Thursday, July 3, 2008

Hak Muslim: Isteri didera perlu berani bertindak

excopgsm@yahoo.com

PERLU PERLINDUNGAN: Wanita yang dizalimi bukan saja mengalami penderaan fizikal malah emosi yang memerlukan tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan diri dan anak. - Gambar hiasan
Suami lakukan kezaliman adalah alasan kukuh bagi wanita untuk tuntut fasakh

Soalan:

SAYA bersuamikan seorang lelaki yang cepat panas baran. Dia kerap memukul, menampar dan menendang saya lebih-lebih lagi jika kami kehabisan wang. Pernah saya cuba untuk melaporkan perbuatannya kepada polis atau mendapat laporan perubatan, tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana dihalang suami. Malah, tidak ada saksi yang melihat kejadian itu kecuali anak berusia tujuh tahun. Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, dia mengurung saya dalam rumah. Saya seolah-olah terpenjara dalam rumah sendiri. Dia mengurung saya berminggu-minggu hingga kesan luka serta lebam di badan hilang. Dia juga pernah mengugut untuk menghalau saya pada suatu malam selepas membogelkan saya. Saya juga pernah mengalami penderitaan seks ketika masih dalam pantang. Apa yang patut saya lakukan.

Isteri mangsa kezaliman,
Selangor.

Jawapan:

Saya sangat bersimpati dengan nasib puan. Apa yang puan lalui adalah satu pengalaman menyakitkan dan saya berharap puan bersabar, berusaha mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan diri dan membawa kes ke muka pengadilan.

Suami puan sudah melakukan tindakan tidak wajar yang berlawanan dengan ajaran Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah mereka yang baik dengan isterinya. Dan aku adalah yang terbaik di antara kamu."

Ini menunjukkan Rasulullah SAW menyuruh suami berlaku lembut, melayan isteri dengan baik dan tidak melakukan keganasan terhadap isteri. Baginda SAW sendiri tidak pernah menyakiti isterinya walau apa alasan yang ada. Semoga Allah memberi petunjuk kepada suami puan untuk berubah serta bertaubat atas dosa dan kesalahan yang dilakukan.

Sebenarnya keganasan rumah tangga sama ada dilakukan suami atau isteri adalah satu daripada perlakuan tidak sihat yang berlaku dalam masyarakat. Ini sudah tentu membawa kepada ketidakselesaan, menggugat kebahagiaan dan keharmonian hidup berkeluarga.

Mengikut kajian, kejadian suami mendera isteri, sama ada secara fizikal atau mental sudah lama berlaku dan berterusan hingga hari ini. Statistik menunjukkan keganasan rumah tangga banyak berlaku dan ada sesetengah isteri hanya berdiam diri serta mengalah atas apa yang dilaluinya. Perkara ini wajar diubah bersama.

Hakikatnya, atas tangan isteri untuk mengambil tindakan ke atas keganasan dilakukan suami atau membiarkan keganasan itu berterusan tanpa membuat tindakan segera untuk mengelakkan berlakunya keganasan.

Keganasan atau kezaliman suami terhadap isteri seharusnya dihentikan segera dan isteri yang menghadapi keadaan seperti itu perlu berani untuk bertindak bagi menghalang perbuatan itu berterusan. Inilah antara perkara besar dalam rangka memperkasakan jiwa wanita yang teruji dengan masalah sebegini.

Puan seharusnya melakukan sesuatu dan mengambil tindakan segera jika mahu menyelamatkan rumah tangga dan memberhentikan tindakan zalim terhadap diri serta anak.

Pada pandangan saya, apabila kita membiarkan dan menyembunyikan keganasan yang dilakukan suami, ia boleh disifatkan sebagai penyumbang kepada keganasan suami yang pasti melakukan kezaliman lebih besar. Sedangkan Rasulullah SAW memberi nasihat supaya jangan melakukan kemudaratan ke atas orang lain dan jangan membiarkan orang melakukan kemudaratan ke atas kita.

Saya mencadangkan supaya puan berusaha mendapatkan bantuan moral daripada keluarga terdekat atau jiran yang ada. Kemungkinan dengan campur tangan ibu bapa kedua-dua belah pihak, hubungan rumah tangga puan dapat diperbaiki.

Pada masa sama, suka saya nasihatkan bahawa walaupun tiada saksi ketika puan dipukul, puan masih boleh mendapatkan bantuan kerana mungkin jiran mendengar pergaduhan dan melihat kesan lebam yang ada di badan puan.

Orang terdekat yang mengetahui hubungan dan layanan buruk dibuat terhadap puan boleh memberi keterangan di mahkamah jika perlu. Ia akan menguatkan permohonan puan jika di bawa ke mahkamah.

Antara perkara yang puan perlu ambil sekiranya berlaku deraan adalah segera melaporkan penderaan itu kepada polis. Pihak polis akan merekodkan aduan itu dan mereka akan membuat laporan rasmi yang boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Puan juga wajar mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan, laporan doktor adalah perlu untuk dijadikan bahan bukti (qarinah) di mahkamah jika perlu. Dalam kes jika puan dikurung dan sebagainya, puan boleh berusaha mendapatkan rawatan sebaik berjaya mencari jalan keluar. Adalah nyata suami puan tidak menaruh belas ihsan kepada puan dan melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan agama.

Perlakuan buruk seperti inilah yang sangat kita khuatiri kerana ia boleh memburukkan nama baik agama di kalangan orang luar. Kadang-kadang perlakuan segelintir golongan tersasar ini dijadikan hujah bahawa Islam yang mengajar umatnya melayan isteri dengan keras dan kasar.

Puan boleh merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor di mana dalam Seksyen 53, ada diperuntukkan jelas bahawa seseorang suami itu disifatkan sebagai melakukan kekejaman dan kezaliman kepada isterinya jika dia lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita berpunca daripada perbuatan aniaya, termasuk suami berkawan dengan wanita jahat atau berperangai keji pada pandangan syarak.

Suami juga dianggap kejam jika memaksa isterinya hidup secara lucah kerana ia bertentangan dengan syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam. Selain itu, suami kejam dan zalim jika melupuskan harta isteri atau melarang isteri menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu. Malah, suami juga dianggap zalim jika menghalang isterinya menjalankan kewajipan terhadap agama.

Suami yang mencederakan isterinya seperti memukul, menampar serta menendang adalah melakukan kezaliman dan ia adalah alasan yang kukuh untuk menuntut fasakh. Di samping itu, suami juga boleh diambil tindakan jika dengan sengaja menyebabkan cedera atau dengan sengaja menyebabkan cedera, dengan jalan menggunakan senjata atau lain benda berbahaya yang berkaitan dengan peruntukan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga dan Kanun Keseksaan.

Puan boleh menghubungi mana-mana peguam syarie yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat terperinci mengenai hak puan. Jika puan tidak bekerja atau mempunyai tahap pendapatan tertentu, puan boleh menggunakan khidmat Peguam Biro Bantuan Guaman (BBG) yang berdekatan dengan tempat puan. Saya doakan puan berjaya mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan diri dan anak.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: