SEORANG rakan saya boleh dikatakan pandai dalam soal agama. Dia juga tiada masalah untuk menolong rakan yang kesempitan wang dengan memberi pinjaman.
Masalahnya, setiap pinjaman RM100 dikenakan kadar faedah sebanyak 30 peratus. Apakah pandangan Datuk mengenai sikapnya yang suka membantu tetapi mengamalkan riba?
Ikmal Hakim,
Kelantan.
Memberi pinjaman adalah amalan sunat yang sangat dituntut (mukkad) dalam Islam, berasaskan sebuah hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada kesusahan di dunia, Allah akan melepaskannya daripada kesusahan pada hari kiamat; dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba, selama mana ia menolong saudaranya yang berada dalam kesusahan" (Riwayat Muslim). Malah, memberi pinjaman menurut pandangan sebahagian ulama', lebih afdal daripada memberi sedekah.
Pandangan ini berasaskan hadis riwayat Ibnu Majah yang menyebut bahawa Rasulullah SAW melihat suatu tulisan di pintu syurga pada Isra' seperti berikut: "Pahala sedekah gandaannya 10 kali; manakala pahala memberi hutang gandaannya 18 kali."
Rasulullah SAW bertanya Jibril bagaimana memberi hutang lebih afdal daripada sedekah?
Jibril menjawab: "Kerana peminta sedekah kadang-kadang ada harta yang mencukupi; tetapi orang berhutang biasanya tidak akan berbuat demikian melainkan ia dalam keadaan terdesak."
Namun tindakan rakan saudara mengambil faedah daripada pinjamannya adalah satu dosa besar. Di dalam hadis, Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima riba.
Sesuatu amalan yang baik dan berkebajikan dalam Islam bukan bergantung kepada niat yang baik saja tetapi perbuatan itu sendiri perlu baik dan diterima di sisi syarak.
Sunday, July 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment