Oleh Mohd Adid Ab Rahman
Masyarakat Islam jadi hebat, kuat, disegani dan mampu menggentarkan musuh
PERBEZAAN bangsa, warna kulit, tempat atau batasan geografi, kabilah, bahasa dan kebudayaan dalam Islam bukanlah ruang serta peluang untuk manusia berpecah-belah, bermusuh-musuhan dan mengasingkan diri.
Kelainan itu supaya wujud suasana saling berkenalan, kasih-mengasihi yang membawa kepada keharmonian hidup. Seperti disebut Sayid Sabiq: "...Islam menghimpunkan seluruh kaum Muslim dalam satu keyakinan, satu iktiqad, satu cara peribadatan, satu syariat, satu tujuan dan satu dalam segala-galanya". Inilah hasrat murni ajaran Islam sejak zaman lampau.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Gesaan supaya saling kenal-mengenal antara satu sama lain bertujuan mengeratkan ikatan silaturahim, saling lengkap-melengkapi, bertukar pendapat, berbincang dan memahami adat kebudayaan, berkongsi pengalaman atau pengetahuan sesuatu bangsa.
Perbezaan bukan untuk membanggakan keturunan dengan anggapan keturunan mereka paling mulai berbanding yang lain. Fahaman itu sudah jauh tersasul kerana di sisi Allah kemuliaan seseorang itu diukur daripada ketakwaan kepada Allah.
Persaudaraan terbentuk atas akidah dan kepercayaan yang satu kerana Allah, mencerminkan sebuah keikhlasan hati yang natijahnya terbinalah kekuatan umat Islam kaya dengan sifat kasih sayang.
Persaudaraan sesama Islam yang terjalin dengan penuh kasih sayang ini tidak mungkin akan berlaku kecuali apabila terbebas daripada kepentingan peribadi.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dua sahabat berkasih-sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah demi kerana Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Lantaran itulah ada peristiwa dua sahabat nabi bertemu, mereka tidak berpisah kecuali selepas salah seorang dari kalangan mereka membaca surah al-'Asr kemudian mereka bersalam.
Ia bermakna mereka berjanji setia dengan udang-undang Islam, tetap teguh menggenggam keimanan dan beristiqamah dalam beramal salih, berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran, juga berjanji menjadi umat Muhammad yang sentiasa berjuang demi agama yang suci. Demikianlah yang pernah diungkapkan oleh Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Persaudaraan Islam.
Islam sangat menitikberatkan soal persaudaraan bagi membentuk persatuan dan kekuatan. Ini terbukti berdasarkan persaudaraan dijalinkan semasa hayat Baginda SAW sangat menakjubkan.
Walaupun kaum Aus dan Khazraj bermusuhan sudah beratus tahun, namun Baginda SAW dapat menyatupadukan mereka sebagai sahabat yang akrab dan satu keluarga harmoni di bawah bayangan Islam.
Begitulah persaudaraan sepanjang kehidupannya menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan penuh komitmen, yang diperjuang Rasulullah SAW. Inilah modal kekuatan yang sangat diperlukan untuk memartabatkan syiar Islam.
Dalam peperangan Badar umat Islam hanya 313 orang saja sementara pihak kafir Quraisy berjumlah lebih 1,000 orang. Kemenangan berpihak kepada Islam kerana persaudaraan yang jitu dan padu antara sesama umat Islam.
Mereka senasib sehingga menimbulkan suasana untuk saling bantu-membantu, kuat membantu yang lemah, sihat membantu yang sakit dan berharta membantu yang tidak bernasib baik.
Allah melarang berpecah-belah yang hanya melemahkan dan menghancurkan umat Islam. Firman-Nya yang bermaksud: "Jangan kamu bercerai-berai, sebab kamu akan lemah dan lenyaplah kekuatanmu." (Surah al-Anfal, ayat 46)
Ibn Al-Qyyim Al-Jauziyah menyebut dalam Tahzib Madarij As-Salikin, tali Allah bermaksud jemaah Islam yang berpegang dengan al-Quran dan hadis serta sentiasa berusaha melakukan ketaatan kepada perintah Allah.
Umat yang berpegang teguh dengan tali Allah sudah tentu mendapat keredaannya. Allah berfirman yang bermaksud: "....barang siapa yang berpegang teguh kepada agama Allah, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus." (Surah ali-Imran, ayat 101)
Apabila umat Islam bersatu padu dalam segala hal, saling berkasih sayang, bantu membantu dan tegur-menegur ke arah kenaikan, maka sesungguhnya akan lahirlah satu umat yang hebat, kuat, disegani sekali gus mampu menggentarkan jiwa musuh.
Akhirnya syiar Islam mampu tertegak dan tersebar ke segenap pelusuk bumi, tamadun Islam dapat dilestarikan dan seolah-olah itulah hakikat ajaran Islam yang sebenarnya apabila diperhatikan oleh orang bukan Islam.
Friday, July 25, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment