Wednesday, July 16, 2008

Peguam Syarie Menulis: Islam jalan penyelesaian perbalahan politik

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
http://peguamsyarie.blogspot.com

TIADA PERSEFAHAMAN: Keamanan negara akan tergugat sekiranya ahli dan penyokong parti politik terus bercakaran. - Gambar Hiasan


Pemimpin harus utama kepentingan agama, bangsa sebagai asas pentadbiran

GOLONGAN yang prihatin perlu sedar bahawa sejak akhir-akhir ini negara berdepan pelbagai situasi begitu asing dan tidak pernah berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12. Walaupun pilihan raya umum itu menzahirkan pilihan rakyat, kesannya tetap dirasai rakyat.

Ahli politik sama ada yang menang atau kalah sebenarnya masih belum dapat menerima hakikat kemenangan atau kekalahan mereka. Lantaran, keadaan itu bagaikan meletak politik kepartian mengatasi kepentingan rakyat.

Malah, ada segelintir pihak yang seolah-olah tidak dapat menerima keputusan itu dan mencari pelbagai jalan atau helah bagi menjayakan cita-cita politik mereka. Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, sebenarnya memberi impak besar kepada rakyat Malaysia khususnya orang Islam.

Kestabilan politik seperti dulu tidak lagi jelas, malah ahli politik diuji dengan pelbagai ujian bagi menegakkan prinsip masing-masing.

Apa yang menyedihkan ialah risikonya terpaksa ditanggung rakyat apabila ahli politik saling menuduh dan menuding jari antara satu sama lain sama ada di Parlimen atau di luar.

Rakyat sekarang lebih bijak dan bermaklumat berbanding 30 tahun lalu dalam menilai keberkesanan dan khidmat yang diberikan oleh wakil rakyat.

Orang Islam yang juga tunjang masyarakat Malaysia khuatir dengan apa yang berlaku dewasa ini. Apatah lagi jika ia memberi kesan terhadap kedudukan agama Islam dan budaya Melayu.

Kita dapat melihat sebahagian ahli politik Melayu Islam meletakkan politik kepartian melampaui kepentingan agama dan bangsa.

Seharusnya ahli politik Islam meletakkan Islam di tempat teratas dalam menggarap tindakan atau keputusan mereka. Dengan cara ini kepentingan agama dan bangsa akan terjaga.

Lebih menghairankan, kadang-kadang mempercayai orang lain berbanding saudara seagama. Kita lebih meredai perbuatan orang lain dan apabila perkara itu dilakukan oleh saudara seagama, yang nampak hanyalah kesilapan. Perkara ini amat menyedihkan.

Sering kali kita membaca dalam akhbar dan media elektronik, ahli politik Islam bercakaran antara satu sama lain dan alpa terhadap amanah sebenar yang diberikan iaitu untuk mempertahankan kepentingan Islam sebagai jati diri negara. Ia dilakukan semata-mata bagi menjaga parti politik tanpa mengambil kira kepentingan agama.

Kita meminta kepada semua ahli politik tanpa mengira parti politik yang diwakili supaya berbalik kepada perjuangan sebenar. Apalah guna kita menjadi popular, tetapi menggadaikan agama dan bangsa.

Penulis mengajak ahli parti siasah Islam supaya bersatu membela kepentingan Islam kerana ini adalah perkara dasar. Namun, sebagai seorang yang tidak terbabit secara langsung dalam politik, idea ini dilontarkan supaya dikupas dengan terperinci semoga dapat difikirkan dengan minda terbuka dan meletakkan Islam sebagai asas keputusan.

Sudah tentu tidak dalam semua keadaan kesatuan fikiran boleh dimanifestasikan seperti dalam hal ehwal lain yang lebih bersifat cabang. Adalah normal untuk ahli politik tidak bersependapat, tetapi sepatutnya ia tidak berlaku dalam mempertahankan kedudukan Islam.

Penulis akur bahawa bersatu dalam konteks politik Malaysia ketika ini mungkin tidak bersifat bersatu dalam erti kata mewujudkan sebuah parti siasah Islam saja kerana ia sukar atau hampir mustahil untuk direalisasikan ketika ini. Kaedah itu mungkin ideal, tetapi terlalu sukar dicapai.

Namun, adalah tidak mustahil beberapa alternatif lain boleh dicari dalam melaksanakan bentuk kerjasama antara parti siasah Islam. Antaranya, kerajaan campuran boleh dibentuk antara parti politik Melayu Islam.

Alternatif ini sebenarnya juga sukar untuk dicapai jika semua pihak menoleh ke belakang. Bagaimanapun, jika mereka melihat ke hadapan, mungkin ada sedikit harapan untuk membicarakan ke arah ini.

Sumbangan orang bukan Islam di Malaysia tidak boleh dinafikan dan agama Islam sebenarnya mengiktiraf kedudukan ini. Dalam hal yang demikian, jika Islam dapat ditegakkan maka sudah tentu orang bukan Islam akan lebih terjamin daripada sudut ibadat, keperluan dan kebajikan.

Sesiapa yang membaca nukilan berhubung negara Islam sudah tentu memahami betapa Islam menjaga golongan minoriti bukan Islam dalam negara Islam. Oleh itu orang bukan Islam tidak perlu khuatir apabila Islam dilaksanakan.

Percakaran antara sesama Islam amat memalukan. Ia berlaku kerana kurangnya kesedaran di kalangan sebahagian ahli politik untuk berbalik kepada Islam sebagai jalan penyelesaian.

Demi Islam, lupakanlah masalah silam, perbaharui tekad dan usaha untuk memartabatkan Islam dalam segala ruang yang ada. Janji Allah pasti benar. Allah berjanji sesiapa yang menolong agama-Nya sudah pasti Allah akan menolong mereka pula.

Oleh demikian, jika kita meletakkan Islam sebagai asas perjuangan, sudah pasti ada ruang yang luas untuk bergerak demi Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: