah l Baqarah, ayat 74)

Sesuatu yang telah mengeras menjadi batu sudah tentulah sukar untuk dilembutkan semula kerana sifat batu itu tidak akan lembut melainkan jika dihancurkan hanya menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukarnya melembut hati samalah seperti tidak mungkin melembutkan batu menjadi kapas.

Tingkat keempat pula adalah hati yang tertutup iaitu apabila hati tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu di dalam firman yang bermaksud: "Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka." (Surah al-Muthaffifin, ayat 14)

Terakhir ialah hati yang dikunci mati, iaitu hati yang tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan pembabitan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat." (Surah al Baqarah, ayat 6-7)

Sebaliknya hati yang baik adalah hati yang bergetar apabila disebutkan nama Allah, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Iaitu orang yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka, orang yang sabar terhadap apa yang menimpa mereka, orang yang mendirikan sembahyang dan orang yang menafkahkan sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka." (Surah al-Hajj, ayat 35)

Sesungguhnya betapa seketul hati yang kecil itu tinggi nilainya berbanding daging yang lain. Jika seisi tubuh badan ini kenyal dengan daging yang merah berdarah, tetapi hati yang kecil itu lompang dek penyakit, kaku kerana mengeras, kelu dan membatu, tiada getaran lagi kerana tertutup rapat dan tidak fungsi kerana sudah mati, tiada apa lagi yang berbaki melainkan hari yang tiada isi, berbuat baik jauh sekali, ibadat berkira apatah lagi menggerak badani, akhirnya akal juga mati kerana tiada manusia yang bahagia tanpa hati yang murni.