PENDAPAT Imam Syafie mengenai zikir berjemaah ialah: "Imam dan makmum boleh memilih sama ada ingin berzikir kepada Allah selepas salam atau tidak. Jika berzikir, mereka hendaklah memperlahankan zikir kecuali imam. Imam wajib mengajar makmum berzikir. Imam saja boleh menguatkan zikir sehingga mereka mempelajari zikir itu. Kemudian, imam hendaklah berzikir secara perlahan."
Al-Nawawi al-Syaife berkata, “Imam Syafie berpegang pada hadis menyatakan bahawa zikir boleh dikuatkan sekali sekala. Tetapi, pendapat yang paling tepat ialah makmum dan imam memperlahankan suara ketika berzikir dan boleh menguatkannya ketika mengajar makmum.”
Apa yang menghairankan pada hari ini, kebanyakan mereka mengaku bermazhab Syafie menguatkan bacaan zikir dan doa selepas solat fardu setiap waktu. Sedangkan beliau sendiri melarang perbuatan itu.
Mengenai doa beramai-ramai pula, Nabi SAW tidak pernah melakukannya. Bahkan Imam Syafie tidak pernah menukilkan pendapat mengenai harus berdoa secara berjemaah selepas solat. Adakah Imam Syafie tidak mengetahui bahawa ia juga termasuk bidaah hasanah?
Ketika mengulas hadis Ibn Abbas, Imam Syafie menegaskan mengenai sunnah berzikir selepas solat. Katanya: “Aku berpendapat, Baginda menguatkan suara ketika berzikir hanya untuk seketika (sekejap) saja. Tujuannya supaya sahabat dapat mempelajari zikir itu daripadanya. Kebanyakan riwayat yang telah kami tulis sama ada bersama kitab ini (al-Umm) atau selainnya langsung tidak menyebut adanya bacaan tahlil atau takbir selepas Baginda memberi salam.
Kadang-kadang riwayat yang datang menyebut Baginda SAW berzikir selepas solat seperti apa yang aku nyatakan (secara kuat) dan kadangkala Baginda beredar (meninggalkan saf) tanpa berzikir. Menurut apa yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah, Baginda tidak berzikir secara kuat selepas solat.
Oleh itu, aku berpendapat bahawa Baginda SAW tidak akan duduk sama sekali kecuali untuk berzikir secara perlahan.”
Kesimpulannya, sunnah berzikir dengan perlahan namun, imam boleh menguatkan suaranya sekali-sekala untuk mengajar makmum. Imam juga berhak meninggalkan saf tanpa berzikir jika dia kehendaki.
Bukan seperti apa yang disangkakan oleh sebahagian pengikut Syafie yang jahil lalu memandang serong terhadap imam yang meninggalkan perbuatan berzikir selepas solat.
Perbincangan mengenai hukum berdoa selepas solat bersendirian secara berterusan tidak sabit dan tidak pernah diamalkan oleh salafussoleh. Apatah lagi secara berjemaah dan diaminkan oleh makmum kerana boleh mengganggu seseseorang sedang solat.
Pendapat terpilih, diharuskan berdoa secara bersendirian sekali sekala selepas berzikir secara perlahan kecuali doa tertentu diamalkan oleh salafussoleh pada waktu tertentu. Ia boleh diamalkan secara berterusan seperti doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada Mu’az bin Jabal tanpa mengangkat tangan.
Mengenai perbuatan berdoa tanpa zikir, ia dianggap menyanggahi sunnah Nabi SAW sedangkan tidak ada seorang pun generasi terdahulu melakukannya. Semoga Allah memberi hidayah kepada hamba-Nya menyanggah sunnah Rasul-Nya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment