Monday, July 14, 2008
Kursi Syeikh Abdullah Fahim bentuk pemikiran Islam dalam konteks semasa
KURSI Syeikh Abdullah Fahim yang ditempatkan di Institut Islam Hadhari (Hadhari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan menempatkan sarjana Islam tersohor untuk melakukan kajian pelbagai bidang ketamadunan Islam. Wartawan HASLIZA HASSAN menemu bual penyandang pertama Kursi Sheikh Abdullah Fahim, DATUK DR ISMAIL IBRAHIM.
Ismail ketuai Hadhari kaji perkembangan guna pendekatan realistik
Tahniah atas pemilihan Datuk sebagai penyandang pertama Kursi Sheikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari UKM. Bagaimana Datuk melihat pemilihan ini serta tanggungjawab yang datang bersamanya?
Terima kasih. Selepas kembali dari Arab Saudi saya dipelawa Hadhari UKM untuk menjadi penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim. Saya terima kerana tujuannya adalah baik untuk menjadikan Hadhari sebagai pusat penyelidikan pembangunan Islam dalam konteks moden antara hubungan Islam dengan kehidupan manusia, sains, teknologi, ekonomi dan alam sekitar. Konsep Islam yang cuba disejagatkan ialah Islam yang dinamik disebut sebagai ad-din iaitu sistem cara hidup lengkap. Saya melihat tanggungjawab ini sebagai kelangsungan pembabitan dalam bidang akademik selama ini ketika bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang menjadi wadah dalam agenda Islam. Sebagai penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, ia adalah tanggungjawab baru mengikut perkembangan semasa dunia Islam yang memerlukan pendekatan realistik tanpa melupakan prinsip Islam.
Boleh Datuk jelaskan peranan sebagai penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim.
Saya akan ada pasukan sama ada sebagai penolong penyelidik atau penyelidik bersama. Jadi, saya akan mengetuai beberapa pasukan penyelidik yang dianggotai ahli penyelidik daripada pelbagai latar belakang disiplin seperti sains sosial, alam sekitar, ekonomi, teknologi maklumat (IT) dan pengajian Islam. Mereka ini juga boleh digabungkan dalam satu kumpulan kerana kita perlu penyelidikan yang bersepadu. Saya ibarat mualim atau guru yang mengetuai kumpulan akademik dalam bahagian ini. Topik akan dibincangkan bersama dan saya juga akan berikan idea.
Berapa ramai ahli penyelidik atau pasukan penyelidik yang akan terbabit dan adakah penyelidik terdiri daripada ahli akademik UKM saja. Bila agaknya penyelidikan akan dimulakan?
Saya baru mula bertugas awal Julai tetapi beberapa perbincangan sudah dibuat mengenai pelan penyelidikan yang akan kita laksanakan. Ahli penyelidik mungkin dari UKM sendiri dan jika perlu kita akan dapatkan tenaga luar mengikut peruntukan kewangan. Kita tidak menetapkan jumlah atau tempoh penyelidikan kerana itu semua berdasarkan isu dan bidang penyelidikan yang akan dijalankan. Maknanya mungkin akan ada dua atau tiga penyelidikan dilakukan secara serentak. Namun yang pasti, kita mahukan hasil penyelidikan itu nanti memberi manfaat kepada masyarakat dan dunia Islam kerana sekarang ini tidak ada jambatan menghubungkan ahli akademik dengan masyarakat. Kita tidak mahu ini berlaku kerana tujuan kita membuat penyelidikan supaya hasilnya nanti dapat diperluaskan dan membentuk pemikiran rakyat. Sebolehnya kita mahu aktiviti penyelidikan dimulakan secepat mungkin.
Bagaimana dengan skop atau bidang yang menjadi tumpuan penyelidikan?
Islam tidak harus dipisahkan daripada kehidupan kerana Islam ada hubungan rapat dengan politik, ekonomi, alam sekitar, teknologi dan bidang lain. Bidang penyelidikan kita akan membincangkan banyak isu mengenai pembangunan Islam di Malaysia, merangkumi Islam pada peringkat antarabangsa dan hubungan Islam dengan agama lain. Contohnya, kita akan bincangkan dari sudut integrasi kaum di Malaysia kerana Islam bukan agama bercorak perkauman, sebaliknya Islam lebih terbuka, sejajar pembangunan global dan moden. Fokus dalam negara juga meliputi perkembangan terbaru yang berlaku sementara luar negara menyentuh perkembangan dunia Islam dalam konteks masalah semasa.
Memang sudah ada yang membuat kajian dalam bidang ini tetapi ia perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan kerana kita tidak boleh berpegang kepada hasil kajian yang lama. Dunia mengalami perubahan dan Islam sebagai agama yang menerima perubahan, sesuai dengan perkembangan zaman, masa juga pemikiran. Maknanya, kita sesuaikan dengan dasar dan prinsip Islam. Kita harus tentukan haluan. Sekarang ini kurang kajian dilakukan atau jika ada, dilakukan secara terburu-buru dan tidak mempunyai strategi lebih jauh. Oleh itu, kita harus tumpukan dari sudut itu.
Apakah prinsip yang akan dijadikan panduan supaya hasil penyelidikan nanti menepati matlamat Hadhari sebagai pusat rujukan dan latihan bagi melahirkan sarjana penyelidik?
Kursi ini dinamakan Kursi Syeikh Abdullah Fahim, maknanya latar belakang beliau adalah pendidikan Islam dengan penubuhan sekolah serta pendidikan dibawa sebagai orang yang mempunyai latar belakang pengetahuan agama yang hebat.
Matlamat institut ini juga jelas untuk membudayakan penyelidikan di kalangan pemikir Islam, selain menjadi wadah pembangunan penyelidikan serta pangkalan data isu berkaitan keagamaan dan ummah. Justeru, prinsipnya tentu berasaskan kepada prinsip Islam.
Jika kita kata kita sesuai dengan dasar globalisasi, modenisasi dan sebagainya, ia harus menjaga daripada sudut nilai akhlak, moral Islam dan nilai Islam yang sejagat supaya hasilnya nanti boleh diterima manusia tidak kira latar belakang agama atau budaya seperti perasaan hormat menghormati, disiplin dalam hidup, adab sopan dan etika.
Pendekatan penyelidikan juga perlu lebih realistik dengan keadaan masyarakat sekarang tanpa melupakan prinsip Islam. Ini yang selalu disebut orang luar, Islam membangun di Malaysia dalam keadaan yang moden tetapi masih berpijak pada prinsip dan dasar pokok Islam, tidak menyeleweng. Ada dunia Islam kadang-kadang membangun sebagai dunia moden tetapi meninggalkan ajaran islam yang asasi. Sebab itu mereka kagum dengan Malaysia. PROFIL: Dr Ismail Ibrahim TARIKH LAHIR: 12 Mei 1937 TEMPAT LAHIR: Kampung Matang Berangan, Sungai Petani, Kedah. PENDIDIKAN:
Ijazah sarjana Bahasa Arab Universiti Al-Azhar, Mesir (1967).
Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Arab Universiti St Andrew, Scotland (1975). KERJAYA:
Bekas guru agama di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani dan Aminuddin Baki Kuala Lumpur.
Penolong Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1970an-1982).
Pengarah Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa (1991).
Juru perunding penubuhan IKIM di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) (1992-2002).
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.
Duta Besar Malaysia di Arab Saudi (2005 - Februari 2008). ANUGERAH:
Tokoh Maal Hijrah 2001.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment