Oleh Lokman Ismail
HIDUP di dunia penuh cubaan. Itulah antara tujuan manusia diturunkan ke dunia untuk diuji dengan pelbagai cabaran hidup. Setiap apa yang dilakukan mendapat pembalasan setimpal, termasuk dalam soal bersabar menghadapi cabaran hidup.
Sememangnya tidak semua yang kita ingin diperoleh dengan mudah. Seperti kata pepatah, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek. Jika tidak dipecahkan ruyong, masakan dapat sagunya. Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu bersenang-senang kemudian.
Pepatah itu mengajar kita supaya bersabar dan tekun melakukan sesuatu usaha. Kita tidak sepatutnya mengharapkan kejayaan dengan mudah bergantung kepada nasib semata-mata. Sesungguhnya, Allah menguji setiap hamba-Nya dengan pelbagai cara.
Sesiapa yang bersabar, dia bakal beroleh kejayaan berlipat ganda di sisi Allah, di dunia atau di akhirat. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka itulah yang diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka telah sabar.” (Surah al-Qasas, ayat 54)
Kesabaran diperlukan dalam semua keadaan untuk meneruskan aktiviti kehidupan. Setiap usaha yang dilakukan mestilah secara berterusan dengan tenang mengharapkan keredaan Allah. Bersabar adalah jalan menuju kepada kehidupan yang lebih sempurna.
Ada lebih 70 ayat dalam al-Quran yang menyebut mengenai perlunya sifat bersabar dan kebaikan daripada mengamalkan sikap itu. Dengan kata lain, perlunya sikap sabar menghiasi kehidupan setiap Muslim.
Sabar termasuk dalam erti istiqamah. Berterusan melakukan sesuatu tugasan atau usaha adalah sebahagian tanda bersabar. Banyak kejayaan hanya dicapai dengan melakukan secara berterusan.
Menurut pandangan Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, sabar membawa maksud menanggung segala kesukaran fizikal dan meneruskan usaha apa yang dilakukan. Sabar juga membawa makna menahan segala kehendak nafsu yang ada dalam diri manusia.
Memang perkataan sabar mudah disebut, tetapi sukar untuk dilaksanakan, melainkan orang yang teguh imannya. Setiap dugaan dan halangan perlu ditempuhi dengan reda dan penuh keinsafan. Setiap kesusahan yang dihadapi sudah pasti ada hikmahnya. Firman Allah bermaksud: “Hanya orang yang sabar akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan.” (Surah az-Zumar, ayat 10).
Sesungguhnya, kegagalan bukan bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Banyak orang yang berdepan dengan kegagalan bangkit berusaha lebih gigih sehingga dia berjaya mendapat lebih daripada apa yang diimpikan sebelumnya. Jika tidak kerana kegagalan yang pernah dihadapinya, dia mungkin tidak mendapat kebaikan yang lebih.
Justeru, umat Islam dilarang sama sekali mudah berputus asa. Kegagalan dan kesusahan hidup adalah pengalaman berharga untuk dijadikan panduan mendapat lebih baik pada masa depan.
Sesungguhnya Allah menyeru orang beriman sentiasa tetap bersabar. Dengan mengamalkan sikap bersabar pastinya mendapat keuntungan. Firman Allah yang bermaksud: “Hai orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah berwaspada dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Surah Ali Imran, ayat 200)
Sikap berputus asa tidak mengubah ke arah lebih baik. Orang berputus asa sebenarnya menjauhkan diri daripada kejayaan yang separuhnya sudah dicapai di sebalik kegagalan yang dihadapinya. Sebenarnya dalam kegagalan itu ada kejayaan, kerana separuh kejayaan sudah dicapai dalam setiap kegagalan. Tidak mungkin kita tidak memperoleh apa-apa kebaikan daripada yang dilakukan. Allah menetapkan dan memberi pembalasan setiap apa yang dilakukan.
Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau wanita sedang dia beriman, maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak pula dianiaya sedikitpun.” (Surah an-Nisa, ayat 124) Setiap usaha tentu ada kebaikannya, biarpun tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan. Oleh itu, tidak tepat jika dikatakan usaha dilakukan hanya sia-sia disebabkan tidak mencapai sasaran ditetapkan.
Soal berjaya atau tidak, itu urusan Allah menentukan. Sedangkan tugas kita adalah berusaha dan kemudian bertawakal. Balasan yang Allah janjikan di akhirat adalah lebih baik. Setiap apa diusahakan adalah ibadat jika diniatkan untuk mencari keredaan Allah. Kita perlu berpegang kepada matlamat hidup, iaitu setiap apa dilakukan adalah ibadat kepada Allah.
Setiap umat Islam dilarang keras bersikap berputus asa daripada rahmat Allah. Sikap berputus asa bererti menolak qada dan qadar yang wajib diyakini. Sesungguhnya, sabar itu tanda keimanan. Hal ini ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: “Sabar itu separuh daripada iman.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Thursday, July 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment