TAMBAH ILMU: Pengajian al-Quran mesti dimulakan sejak kanak-kanak bagi melahirkan generasi berilmu dan beriman.
Penghayatan terhadap kitab suci sumber kebahagiaan hidup dunia, akhirat
PERKATAAN penghayatan berasal daripada bahasa Arab 'hayah', bererti hidup atau kehidupan. Penghayatan bererti menghidupkan atau menjadikannya sebagai sesuatu yang hidup dengan sentiasa dipelihara, dijaga dan diberi perhatian supaya dapat berfungsi sewajarnya.
Bertitik tolak daripada itu, dapatlah difahami maksud penghayatan al-Quran ialah memelihara dan memberi perhatian sama ada melalui usaha membaca, memahami dan seterusnya mengamalkan al-Quran dalam pelbagai lapangan kehidupan.
Sesuatu itu dianggap hidup apabila ia mempunyai roh dan tenaga. Tanpa roh dan tenaga segala pergerakan akan terhenti dan sesuatu itu akan menjadi kaku, beku serta mati. Begitulah dengan penghayatan al-Quran, ia mestilah menampakkan pergerakan aktif dalam kehidupan umat Islam.
Tanpa pergerakan bererti tiada penghayatan berlaku dan kerana itulah peranan al-Quran tidak terasa dalam kehidupan umat Islam, malah ia seolah-olah tidak mempunyai roh lagi.
Sedangkan Allah sendiri menurunkan al-Quran sebagai roh, seperti mana firman-Nya yang bermaksud: "Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu roh (al-Quran) daripada urusan Kami." (Surah al-Syuara', ayat 52)
Roh ialah rahsia kehidupan sesuatu. Oleh itu, perhatian hendaklah sentiasa diberikan untuk menyubur dan memperkembangkan supaya roh dapat memainkan peranannya dalam pembinaan diri umat Islam.
Semua umat Islam perlu beriman bahawa al-Quran adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia sebagai pedoman dan petunjuk kehidupan. Hidup berpandukan pedoman dan petunjuk al-Quran membolehkan seseorang mencapai kebahagiaan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, tetapkan iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan (kepada) kitab (al-Quran) yang diturunkan kepada rasul-Nya (Muhammad) dan juga kepada kitab suci yang diturunkan dulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur (ingkar) kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya dan hari akhirat, maka sesungguhnya ia sudah dengan kesesatan (yang) sejauh-jauhnya." (Surah al-Nisa', ayat 136)
Ayat ini membuktikan bahawa beriman kepada al-Quran dan menjadikan isi kandungannya sebagai pedoman hidup, adalah suatu kewajipan bagi umat Islam. Tiada seseorang Mukmin pun yang boleh menyatakan bahawa isi dan suruhan al-Quran tidak sesuai pada zaman serba moden ini.
Bagi orang yang mengatakan sedemikian, dengan maksud menghina dan memperkecilkan isi kandungan al-Quran, sesungguhnya ia menjadi kufur serta akan diazab Allah pada hari akhirat kelak.
Meskipun sudah lama al-Quran diwahyukan, isi kandungannya tetap utuh dan segar. Ia tidak sedikitpun terjejas oleh peredaran zaman kerana isi kandungannya adalah kebenaran mutlak yang terpancar daripada alam ketuhanan Maha Tinggi.
Tambahan pula, ia diberi jaminan terpelihara oleh Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang benar-benar memeliharanya." (Surah al-Hijr, ayat 9)
Ramai umat Islam kini memandang ringan dan sambil lewa terhadap al-Quran. Mereka hanya mendekati al-Quran dalam upacara tertentu saja. Ada juga yang meminati al-Quran sekadar untuk menikmati kemerduan dan kelunakan bacaannya sebagai suatu adat.
Amat mendukacitakan apabila ada sesetengah mereka hanya membaca al-Quran pada majlis kematian, untuk tujuan mengemis, malah ada yang menggunakannya untuk tujuan perbomohan atau azimat saja.
Sesungguhnya al-Quran diwahyukan Allah untuk dibaca, difahami, dihayati maknanya seterusnya menjadikan ia sebagai panduan hidup. Firman Allah yang bermaksud: "(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepada kamu (dan umat kamu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (Surah Sad, ayat 29)
Sikap umat Islam yang memandang ringan terhadap al-Quran adalah faktor utama menghalang mereka daripada hidayahnya. Ini kerana al-Quran hanya akan membuka khazanahnya kepada orang yang benar-benar memberi perhatian kepadanya dengan tujuan penghayatan.
Menurut al-Zarqaniy dalam kitabnya Manahil al-'Irfan Fi 'Ulum al-Quran, umat Islam kini tidak akan maju jika tidak memberi penghayatan kepada ajaran al-Quran yang menjadi sumber kebahagiaan di dunia mahupun akhirat. Begitu juga dengan pengamalan ajaran al-Quran, ia tidak dapat diamalkan melainkan setelah difahami makna dan maksudnya.
Perlu ditegaskan semua fakta terkandung dalam al-Quran adalah mutlak sifatnya. Sama seperti fakta yang dimanifestasikan oleh alam semesta. Jika alam ini adalah ayat atau ungkapan yang diam membisu, tetapi dapat dibaca atau diperoleh idea dan pengajaran daripadanya, maka ayat al-Quran pula alam yang berkata-kata, memperkenalkan kepada manusia akan Tuhannya, membimbing serta menerajui mereka dengan wajar melalui liku hidup di dunia.
Pengajian mengenai al-Quran daripada pelbagai sudutnya penting untuk memahami isi kandungan serta meletakkan nilainya yang wajar dalam kehidupan manusia.
Pengajian al-Quran juga bertujuan untuk dihayati dan dijadikan panduan dan pedoman dalam segala bidang kehidupan.
Ini kerana kehidupan yang tidak berpandukan kebenaran akan terus menderita dan sengsara dilanda pelbagai krisis dan sentiasa dikunjungi bermacam masalah yang kian hari semakin parah.
Contohnya, kebelakangan ini banyak urusan kehidupan diterajui oleh 'isme-isme' sekular, kapitalis, ateis dan material yang melepaskan diri daripada bimbingan wahyu Allah. Malah memisahkan sebarang urusan agama dengan urusan hidup.
Justeru, timbul situasi kacau-bilau dan porak-peranda sebagai akibat daripada keangkuhan serta kesombongan manusia yang tertipu dengan keupayaan akalnya sendiri. Kononnya ideologi dan 'isme' yang mereka cipta dapat menyelesaikan semua masalah dan menjanjikan segala kemewahan.
Demi menyelamatkan dunia daripada kehancuran, kepemimpinan mestilah berpandukan kebenaran mutlak yang hanya didapati dalam al-Quran, iaitu wahyu Allah yang terakhir untuk semua umat manusia.
Penghayatan al-Quran yang sempurna akan merubah seluruh keadaan hidup umat Islam dan selanjutnya akan meletakkan mereka pada kedudukan terbaik kerana menjalani kehidupan berpandukan cara yang diaturkan Islam.
No comments:
Post a Comment