Sunday, July 13, 2008

Ulul Albab: 4 golongan laksana risalah Allah

Oleh Abdurrahman Haqqi

Nabi, siddiqin, syuhada dan salihin tonggak keberhasilan masyarakat unggul
SETIAP Muslim wajib membaca surah al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam jika dia masih mahu diperakui sebagai seorang Muslim. Dalam surah yang dibahagikan menjadi dua bahagian oleh Allah itu membabitkan sebahagian milik-Nya dan sebahagian lagi milik hamba-Nya – seorang Muslim selalu berdoa, ihdinassiratal mustaqim, anugerahkan kami petunjuk menuju jalan yang lurus. Dan jalan yang lurus ini adalah jalan orang yang diberikan nikmat oleh Allah SWT. Siapa mereka?

Dalam surah lain, orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah adalah maksudnya: "Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi, siddiqin, orang yang mati syahid dan orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." – (al-Nisa: 69)

Ayat ini datang sejurus selepas ayat yang bermaksud: "Dan pasti Kami tunjukkan mereka kepada jalan yang lurus." – (Surah al-Nisa: 68)

Begitu pula apabila kita membaca tahlil dan doa arwah, kita sentiasa mendoakan mereka supaya dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan orang dianugerahi nikmat daripada nabi, siddiqin, orang mati syahid dan orang soleh. Allahumma unqulhum min diq al-qabri wa al-luhud ila jannatika jannatil khulud... Ya Allah, pindahkan mereka daripada sempitnya kubur dan liang lahat ke taman syurga-Mu yang kekal bersama orang yang Engkau anugerahkan nikmat daripada golongan nabi, siddiqin, syuhada, dan salihin.

Empat golongan inilah yang menjadi tonggak keberhasilan dakwah setiap nabi yang membawa risalah agama. Jika tidak ada mereka, maka risalah itu akan sia-sia tanpa makna. Mereka adalah golongan yang mempercayai risalah ajaran agama yang diturunkan Allah kepada manusia.

Nabi sebagai pemimpin membawa risalah agama, siddiqin sebagai pengikut mempercayai bulat-bulat ajaran risalah berkenaan. Syuhada pula sebagai pengawal memperjuangkan dengan harta dan nyawa mereka risalah yang dibawa nabi itu, manakala salihin sebagai pelaksana adalah golongan manusia yang mengamalkan risalah secara amnya agar agama Allah tetap dilaksanakan di muka bumi. Dengan kewujudan empat golongan manusia ini maka terserlah pelaksanaan risalah Allah dan sempurnalah agama.

Keempat-empat golongan ini adalah tonggak keberhasilan masyarakat utama yang unggul yang dicita-citakan al-Quran. Dengan kewujudan mereka, nikmat dan rahmat kurnia Allah akan diperoleh oleh sesuatu umat.

Imam Fakhrurrazi dalam kitab tafsirnya, Mafatih al-Ghaib, jilid 5, muka surat 273-278 menjelaskan secara terperinci keempat-empat golongan dalam ayat 69 Surah al-Nisa di atas.

Jika nabi sudah jelas siapa sebenarnya mereka, tapi siddiqin, syuhada dan salihin belum jelas personaliti mereka. Oleh itu, Imam Fakhrurrazi ketika sampai pada penjelasan nabi tidak menjelaskan secara terperinci. Tapi, baki tiga golongan dijelaskan lebih lanjut. Kenabian adalah sifat yang tidak boleh didapati oleh siapa pun kecuali diberikan Allah, manakala sifat siddiq, syahid dan soleh boleh diperoleh oleh sesiapa yang mendambakan dan mencarinya.

Dalam mentafsir tiga sifat berkenaan, al-Razi menyebut bahawa ada yang berpendapat ketiga-tiga sifat itu hanya dimiliki oleh seseorang saja tapi ada juga yang berpendapat bahawa ia boleh dipisahkan yakni masing-masing satu sifat bagi tiga golongan manusia.

Siddiqin pula ada yang berpendapat bahawa mereka adalah mana-mana individu yang mempercayai mana-mana agama, atau pembesar di kalangan sahabat nabi, atau orang yang terdahulu mempercayai nabi.

Di pihak lain, syuhada tidak hanya dikhaskan bagi orang yang mati syahid dalam memerangi orang kafir tapi ia lebih luas lagi daripada sekadar terbunuh dalam peperangan. Al-Razi mempunyai beberapa alasan mengenainya termasuk pengertian syahadah lebih luas daripada hanya mati syahid tapi ia juga boleh bermakna apapun perjuangan dan orang mukmin diajarkan untuk berdoa meminta syahadah di mana jika ia diertikan dengan mati syahid saja maka ia dilarang oleh agama kerana kita dilarang untuk memohon kematian dari Allah.

Jadi, pengertian syuhada dalam ayat ini adalah orang yang mempercayai kebenaran agama Allah menerusi perjuangan dengan hujah dan penjelasan mahupun perjuangan pedang dan alat peperangan yang lain.

Akhirnya, orang soleh adalah orang yang betul dan benar akidah serta amal ibadahnya kerana kebodohan adalah kerosakan i'tikad, manakala maksiat adalah kerosakan amal ibadah. Kesimpulannya menurut al-Razi setiap siddiq adalah syahid tapi tidak setiap syahid adalah siddiq. Begitu pula, setiap syahid adalah orang soleh tapi tidak setiap orang soleh adalah syahid.

Keempat-empat golongan di atas adalah pelaku dakwah, sekali gus hasil daripada kejayaannya yang dilakukan berdasarkan ayat yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk." – (Surah al-Nahl:125)

Dalam konteks umat Nabi Muhammad SAW, keempat-empat golongan adalah hasil upaya Nabi yang dijelaskan al-Quran maksudnya: "Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan." – (Surah al-Nahl:127)

Dalam beberapa riwayat hadis dikisahkan bahawa ada beberapa sahabat nabi berasa sedih dan gundah gulana apabila memikirkan keadaan masa hadapan di akhirat. Seorang antara mereka ada yang berkata kepada Rasulullah bahawa dia selalu mengingati Baginda walaupun dia sudah sampai di rumah kemudian kembali lagi ke masjid hanya untuk berjumpa dengan Baginda. Yang menyedihkannya adalah jika di akhirat kelak, bagaimana dia boleh berjumpa dengan Nabi kerana dia tidak sedarjat. Allah mendengar rintihan ini dan tidak membiarkan kesedihan lama berlaku maka diturunkan wahyu yang memberi khabar gembira dalam ayat 69 Surah al-Nisa di atas.

Walaupun mereka tidak sedarjat dengan Nabi, tapi mereka boleh bersama dengan Nabi sebagai habuan daripada taat mereka kepada Allah dan Rasul-Nya.

Satu pertanyaan yang mungkin dibangkitkan di sini adalah bagaimana dengan kehidupan hari ini di mana sudah tidak ada Nabi lagi?

Kemusykilan di atas boleh diatasi dengan satu kenyataan bahawa ulama adalah pewaris Nabi. Jadi penyebar ajaran agama menjadi tanggungjawab ulama dan di samping ulama ada siddiqin, syuhada dan salihin yang selalu berganding bahu dalam menegakkan agama Allah.

Agama Allah memerlukan ulama, siddiqin, syuhada dan orang salih agar ia tetap hidup menurut rancangan Ilahi. Dengan tegaknya agama Allah yang dilaksanakan oleh keempat-empat golongan ini maka kenikmatan hidup di dunia akan dikecapi oleh umat sebagaimana mereka akan mengecapi di akhirat kelak. Oleh itu, jika masyarakat ingin mendapatkan nikmat dunia maka mereka mestilah menghargai keempat-empat golongan ini agar keberkahan hidup dianugerahkan Allah.

Dalam sebuah hadis disebutkan maksudnya: "Hai manusia, sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar, dan faham agama itu dengan menuntut faham, dan siapa yang Allah menghendaki kebaikan pada dirinya, Dia menjadikannya memahami agama, dan sesungguhnya yang takutkan Allah itu adalah ulama'. (Hadis riwayat Bukhari)

Keempat-empat golongan ini dalam menjunjung tugas melaksanakan ajaran agama akan sentiasa mengingati perintah nabi yang bermaksud: "Tegakkan batas-batas Allah pada yang hampir dan yang jauh dan jangan pedulikan celaan orang yang mencela di dalam perkara agama Allah." – (Hadis riwayat Ibnu Majah). Dan juga hadis yang bermaksud: "Maka sesungguhnya kamu dibangkitkan sebagai orang yang bersikap pemudah bukannya pemayah." – (Hadis riwayat Bukhari)

Keempat-empat golongan ini akan menjadikan manusia sebagai manusia dan menonjolkan kemanusiaan manusia bukan kebinatangan manusia agar mengecapi kenikmatan hidup. Mempromosi kemanusiaan manusia adalah satu keindahan.

1 comment:

Hamizan said...

Assalamu'alaikum.

Tuan, bagaimana para siddiqin adalah mana-mana individu yang mempercayai mana-mana agama seperti terpapar dalam artikel di atas? Agama yang diterima di sisi Allah HANYALAH ISLAM. Mohon buat pembetulan.

"Siddiqin pula ada yang berpendapat bahawa mereka adalah mana-mana individu yang mempercayai mana-mana agama, atau pembesar di kalangan sahabat nabi, atau orang yang terdahulu mempercayai nabi."

Sekian, terima kasih.

HAMIZAN BIN HAIDZIR
013-9281057