Sunday, July 20, 2008

Ulu Albab: Burung jadi kiasan suratan amal

Oleh Abdurrahman Haqi

Pada Hari Kiamat mulut terkunci, anggota badan jadi saksi atas perlakuan manusia BURUNG dalam bahasa Arab 'tair' mempunyai tempat tersendiri dalam al-Quran. Pada zaman moden ini, kapal terbang disebut 'tairah' dalam bahasa Arab. Antara burung yang terkenal disebut adalah burung hud-hud yang menjadi salah satu satelit, perisik dan pemberita Nabi Sulaiman dalam mentadbir kerajaan paling perkasa serta tiada bandingannya dalam sejarah manusia dan jin.

Al-Quran menceritakan maksudnya: "...Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya..." - (Surah al-Naml: 22)

Dalam kisah ini, burung menjadi salah satu jentera pentadbiran kerajaan Nabi Sulaiman. Burung gagak adalah guru pertama manusia yang diutus Allah untuk mengajar mereka bagaimana menanam mayat. (Baca Surah al-Maidah: 31).

Selain itu, burung dijadikan iktibar oleh Allah untuk manusia yang bermasyarakat seperti ditegaskan dalam ayat 38 Surah al-An'am maksudnya: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu." Sekadar untuk membuktikan kebenaran ayat ini, sebagai contoh kita boleh menonton program Discovery Channel atau The Animal Planet.

Burung juga dijadikan kiasan oleh manusia bagi baik buruknya nasib mereka dalam tiga ayat al-Quran termasuk firman Allah bermaksud: "Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan, mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha kami", dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Allah berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya." – (Surah al-A'raf: 131).

Untuk kisah Nabi Salih dengan cerita yang sama boleh dibaca dalam ayat 47 Surah al-Naml. Untuk kisah keseluruhan nabi dengan cerita yang sama boleh dirujuk ayat 13-19 Surah Yasin.

Berkenaan dengan mengapa burung dijadikan sebagai tanda baik buruknya nasib seseorang, Imam Al-Zamakhsyari dalam kitab tafsirnya al-Kasysyaf menjelaskan bahawa pada masa lalu apabila seseorang akan berpergian mereka menggunakan khidmat burung. Apabila burung terbang ke kanan ketika dilepaskan maka ia petanda baik dan sebaliknya jika ia terbang ke kiri maka ia petanda buruk.

Burung atau 'tair' juga dijadikan kiasan bagi suratan amal manusia. Pada burung itu semua amal manusia yang baik dan buruk, disengaja dan tidak disengajakan akan dicatat pada Hari Kiamat akan dia baca seluruhnya. Pada ketika itu tidak ada kebohongan dan pembohongan mengenai apa jua perbuatan manusia terbabit.

Allah berfirman maksudnya: "Dan tiap-tiap seorang manusia, Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada Hari Kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya). (lalu Kami perintahkan kepadanya): "Bacalah Kitab (suratan amal)mu, cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan. Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga..." - (Surah al-Isra': 13-15).

Ketika memberikan penjelasan terhadap ayat 13 di atas, Syeikh Abdullah Basmeih dalam nota (612) Tafsir Ar-Rahman menulis: "Setelah Allah Ta'ala menerangkan dalam ayat yang lalu tentang kitab suci al-Quran yang menjelaskan satu persatu amal yang baik dan yang jahat, lalu diterangkan dalam ayat ini tentang 'Kitab Manusia' atau 'Suratan Amalnya' yang tertulis di dalamnya segala perkara yang dilakukannya dengan ikhtiarnya sendiri, sama ada amal baik atau jahat. Amalnya itulah yang menentukan nasibnya sendiri. Jika baik amalnya, maka selamatlah dia dunia dan akhirat, dan jika jahat amalnya maka celakalah dia dunia dan akhirat. Amalnya dan nasibnya diibaratkan sebagai benda yang dikalungkan di lehernya yang tidak dapat dipisahkan daripada dirinya, kerana dialah sendiri yang bertanggungjawab terhadapnya."

Ketika membentangkan semua amal yang dilakukan sama ada baik atau buruk, setiap manusia pada Hari Kiamat akan ditutup mulutnya kerana pepatah Melayu ada mengungkapkan: 'lidah tak bertulang, tak terbatas kata-kata'. Sebaliknya, yang akan berbicara adalah semua anggota badannya. Mata akan naik saksi tentang apa yang ia lihat. Telinga akan naik saksi mengenai apa yang ia dengar. Kaki akan naik saksi tentang apa ia lakukan. Tangan akan naik saksi tentang apa yang ia buat. Dan kulit akan naik saksi tentang apa ia rasakan.

Allah berfirman maksudnya: "Pada waktu itu Kami meterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang yang mereka telah usahakan." - (Surah Yasin: 65).

Di tempat lain, Allah berfirman maksudnya: "Dan (ingatlah) hari dihimpunkan musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit badan menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan. Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit badan mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit badan mereka menjawab: "Allah - yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepada-Nya kamu dikembalikan (untuk menerima balasan). "Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu)." - (Surah Fussilat: 1-22)

Burung yang dalam istilah teknologi maklumat boleh disebut cip sememangnya sesuatu yang canggih. Ia dikalungkan di leher manusia bak orang menggantungkan 'pen-drive' di leher mereka hari ini bagi menyimpan semua maklumat yang diperlukan. Dari sudut pandang sejarah, mungkin pengalungan sesuatu di leher manusia mempunyai asal usul sejarahnya sendiri. Ini kerana al-Quran juga menggunakan kebiasaan manusia dan menggambarkannya dengan burung yang dikalungkan di leher. Mengapa leher yang disebut dan bukan anggota badan manusia yang lain? Ibn Kathir memberikan jawapan kerana leher adalah satu-satunya anggota badan yang tidak memiliki teman, apabila sesuatu telah ditetapkan padanya maka ia tak akan terlepas ke mana-mana. (al-Mukhtasar, ii/367).

Yang mencatat amal perbuatan manusia yang baik dan jahat pada 'burung' berkenaan adalah malaikat. Tidak akan ada satu perbuatan pun yang akan terlepas daripada catatan mereka. Amal baik dicatat baik dan pasti akan menerima ganjarannya. Dan amal jahat dicatat jahat dan pasti akan menerima balasannya. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Padahal sesungguhnya, ada malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal kamu); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan." - (Surah al-Infitar: 10-12) Maha Benarlah Allah Yang Maha Agung.

No comments: