Oleh Noor Shakirah Mat Akhir
Manusia perlu sayangi bumi untuk manfaat hidup, bukan memusnahkan
FAKTOR menyumbang kepada sikap rakus manusia terhadap alam sekitar mula dikaji saintis serta cendikiawan agama. Antara yang termasuk dalam skop kajian ialah melihat nilai asas yang mempengaruhi persepsi dan cara interaksi manusia dengan alam.
Kajian turut melihat kepada peranan agama dalam membentuk sikap dan falsafah pemikiran manusia sehingga menghasilkan tatacara kehidupan.
Krisis alam sekitar hari ini berkait rapat dengan kepercayaan manusia terhadap tuhan dan bukan sekadar bagaimana seseorang itu melihat keperluan alam sekitar untuk kepentingannya semata-mata.
Perbincangan daripada perspektif Islam perlu melihat permasalahan ini secara menyeluruh termasuk hakikat kejadian manusia, peranan sebagai makhluk Allah, hak dan tanggungjawab kepada Allah dan alam untuk mencari puncanya serta penyelesaian.
Semua agama, adat dan budaya, aliran pemikiran serta falsafah sosial bertepatan dengan pandangan sejagat yang menjadi asas kepada sesuatu kepercayaan. Asas utama kepada pandangan keseluruhan Islam ialah tauhid atau tuhan yang satu.
Pandangan keseluruhan berasaskan tauhid melihat alam sebagai kejadian Allah dan semua akan kembali kepada-Nya. Tauhid ialah ukuran kepada fikiran dan perlakuan manusia dan ia menyeluruh serta mempengaruhi semua aspek usaha manusia.
Fitrah kejadian manusia ialah satu lagi aspek penting kepada gambaran keseluruhan Islam. Manusia mempunyai tanggungjawab penting dalam alam ini. Walaupun semua kejadian dijadikan Allah, manusialah yang berperanan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh." (Surah al-Ahzab, ayat 72)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya. Lalu seluruh malaikat itu bersujud semuanya." (Surah Sad, ayat 72-73)
Ayat ini memberi kefahaman mengenai kedudukan manusia dan peranannya di dunia. Walaupun manusia juga adalah kejadian Allah, namun manusia lebih berkuasa daripada makhluk lain. Hanya kepada manusia malaikat diarahkan supaya tunduk tanda hormat.
Apabila kuasa diberikan Allah kepada manusia dilaksanakan tanpa kawalan terhadap tanggungjawab sebenar, bermakna manusia sudah menyalahgunakan kebolehan, potensi dan haknya yang diberikan Allah.
Alam ini diberikan Allah kepada manusia untuk dipertanggungjawabkan. Oleh itu, manusia perlu menggunakan hak ini untuk manfaat hidup dan bukannya memberontak serta memusnahkannya.
Allah menurunkan wahyu dan undang-undang syariah yang difahami untuk membantu manusia serta sebagai panduan dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Kesan daripada iman tauhid dan penerimaan tanggungjawab diamanahkan Allah ialah kepatuhan manusia kepada perundangan disyariatkan.
Syariah memberikan panduan yang praktikal mengenai tatacara akhlak Islam. Tiada permasalahan mengenai moral atau etika dalam Islam yang hanya berbentuk idea abstrak semata-mata, malah ia disusuli dengan aspek praktikal.
Kepercayaan kepada hari pembalasan juga adalah penting dalam pegangan agama. Aspek kepercayaan ini mengawal perlakuan seseorang yang meyakini bahawa segala perbuatannya akan menerima pembalasan di alam akhirat nanti.
Aspek kepercayaan ini juga sudah tentu memberi kesan kepada interaksi manusia terhadap makhluk lain yang di sekelilingnya. Allah berfirman yang bermaksud: "Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikitpun dan kamu tidak dibalas, kecuali dengan apa yang kamu kerjakan." (Surah Yasin, ayat 54)
Krisis alam sekitar atau apa saja krisis yang berlaku adalah disebabkan perlakuan manusia. Ia bermula dengan krisis spiritual manusia terutama dalam era tamadun masa kini. Dalam mencari cara penyelesaian, memerlukan penilaian semula (muhasabah) cara hidup, matlamat serta kefahaman manusia terhadap diri dan alam sejagat.
Di samping keupayaan intelek, manusia diberikan naluri kemahuan. Dengan dua kuasa hebat itu, manusia berupaya mengarahkan nasib dan memilih jalan sama ada menuju kebahagiaan atau kemusnahan.
Setiap individu bertanggungjawab diatas destinasi yang dipilihnya. Oleh itu, manusia perlu berfikir dengan teliti dalam setiap tindakannya dan mencari jalan menuju keselamatan.
Penulis ialah pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Monday, July 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment